Sunday, September 18, 2011

KISAH HATI SEORANG ISTERI (Kerana CintaNya aku di sini...)


Hidayah Wassyifa’. Ia nama pemberian mama dan abahku hasil cetusan ilham dari sahabat baik mereka, Encik Bukhari. Ia kebanggaan aku sebagai seorang anak menatang nama indah yang mempunyai makna dan sebutan yang baik. Ke mana sahaja hala tujuku, setiap insan di sekelilingku pasti akan menyebut namaku berulangkali. Jarang sekali mereka akan menyebut namaku dengan panggilan ringkas seperti kebiasaan orang memanggil nama seseorang yang lain. Aku terasa dihormati. Terima kasih, Ya Allah atas nama yang indah ini.
“Aku terima nikahnya Hidayah Wassyifa’ binti Muhammad dengan mas kahwinnya 300 ringgit tunai.” Bibir itu mengungkap namaku. Penuh. Dan ia menitiskan air mataku.
“Alhamdulillah……” Desiran suara kecil lelaki itu disambut oleh deruan suara disebalik tabirnya.
       Aku tertunduk. Masih lagi air mataku menitis. Terus jatuh ke lantai rumah berlapik permaidani ungu kebiruan. Sedang lengan baju kuning cairku kulapkan terus ke pipi demi menyeka air mata yang terus mengalir. Sudah sah kini aku hak milik dia yang baru sahaja menjadi suamiku, sang pembimbing dan imamku jua imam bakal anak-anakku nanti. Ketua bagi organisasi kecil pembangun ummah dan penegak agama Allah di atas muka bumi ini. Walaupun kecil namun ia merupakan titik permulaan perjalanan hidup seseorang insan itu demi menentukan samada ahlinya menjadi yahudi, nasrani atau mu’minin. Semuanya terletak di tangan pengemudi bahtera. Sekiranya baik perjalanannya maka baiklah seluruh bahteranya serta isi-isinya. Dan aku mahu menjadi sang pendamping yang sentiasa tulus dan setia di sisi nakhodanya. Terimalah aku seadanya, duhai suami….

***************************************************  

       Malam pertama aku dan suamiku mendiami rumah miliknya di pinggir kota. Senyap sunyi dari keriuhan bandar. Sedikit ke hulu dari hilirnya. Hanya aku dan dia. Aku berdiam diri. Duduk berteleku di atas katil menunggu dia masuk. Jantung berdegup kencang. Benar, penantian itu satu penyeksaan. Kedengaran pintu bilik dibuka dari luar. Jantungku semakin kuat berdegup bagai menunggu-nunggu untuk ia melompat keluar dari dalam dada. Derap kakinya semakin dekat menghampiriku. Ya Allah…. Dari ekor mataku, kelihatan dia melabuhkan punggungnya di hujung katil. Jauh dari tempat dudukku dekat dengan kepala katil. Masih lagi wajahku menunduk. Malu.
“Hidayah Wassyifa’. ” Suara lelakinya menggetarkan jiwaku. Tidak pernah ada mana-mana lelaki yang cuba menghampiri dan menyebut namaku dengan begitu lembut sekali.
“Nama yang menunjukkan kehalusan peribadi dan kesan dirimu kepada insan sekeliling. Maafkan aku, duhai isteri andai aku telah menolak hak hatimu untuk bersuara sebelum pernikahan kita. Maafkan aku andai kehendak ayahku untuk menjadikan dirimu menantunya telah membataskan hak keinginanmu untuk melalui zaman bujangmu lebih lama dan memaksa dirimu menerima diriku. Maafkan aku jua andai di hatimu sudah bertakhta insan lain di dalamnya. Dari malam ini sehingga malam berikutnya, aku menghormati dirimu. Semoga lena tidurmu. Assalamualaikum.”
       Dia terus berlalu pergi sambil membawa bantal dan kain selimut ke bilik sebelah. Aku ditinggalkan dengan seribu tanda tanya. Mengapa? Apakah semua ini? Apa yang dia telah katakan? Kenapa? Hakku? Hak apa? Bagaimana pula hak dirimu sebagai suamiku? Ya Allah, bukan ini yang aku pinta dalam bahtera perkahwinanku… Patutlah setiap malam di rumahnya mahupun di rumahku sebelum ini dia seakan-akan mengelak. Ya, benar! Memang Encik Bukhari yang beria-ia hendak menikahkan aku dengan anaknya, Muhammad Syukri. Apatah lagi abah juga setuju dengan keinginan sahabat akrabnya itu. Aku? Aku hanya mengikuti kehendak kedua orang tuaku. Apa yang terbaik bagi mereka ia juga adalah yang terbaik untukku. Sesungguhnya redha Allah itu terletak pada keredhaan kedua ibubapa. Mana mungkin aku akan membelakangi mereka. Mereka sandaran kehidupanku dari aku kecil sehinggalah aku meniti usia dewasa. Mereka cinta keduaku setelah Allah dan Rasulullah menduduki tempat pertama dalam hatiku. Ya Allah, cintailah mereka berdua lebih dari mereka menyintai diriku.

