Friday, January 14, 2011

Kasih seorang isteri....


Akhirnya selamat saat pengijabkabulan dua hati. Bukan mudah ingin sampai ke tahap bahagia memiliki cinta insan sepertinya. Eddy yang sejak dari bangku sekolah menengah lagi sudah mula menyimpan perasaan terhadap Ieja akhirnya berjaya memilikinya dengan segala kesabaran yang ditanamkan dalam hati. Betapa gembiranya dia saat gadis manis itu memberi persetujuan menerima lamarannya.

Seminggu telah berlalu sejak hari pernikahan mereka namun masih terselit rasa malu dan segan yang bersangatan dalam hatinya. Cepat-cepat Ieja bangun dari katil sebelum sang suami melihat mukanya selepas bangun tidur. Ieja pasti akan bangun lebih awal berbanding suaminya. Bukan kerana dia tidak mahu dilihat dengan keadaan seperti itu sahaja malahan dia mempunyai tanggungjawab sebagai seorang isteri untuk menyedia dan menguruskan keperluan suaminya bila dia bangun dari tidur. Water heater yang baru sahaja dibeli oleh Eddy untuk kegunaan di bilik mandi mereka masih belum dipasang. Ieja turun ke dapur menjerang air untuk mandian suaminya. Dia tidak mahu menunggu lama untuk mandi. Tidak mengapa dia menyiram tubuhnya dengan air sejuk sahaja. Sudah menjadi kebiasaan semasa zaman bujangnya. Suami yang dikasihi dikejutkan dari tidurnya. Eddy bangun terkebil-kebil sambil memisat-misat mata. Mengantuk. Serasa ingin sahaja menyambung tidurnya semula. Namun demi melihat senyuman Ieja, Eddy bingkas bangun dan masuk ke bilik mandi. Ieja membentang sejadah dan mengeluarkan pakaian solat untuk Eddy. Sepasang persalinan solat sudah tersarung pada tubuhnya. Hanya menunggu sang suami selesai mandi.

Eddy keluar dengan senyuman. Ieja malu hendak membalas senyumannya. Dia tertunduk. Solat subuh dikerjakan secara berjemaah. Tangan lelaki itu dicium lembut. Eddy membalas dengan kucupan di dahi si isteri. Terasa kehangatan kasih seorang suami. Ieja mengalirkan air mata.

"Terima kasih, sayang....."

Ieja mendongak memandang wajah Eddy. Mata bertembung mata. Degupan dalam hati semakin kuat bergoncang. Eddy menyeka air mata si isteri. Tingkah lakunya memujuk. Seakan-akan penghargaan yang bersangatan dikurniakan buat diri apabila lelaki itu benar-benar menyintainya.

"Kenapa abang pilih ayang?" Ieja tertunduk.

"Sebab abang nampak sayang saja yang terbaik buat abang. Kelembutan, kesucian hati dan malu sayang buat abang terpikat. Sayang tahu, abang mula jatuh hati dengan sayang semasa melihat sayang sedang memilih buku di rak dalam perpustakaan. Hati abang terus terpaut." Eddy tersenyum. Ieja berasa kembang dengan pujian suaminya.

Eddy menyambung. "Sayang pula, sejak bila?"

Air liur ditelan. Perit dan terasa melekat di bahagian kerongkong. Ieja malu hendak menjawab persoalan itu. Perlukah untuk dia memberikan jawapan?

"Ayang..... Ayang...." Tergagap-gagap Ieja melontarkan suara.

"Apa dia, sayang?"

"Ayang dah lama tengok abang. Dah lama pendam perasaan. Bukan ayang tak perasan kehadiran abang tapi ayang sengaja tak nak biarkan hati ayang hanyut dibuai perasaan. Bimbang andai kasih hanya berpihak sendiri."

"Sejak bila?" Eddy seakan-akan tidak sabar ingin mengetahui rahsia hati isterinya.

"Sejak... Sejak sekolah menengah...."

Nah, betapa girangnya hati Eddy mendengarnya. Serasa hatinya dilanda musim bunga secara tiba-tiba. Wajahnya mengukir senyuman meleret. Pandangannya nakal. Ieja jadi segan. Bingkas Ieja bangun dari duduknya dan membuka kain telekung yang masih tersarung lengkap. Cepat-cepat Ieja keluar dari bilik dan turun ke dapur. Sengaja ingin melarikan diri dari renungan nakal sang suami.

