Saturday, November 16, 2013

...Kerana Kesetiaanmu...



Kompang dipalu, selawat dipanjatkan. Indah rentak alunannya. Wajah ibubapanya riang menyambut kepulangan anak tersayang setelah hampir 5 tahun bermusafir di negara orang. Kejap pelukan Tuan Ikmal. Puan Asiah menitiskan air mata. Mukhriz mengukir senyuman menampakkan kedua lesung pipit di pipinya. Wajah kedua orang tuanya direnung lama melepaskan seluruh rasa rindu yang sekian lama bersarang di dalam hati. Puan Asiah masih lagi menitiskan air mata. Mukhriz melangkah merapati ibunya. Jarinya menyeka air mata si ibu.

“Ibu, janganlah menangis. Air mata ibu terlalu berharga. Jangan menangis lagi, ya.”

“Baiklah,nak. Dah! Jom masuk rumah! Kita makan dulu, ya. Lepas tu kamu berehatlah.”


            Mukhriz tersenyum lalu menarik kedua ibubapanya masuk ke rumah. Semua tetamu gembira dijamu dengan pelbagai jenis hidangan. Sedikit majlis kesyukuran dilangsungkan demi menyambut kepulangan Mukhriz. Para hadirin terjenguk-jenguk dari celah tingkap ingin melihat susuk tubuh pemilik nama Mukhriz Imani.

“Cuba Mukhriz tengok semua jiran tetangga kita. Semuanya terintai-intai. Lucu juga ayah lihat telatah mereka.” Tuan Ikmal gelak besar.

“Abang ni! Abang juga yang jemput mereka ada pula ditertawakan. Biasalah, anak kita ni dah besar panjang. Bertambah kacak pula tu. Bangga saya jadi ibu kepada anak kita ni.”

Mukhriz tersenyum, “Ayah, ibu. Mukhriz tengok telatah ayah dan ibu ni kelakarlah. Memang tak pernah nak berubah, kan?  Dari dulu sampai sekarang sama saja.”

“Entah ayah kamu ni!” Puan Asiah geram.

“Eh, ayah pula. Ibu kamu ni ha yang selalu buat ayah sakit jiwa.” Tuan Ikmal membalas.

“Eh, bergaduh pula. Kang Mukhriz ambilkan pedang seorang satu ha, berperanglah puas-puas.”


            Mereka semua tergelak besar. Makanan terhidang dijamu sambil usik mengusik berlangsung secara live. Mukhriz makan dengan berselera. Sudah lama dia tidak menjamu makanan kampung seperti itu. Di tempatnya belajar hanya roti atau gandum menjadi santapan harian. Ia adalah makanan ruji di sana. Nasi. Hanya beberapa kali sahaja menjadi menu utama kerana harga beras yang sangat tinggi di Arab Saudi.

“Tengok, kan dah kelaparan. Kasihan anak ibu. Itulah, ibu nak jemput di lapangan terbang tidak mahu. Kalau tak, bolehlah kita keluar makan bertiga di mana-mana restoran. Nak menunggu sampai di rumah ni alahai seksanya.”

“Ibu, benda pertama sekali yang Mukhriz nak jamah bila balik buat membasahi bibir Mukhriz adalah masakan ibu. Masakan ibu adalah makanan paling berkat dan nikmat yang setiap anak miliki dan perlu disyukuri. Lagipun ibu, kalau ibu dan ayah sambut Mukhriz di sana, tak adalah majlis kesyukuran yang meriah seperti ini. Alhamdulillah…. Mukhriz sangat gembira dapat menjejakkan kaki ke tanah air sendiri. Walaupun terpaksa berlapar sementara menunggu penerbangan ke Terengganu ini pula, Mukhriz sanggup asalkan ibu dan ayah setia menanti Mukhriz.”


“Bagus, anak ayah!” Tuan Ikmal menepuk lembut bahu Mukhriz.

“Anak abang saja ke?” Puan Asiah muncung.

