Tuesday, April 24, 2012

The lady In Rain (Bhg II)




“Ieja taknak kahwin! Ieja taknak! Apatah lagi kahwin dengan pilihan mama dan papa. Ieja taknak! Mama dan papa ingat Ieja ni anak patung ke? Tak ada perasaan? Tak ada hidup sendiri? Ha?? Ieja ada hati dan cara Ieja sendiri. Janganlah paksa-paksa Ieja kahwin! Mama dan papa tak perlu aturkan hidup Ieja. Ieja bukan budak kecil yang boleh mama dan papa nak atur-atur. Dari kecil sampailah Ieja dan berumur 25 tahun pun mama dan papa tak puas-puas nak tentukan apa yang perlu Ieja pilih, apa yang perlu Ieja buat. Ieja benci dengan semua ni. Ieja benci dengan papa mama!”

“Ieja, mama dan papa buat semua ni untuk Ieja.” Puan Sri Hashimah memujuk.

“Ieja meluat dengan hidup ni. Ieja tak pernah bebas nak buat apa yang Ieja suka. Mama dan papa tak pernah ambil tahu apa yang Ieja nak dan apa yang Ieja harapkan. Pernah tak walau sekalipun mama dan papa fikir tentang kehendak hati anak mama papa seorang ni? Semua yang papa dan mama buat untuk kepentingan mama dan papa. Tak pernah pun fikir tentang perasaan Ieja. Mama dan papa nak jual Ieja kat keluarga tu kan? Nak besarkan lagi empayar syarikat papa yang dah besar tu. Tamak! Itulah sikap papa. Mama? Sebagai ibu mama pernah tak ajar Ieja macamana jadi seorang anak yang pernah punya ibu? Pernah tak?! Apa yang kalian tahu hanyalah bagaimana nak atur kehidupan orang lain. Ieja tak nafikan Ieja memang senang hidup sebagai anak Tan Sri Luqman dan Puan Sri Hashimah. Wah, hebat! Anak orang kaya! Tapi Ieja orang yang paling miskin sebenarnya. Miskin budi dan kasih sayang. Sebab apa? Sebab Ieja ada mama papa yang cuma tahu nak buat duit sahaja. Tak cukup-cukup lagi ke duit yang dah berbukit-bukit tu, ha?!!”

“Ieja, kami buat semua ni untuk kepentingan Ieja. Cuba Ieja sesekali fikir tentang mama dan papa juga.” Masih lagi Puan Sri Hashimah memujuk. Tan Sri Luqman hanya duduk menunggu keputusan akhir pertengkaran itu.

“Sesekali??? Dah tak terkira dengan jari berapa kali Ieja fikir tentang mama dan papa sejak dari kecil sehinggalah ke hari ini sehingga Ieja dah tak mampu nak fikir tentang kepentingan diri sendiri pun. Baiklah, fikir tentang mama dan papa, kan? Okey, bila nak jual anak mama ni? Bila?!!!”

“Ieja, mulut kamu jaga!” Tan Sri Luqman mula bersuara.

“Jaga? Dah lama Ieja jaga. Penat dah. Hari ni Ieja serahkan seluruh hidup Ieja kepada papa dan mama. Suka hati papa mamalah nak jadikan Ieja pelacur pun Ieja ikut sahaja. Silakan....”

                Khadijah bangun dan terus berlari naik ke biliknya. Deraian air mata tiada siapa yang tahu. Hanya hatinya yang pedih mengerti. Sedang Tan Sri Luqman dan Puan Sri Hashimah saling tersenyum memandang satu sama lain. Puas hati kerana kedegilan anak itu kerap kalah dengan kuasa veto mereka sebagai orang tua. Pada siapa hati yang luluh itu hendak mengadu sedangkan dirinya tidak pernah diajar bagaimana hendak mengenal tuhan. Sekadar memujuk hati sendiri.

************************************


“Aku terima nikahnya Khadijah binti Luqman dengan mas kahwinnya senaskhah al-quran dan wang RM 1000 Tunai.”