Air dijerang. Peti ais dibuka melihat kalau ada apa-apa yang boleh dimasak untuk sarapan pagi mereka. Ikan bilis, cili kisar dan sayur sawi dikeluarkan. Mee goreng basah menjadi pilihan sebagai hidangan pagi. Eddy menuruni anak tangga. Lengkap memakai kemeja kuning dipadankan dengan seluar slack hitam. Bau minak wanginya mengisi seluruh ruang rumah. Ieja leka menyenduk mee goreng hasil air tangannya ke dalam mangkuk. Eddy yang sedang menghampiri tidak sedikit pun dia sedari. Eddy memeluknya dari belakang. Alangkah terkejutnya Ieja. Mangkuk yang sedang berada di tangannya hampir-hampir sahaja terlepas. Ieja beristighfar. Eddy tergelak melihat wajah kecut isterinya.

"Sayang abang ni pergi mana?"

"Pergi mana apa? Ayang ada saja kat sini. Abang bukan nak bagi salam dulu ke apa ke... Terkejut ayang!"

Eddy ketawa terbahak-bahak. "Apalah sayang ni... Sayang tu entah apa yang difikirkan. Abang yang dah lama berdiri tengok sayang pun sayang boleh tak perasan."

Ieja hairan. Suaminya lengkap berpakaian kemas. Mungkinkah pergi bekerja? Tapi katanya dia mengambil cuti selama sebulan."Abang nak pergi mana?"

"Abang nak...."

"Abang makanla dulu... Ayang dah masak ni..." Belum sempat Eddy menghabiskan ayatnya Ieja sudah menyambung.

"Sayang abang ni masak apa hari ni...." Eddy tersenyum.

"Ayang masak kepala gajah... Abang tak nampak ke?"

Ketawa Eddy yang mulai kendur menjadi semula. Isterinya benar-benar menaikkan moodnya pagi ini. Sakit perutnya ketawa pabila mendengar kata-kata spontan Ieja disertakan dengan wajah slumber dan tidak berperasaan si isteri. Hidung isterinya dipicit. Ieja mengaduh.

"Abang!!"

Ingin sahaja dikejar si suami keliling rumah. Hidungnya sudah memerah seperti badut. Eddy tergelak-gelak. Mereka makan dengan begitu berselera sekali. Eddy yang pada mulanya berhajat hendak keluar membeli baju baru buat isteri untuk dipakai dirumah terpaksa membatalkan hajatnya kerana rasa berat ingin berpisah dengan isteri tercinta.

**********************************************

Jam sesekali ditoleh. Sudah pukul dua pagi. Kemana suaminya masih belum lagi pulang? Adakah telah terjadi apa-apa semasa perjalanan pulangnya dari pejabat? Oh ya, mungkin terlalu banyak kerja yang harus diselesaikan. Oleh sebab itulah Eddy terpaksa tidur di pejabat. Tapi, mengapa tidak menelefon atau sekurang-kurang hantarlah walau sebaris mesej. Ieja mundar mandir di ruang tamu. Kepalanya pening mungkin kerana pembawakan bayi di dalam kandungannya yang telah mencecah hampir enam bulan. Boleh dikatakan kerap kali juga Eddy jarang pulang ke rumah. Ada sahaja alasannya yang dikemukakan. Setelah tiga tahun mendirikan rumah tangga baru kali ini Eddy sering sahaja menunjuk perangai. Tidak pernah Ieja berburuk sangka dengan suaminya. Kepercayaan sepenuhnya diberikan buat suami yang amat dikasihi. Alasan-alasan yang diberikan oleh Eddy diterima dengan dada yang lapang. Tidak sekali-kali dia beranggapan dengan sang suami. Bimbang murka Allah atas dirinya. Dia menunggu dengan sabar. Telefon bimbit di genggaman sudah beberapa kali mendail nombor suami. Tetapi yang menjawab hanya operator Celcom. 'Apa khabarmu wahai suamiku....'

Jam dinding besar berdenting kuat. Ieja terkejut dari lena dan terus berdiri. "Abang!" Ieja terkejut. Dia terlelap. Bangun-bangun sahaja dia melihat sekeliling. Semalaman dia tidur di atas sofa ruang tamu menunggu kepulangan sang suami. Azan subuh bergema kuat. Ieja membuka langkah menuju ke bilik. Suaminya tidak pulang lagi malam ini. Katilnya kosong. Ieja mencapai tuala dan melangkah ke bilik mandi untuk membersihkan diri. Selesai solat, Ieja turun ke dapur menyediakan sarapan pagi buat suami walaupun bayangnya tiada. Ieja menyediakan makanan sambil tersenyum dan berhajat agar suaminya akan bertambah suka dengan makanan yang dihidangkan dari air tangannya sendiri saban hari. Perutnya terasa sakit. Ieja mengusap perutnya yang semakin membesar itu.

"Sayang mama kenapa ni... Sihat tak hari ni? Mama minta maaf, sayang... Mama terlalu risaukan papa sampai lupa dengan kesihatan sayang mama ni... Mama akan bawa sayang pergi klinik hari ini... Mama nak rezeki mama ni sihat-sihat selalu."