“Ayah, ibu, kalau tak ada ayah ibu tak wujudlah Mukhriz ni.” Mukhriz berloya buruk. Mereka bertiga gelak terbahak-bahak. Terpancar wajah riang Tuan Ikmal dan Puan Asiah.

“Sayang ibu........” Puan Asiah memandang tepat anak mata Mukhriz.

“Apa dia, ibu sayang?”

“Mukhriz dah jumpa calon isteri? Umur Mukhriz pun bukan muda lagi. Dah 27 tahun pun. Terlebih layak sangat nak berumahtangga. Kalau Mukhriz tak ada calon lagi, ibu boleh carikan. Ibu tak sabar nak timang cucu.”

“Ibu, Mukriz baru je balik tak sempat lagi nak.......”


            Kata-kata Mukhriz mati di situ. Matanya mati ke satu wajah. Hatinya taajub. Keindahan luar biasa. Keindahan yang tidak pernah dilihat di mana-mana meskipun pandangannya luas meneroka ke seluruh pelusuk dunia. Mungkinkah kerana cinta ia menjadi luar biasa?

“Ibu Asiah,Ayah Ikmal, maaf mengganggu. Solihah ada buat sedikit kuih karipap dan bahulu. Segan pula hanya kuih-kuih ini sahaja yang Solihah mampu beri. Solihah letakkan di sini ya.”  Sambil mengukir senyuman, Solihah Khadijah meletakkan bekas kuih tersebut di atas meja. Betul-betul bersebelahan dengan pinggan Mukhriz sedang mata Mukhriz masih tidak lekang dari memandang wajah manis itu.

“Tak apalah, Solihah. Besar benar dah pemberian kamu ni. Terima kasih sangat. Abang Mukhriz kamu ni ha tadi ada juga sebut pasal kuih karipap dan bahulu. Tak sempat Ibu Asiah nak buat sebab tak menang tangan dengan hidangan dan persediaan majlis yang lain. Kebetulan pula Solihah bawakan kuih-kuih ni. Tidaklah Abang Mukhriz kamu ni kempunan.”


            Solihah Khadijah tersenyum. Matanya menjeling sebentar ke arah Mukhriz. Jantungnya berdegup kencang kerana mata jejaka itu tajam memerhati ke wajahnya. Cepat-cepat Solihah meminta diri untuk pulang. Puan Asiah dan Tuan Ikmal tergelak melihat Mukhriz.

“Kan betul apa ibu kamu cakap, Mukhriz. Dah terlebih layak dah nak kahwin. Tengok tu! Pandang anak dara orang macam nak telan je.”

“Eh, ayah perasan ke?” Mukhriz tersengih-sengih.

“Siapa yang tak perasan kalau dah pandang anak dara orang macam tu. Kamu ni Mukhriz, kalau nak tu cakap saja. Nanti ayah dan ibu pergi pinangkan.” Tuan Ikmal tergelak.

“Ayah, ibu, siapa gerangannya tu?”

“Amboi......” Puan Asiah mencebik.

“Ibu, Mukhriz tanya betul-betullah ni. Nampak macam main-main ke?”

“Hahahaha.... Itu Solihah Khadijah. Kamu ni dah lupa ke, Mukhriz?” Tuan Ikmal mengerutkan dahi.

“Tak ingatlah, ayah.” Mukhriz menggelengkan kepala.

“Kamu ni memang anak bertuah. Bukan main lagi masa kecil-kecil dulu sikit-sikit Solihah Khadijah, sikit-sikit Solihah Khadijah. Kalau tak jumpa Solihah satu hari memang mencukalah muka kamu tu.” Puan Asiah tersengih.

“Iye ke, bu? Kenapa Mukhriz tak ingat, ya?”

“Iyalah, masa tu kamu baru tujuh tahun. Solihah pula baru empat tahun. Mana nak ingatnya. Masuk sahaja Solihah umur tujuh tahun ayahnya hantar ke sekolah Tahfiz kanak-kanak di Kuala Terengganu. Semenjak itulah kamu terpisah. Solihah pula sekarang baru sahaja tamat pengajiannya di universiti. Masing-masing sibuk dengan perjuangan sendiri. Mana nak ingatnya. Dah 20 tahun berlalu.” Panjang lebar Tuan Ikmal menerangkan.