“Sah!” Suara para saksi jelas kedengaran.

“Alhamdulillah.....” Para hadirin mengucap syukur.

                Dari jauh Muhammad memandang wajah Khadijah yang basah dalam hujan air mata. Sejak dari mula-mula melihat Khadijah keluar dari kamarnya air matanya sudah bertamu di pipi. Mekapnya hilang dalam lengas kebasahan itu. Tetapi lebih indah wajah itu dalam kesemulajadiannya. Muhammad teragak-agak ingin menyarung cincin ke jari manis itu. Sedikit pun Khadijah tidak sudi memandang ke wajahnya. Puan Sri Hashimah yang membantu mengangkat tangan itu dan meluruskan jari runcing Khadijah. Muhammad berasa serba salah namun dipaksa juga menjerluskan bulatan cincin itu ke jarinya sambil dalam hatinya berdoa, semoga Allah yakinkan hatinya bahawa pilihannya tidak sedikitpun khilaf. Hati Khadijah sekeras batu. Dia lekas bangun dan naik mendaki tangga masuk ke kamarnya. Hati Muhammad bagai terhiris halus. ‘Allah, kuatkan aku.’ Muhammad berpaling memandang ke arah ibu dan kakaknya. Puan Arbakenah dan Kak Siratul Jannah menghampirinya. Puan Arbakenah mengusap lembut belakang tubuh Muhammad semoga dengan itu hati Muhammad akan sedikit tenang. Encik Fadzil datang dari belakang terus menarik lembut tangan anak lelakinya. Muhammad dituntun ke luar rumah.

“Muhammad, ayah minta maaf kalau permintaan ayah pada Muhammad keterlaluan. Orang minta tolong pada kita, Muhammad.”

“Ayah, Muhammad faham... Muhammad tak salahkan ayah. Tak salahkan sesiapa pun. Ini memang pilihan Muhammad. Dan Muhammad faham, papa dan mama Khadijah sahabat baik papa. Mereka mengharapkan pertolongan Muhammad untuk membimbing anak mereka. Muhammad tak menyesali apa pilihan yang Muhammad dah buat. Dan Muhammad akan cuba menjadi suami dan imam yang terbaik buat isteri Muhammad. Muhammad cuba ya, ayah.”

“Muhammad, maafkan ayah.”

“Ayah, tolong jangan cakap macam tu. Muhammad....”

                Tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang. Kata-katanya terbantut. Muhammad berpaling. Dua wajah insan baru dalam kehidupannya.

“Muhammad.....” Tan Sri Luqman memanggil lembut.

“Iya, papa.”

“Muhammad, papa dan mama minta maaf atas sikap Khadijah pada kamu. Harapan kami besar pada kamu semoga kamu mampu mengubah dirinya setelah kegagalan kami mendidiknya. Kami lakukan ini semua hanya sebagai satu cara untuk menebus kembali kesilapan kami. Kami tak seharusnya melayan Khadijah seakan-akan barang hak milik dan bukannya sebagai anak. Kami sangat menyesali kesalahan kami. Dan inilah satu-satunya cara supaya Khadijah terselamat dalam kemudian kapalnya agar dia tidak terus hanyut dengan dunianya sendiri.” Suara Tan Sri Luqman lemah.

“Papa, Muhammad faham. Apa yang Muhammad minta hanya satu. Tolonglah layan Khadijah sebagaimana seorang anak memerlukan perhatian dan kasih kedua ibu bapanya. Dia merindukan keprihatinan dan sikap belas kasihan serta kasih sayang papa mama. InsyaAllah, kita bersama-sama mengubahnya, ya.”

“Ya, Muhammad. Papa akan cuba.”

******************************************

“Khadijah, turun jom kita makan. Suami kamu pun nak makan tu. Kamu layanlah dia.” Puan Sri Hashimah memanggil dari sebalik pintu.