Ieja menyediakan meja makan. Kalau-kalau suaminya pulang sekurang-kurangnya makanan telah siap terhidang. Dia hendak keluar ke klinik. Temu janjinya dengan doktor pada hari ini jam sembilan pagi. Ieja bersiap-siap. Jubah hitam disarung. Tudung berwarna putih kebiru-biruan di kemaskan di atas kepalanya. Kunci kereta honda civicnya dicapai. Dia mengunci rumah terlebih dahulu sebelum meninggalkannya. Kereta dipandu perlahan menyusuri jalan raya luas. Tidak sampai setengah jam keretanya sudah diparkir di hadapan Klinik Pakar Sakit Puan di bandar Melawati.

"Ieja, kenapa dengan awak ni? Apa yang dah berlaku? Kandungan awak tak menunjukkan keputusan yang baik. Awak tertekan ke sejak akhir-akhir ni? Kalau awak berterusan begini, saya bimbang kalau berlaku apa-apa komplikasi terhadap kandungan awak. Ieja, saya bukan bercakap sekarang ni sebagai doktor awak tau tapi sebagai seorang sahabat karib awak yang dah mengenali awak lebih sepuluh tahun. Saya tahu awak ada masalah sekarang. Cuba cerita pada saya." Fizah memujuk.

"Fizah, ana tak ada apa-apa masalah. Ana okey je. Janganla risau..."

"Ieja......" Fizah merenung wajah Ieja.

"Tak mengapalah, ana nak balik dulu. Bimbang abang Eddy balik tengok ana tak ada pula di rumah. Lagipun, ana nak ke pasaraya sekejap membeli sedikit barang dapur." Ieja bangun.

"Awak nak saya temankan ke?"

"Eh, tak perlulah, Fizah. Ana tahu enti banyak kerja. Tu tengok kat luar tu. Ramai yang tunggu giliran nak jumpa dengan enti. Ana boleh sendiri."

Fizah bimbang. "Hati-hati, Ja!"

Ieja tersenyum dan terus berlalu. Fizah menggelengkan kepala. Apa yang melanda hati dan perasaan sahabatnya itu? Dia tidak mahu apa-apa yang tidak diingini berlaku pada Ieja. Terlalu sayangnya dia pada Ieja ibarat kasih seorang kakak kepada adiknya. Fizah tak dapat menahan rasa bimbangnya. Dia cepat-cepat bangun dan mencapai tas tangannya. Langkah diatur keluar dari pejabatnya. Tanggungjawabnya diserahkan kepada pembantu. Kereta Ieja menyusur laju. Tidak sempat untuk Fizah menahannya. Dia cepat-cepat membuka pintu kereta. Kereta Ieja dibuntuti dari belakang. Keretanya di parkir jauh dari tempat parkir kereta Ieja di kawasan letak kereta bangunan pusat beli belah Taikim. Lama dia mengikut gerak geri Ieja dari jauh. Wanita itu seakan-akan berat benar mengatur langkah sambil mengusung kandungannya. Kenapa dengan Ieja? Pelbagai persoalan bermain dalam benak fikirnya.

Fizah cuba untuk menghampiri Ieja. Penat dia bermain sembunyi-sembunyi dengan wanita itu. Apatah lagi untuk apa dia bersembunyi dari pengetahuannya? Fizah mengatur langkah. Semakin dekat. Tiba-tiba bayang Ieja hilang. Kemana dia pergi? Fizah tercari-cari. Sampai di satu bahagian, alangkah terkejutnya Fizah apabila mendapati Ieja sedang bersemuka dengan suaminya, Eddy. Seorang wanita yang kelihatan lebih muda, seksi dan agak cantik kelihatan tergedik-gedik sambil memeluk erat lengan lelaki bertubuh sasa itu. Botol sos berderai di atas lantai. Tangan Ieja kelihatan menggigil. Fizah cepat-cepat memegang tangan Ieja. Dia bimbang apa-apa akan terjadi pada sahabatnya. Ligat otak Fizah berputar memikirkan siapa gerangan gadis di sisi Eddy itu. Tubuh Ieja yang dipapah serasa longlai. Fizah membawa Ieja pergi dari situ meninggalkan Eddy yang masih tercegat berdiri bersama perempuan tersebut. Wajah Eddy nampak benar-benar terkejut. Matanya merah sedang wajahnya punya kerut seribu yang sukar ditafsirkan.