*******************************************************

“Abang, sarapan dulu ya! Saya buatkan mee goreng basah untuk abang. Duduk dulu, ya!”
       Aku menyendukkan makanan untuknya ke dalam pinggan. Air teh kutuangkan ke dalam cawan. Matanya memandangku sambil tersenyum. Sudah menjadi tanggungjawabku untuk menjaga makan minumnya dan melayaninya dengan baik walaupun hanya sekecil-kecil perkara. Ya, suami adalah raja di dalam rumah. Layanan buatnya istimewa.
“Abang, abang nak keluar ke mana-mana ke hari ni?” Aku sengaja berbasa-basi.
Dia hanya diam. Makan. Khusyuk. Aku tersenyum.
“Abang....” Lembut aku memanggil sambil menyentuh tangannya. Dia mengangkat muka. Wajahku manis memandang ke wajahnya.
“Ya, apa dia? Saya... eh, a...bang... abang tak dengar. Apa dia?” Wajahnya memerah. Terkejut, kaget dan gagap untuk membahasakan dirinya.
“Abang nak keluar pergi mana-mana ke hari ni?” Aku mengulang semula soalanku.
“Tak ada. Tak ada. Abang tak pergi mana-mana. Badan abang penat lagi. Kenapa? Awak nak keluar ke? Abang boleh bawakan.”
“Eh, tak perlulah, abang. Saya cuma tanya sahaja. Saya ingat hari ni saya nak bersihkan rumah ni. Dah berapa lama abang tinggalkan rumah ni?” Aku sengaja hendak memanjangkan perbualan.
“Setengah bulan sebelum tarikh pernikahan kita. Sekarang ni, kira-kira sudah sebulan juga abang meninggalkan rumah ni.”
“Oh.... Abang mula kerja bila?” Perasaan ingin tahu meluap-luap.
Dia diam.Sepatah ditanya sepatah juga jawapannya. Langsung tidak memandang ke wajahku. Suapan mee goreng ke mulutnya masih penuh. Aku tersenyum melihat aksinya. Sangat berselera sekali. Aku masih menunggu jawapannya. Ya, sudah habis dikunyah, ditelan dan menggelongsor masuk ke celah usus perutnya. Makanan hasil air tanganku. Buat suamiku yang dalam diam aku kagumi dan aku cintai. Apa? Sebentar! Apa aku katakan tadi? Aku cintai? Sejak bila? Aku tersenyum melayan perasaan sendiri. Lamunanku terhenti.
“Abang dah suruh pembantu abang, Elina uruskan semua urusan di sekolah. Abang dah buat schedule untuk cuti abang ni.”
“Abang buka sekolah sendiri dah berapa tahun?”
“Lebih kurang empat tahun.” Masih lagi tunduk. Tiada kemesraan dalam jawapannya.
“Alhamdulillah. Khalifah berjaya rupanya suami saya ni ya.”
       Aku terus bangun dengan wajah yang tersenyum meleret walaupun respon darinya tidak memuaskan hati. Ibarat sudah membalingkan batu kemudian menyembunyikan tangan. Aku berpura-pura dengan muka riak slumber. Aku membuka langkah hendak menuju ke dapur tiba-tiba tanganku ditarik dari belakang. Aku terkejut. Aku menoleh perlahan dan memandang ke wajahnya. Dia merenung mataku tajam.
“Terima kasih untuk sarapan dan layanan awak. Mee goreng awak sangat sedap. Tolong hidangkan untuk abang lagi. Abangmasih belum kenyang.”
       Aduhai, mana aku nak sembunyikan muka aku ni. Malu yang teramat-amat sangat sehingga menyendukkan mee ke pinggannya pun tertumpah-tumpah. Tanganku menggigil-gigil. Aku terus berlalu ke dapur dan mengemaskan bekas-bekas masakan tadi. Pinggan mangkuk dan kuali kubasuh bersih. Tiba-tiba suamiku datang dari belakang kemudian meletakkan pinggan dan mangkuk kosong ke dalam sinki.
“Abang dah habis makan?”
“Dah. Biar saya yang basuh, ya.” Dia menawarkan diri.
“Eh, abang! Tak perlu... Biar saya sahaja yang basuh.” Aku menolak pertolongannya.
“Okey, awak gosok dengan sabun saya tolong bilaskan. Baru adil. Boleh?”
Aku tersenyum. Permintaannya tidak dapat aku tolak bulat-bulat. Pagi-pagi lagi si suami sedah menolong isterinya di dapur. Aku jadi segan.
       Sehari suntuk suamiku membantu aku mengemas rumah. Sudah kutegah namun dia masih jua berdegil. Aku tidak mahu menyusahkan dia. Aku tahu badannya masih lagi penat. Tetapi apalah dayaku untuk melarangnya. Dari menyapu sawang hinggalah menyapu halaman rumah semuanya dilakukan bersama. Dia tidak mahu aku melakukan kerja membersihkan rumah seorang diri sedangkan dia duduk bersenang lenang meluruskan tubuh padahal bukannya aku tidak biasa dengan kerja-kerja sebegini. Sudah menjadi kebiasaanku sejak zaman bujangku lagi membersihkan rumah. Sangat pantang bagiku melihat barang-barang di dalam rumah berhabuk apatah lagi halaman rumah dipenuhi daun-daun gugur. Sedang dia menyapu daun-daun kering di atas tanah, kurenung wajah sisinya. Peluh menuruni dahi jatuh ke pangkal hidung terus mengalir ke hujung dagu sehinggalah ia menitis ke atas tanah. Wajah itu bersih. Sedap mata memandang walaupun basah dalam peluh. ‘Suamiku, andai sahajalah kamu tahu debar jantungku ini....’

