Tuesday, December 27, 2011

Andailah dia ibuku....


Tubuh berasa rimas dan melekit dengan peluh yang membasah. Tuala kucapai. Hajatku ingin memandikan diri. Kuputar tombol pintu bilik. Langkah kuatur kemas keluar. Di hadapan sebuah bilik terbongkok-bongkok seorang wanita sedikit berusia sedang mengemas sampah yang berselerak. Tong sampah habis tergolek sedang sisa makanan penuh membanjiri lantai. Wanita separuh umur itu kadang mencangkung kadang juga berdiri tegak meluruskan pinggang. Sampah hasil anak gadis pelajar universiti yang berusia lingkungan 20an sedang dikutip oleh seorang wanita separuh umur. Layakkah?

"Assalamualaikum, makcik."

"Waalaikumussalam." Wajahnya manis mengukir senyuman.

"Saya tolong ya, makcik. Kasihan makcik. Tak mengapalah, makcik duduk dahulu berehat di mana-mana. "

Kubantu mengutip sisa makanan basi yang berterabur. Makcik itu hilang entah ke mana. Mungkin duduk berehat di mana-mana. Aku sekadar tersenyum. Dalam hatiku berasa sedikit tidak puas hati dengan ahli bilik yang tidak bertanggungjawab itu. Di mana mereka untuk mengemas ruang hadapan bilik mereka. Sampah mereka sendiri dan hadapan bilik mereka sendiri. Kenapa membiarkan orang lain yang membersihkannya? Makcik yang sudah separuh umur pula tu. Kesal dengan perbuatan mereka. Mereka sepatutnya mengambil berat tentang perihal kebersihan diri dan tempat tinggal. Ini tidak, keluar ke mana-mana waimah mahu ke kelas bergaya sakan dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Walaupun biji mata yang sudah hitam itu diganti pula warnanya dengan berbagai warna lain demi mencantikkan diri. Sangat teliti dengan penampilan diri namun terlupa dengan kebersihan diri dan tempat tinggal. Kepada lelaki, jangan mudah tertipu dengan penampilan diri wanita yang mempesona kerana ia tidak menjamin bagaimana diri mereka yang sebenarnya. Sakit hatiku masih belum hilang. Tiba-tiba makcik tadi keluar dari tandas membawa sebatang mop. Dia berterima kasih kepadaku kerana membantunya membersihkan kotoran tersebut. Dia menyuruhku pergi menyambung kerjaku dan dia pula ingin menyambung kerjanya.

"Adik pergilah mandi. Tak apalah. Makcik dah biasa buat semua ni. Lagipun memang makcik digaji buat kerja ni semua."

"Makcik, makcik memang digaji buat kerja pembersihan tapi bukan membersihkan kotoran hasil anak-anak dara seperti kami ni. Kami minta maaf ya, makcik."

"Tak ada apa-apalah. Makcik tak kisah."

"Terima kasih ya, makcik sebab tanpa makcik pasti floor kami ni terlalu kotor. Para penghuni floor ni selalu ambil mudah kebersihan floor. Bagi mereka ada tukang cuci yang boleh bersihkan. Makcik pekerja bukan hamba. Saya kasihankan makcik."

"Tak apalah, nak. Makcik masih larat lagi buat kerja ni. Alhamdulillah jumpa anak ni kat sini hari ni. Terima kasih ya tolong makcik."

Aku tersenyum dan terus berlalu ke tandas. Sebentar kujengah dari celah pintu. Kulihat tubuh tua itu terbongkok-bongkok mengemop lantai yang kotor dan berbau. Sekiranya tiada dia masihkah anak-anak itu akan mengambil berat tentang kebersihan atau kemungkinan besar orang yang tidak suka kotoran seperti aku ini pula yang menjadi hamba mereka. Duhai perempuan... Benarkah kamu perempuan?? Apa yang lelaki pandang dan kejar pada perempuan sepertimu?? Aku hairan. Kutatap lama sosok tubuh itu. Mirip benar seperti ibuku di rumah. MasyaAllah... Andai benar ibuku yang melakukan kerja seperti itu, akanku arahkannya berhenti dari melakukannya dan aku pula lebih rela melepaskan pengajianku di universiti ini bekerja mencari sesuap nasi dari melihat ibuku diperhambakan sedemikian rupa.

Ya, mereka dibayar gaji untuk melakukannya tapi bukan untuk dipandang jelek dan sengaja diperhambakan. Kasihan... Sedihku melihat wanita itu. Andailah dia ibuku... Masihkah aku mahu menabur sampah supaya dia mengutip dan membersihkannya?? Astaghfirullahalazim......

No comments:

Post a Comment