Ieja dibawa pulang ke rumah. Fizah meminta izin untuk menemaninya dan bermalam di situ. Ieja mengangguk sahaja. Fikirannya masih bercelaru. Air matanya mengalir perlahan. Dia diam seribu bahasa. Serasa ada sesuatu rasa yang cuba disimpan sendiri. Kenapa? Ieja tenggelam dalam kesedihan yang amat memeritkan. Fizah yang baru sahaja selesai menyediakan bubur buat temannya keluar dari dapur. Sekujur tubuh yang berbadan dua itu kelihatan terbaring lena di atas sofa. Fizah menghampiri. Bekas air mata masih jelas kelihatan di pipinya. Fizah merenung wajah yang mengandung seribu beban dalam hatinya. Fizah turut sama mengalirkan air mata. 'Ieja......'

****************************************


"Assalamualaikum abang. Abang sihat hari ini?" Ieja tunduk menyalami suaminya yang masih berdiri di hadapan pintu.

"Waalaikumussalam... Sihat, sayang." Eddy memandang wajah jernih isterinya. Masih lagi wajah itu tidak lekang dari senyumannya walaupun sudah hampir dua bulan Eddy tidak pulang menjengah rumah dan melihat keadaan isterinya yang sedang sarat mengandung itu.

"Masuk, bang. Ayang masakkan makanan kegemaran abang. Tentu abang suka. Setiap hari ayang tunggu abang balik dan masakkan makanan yang abang suka. Alhamdulillah... Hari ini abang balik juga." Ieja bersuara dengan nada gembira. Teruja dengan kepulangan suami tercinta.

Ieja menarik suaminya ke meja makan. Eddy duduk. Dia kelihatan sangat gugup berhadapan dengan isterinya. Hendak bersuara pun dia berasa kekok sedangkan Ieja sangat gembira dan melayaninya dengan sangat baik. Kali itu, berselera benar Eddy menjamu selera sambil wajah mulus dan bersih itu menjadi hiasan perasaan. Eddy berasa bersalah. Bagaimana bisa sampai hati meninggalkan wanita semulia isterinya demi cinta yang lain? Hatinya bertanya-tanya sendiri.

Lewat malam itu, Eddy tidak mampu melelapkan mata. Sekejap-kejap dia menelentang, sekejap-kejap memandang ke sebelah kanan kemudian ke kiri. Fikirannya bercelaru. Apa yang membawanya pulang ke rumah adalah perbalahannya dengan isteri keduanya, Syada tengahari tadi. Dia menelefon Syada dan menyampaikan hasrat ingin pulang menjengah keadaan Ieja. Syada mula naik angin dan tidak membenarkan Eddy pulang ke rumah madunya. Eddy bersabar dengan tingkah laku Syada yang kurang sopan. Dia cuba memujuk.

"Syada, please. She's my wife too. Dia bakal menjadi ibu kepada anak i ."

"Apa? U fikir i tak boleh mengandungkan anak u? Kalau i nak dah berderet anak kita tau!"

"Jadi, berikanlah i anak." Eddy mula hilang sabar.

"U! Arghh!! Go to hell!! Syada memaki suaminya.

"i akan balik juga. Tak kiralah samada u bagi ataupun tak. Ini hak i !"

"Fuck you, Ieja! I hate her so much!!"

Eddy sakit hati mendengar makian dari mulut Syada buat kesayangannya, Ieja. Telefon terus dihempas di atas gagang. Pada mulanya, rasa berat hati juga ingin pulang ke rumah Ieja namun apabila harapannya agar Syada mampu memberikan pandangan bertukar menjadi makian membuatnya memandu pulang dan mengetuk pintu rumah isteri pertamanya. Layanan yang diterima dari Ieja benar-benar di luar jangkaan. Sangkanya, Ieja akan memarahi dan tidak mahu menerimanya lagi tetapi semua anggapannya salah belaka. Wanita itu masih mempu melayaninya dengan baik dan menunaikan hak-haknya sebagai suami di rumah itu. Alangkah tenangnya dia pulang ke rumah itu dan berada di samping Ieja. Mengapa dia terlalu bodoh untuk membezakan antara kaca dengan permata. Andai bisa saja diputarkan kembali masa, sudah tentu saat pertemuan pertamanya dengan Syada dia akan memalingkan wajah dari gadis itu. Tidak sedikitpun dia merenung mahupun menjeling ke arah pelayan restoran mewah itu.


Eddy memeluk tubuh yang berbaring di sebelahnya. Ieja yang sudah tidur terjaga. Dia berpaling memandang wajah suaminya.

"Abang tak tidur lagi? Abang kenapa? Rasa tak selesa ke ayang tidur dengan abang? Tak apa, ayang tidur kat bawah ya.."

Cepat-cepat Ieja bangun walaupun kandungannya terasa berat. Bantalnya diambil. Dia tidak mahu mengganggu keselesaan suaminya. Bimbang suaminya akan meninggalkannya lagi apatah lagi saat-saat melahirkan semakin hampir.

"Sayang, sayang buat apa ni?" Eddy terkejut dengan reaksi Ieja.

"Ayang taknak ganggu abang." Sayu kedengaran suara Ieja.