“Siapa suami Ieja? Mana? Bila pulak Ieja rela kahwin dengan dia?! Sendiri nak makan mulut sendiri perut sendiri yang kenyang. Apa kaitan dengan orang pulak?! Dahlah, mama jelah layan dia. Mama suka sangat dengan dia, kan? Pergi layanlah! Kenapa nak suruh-suruh orang pulak?!” Khadijah membentak.

Puan Sri Hashimah tertunduk mendengar tengkingan anak itu. Kebetulan Muhammad sedang berdiri di hujung tangga. Bentakan Khadijah menyentap pendengarannya. Hatinya pilu melihat wajah si ibu bermuram durja. Muhammad menyentuh lalu menggenggam tangan ibu mertuanya.

“Mama turun dulu, ya. Biar saya yang pujuk Khadijah. Nanti saya turun kita makan sekali, ya.” Pandai Muhammad memujuk. Puan Sri Hashimah tersenyum. Dia terus turun ke bawah.

Muhammad menolak daun pintu. Dari muka pintu Muhammad taajub melihat suasana bilik pengantin itu. Indah perhiasannya namun dia tidak dapat menjejakkan kakinya ke situ pada malam pertama bergelar suami kerana tarafnya hanya sebagai suami atas kertas bagi Khadijah, zaujahnya. Muhammad mengatur langkah kakinya perlahan menghampiri Khadijah yang sedang duduk di hujung katil memeluk bantal.

“Assalamualaikum.” Suara lelakinya menggentarkan hati Khadijah.

“Awak buat apa kat sini? Awak keluar! Keluar!” Terbang bantal hinggap ke wajah Muhammad. Sedikit pun dia tidak mengelak.

“Dah puas? Ke awak nak campak lagi bantal ni kat muka saya?” Muhammad mengangkat bantal itu dari lantai dan menyuakan kepada Khadijah.

“Awak jangan nak cari pasal dengan saya!”

“Saya tak cari pasal dengan awak. Saya cuma nak bagi awak lepas marah awak pada saya.”

“Saya tak marah awak tapi saya marah mama dan papa saya. Sebab mereka dah jual anak mereka.”

Muhammad meletakkan bantal tersebut di atas katil. “Baiklah, awak ambil bantal ni dan pukul saya. Awak anggap saya ni macam papa dan mama awak. Pukullah saya sekuat hati awak. Saya sudi menerima beban kesalahan tu asalkan saya tak biarkan isteri saya marah dan menengking kedua ibu bapanya sehingga melukakan hati mereka.”

“Awak ni gila ke?”

“Anggap sahaja begitu.”

“Awak ni memang nak cari pasal dengan saya, kan?”

“Mungkin.”

“Awak ni memang menyakitkan hati!!”

                Khadijah mencapai bantal tersebut dan terus menghayun ke wajah dan tubuh Muhammad. Muhammad hanya berdiri tegak dan menerima pukulan dari sang isteri. Hatinya hanya perlu sabar kerana Khadijah punya hati sekeras batu dan batu itu perlu dilenturkan dengan tenangnya aliran air. Khadijah melepaskan geram dan sakit yang dipendam dengan pukulan itu. Muhammad berasa sakit dan lemas tetapi terus bersabar. Air mata Khadijah sudah deras mengalir. Tiba-tiba dia berhenti dan terjelupuk jatuh.

“Kenapa mesti saya yang terima nasib seperti ini? Adakah saya tidak layak hidup seperti wanita lain? Adakah saya tidak layak menerima cinta dalam hidup ini? Adakah saya seorang wanita yang tidak berhak mengahwini lelaki yang saya cintai... Kenapa semua ini berlaku pada saya... Kenapa......”