***********************************************

“Elina, tolong saya serahkan semua fail-fail ni kepada Ustazah Mashitah. Segera ya.” Arahan diberi kepada pembantunya.
“Baik, Ustaz!”
       ‘Khalifah berjaya rupanya suami saya ni ya.’ Terngiang-ngiang suara si isteri dalam kotak fikirannya. Muhammad Syukri tersenyum sendiri. Wajah manis itu sering sahaja bertamu dalam ingatannya. Kemesraan dan kelembutan layanannya benar-benar memikat. Namun adakah ruang untuknya di hati si isteri. Hati wanita sukar dibaca. Ditafsir apatah lagi. ‘Mengapa sesulit dan sesukar ini hubungan kami, Ya Allah?...’
“Assalamualaikum!”
Lamunannya terhenti setakat di situ. “Waalaikumussalam wbt... Ya Allah, Hidayah wassyifa’! Apa yang awak buat di sini? Awak datang dengan siapa?”
“Abang, saya bawakan abang sedikit makanan. Saya tahu abang belum makan tengahari lagi.”
“Awak, abangkan boleh makan lepas balik ke rumah nanti.” Dia membangkang isterinya tanda protes kehadiran isterinya. Padahal bukannya apa, dia bimbang andai ada mata nakal memerhati isterinya di situ. Wajah manis itu akan memikat hati sesiapa sahaja.
“Abang, balik ke rumah ada tiga jam lagi tau. Saya risau perut abang kosong masuk angin pula nanti. Tak mengapalah, bukan susah pun. Saya memandu sendiri ke sini bukan saya sewa teksi atau naik bas pun. Abang makanlah, janganlah marah saya lagi. Hari ni hari pertama abang masuk kerja lepas cuti tiga bulan. Saya tahu abang banyak kerja tertangguh nak siapkan jadinya saya datanglah bawakan abang makanan. Saya yang masak tau. Sedap ni. Kita duduk di meja tetamu ni, ya. Abang duduk. Makan ni.”
       Muhammad Syukri tidak mampu bersuara lagi. Sejak tadi lagi memang perutnya sudah berkeroncong namun ditahan juga kerana kerjanya sebagai pengurus dan pemilik sekolah agama itu masih menimbun. Isterinya sangat memahami dirinya walaupun mereka tidak pernah tidur sekamar mahupun sekatil. ‘Dia benar-benar seorang isteri yang baik...’
“Tok! Tok! Tok!” Pintu diketuk dari luar.
Muhammad Syukri berhenti makan. Arahan masuk diberi. Pintu terbuka. Muncul seorang wanita muda bertudung litup dengan gaya lembut dan ayu.
“Maafkan saya mengganggu, ustaz. Saya nak tanya tentang buku audit bulan lepas. Seperti ada kesilapan. Jadi saya hendak bincangkannya dengan ustaz.” Ustazah Mashitah berbicara.
“Baiklah!”
Muhammad Syukri terus bangun dan menuju ke mejanya. Ustazah Mashitah menghampiri. Hidayah Wassyifa’ memandang nasi di dalam bekas yang terusik baru sedikit. ‘Adakah kerjanya lebih penting dari aku? Kenapa dia tak kenalkan aku pada orang lain apatah lagi para pekerjanya? Adakah dia tidak mahu mengakui aku ini sebagai isterinya?” Mereka berbincang dan berbual mesra. Dari jauh Hidayah Wassyifa’ memerhati tingkah laku mereka. Semakin lama semakin rancak perbualan mereka. Benar-benar nampak mesra. Dengan dirinya sendiri sebagai isteri pun suaminya tidak pernah melayaninya dengan sebegitu mesra sekali. Gurauan dan tawa riang. Hidayah Wassyifa’ berasa terasing. Seakan-akan dia tidak wujud di situ. Hidayah Wassyifa’ bangun dan terus berlalu dari situ. Sedikit pun suaminya tidak perasaan dengan pemergiannya. Dia terus memandu keluar dari perkarangan sekolah dan terus pulang ke rumah dengan hati yang tercalar.