"Sayang, abang tak cakap pun..."

Ieja tunduk. "Ayang takut........ Takut kalau abang tinggalkan ayang lagi. Ayang taknak abang pergi tinggalkan ayang. Ayang bukan seorang yang kuat untuk menempuh semua ni..." Matanya dipejamkan. Kelihatan air matanya mengalir di celah-celah kelopak matanya yang sedang tertutp. Penat dia menanggung semua derita perasaan itu selama ini.

"Sayang, maafkan abang. Sayang....."

"Tak, ayang yang kena minta maaf pada abang. Ayang minta maaf... Ayang minta maaf sangat. Andaikan saja ayang pandai melayani abang dan menunaikan hak-hak abang sebagai seorang suami dengan baik sudah tentu abang takkan tinggalkan ayang. Ayang minta maaf, abang. Ayang akan jadi seorang isteri yang lebih baik untuk abang. Andai ayang bersalah pukullah ayang."

Teresak-esak wanita itu menangis. Terlerai sudah semua bebanannya yang ditanggung sendirian seorang diri. Eddy turut sama mengalirkan air mata lantas tubuh Ieja dibawa ke dalam pelukannya.

"Abang nak sayang tahu yang abang takkan sekali-kali tinggalkan sayang lagi dan mengabaikan tanggungjawab abang pada sayang. Sayang sudah cukup sempurna untuk abang dan tak mungkin semua ni berlaku berpunca dari sayang. Maafkan abang, sayang...."

Rambut Ieja dibelai perlahan. Suara tangisan yang kedengaran jelas tadi hilang tiba-tiba. Rangkulan Ieja lemah. Jantung Eddy berdegup kencang.

"Sayang.... Sayang...." Eddy memanggil-manggil isterinya.

Eddy melepaskan pelukannya. Wajah isterinya direnung dalam. Mata itu terpejam rapat. Eddy menjerit-jerit memanggil nama Ieja namun tiada sahutan. Tubuh itu juga digoncang. Diam.

"Kenapa sayang yang tinggalkan abang?! Kenapa................."

Suara tangisan seorang lelaki bergema dalam kekelaman malam itu bersama pemergian seorang isteri yang mulia.

'Sayang selamanya... Kenangan bersamamu akan mekar dalam hatiku bersama cintamu yang subur selamanya dalam bimbingan cinta kepada Allah....'

_Edi Efpandi bin Asri_


Wednesday, January 12, 2011

Siapa kamu semua buat diriku...





Assalamualaikum w.b.t.... kalimah salam yang minta disampaikan kepada para pembaca sekalian dari para sahabat majmuah lima... Kulakarkan sedikit coretan hati buat teman-teman majmuahku hari ini...

Sahabat-sahabatku, telah kita lakarkan sejarah cinta sahabat sepanjang menuntut di bumi Nilam Puri selama dua sem ini... Ukhwah yang terbina bukan sekadar ukhwah biasa namun ianya menjadi tali kasih dan cinta kepada yang Esa... Sekadar sedikit perselisihan merupakan asam garam dalam berukhwah... Andai tiada perisanya maka tidak nikmatlah ukhwah yang kita jalani selama ini.... Sahabat-sahabatku, setelah melangkah keluar dari bumi Nilam Puri ini, masihkah lagi kita akan menghadapi masa-masa bersama... Andai tiada lagi peluang untuk itu, ketahuilah hari ini... Sesungguhnya ana terlalu menyayangi antunna semua... Perpisahan itu membuahkan ingatan kepada kenangan... Ingatilah hari2 yang masih bersisa sedikit sahaja lagi ini untuk melakar sejarah kehidupan sebagai mahasiswa Islam yang punya ukhwah kukuh dalam bersahabat....

Tuntutan ilmu itu yang utama... Jangan mengalihkan arahmu kepada tuntutan lain yang bersifat keduniaan... Ini pesananku buat teman dan diriku sendiri.... Apabila tiba di kampus induk nanti, peliharalah jua maruah diri dan agamamu... Andai ada yang meletakkannya di bawah, para sahabatmu masih ada untuk membantu dirimu mengangkat semula martabat maruah dan agamamu... Mu'minahku, bersama kita membina diri dan hati ke arah cinta dan redha Allah... Andai ana tiada lagi, insan2 seperti antunna semua yang akan mendoakan kesejahteraanku disana.... Jaga diri, jaga hati dan jaga imanmu... Pelihara diri hiasi peribadi......salam sayang dilayangkan buat teman-teman....

Menjahatkan orang??Kerana lidah badan binasa....



Bertemu kembali setelah lama menyepikan diri....Kisah kali ini ana bawakan khas buat antum antunna semua dari pengalaman yang telah berlaku pada ana . Sangat mencengkam jiwa... Sekiranya antum antunna hendak tahu, ikuti penulisan ana kali ini sehingga penghujungnya.