                Air matanya berderai. Kakinya lemah untuk berdiri. Muhammad melutut di hadapan Khadijah. Hatinya turut sakit mendengar bicara itu. Perlahan tanpa dikawal tangannya merangkul tubuh Khadijah. Meminjamkan bahunya buat wanita itu meluahkan seluruh rasa kesedihannya. Semakin lama suara tangisan itu semakin hilang. Muhammad melihat ke wajah isterinya. Mata itu tertutup. Kelihatan bengkak di bawah matanya. Kemungkinan terlalu banyak menangis dan kepenatan. Muhammad mengangkat tubuh itu ke atas katil. Rambut Khadijah yang menutupi wajahnya dirapikan dengan jari lelakinya. ‘Subhanallah, bidadari ini Kau hadiahkan buatku mana mungkin aku tidak mensyukurinya, Ya Allah. Akan tetapi Kau bantulah aku dalam mengubati kesedihannya. Menjadi penawar kala sakitnya dan menjadi penguat kala lemahnya. Aku mahu menjadi suami yang layak memiliki bidadari kurniaanMu ini, Ya Allah. Dengan itu, Kau kuatkanlah iman dan hatiku agar teguhku berpegang pada taliMu sehingga aku berjaya menuntun bidadari ini menghampiriMu.’

******************************

“Mama dan papa makan dulu ya. Saya makan dengan Khadijah sahaja nanti.”

“Eh, segan pulak mama dan papa nak makan ni, Muhammad.” Tan Sri Luqman menolak pinggannya yang telah berisi mee goreng ke tengah meja.

“Tak apalah, papa. Muhammad tunggu Ieja. Kasihan dia tak ada siapa nak teman nanti dia taknak makan pula. Tak apa, nanti saya bawakan makanan ke bilik. Saya makan dengan dia dalam bilik sahaja. Mama dengan papa makan dulu, ya.” Muhammad menyendukkan sambal bilis ke pinggan mama dan papanya.

“Iyalah, Muhammad. Tolong tengok-tengokkan anak kami tu. Mama dah tak tahu macam mana nak pujuk dia. Marah benar dia dengan kami. Mama tahu dia salah faham dengan kami. Kami bukan nak jual dia untuk kepentingan perniagaan. Tetapi kami mahu yang terbaik buat dia. Kami taknak dia semakin hanyut dengan dunia dia sendiri.”

“Iya, ma. Muhammad naik dulu ya. Tak berani tinggalkan Khadijah tengah dalam keadaan macam tu. Nanti terjaga pulak.”

                Tan Sri Luqman dan Puan Sri Hashimah mengangguk. Sekadar menghantar langkah Muhammad dengan pandangan. Muhammad membuka pintu perlahan. Bimbang Khadijah terjaga dari tidur. Pasti semalaman wanita itu tidak dapat melelapkan mata dan demi menghormati Khadijah Muhammad meminta izin kedua mertuanya untuk tidur di bilik tetamu dan begitu juga pada malam-malam yang seterusnya sehingga hati wanita itu sedia untuk menerimanya sebagai suami.

*******************************************

Luas mulut Khadijah menguap. Dia menggeliat perlahan. Khadijah bangun dan menyandarkan tubuhnya di kepala katil.

“Dah bangun?”

“Ha? Eh, apa awak buat dalam bilik saya? Awak siapa? Eh, saya masih bermimpi ke?” Khadijah menampar-nampar pipinya.

“Sakit pipi tu. Jangan buat macam tu. Ni, saya bawakan sarapan untuk awak.”

“Sarapan?” Khadijah mengulang tayang kembali kejadian sebelumnya dalam kotak fikirannya. ‘Ya Allah, aku tertidur dalam pelukan dia? Jadi, betullah aku dah kahwin. Bukan mimpi? Bukan! Aku dah nikah kelmarin. Ha, apa aku dah buat ni? Kenapa aku boleh tertidur dalam pelukan dia?!’ Wajah Khadijah memerah. Lirikan mata Muhammad memandang ke wajahnya seakan-akan mentertawakannya. ‘Ahhhhhh....malunya!’

“Awak, makan dulu ya. Saya suap nak?” Muhammad sengaja mahu memaksa Khadijah makan dengan cara tersebut.

“Eh, tak payah. Saya bukan kudung nak kena suap-suap segala. Bak sini!”