************************************************

“Assalamualaikum...”
Aku terus menuju ke hadapan membukakan pintu untuk suamiku. Tangannya kucapai dan kukucup lembut. Hari sudah lewat petang.
“Abang naiklah ke atas dan mandi dahulu. Saya siapkan makan malam untuk abang.” Suamiku menghidu sedikit kehambaran dari layananku.
Dia memandangku berjalan menuju ke dapur. Sedikit pun aku tidak menoleh memandang ke wajahnya. Dengan langkah yang lemah suamiku memanjat anak tangga. Dia masuk ke dalam bilik dan membersihkan diri serta menunaikan solat fardhu asar. Apabila aku hendak menghidangkan makan malam dia sudah duduk menungguku di meja makan. Aku melayaninya seperti biasa. Wajahku sedikit sugul ketika itu. Aku menjamah sedikit nasi sahaja. Langsung tidak ada selera. Geramku kepadanya masih belum beransur kurang sejak kejadian hari itu apatah lagi hari ini aku bertembung dengan suamiku bersama guru wanita itu di sebuah pasaraya ketika hendak membeli barang-barang dapur. Manakan tidak bertambah kemarahan dalam hati apabila diminta suami untuk menemani namun ada sahaja alasannya menolak permintaanku. Sibuklah, ada kerja itu, kerja ini tapi akhirnya keluar berdua-duaan dengan guru wanita itu. Geram!
       Aku terus mengangkat pinggan dan pergi ke dapur. Bimbang semakin lama kududuk di hadapannya akan menambah sakit di dalam hatiku. Habis kubasuh semua pinggan mangkuk di sinki. Hatiku sakit benar. Sangat terluka. Kenapa dia tidak mahu bersikap jujur dan terbuka dengan diriku. Mengapa mesti menipu? Benci! Tiba-tiba tanganku disentuh. Aku memandang ke sebelah. Suamiku berdiri di situ. Cepat-cepat aku mengalihkan pandangan. Sejak bila pula dia ada di situ?
“Hidayah Wassyifa’! Awak kenapa ni? Dah beberapa hari ni awak bersikap dingin sahaja dengan abang. Awak ada masalah tolonglah beritahu abang. Kongsi dengan abang. Hari ni lagilah. Awak buat abang ni macam tak wujud sahaja di hadapan awak. Tolonglah beritahu abang masalah awak.” Muhammad Syukri meluahkan perasaannya.
“Mana ada apa-apa. Abang janganlah fikir yang bukan-bukan. Saya baik-baik sahaja. Abang tu saja yang salah sangka.” Aku menarik muka masam. Muncungku panjang sedepa.
“Hidayah Wassyifa’...........” Dia menyeru namaku. Air mataku menitis.