“Oh.... Mukhriz betul-betul lupa. Sekejap, Solihah ni anak Ustazah Habibah duduk di simpang jalan tu, kan?”

“Ha, ingat pun lagi kamu. Iyalah, betullah tu. Guru kamu mengaji dulu. Bukan main susah ayah kamu ajak mengaji dengan ayah sahaja di rumah tapi sibuk nak belajar dengan Ustazah Habibah. Rupa-rupanya ada udang di sebalik mee hailam.” Puan Asiah mengimbau kenangan.

“Hehe... Itu bukan disengajakan. Dan tiba-tiba, Mukhriz macam mengidam mee hailam ibu. Ibu kena buatkan Mukhriz mee hailam untuk minum petang nanti tau.”

“Menyesal ibu sebut. Anak ibu ni memang bertuah.”

“Anak ibu dan ayah juga.... Mestilah bertuah....” Cepat Mukhriz bangun menuju ke dapur.

Tuan Ikmal segera bersuara. “Kan abang dah cakap abang nak bermanja-manja dengan kamu nanti. Kalau suruh Solihah yang masak agak-agaknya Mukhriz nak makan tak, ya?”


Sengaja Tuan Ikmal menguatkan suara. Sedang Mukhriz di dapur tersengih-sengih sendiri sambil membasuh pinggan.


************************************************

“Maafkan kami, Puan Asiah. Maafkan kami. Allah..... Saya betul-betul minta maaf. Kami tiada niat langsung secara sengaja ingin menolak hasrat pihak Tuan Ikmal dan Puan Asiah. Serasa tidak layak bagi kami hanya orang biasa-biasa ini menolak pinangan anak Tuan dan Puan. Astaghfirullahalazim.... Maafkan kami.”

Lekas Puan Asiah mengenggam tangan Ustazah Habibah. “Tidak mengapa, ustazah. Kami datang pun secara tiba-tiba malah tidak memaklumkan terlebih awal pun. Sepatutnya pihak kami yang meminta maaf kerana menyebabkan Ustazah Habibah dan Ustaz Hafiz berasa serba salah begini. Seharusnya kami perlu lebih awal menduga. Manakan tidak, orang secantik dan sebijak Solihah Khadijah pasti menjadi rebutan. Ditambah pula dengan akhlaknya yang indah.”

“Puan, Tuan, maafkan kami. Kami telah terlebih dahulu menerima pinangan dari sahabat sekuliah Solihah. Ya Allah, bezanya hanya sehari dua sahaja. Maafkan kami.” Berkerut wajah Ustaz Hafiz.

“Tidak mengapa, Ustaz. Berhentilah dari meminta maaf. Dalam soal begini tidak ada sesiapa pun yang bersalah. Biasalah, soal kehidupan ini kita cuma manusia biasa. Kita merancang Allah juga merancang tetapi Allahlah sebaik-baik perancang.”


            Sebelum berangkat pulang mereka saling berpelukan. Serasa berat hati Ustaz Hafiz dan Ustazah Habibah melepaskan tetamu yang pada mulanya datang membawa hajat yang besar tetapi pulang dengan perasaan hampa. Rombongan rakan sekuliah Solihah Khadijah, Luqman al-Hakim hanya seminggu awal datang meminang anak gadis mereka. Telah datangnya lelaki yang baik dari keluarga yang baik masakan mereka mahu menolak. Kereta tetamu menderum pergi. Ustazah Habibah memandang ke wajah suaminya.

“Abang, benarkah keputusan kita ini?”

“Allah.... Jangan ditanya abang soalan itu, isteriku. Benar kata Tuan Ikmal, Kita merancang Allah juga merancang tetapi Allahlah sebaik-baik perancang, sayang.”