Suatu hari Luqman Hakim telah memasuki sebuah pasar dengan menaiki seekor baghal, manakala anaknya pula mengikut dari belakang.

Melihat tingkah laku Luqman itu, sesetengah orang yang berdiri di pinggir jalan pun berkata :

“Lihat orang tua itu yang tidak bertimbang rasa. Dia sedap-sedap duduk menaiki baghalnya sedangkan anaknya pula dibiarkan berjalan kaki.”

Setelah mendengarkan kata-kata yang kurang sedap dari orang ramai maka Luqman pun turun dari baghalnya itu lalu diletakkan anaknya di atas baghal itu dan kembali berjalan.

Melihat yang demikian, maka sesetengah orang di pasar itu berkata pula :

“Sungguh biadab budak itu. Orang tuanya dibiarkan berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki baghal itu.”

Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang baghal itu bersama-sama dengan anaknya.

Kemudian sesetengah orang ramai pula berkata lagi :

“Lihat dua orang itu menunggang seekor baghal, alangkah siksanya baghal itu membawa beban yang berganda.”

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari baghal itu dan menyambungkan perjalanannya, kemudian terdengar lagi suara orang berkata :

“Ada baghal tetapi tuannya berjalan kaki. Alangkah bodohnya!”

Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya

“Sesungguhnya seseorang itu tidak terlepas dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tidak mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu.”

Daripada kisah ini wujudlah pertimbangan fikiran ana yang sedayanya didorong oleh ilmu yang dipelajari tanpa kawalan nafsu yang melulu.

Manusia? Siapa manusia? Ya, manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah dalam kalangan semua makhluk yang diciptakanNya. Apabila tunduknya seluruh para malaikat dan makhluk ciptaan Allah yang lain kepada nabi pertama kita, Adam Alaihissalam hinggakan menyeru juga Allah kepada Iblis untuk tunduk patuh dan hormat kepada manusia sedangkan si iblis merupakan makhluk paling tinggi dan mulia darjatnya dalam kalangan makhluk sebelum penciptaan manusia ketika itu menunjukkan kepada kita semua betapa besarnya peranan manusia kepada Penciptanya... Mengapa manusia dikurniakan darjat setinggi itu?

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." Mereka berkata, "Apakah engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?" Dia berfirman, "Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
Surah Al baqarah, ayat 30.

Untuk yang lebih lanjut rujuk kepada ayat seterusnya,31,32 dan 33. Ayat tersebut menunjukkan kepada kita semua betapa tingginya darjat manusia di sisi Allah. Namun manusia yang bagaimana? Tentu sahaja manusia yang beriman dan beramal soleh. Ayat tersebut juga menunjukkan kepada kita sungguhpun manusia itu merupakan sebaik-baik ciptaan namun manusia juga mempunyai kekurangan yang langsung tidak dapat ditolak oleh manusia sendiri walau sedikitpun. Oleh sebab itu, Allah menurunkan kepada seluruh manusia para nabi dan rasulNya sebagai utusan kepada risalah dan hidayahNya. Sekiranya tanpa panduan arah oleh yang Maha Kuasa, tentu sahaja manusia akan hidup dalam keadaan huru hara kerana manusia serba tidak sempurna dan penuh dengan kekurangan. Andaikan tiada peraturan dan panduan dari Allah, undang-undang yang dicipta oleh makhluk yang serba kekurangan untuk mengatasi sesuatu masalah yang berlaku dalam masyarakat tentu sahaja undang-undang tersebut akan turut sama menjadi serba kekurangan. Kita sendiri boleh berfikir tentang itu. Mencuba setinggi mana sekalipun walaupun setelah turunnya panduan dari Allah, manusia tetap juga tidak mampu menjadi yang sempurna kerana fitrah manusia sendiri yang sering lupa,lalai dan leka. Apa yang kita semua mampu lakukan sebagai manusia adalah cuba menjadi yang terbaik walaupun tidak mampu untuk menjadi yang sempurna.