“Okey! Kalau abang nak tahu sangat saya beritahu abang. Abang dengar betul-betul apa saya nak terangkan pada abang. Abang tahu tak, saya sangat tak suka abang dekat dengan ustazah kat sekolah abang tu. Saya ni isteri abang tau. Abang tolonglah jaga hati dan perasaan saya. Saya dah buat semuanya untuk abang. Tentu abang masih ingat lagi tentang syarat yang saya kemukakan sebelum kita nikah dulu. Saya nak jadi seperti Saidatina Khadijah yang tidak pernah dimadukan oleh suaminya sepanjang hayatnya ada. Abang, beritahu saya apa hubungan abang dengan perempuan tu? Saya nampak abang bersama dia semasa saya sedang membeli barang dapur di pasaraya tadi. Jelaskan pada saya apa hubungan kamu berdua.” Aku sudah menangis teresak-esak.
Muhammad Syukri memandang wajahku. Sedikit pun pandangannya tidak dialihkan. Suamiku merenung wajahku seakan-akan tembus ke belakang. Tanganku menggigil. Perasaan takut mula bersarang dalam hati setelah meluahkan semua yang terpendam. Aku benar-benar berkecil hati dengan suamiku ini. Aku benci situasi ini. Patutlah dia membuangku pada awal usia perkahwinan kami. Rupa-rupanya hatinya yang telah dimiliki orang. Tuduhannya yang dijatuhkan padaku mula-mula dahulu ternyata berbalik padanya. Kenapa dia tidak berterus terang sejak awal lagi. Aku mula membuka langkah hendak pergi tetapi tanganku dipegang erat.
“Adakah ini membuktikan bahawa awak menyintai saya?” Suamiku mengajukan soalan yang tidak berapa rasional untuk diterima otakku ketika itu. Tentulah aku menyintainya. Dia suamiku. Takkan pula aku hendak menyintai lelaki lain sedangkan aku ini miliknya.
“Abang tanya soalan jenis apa ni?” Suaraku hilang ditelan esak tangis yang tidak dapat dibendung. Dia terus merenung jauh ke dalam mataku. Emosiku tidak mampu dikawal lagi.
“Kenapa baru sekarang abang tanyakan soal hati ni? Dulu abang tak pernah ambil kisah tentang perasaan saya. Abang nafikan hubungan kita sebagai suami isteri. Abang buang hak saya sebagai isteri yang diri ni hanya mahu menumpang kasih dan berkongsi curahan perasaan. Abang tak pernah pun cuba memahami saya. Abang selalu mengelak dari memandang mahupun bersama saya. Kalau saya tak cintakan abang saya takkan menunggu abang sehingga ke hari ini. Abang buang saya pada hari pertama saya bergelar isteri. Kadang-kadang saya tertanya dalam hati saya sendiri, sudahkah saya memiliki seorang suami. Sudahkah saya menjadi seorang isteri.”
       Muhammad Syukri menarik tanganku kuat sehingga aku jatuh ke dalam pelukannya. Dia memelukku erat. Kupinjam bahunya menyembunyikan air mata yang semakin laju mengalir.“ Jujur, sejak kali pertama abang mendengar cerita tentang dirimu abang sudah tertarik. Apatah lagi apabila melihat ke dalam wajahmu. Mana mungkin abang menyintai wanita lain sedangkan abang sudah memiliki bidadari syurga di sisi. Maafkan abang atas semua salah faham abang padamu sejak mula lagi. Maafkan abang. Maafkan abang, sayang. Abang menyintaimu....”