            Sedang melihat dari celah-celah sisipan langsir, yang sejak dari tadi berdiri di situ, kejap pegangannya memeluk al-Quran dengan limpahan air mata. Bibir matanya membengkak. Sendunya teresak-esak tetapi sangat tersembunyi. Daun pintu lekas ditutup. Bimbang kedua orang tuanya akan tahu dan menambah beban kerunsingan di hati mereka. Sakit dan sedihnya disimpan rapi sendiri. Biarlah hanya Allah sahaja yang tahu apa isi hati dan keinginannya. Segalanya hanya diserahkan kepada Allah. Yakin atas ketentuan Ilahi. Perlahan dia memujuk hati,

“Allah, Allahu khair al-makirin......... Allahhhhhh........”



*******************************************

Perlahan Puan Asiah duduk di sebelah anak bujangnya. “Mukhriz sayang, ibu dan ayah hendak ke rumah Solihah. Ada majlis.....”

“Ibu, Mukhriz ingat, ibu. Mukhriz tak lupa. Ibu tunggu sekejap di bawah, ya. Mukhriz hendak bersiap-siap.”

“Baiklah, nak.”


            Melihat susuk tubuh anak itu dengan wajah yang sentiasa cuba diukir dengan senyuman sesiapa pun yang memandang tidak akan percaya bahawa hatinya sedang derita. Hanya hati seorang ibu yang mengerti. Ketika dikhabarkan kepadanya perihal kehampaan pinangan mereka, Mukhriz seperti biasa masih lagi mampu tersenyum. Tabah.

“Ibu, ya Allah.... Kan Mukhriz dah cakap tunggu Mukhriz kat bawah. Boleh pula ibu termenung atas katil Mukhriz ni. Janganlah cakap ibu yang tak jadi nak pergi sebab nak tidur atas katil empuk mukhriz ni. Maklumlah, tilam baru.”

“Ada ke situ pulak dia. Dah cepat siap. Ayah dengan ibu tunggu kat bawah. Tak payah bersiap macam anak dara sangat.”

“Baiklah, ibu sayang.” Mukhriz tersenyum. Sakit hati si ibu melihat senyuman itu. Adakah sekadar dipaksa?


******************************

“Tahniah, Solihah, Luqman!”

“Terima kasih.” Luqman al-Hakim tersenyum.

“Solihah seorang wanita Solehah, selayaknya peroleh lelaki sepertinya. Alhamdulillah, sampai juga jodoh Solihah. Semoga melayari bahtera dengan baik. Segala badai dan rintangan yang melanda, abang doakan semoga Solihah berjaya mengharunginya. Luqman, jaga Solihah sebaiknya. Seorang imam yang baik adalah dia yang mampu tersenyum ketika duka dan mampu bertegas ketika salah makmumnya. Abang balik dulu. Assalamualaikum.”


‘Waalaikumussalam.... Abang Mukhriz, adakah abang tidak pernah tahu apa yang Solihah rasa? Adakah abang telah selamanya melupakan Solihah kerana waktu yang tidak berpihak kepada kita? Adakah abang tidak pernah mengingati Solihah walau hanya senyuman Solihah ketika kita bermain bersama semasa kecil dahulu?’ Segalanya sudah terluah. Tetapi hanya hati kecilnya sahaja yang mendengar. Pandangan serasa kabur kerana air yang mula menakung di tubir mata. Segera diseka agar tiada seorang pun yang dapat melihatnya.




‘Solihah Khadijah, kau telah menjadi milik suamimu dan hanya kepada suamimu kau mengabdikan diri. Allah amanahkan lelaki ini kepadamu agar kau bantunya mencapai syurga. Bukan mendamba hati lelaki lain. Meskipun hatimu terseksa dan terpaksa meredhainya, Allahlah tempat segalanya kau yakini. Ketentuan ini milikNya, mutlak!’ Solihah Khadijah memujuk hati.