Kupasan cerita tentang Luqman Al-Hakim bersama anaknya menunggang seekor baghal. Apa persperktif pertama yang anda semua fikir setelah membaca kisah di atas? Tentu sahaja antum antunna akan berfikir, "Oh, kita perlu menjadi diri kita sendiri. Jangan dengar cakap orang." Ya, mungkin. Tapi hebat benarkah kita hendak disetarafkan darjat kita dengan Luqman Al Hakim? Sudahkah kita menjadi sebijaknya atau setinggi taqwanya kepada Tuhannya? Layakkah juga kisah tentang diri kita untuk dijadikan Kalamullah di dalam kitab suciNya Al quran sebagaimana termaktub kisah Luqman di dalamnya? Jawab pada diri anda sendiri. Kisah di atas sebenarnya ditakrifkan dan disamakan hanya buat insan-insan yang beriman dan bertaqwa. Memenuhi jalan hidupnya dengan cinta dan rasa ta'jub kepada Allah. Bolehkah kisah tersebut disamakan pada mat rempit atau pelacur di luar sana? Penagih dadah mahupun pembunuh bersiri? Tidak sama sekali bagi ana. Tentu sahaja mereka-mereka dalam senarai itu merupakan pelaku dosa besar yang menempah tempat secara percuma di neraka kelak kerana telah termaktub di dalam Kalamullah yang suci antara perkara yang diharamkan oleh Allah. Mana mungkin seorang pelacur boleh katakan begini setelah mengetahui kisah di atas, "Oh, setiap manusia ada cara tersendiri. Tidak akan terlepas dari kata jahat orang lain. Begitu juga aku seorang pelacur ini." Bolehkah begitu? Sekiranya ada pelacur yang katakan begitu, ana orang pertama yang akan mentertawakannya. Kerana apa? Dia tidak tergolong dalam golongan insan yang termasuk dalam tsabit cerita di atas kerana dia tergolong dalam kalangan manusia yang bukan cuma mendapat tohmahan manusia malahan tohmahan dan kutukan dari Allah s.w.t.

Walaupun begitu, jangan memandang sesuatu yang lebih besar dahulu, mulakan pada diri kita sendiri. Renungkan pada perkara yang lebih kecil skopnya. Tentu sahaja kita tidak suka ada pandangan jahat dan kata-kata yang buruk tentang diri kita. Tiada siapa yang boleh lari dari perkara itu. Diri ana sendiri, tak lari dari sebaran fitnah dan ucapan serong orang sekeliling. Ana sendiri tidak suka sekiranya ada yang sibuk bercerita itu ini tentang diri ana. Yang jahat-jahat sahaja yang orang nampak pada diri kita. Oleh yang demikian, jagalah mulut dan tutur kata kita dari mengeluarkan perkataan-perkataan yang boleh mencela dan memburukkan orang lain. Hari ini cerita itu bermula dari mulut kita kepada seorang sahabat, sahabat kita menyampaikan kepada sahabatnya, sahabat kepada sahabat kita itu pula bercerita pada sahabatnya hinggalah kisah itu tersebar dan diketahui orang ramai sehingga pandangan-pandangan serong terbit pada si sipolan. Padahal, sipolan tersebut tidaklah sebesar mana kesalahannya. Mungkin sipolan tersebut bukanlah seperti yang disangkakan tapi kerana cerita kotor yang disebarkan oleh radio bergerak secara percuma itu membuatkan orang ramai melabelnya sebagai "JAHAT" atau "KEJI". Diri kita pula, free2 sahaja diberikan oleh Allah dosa yang bersambung-sambung dan tidak putus selagi mana kisah tersebut masih tersebar luas. Astaghfirullahalazim.... Peliharalah lidah kita... Kerana lidah yang lembut tidak bertulang ini akan membantu kita menempah tempat yang besar di dalam neraka untuk jangka waktu yang panjang....

