Friday, September 23, 2011

AKANKU PINANGKAN DIA UNTUKMU, SUAMIKU...(Takkanku benarkan suamiku menerima dosa kerana zina hatinya...)


"Saya sayangkan awak. Tolong jangan tinggalkan saya."

"Lisa, tolong jangan paksa saya. Saya memang cintakan awak tapi dalam masa yang sama saya semakin tertarik dengan dia. Dia telah sah menjadi isteri saya, Lisa. Tolong jangan ganggu kehidupan saya lagi."

"Saya sanggup jadi isteri yang kedua asalkan dapat bersama awak, Fizz."

"Lisa, cerita kita telah lama berakhir. Saya bukan lelaki yang sanggup membiarkan isteri saya menangis."

"Fizz.........."

"Tolonglah fahami situasi saya, Lisa. Saya minta maaf. Assalamualaikum."

Nurlisa Hanny terduduk. Raungannya tidak didengari oleh sesiapapun. Gadis campuran Belanda-Melayu itu menangis sendirian. Lelaki pujaannya telah mematikan panggilan tanpa sempat dia menyambung pujuk rayunya. Hampir lapan tahun bercinta sejak dari bangku sekolah akhirnya lelaki itu memilih untuk berkahwin dengan wanita lain. Hancur luluh hatinya. Semuanya berpunca dari prinsipnya yang tidak mahu mendirikan rumah tangga selagi cita-citanya tidak tercapai.




*********************************************************


"Abang, minum..." Mia Imanullah menghulur segelas air teh buat suaminya.

"Terima kasih, Mia."

"Abang menungkan apa tu? Sejak dari tadi saya perhatikan abang. Abang asyik mengelamun jauh je."

"Tak ada apa-apalah, sayang. Abang cuma penat sikit."

"Iyalah. Abang pergilah masuk tidur. Mia nak kemaskan dapur dulu. Esok senang nak masak untuk buatkan sarapan abang."

"Abang masuk tidur dulu, ya."

"Iya, abang."

Hafizul Iman mendaki tangga menuju ke bilik ditemani pandangan Mia Imanullah. 'Ada yang aneh dari sikap suamiku kebelakangan ini.' Mia Imanullah menyambung semula kerja-kerjanya di dapur. Senyuman terukir di bibirnya memikirkan tentang sang suami. Mia Imanullah wanita luar biasa walau hanya dengan kecantikan biasa tetapi ada seri dan cahaya di wajahnya. Dia mendirikan rumahtangga bersama lelaki yang tidak dikenalinya sama sekali. Perkahwinan mereka dibina atas persetujuan dan ikatan sahabat kedua orang tua. Sama sekali tidak pernah bertegur sapa mahupun bersua muka namun cinta buat suami telah Allah anugerahkan setelah saat akad nikah meniti di bibir sang suami, Hafizul Iman.


*************************************************************


Sehingga ke hari ini setelah hampir setengah bulan mendirikan rumahtangga dengan Mia Imanullah, sang bidadari pilihan ibu dan ayahnya hatinya masih belum pasti lagi betul atau tidak keputusan yang telah diambil. Meninggalkan kekasih hati, Nurlisa Hanny merupakan satu penyeksaan baginya namun keinginannya untuk memiliki cinta dari seorang isteri dan kasih dari anak-anak telah mendorongnya membuat keputusan untuk memilih Mia Imanullah sebagai pendamping hidupnya. Renungan mata dan bicara lembut wanita kacukan itu sering menghantui hari-hari Hafizul Iman. 'Ya Allah, selamatkanlah bahtera pernikahanku dan Kau jagailah hati ini dengan segala perlindungan dariMu agar tidak jatuh aku ke dalam jurang kemaksiatan.' Kebimbangannya semakin meluap-luap dek kerana ingatannya sering berbalik kepada bekas kekasih hati yang masih beraja rasa cinta buatnya dalam hati.

"Sayang, bangun. Dah subuh ni..."

"Abang... Dah pukul berapa ni..."

"Dah pukul enam, Mia. Bangun.. Kita solat subuh berjamaah."

"Ya, abang."

Mia Imanullah bingkas bangun dan menuju ke bilik mandi. Hafizul Iman menunggu isterinya dengan sabar. Mereka mendirikan solat subuh secara berjamaah awal pagi itu. Selesai membaca doa, Mia Imanullah bersalaman dengan Hafizul Iman kemudian mengucup lembut tangan suami sambil berdoa moga Allah mengekalkan jodoh antara mereka dan menyerikan perjalanan hidup akan datang. Hati Hafizul Iman bagai terpukul dengan ketulusan wajah itu. Jelas, hendak membandingkan kecantikan antara Mia Imanullah dengan Nurlisa Hanny, Nurlisa Hannya jauh lebih baik parasnya. Tetapi kerana kesederhanaan dan ketulusan hati si isteri telah menggerakkan hatinya untuk menerima wanita itu apa adanya dia. Terasa berdosa dirinya kerana sehingga saat ini dia masih tidak dapat melupakan Nurlisa Hanny.

"Abang......"

"Ya...."

"Abang kenapa ni... Abang ada apa-apa masalah? Abang ceritalah dengan saya. Jangan pendam sendiri. Saya isteri abang yang sanggup berkongsi sakit abang. Abang cerita ya."

"Tak ada apa-apalah, Mia."

"Tapi saya nampak ada sesuatu yang merungsingkan dari wajah abang."

Hafizul Iman tertunduk. Air mata lelakinya mengalir. Terasa lemah untuk menceritakan kisah masa silam kepada sang isteri. 'Apakah dia mampu menerimanya...'

"Abang...."

Tangan halus itu menggenggam tangan lelakinya. Terasa hangat mengalir ke seluruh tubuh. Wajahnya diangkat memandang ke dalam wajah sang bidadari di hadapan. Anak mata hitam likat itu direnung dalam mencari sejuta pengertian.

"Saya sentiasa ada untuk abang walau dalam susah atau senang. Saya menerima abang bukan hanya untuk mendapat status sebagai isteri orang tetapi ada perjanjian antara saya dengan Allah. Saya ingin menjadi pendamping abang yang memudahkan jalan hidup abang menujuNya. Bukan sekadar melayani abang memenuhi keinginan dunia." Kata-kata si isteri menambah juraian air matanya.

"Mia....."

"Ya, abang."

"Sayang, saya rasa berdosa pada awak."

"Dosa apa ni, abang? Saya tak pernah nampak apa-apa kesalahan atau dosa abang pada saya."

"Mia, saya pernah memiliki seorang wanita sebagai kekasih hati dan sehingga ke hari ini saya masih tidak mampu untuk melupakannya. Saya tak mampu menipu hati saya sendiri apatah lagi menipu awak, sayang. Saya sangat menyayangi awak tapi dalam masa yang sama saya menyintai dia."

Air mata Mia Imanullah turut tumpah bersama hujan yang melimpah ke bumi di luar. Genggaman tangannya semakin kejap mencengkam tangan sang suami. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang tersirat dan tersurat di sebalik air mata yang mengalir itu.

"Abang...." Mia Imanullah mengangkat wajahnya.

"Boleh saya tahu siapa dia...."

"Nurlisa Hanny binti Muhammad."

"Akanku pinangkan dia untukmu, suamiku..."

"Mia!"

"Sehingga mata tertutup saya takkan benarkan suami saya berterusan menerima dosa kerana zina hatinya. Mia izinkan... Demi Allah, saya yang akan pergi menyuntingnya..."

"Mia............."

No comments:

Post a Comment