            Luqman al-Hakim memandang ke wajah isterinya. Sejak tadi isterinya itu membatu dan mendiamkan diri. Pandangannya tunduk ke lantai. Sedikitpun tidak dikalihkan memandang ke wajah sang suami. Luqman al-Hakim segera mendekatkan bibirnya hampir dengan wajah Solihah Khadijah dan berbisik perlahan.

“Solihah, abang ada buat salah, ke? Solihah marah abang?”

“Abang.... Tak, abang. Solihah cuma teringatkan sesuatu. Sesuatu yang tertinggal tapi tak penting dah. Apa yang penting sekarang adalah abang.”

“Boleh abang tahu apa yang tertinggal tu?”

“Abang agak-agak apa?”

“Abang manalah tahu, sayang....”

“Abang tekalah!”

“Kejap, abang rasa abang tahu apa dia.”

“Apa?”

“Tapak kaki??”

“Abang!” Laju tangan Solihah mencubit lengan suaminya.

“Aduh, sakit!” Luqman al-Hakim mengaduh.

Solihah Khadijah mengangkat muka riak. “Ha, tulah balasan bagi mereka-mereka yang ingkar.”

“Apa yang abang ingkar?”

“Ingkarlah. Ingkar dengan Solihah.”

“Setakat ni tak pernah lagi dengar suami ingkar dengan isteri. Ni ilmu baru ni. Bagus-bagus!”

“Abang ni!” Sekali lagi tangannya laju mencubit lengan Luqman al-Hakim.

“Aduh! Abang ingkar lagi, ya? Maaf deh....” Berkerut dahi Luqman al-Hakim menahan pedih cubitan itu.

“Abang ni memang, kan! Malam ni tidur luar!”

“Eh, mana boleh!”


            Solihah Khadijah memuncungkan bibir. Tanpa disedari ada sepasang mata dari jauh yang memerhati telatah dan kerenah sepasang suami isteri itu. Hatinya sedikit tercalar dan terasa pedih. Lantas jalannya diatur cepat kembali ke rumah.

************************************



“Allah, aku terlalu kerdil di hadapanMu. Aku terlalu riak dengan sentiasa berasa baik dan sempurna sehingga mengharap dia yang sempurna kan hadir mengisi kekosongan ruang dalam hatiku. Aku terlalu riak dengan diriku sendiri. Aku berasa ujub dengan kebaikan yang aku lakukan. Wahai Allah Tuhan pentadbir sekalian hati, sesungguhnya aku si kerdil ini, Ya Allah, berasa sakit atas kegembiraan orang lain. Ya Allah, kupinta Kau pimpinlah hatiku ini. Ia sedang sakit, ya Allah. Sakit yang parah dengan hanya sedikit ujian dariMu. Aku tidak pernah berasa selemah ini. Hanya kepadaMu wahai Tuhan yang berkuasa menciptakan hati. Kau redhailah akan hatiku ini agar dapat aku meredhai dan melepaskan apa yang pernah aku impikan untuk miliki, Ya Allah. Amin Amin ya Rabb al-Alamin....”


            Air matanya gugur bercucuran menyembah persujudan. Dadanya disentuh dan digenggam kejap. Sakitnya tidak terhingga. Tiada penawar terbaik selain redha dan sabar itu sendiri. Basah pipinya cuba ditepis akan tetapi air jernih itu tidak pernah mendengar dan terus-terusan mengalir. Betapa tabah dirinya menahan segala rasa hati ketika berhadapan dengan Solihah Khadijah.

“Ayah, ibu...”

“Ya, sayang. Kenapa ni?” Puan Asiah memandang ke wajah suaminya.

“Ayah, ibu... Izinkan Mukriz menyambung pengajian Mukhriz di Madinah.”

“Mukhriz, kenapa tiba-tiba?” Tuan Ikmal terkejut besar.

“Mukhriz dapat tawaran ke sana.”

“Bila? Mukhriz tak pernah pun beritahu ibu sebelum ni. Abang, dia ada beritahu abang ke?”

“Mukhriz, kamu ni sungguh-sungguh ke? Perniagaan ayah di sini siapa yang hendak menguruskannya? Kamulah satu-satunya anak ayah dan ibu. Takkan sekali lagi kami terpaksa berjauhan dengan kamu?”