Ini cerita ana...Ana sedikit kekok dengan dirinya kerana cara dan pemikirannya sangat berbeza dengan ana. Dia juga seorang yang sangat suka melabel, cerewet dan mudah membenci orang tanpa mengenalinya dengan lebih dekat terlebih dahulu. Untuk mengelakkan ana dari terus-terusan mengotorkan hati menambah kebencian padanya, ana mendiamkan diri. Oleh sebab itu, seperti ada batu besar yang memisahkan antara ana dengan dia. Ada sahaja yang dilakukannya tidak kena pada mata ana. Serasa ingin menjerit sekuat hati melepaskan semua yang terbuku dalam hati. Akhirnya ana bertindak meluahkan perasaan kepada seorang sahabat. Dia menyuruh ana bersabar dengan tingkah lakunya. Sahabat ana juga mengatakan mungkin ana sendiri yang terlalu sensitif dan terbawa2 dengan pemikiran yang bertentangan dengannya. Ana menerima nasihatnya dan terus bersabar... Ya, tidak ana nafikan ana sendiri bersalah dalam hal ini... Kata-kata sahabat ana termakan juga... Mungkin ana sendiri yang terlalu sensitif... Tidak mengapalah.. Ana menerima kesalahan ana dan cuba menebusnya. Dengan dia, ana cuba berlapang dada dan menerima... Hinggalah suatu hari, seorang sahabatnya datang ke bilik dan berdiri di luar pintu sambil berbual dengannya. Tiba-tiba sahabatnya bertanya, "mana kak bilik ni yang....... " bicaranya tergantung kerana dia cepat-cepat menahan sahabatnya dari terus menyambung kata-kata kerana ana ada di dalam bilik ketika itu. Kemudian sahabatnya berkata lagi, "kita tak cakap apa2 pun lagi tau...." Ya, memang ana mendengar setiap pertuturannya. Sedih! Hanya itu perasaan yang bisa digambarkan ketika itu... Ana terus berlari meninggalkan bilik dan mencari sahabat ana. Sahabat ana cuba meredakan tangisan yang sedang bersiaran langsung. Dia menenangkan perasaan ana... Ya, sedang sangat terluka ketika itu... Mana mungkin ana boleh menipu perasaan ana sendiri. Air mata ana keluar tanpa diminta. Langsung tidak boleh ditahan. Ana kecewa benar ketika itu. Serasa hendak keluar dari bilik itu dan tidak mahu melihat mukanya lagi. Benci! Sahabat ana menjadi penenang lagi. Dia tidak mahu mengeluarkan bicara kerana ana benar-benar terluka ketika itu. Sedikit nasihatnya, "Pergi balik sekarang, tunaikan solat sunat dan mengadu sepuas-puasnya kepada Allah." Ana turuti nasihatnya. Lebih tenang selepas itu. Memuhasabah diri sendiri merupakan perkara terpenting ketika hati sedang dilanda kemurungan dan masalah.
Tidak lama selepas itu, berlaku sedikit salah faham antara ana dan rakan sekelas. Ketika itu juga ana sangat murung hingga membawa kepada pertemuan ana dengan rakan sekelas ana itu. Akhirnya dia menerangkan pada ana bahawa ana langsung tiada kaitan dengan perselisihan yang berlaku. Ana mengucapkan syukur panjang. Daripada kejadian itu, Allah mentarbiah hati dan menegur ana... Dalam setiap perselisihan yang berlaku, janganlah bersikap angkuh dan ego... Mungkin perselisihan yang berlaku berpunca dari diri kita tanpa kita sedari. Sebelum menuding jari kepada orang lain lebih baik menyalahkan diri sendiri terlebih dahulu dan bersikap menjadi yang lebih awal meminta maaf.

Ana memaafkan kesalahan dia kerana merasakan semuanya berpunca dari ana. Tidak mengapalah. Namun tidak lama selepas itu, sahabatnya yang sama yang datang lagi ke bilik. Ketika ana membelakangkannya, sahabatnya itu menunjuk-nunjuk ke arah ana. Dia hanya memandang ke arah sahabatnya sambil tersenyum. Ana merasakan ada sesuatu yang pelik sedang terjadi ketika itu. cepat-cepat ana berpaling ke belakang. Aksinya kantoi dan dapat dilihat oleh ana. Sahabatnya terus terdiam. Hati ana menangis lagi ketika itu. Mata ana hanya mampu menyembunyikan apa yang zahirnya namun perasaan ana bagai dikelar-kelar. Laungan Istighfar dan zikir yang termampu diluahkan. Pandangan ana pada sahabatnya telah lama dijatuhkan. Perlahan-lahan ana naik ke atas katil dan cuba melelapkan mata. Hati masih lagi kecewa dengan kejadian yang baru sahaja berlaku... Tiba-tiba air mata yang ditahan tadi mengalir juga dari celah-celah kelopak mata yang tertutup...

"Apa salahku yang telah aku lakukan kepada mereka, Ya Allah... Adakah aku telah menyakiti mereka dengan kesakitan yang teramat sangat? Ya Allah, tolonglah tegur hambaMu ini sekiranya ada aku melakukan kesalahan yang tidak disengajakan....."

Sayu...Hanya itu yang termampu... Setiap kali bertembung di jalanan atau di mana-mana, sahabatnya akan menarik muka dan memandang ana dengan pandangan benci... Sehingga hari ini, ana masih tertanya-tanya... Apa salah ana.....

Kesedihan ana membawa ana kepada penceritaan ini. Ana sekadar ingn berkongsi untuk dijadikan sebagai pengajaran dan peringatan buat antum antunna semua. Bukan untuk kutukan atau tohmahan yang disengajakan. Sekiranya ada yang tidak berpuas hati dengan mana-mana sahabat atau kenalannya lebih baik berterus terang dari menyebarkan cerita yang tidak-tidak tentangnya. Pada mulanya mungkin memang dia yang bersalah namun disebabkan sikap dan kegemaran kita yang lebih suka bercakap-cakap di belakang akan memulangkan dosanya pada kita dan menambah pahala buat dia. Buat yang mendengar cerita pula, jangan terlalu cepat menilai dan melabel seseorang hanya kerana cerita yang didengari oleh sahabat terdekat kita tanpa kita mengenali dengan lebih baik bagaimana sipolan yang dikatakan itu dan mengkaji kesahihan cerita tersebut....Renung2kanlah.......wallahua'lam...