                Muhammad tersenyum. Khadijah makan sambil matanya mencuri-curi pandang ke arah Muhammad. Aksi Khadijah kelihatan lucu pada mata Muhammad. Muhammad tertawa kecil.

“Kenapa ketawa-ketawa? Tak pernah tengok orang makan?”

“Taklah, pernah je cuma tak pernah nampak orang makan terus tanpa basuh muka lepas bangun dari tidur.”

‘Cis, bedebah! Dia gelakkan aku. Yang aku pun satu, macamana boleh terlupa nak basuh muka pulak ni. Aduh, jatuh saham!’ Khadijah seakan-akan malu.

“Biarlah, saya basuh muka ke tak basuh muka ke ada saya kisah? Saya tak susahkan orang pun jadi awak tak payah nak sibuk-sibuk ya. Dah, awak buat apa lagi kat sini? Tak reti-reti lagi nak keluar?” Khadijah mempertahankan keegoannya.

“Saya nak makan dengan awak.”

“Saya tak jemputlah. Dah-dah! Pergi keluar sana!”

“Taknak, saya kata saya nak makan dengan awak.”

“Awak ni memang menyakitkan hati, kan? Nah, ambik ni! Makanlah puas-puas. Saya nak mandi.”

                Khadijah bangun mencapai tuala dan terus menuju ke bilik mandi. Muhammad menggelengkan kepala. Jelas, Khadijah memang berkepala batu. Muhammad meletakkan pinggan di dalam dulang. Dia meninggalkannya di atas meja di sisi katil. Muhammad keluar segera dari bilik. Kedengaran pintu bilik ditutup. Khadijah menjengahkan kepala keluar dari pintu bilik mandi. Melihat-lihat sekiranya Muhammad masih ada di dalam biliknya atau tidak. Khadijah tersenyum sendiri. Niatnya untuk mandi disambung sambil menyanyi kecil. Riang.

***************************

“Assalamualaikum, ayah.”

“Waalaikumussalam.”

“Ayah sihat? Muhammad rindukan ayah.”

“Ayah sihat saja, Muhammad. Kami semua di sini sihat. Muhammad macamana duduk sana? Baik-baik saja, kan?”

“Alhamdulillah. Macam biasa saja, ayah. Ayah, Muhammad telefon ni sebenarnya Muhammad nak sampaikan berita baik. Muhammad harap ayah dan ibu izinkan.”

“kenapa ni, Muhammad? Apa khabar baiknya?” Encik Fadzil tertanya-tanya.

“Ayah, Muhammad dapat tawaran kerja di Universiti Malaya.”

“Alhamdulillah. Tahniah, Muhammad. Tapi kerja apa tu?”

“Pensyarah di Akademi Pengajian Islam.”

“Wah, hebat anak ayah! Ayah dan ibu izinkan saja Muhammad asalkan rezki yang baik dan halal. Bakal jadi pensyarahlah anak ayah ni. Tahniah! Ni, ibu nak bercakap dengan kamu.”

“Assalamualaikum, Muhammad.”

“Waalaikumussalam, ibu. Ibu, Muhammad rindukan ibu. Ibu rindukan Muhammad?”

“Mestilah ibu rindu dengan Muhammad. Tiap-tiap malam ibu tak boleh tidur asyik fikir apalah yang Muhammad makan, Muhammad pakai. Macamana Muhammad jaga diri kat rumah mertua Muhammad tu. Sampai termimpi-mimpi pun ia jugak tau.”

“Apalah ibu ni. Jagalah kesihatan ibu tu. Ni yang buat Muhammad tak boleh tidur jugak ni. Ibu tak sayang Muhammad, ya?”

“Muhammad janganlah cakap macam tu.”

“Anak ibu ni baik-baik je kat sini. Ibu tak payahlah susah hati sangat. Kesihatan ibu terjejas siapa yang sedih? Siapa yang susah? Ha, baik ibu dengar cakap Muhammad. Muhammad kan dah ada isteri. Dia jaga Muhammad dengan baiklah, ibu. Dia isteri yang baik dan bertanggungjawab. Nampak saja macam degil tapi hatinya lembut sebenarnya. Muhammad kenal isteri Muhammad walaupun kami baru seminggu kahwin.”