“Ayah, ibu... Mukhriz minta maaf. Tapi mukhriz harap ayah dan ibu pertimbangkan keputusan Mukhriz ni. Maafkan Mukhriz. Mukhriz naik ke bilik dahulu.” Mukhriz terus bangun dan mendaki anak tangga.


            Puan Asiah memandang ke arah suaminya penuh pengertian. Wajah suami itu jelas suram. Secara tiba-tiba anak itu membuat keputusan begitu.

“Abang.....” Puan Asiah seolah-olah hilang tempat berharap.

“Abang pun tak tahu nak cakap apa. Allahhh......” Tuan Ikmal menekup muka sambil melepaskan nafas berat.


            Apakah keputusan yang terpaksa diambil? Adakah membiarkan sahaja anak itu pergi sehingga mereka sekali lagi akan berasa sunyi di dalam rumah sendiri atau melarangnya keluar dan membiarkan hati anak itu terus-terusan sakit melihat hakikat yang berlaku? Keliru.

**********************************

“Ayah, ibu, Mukhriz pergi dulu. Maafkan, Mukhriz. Mukhriz tidak mampu untuk duduk lama di sini. Mukhriz harap apa yang Mukhriz cari Mukhriz akan jumpa.”

“Sayang, apa yang kamu maksudkan ni?”

“Ibu, kebahagiaan yang mampu Mukhriz dapat tanpa rasa kehilangan dan beban.”

“Mukhriz, adakah benar kamu menyintai Solihah Khadijah?” Tuan Ikmal terasa lega melepaskan soalan itu.

“Ayah, dia tidak ditakdirkan untuk Mukhriz. Dan hijrah ini semoga ia mampu mengubati hati yang terluka. Maafkan Mukhriz, ayah. Maafkan Mukhriz, ibu.”


            Mukhriz memeluk kedua orang tuanya seakan-akan tidak mahu untuk melepaskannya. Akan tetapi hatinya meminta dia segera pergi meninggalkan negara tanah tumpah darahnya. Penerbangan ke Madinah akan berangkat dalam masa setengah jam sahaja lagi.

“Ayah, ibu, Mukhriz pergi dahulu. Assalamualaikum...”


            Lambaian tangan Mukhriz disambut dengan cucuran air mata Puan Asiah. Esakannya dilepaskan dalam pelukan suaminya. Tanpa disedari, air jernih itu juga turut singgah di pipi Tuan Ikmal. Adakah ini kali terakhir mereka akan bertemu dengan zuriat itu? Adakah perginya tidak akan kembali?

            Kesedihan Mukhriz tersimpan disebalik keegoan lelakinya. Dadanya serasa sakit dengan keputusannya. Sambil berjalan melepasi laluan ke ruang berlepas tangannya memegang kejap dadanya. Jantungnya seakan laju berdetak. Hatinya benar-benar terhiris. ‘Solihah Khadijah, mana mungkin aku melupakan insan pertama yang kukenal setelah ibu dan ayah. Kau sentiasa ada ketika mereka mengejek aku dayus. Kau sentiasa ada menjadi sahabat terbaik ketika mereka membenciku. Hanya kerana aku berbeza dan darjatku dimuliakan manusia yang lainnya, mereka membenciku. Tetapi Engkau telah berkata kepadaku, manusia suka membenci manusia yang lain walaupun mereka mulia apatah lagi hina. Apa yang penting adalah apa yang Allah pandang pada hati kita. Meskipun ketika itu kau hanya sekecil-kecil bidadari, namun kaulah bidadari terbaik yang pernah aku temui seumur hidupku.’