       Itulah happy ending yang selalu disebut-sebut orang akhirnya ia menjadi milikku. Kisah aku dan dia. Cemburu itu tanda kasih dan cinta namun apabila ia berlebih-lebihan maka akan meruntuhkan sebuah kedamaian walau sekukuh manapun ikatan cinta kepada suami mahupun isteri. Apa yang paling penting adalah komunikasi antara pasangan. Tiada komunikasi yang baik maka akan berlakulah salah faham. Walau setinggi manapun termometer menunjukkan suhu kemarahan cuba bersikap rasional dan bertenang. Duduk dan berbincang dengan pasangan tentang sesuatu masalah untuk menyelesaikannya bukan untuk menambahkan bebannya. Tetapi ingatlah, sedangkan lidah lagikan tergigit apatah lagi hubungan suami isteri. Perjalanan sebuah bahtera pasti akan dilanda badai. Tanpa ujian ia tidak akan memaniskan sesebuah perhubungan. Sekian dariku, Hidayah Wassyifa’. Kerana cintaNya aku di sini....

2 comments:

  1. http://sisisusu260.blogspot.com/2017/11/kisah-satu-keluarga-miliki-kelamin.html
    http://sisisusu260.blogspot.com/2017/11/tanda-pasangan-anda-sedang-selingkuh.html
    http://sisisusu260.blogspot.com/2017/11/tanda-pasangan-anda-sedang-selingkuh.html
    http://sisisusu260.blogspot.com/2017/11/ketika-berhubungan-seks-pria-tentu.html
    http://sisisusu260.blogspot.com/2017/11/unik-cara-baru-bersihkan-komedo-dengan.html

    Joint US
    - BBM : D8809807 / 2B8EC0D2
    - WA : +62813-2938-6562
    - Line : Domino1945. com
    Salam kemenangan DOMINOVIP .NET

    ReplyDelete
  2. http://pokerpelangi1131.blogspot.com/2017/11/yukkk-segera-bergabung.html
    http://hokipelangi.blogspot.com/2017/11/pagi-harii-membagi-rezeki.html

    ReplyDelete