                Dari sebalik pintu Khadijah terdengar perbualan Muhammad. Hatinya tersentuh. ‘Apa yang digambarkan oleh Muhammad jauh sekali dari hakikat sebenarnya. Aku tidak pernah menganggapnya sebagai seorang suami apatah lagi melayannya dengan baik sebagai tanggungjawab seorang isteri. Tidak pernah. Kubiarkan dia tidur sendirian di bilik tetamu. Apabila dia cuba untuk berbual denganku aku pula berpaling darinya. Apabila dia menyediakan makan pakaiku sedikitpun aku tidak pernah menghargainya. Padahal akukah si isteri atau dia?’ Khadijah melayan perasaan sendiri.

“Awak mengintip saya, ya?” Muhammad menegur.

Khadijah terkejut. Tuala kecil di tangannya terjatuh. “Mana ada!”

“Baik. Tapi apa awak buat menyorok belakang pintu ni?” Muhammad sengaja memancing.

“Eh, ha, hurm... saya punya cincin jatuh tadi. Ha, jatuh. Jatuh kat belakang pintu ni.”

“Oh, jatuh ya... Dah jumpa ke belum?”

“Dah. Eh, belum.”

“Belum? Tu yang kat jari awak tu cincin siapa?”

“Ni cincin sayalah. Maksud saya, maksud saya.... cincin nikah... kita...”

“Cincin nikah siapa?”

“Hurm... Tak ada sesiapa!”

“Awak ni, jangan tipu sayalah. Macamlah saya tak tahu awak tak pernah pun pakai cincin tu sejak awak tanggalkan selepas pernikahan kita tempoh hari. Tak pernah sekali pun saya nampak cincin tu melekat kat jari awak. Tak apalah, saya turun dulu.” Muhammad pergi.

Cepat-cepat Khadijah memegang lengan Muhammad. Muhammad berpaling memandang ke wajah Khadijah. Khadijah meneguk air liur. Pandangan Muhammad seakan-akan tembus. Sedang dalam hati Muhammad berdebar sekencang taufan.

“Kenapa awak tak beritahu saja perkara sebenar pada keluarga awak? Beritahu yang sebenarnya saya ni bukan isteri yang baik buat awak. Tak pernah juga menganggap dan melayan awak sebagai seorang suami. Tak pernah jalankan tanggungjawab saya sebagai seorang isteri. Kenapa tak beritahu semua tu? Kenapa mesti menipu?”

“Awak rasa saya menipu ke, Khadijah?” Mata Muhammad tajam merenung ke dalam mata Khadijah. Khadijah jadi gugup.

“Ya. Awak tipu. Semua tu tak benar.”

“Awak salah, Khadijah. Saya tak pernah menipu. Saya beritahu keluarga saya perkara yang sebenar. Kerana apa yang sebenarnya saya tahu hati awak bersih. Hati awak tak sedegil yang diperkatakan banyak mulut. Bagi saya, awaklah wanita yang paling baik dan suci. Awak seindah-indah perhiasan yang hadir dalam hidup saya. Wanita yang berdiri di hadapan saya tidak menjadi istimewa hanya dengan perbuatannya. Cukuplah sekadar menjadi Qurratul Aini bagi saya. Isteri yang menjadi penyejuk mata suaminya.”

                Tangan Khadijah jatuh ke sisi. Lemah pegangannya pada lengan lelaki itu. Khadijah terus berlari masuk ke bilik dan mengunci pintu. Tubuhnya disandarkan ke dada pintu. Airmatanya deras mengalir. Hatinya sedih mendengar kalam suami. Penipuan paling besar yang menyentuh jiwanya. Penipuan jenis apakah ini?


Akan bersambung.... InsyaAllah....