*************************************

Lautan indah terbentang seluas saujana mata memandang. Laut Merah menyerlah kisah kehebatan Nabi Musa AS. Mengagumi kekuasaan Allah SWT menewaskan Firaun dan bala tenteranya. Sesatlah mereka sehingga kini tidak ditemui. Laut Merah tanpa graviti dan dikenali juga sebagai Laut Mati. Kelihatan kanak-kanak riang bermain air tanpa sedikitpun gentar akan lemas. Kanak-kanak mahupun yang dewasa, terapung-apung di permukaan air. Bergembira bermain dan bersuka ria menghabiskan waktu bersama keluarga. Jauh fikirannya menerawang. Tiba-tiba kakinya dipeluk oleh sesusuk tubuh kecil.

“Papa, papa... Papa kenapa termenung je ni?” Anak kecil itu menarik hujung baju Mukhriz.

Mukhriz tersenyum dan terus menunduk. “Sayang, datang dengan siapa ni? Papa dengan mama mana?”

“Eh, apalah papa ni! Papalah papa Aiman!”

Mukhriz tergelak. “Meh papa dukung, ya?”

“Sayang papa sangat tau! Papa, kenapa papa dah lama tak balik? Papa pergi mana? Aiman rindu sangat dengan papa.” Telatahnya mencuit hati. Lantas dia mengucup dahi Mukhriz. Mukhriz kaku. Seakan-akan anak ini ada sesuatu yang istimewa padanya.

I am sorry, sir! My son troubled you.”

Mukhriz berpaling, “It’s o... “

Pandangan Mukhriz mati ke wajah itu. Tidak sempat dia menghabiskan ucapannya. ‘Astaghfirullahalazim, Allah, besarnya kekuasaanMu, agungnya keesaanMu, hebatnya perancanganMu!’

“Abang Mukhriz, Subhanallah... Abang Mukhriz??”


            Mukhriz masih lagi kaku. Fikirannya seakan-akan kosong tetapi ligat berputar. Adakah benar susuk tubuh di hadapannya itu wujud atau sekadar khayalan semata?

“Abang Mukhriz.... Abang, Solihah ni.... Abang ingat Solihah lagi?”

“Solihah Khadijah....”

“Iya, bang. Solihah ni...” Wajah Solihah seakan-akan bahagia.

“Papa, kenapa papa pandang mama macam tu? Papa rindu mama ya sebab dah lama tak jumpa?”

“Papa?” Solihah Khadijah hairan.

“Ni mama Aiman?” Mukhriz bertanya.

“Ya, inilah mama. Papa ni kenapa?” Aiman tergelak.


            Mukhriz segera mengucup pipi anak kecil itu. Anak kecil yang hanya berumur empat tahun tetapi terlalu petah berkata-kata. Aiman. Aiman Imani namanya. Nama yang hampir dengan namanya. Mukhriz Imani.

“Abang, ke mana abang menghilangkan diri? Dah empat tahun satu khabar pun abang tak kirimkan. Ibu Asiah dan Ayah Ikmal terlalu rindukan abang. Alhamdulillah, Allah temukan kita di sini.”

“Mana suami Solihah?” Mukhriz sengaja menukar topik.

Solihah Khadijah terdiam sejenak. Dia cuba mengukir senyuman. “Abang Luqman.... Allah terlalu menyayangi dan merindukannya lebih daripada kami sehingga tidak sabar lagi untuk bertemu. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT dan diletakkan dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman.”

“Innalillahi wa inna ilaihi Rajiun.... Maafkan abang tapi kenapa? Bila?”

“Abang Luqman menghidap kanser tulang belakang. Ketika dua tahun usia Aiman dan sekarang Aiman sudah berumur empat tahun.”

“MasyaAllah.... Takziah, Solihah. Maafkan abang sebab langsung tak mengirim berita. Solihah datang dengan siapa?”

“Dengan umi, abi dan baby kecil yang nakal ni.” Solihah Khadijah mencubit manja pipi anaknya.

“Oh, kalau Solihah tak kisah, kita makan malam bersama malam ni. Ajak umi dan abi sekali.”

“Baiklah, bang. Abang seorang je? Dah jumpa permaisuri hatinya?”

Mukhriz tersenyum. “Dah, baru je.”


            Mukhriz terus berlalu pergi membawa anak kecil itu berjalan-jalan menikmati keindahan lewat petang di situ. Solihah Khadijah tidak pernah melihat kegembiraan dan keterujaan anak itu sehingga sebegitu sekali. Dia turut sama bahagia.

*******************************************

“Mukhriz, kenapa kamu pergi tanpa mengirim khabar berita?” Ustaz Hafiz bertanya.

“Allah.... Ustaz, saya segan ingin mengungkit cerita lama.”

“Tidak mengapalah, Mukhriz. Nanti selesai makan ni saya ada nak bincang sikit dengan kamu.”

“Baiklah, ustaz.”


            Mukhriz menjeling ke arah Solihah Khadijah. Melihat telatah wanita itu melayan kerenah anaknya yang petah berkata-kata. Kebijaksanaan anak itu menyusun kata mengimbau kembali zaman masa kecil dia bersama Solihah Khadijah. ‘Allah, dugaanMu buat hati datang membelah badai sekali lagi.’

“Papa, papa! Aiman nak papa yang suap. Mama asyik marah Aiman je sebab mama cakap Aiman tak pandai diam.”


Lamunan Mukhriz terhenti. “Ya? Mama marah Aiman? Kesian anak papa. Meh duduk kat riba papa. Papa suap ya tapi Aiman kena janji Aiman tak boleh bercakap masa mulut tengah penuh. Nabi kita, Muhammad tak bagi tau bercakap ketika mulut penuh.”

“Muhammad tu siapa, papa?” Berkerut-kerut dahi si kecil itu. Perasaan ingin tahunya membuak-buak.

“Kalau Aiman nak tahu nanti papa cerita tapi sekarang Aiman kena duduk diam-diam dan makan elok-elok. Tak boleh bercakap tau.”

“Baik, papa sayang! Ummmmuuuuaahhhh!!”


            Mukhriz tersenyum. Anak kecil itu mencium pipinya seakan-akan melepaskan seluruh kerinduan yang telah lama bersarang dalam diri. Solihah Khadijah kaget. Malu menjalar ke seluruh tubuhnya. Mukanya menjadi memerah. Tidak sangka Aiman seberani itu.

**********************************



“Mukhriz, sebelum saya melanjurkan bicara saya, saya ingin meminta maaf terlebih dahulu seandainya apa yang akan saya katakan nanti akan membuat kamu berasa tidak selesa. Maafkan saya!”

“Apa dia, Ustaz? Ustaz tidak perlu risau. Saya sedia mendengarnya.”

“Mukhriz, Solihah Khadijah adalah seorang janda dengan seorang anak tetapi saya tidak mahu melepaskan lelaki yang baik yang ada di hadapan mata ke tangan orang lain. Adakah kamu sudi menerima Solihah Khadijah sebagai isterimu?”

“Subhanallah..... Walhamdulillah... Walailahaillallah... Wallahu akbar! MasyaAllah..... Allahu Allah.... Allahhhh...." Mukhriz terasa sekalian alam jua turut sama bertasbih memuji pemilik sekalian hati.


Mukhriz diam sejenak. Berzikir di dalam hati. Nafas panjang ditarik dan dilepas perlahan. Ustaz Hafiz sabar menantikan jawapan.


"Aku terima lamarannya dari walinya, Solihah Khadijah sebagai bakal isteriku pendamping dunia dan akhiratku.”


            Mukhriz tunduk sujud syukur . Menghadap ke lautan indah di hadapan. Ombak, rembulan, pepasiran. Semuanya menjadi saksi kekuasaan Allah menautkan dua hati. Mukhriz berpaling ke belakang memandang ke arah Solihah Khadijah. Aiman laju berlari ke arahnya dan terus memeluknya, "Papa!!"

‘Hanya kekuasaanMu, Ya Allah. Tiada tandingan dan tiada duanya. Hanya Engkau yang Esa.’

"Oleh itu bersabarlah (Wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah." (Ar-rum : 60)

Credit to Rusydee Artz 4 d pics! ^__^