Thursday, October 24, 2013

_The Lady in Rain_




Kepulangan Muhammad ke tanah air umpama satu mimpi. Encik Fadzil memeluk erat anak lelakinya itu. Kejap dan kemas. Meluah seluruh rasa rindu dan kasih dari arus pelukan itu. Genangan air mata si ayah kelihatan di tubir mata.

Si ibu memerhati dari sudut ruang tamu. Renungan anak mata berkaca itu seakan-akan mengandungi seribu satu rasa dan emosi yang tidak dapat ditafsir dengan mudah. Muhammad menghampiri ibunya yang masih merenung dalam ke wajahnya. Seakan-akan tidak dapat dipercayai lelaki bertubuh sasa yang sedang berdiri di hadapannya adalah anak lelakinya yang telah pergi selama hampir tujuh tahun berhijrah ke bumi Anbiya’ bermusafir dari satu tempat ke tempat yang lain demi mencari ilmu.

“Ibu....” Lunak suara lelakinya menyeru panggilan buat ibu. Menitis air mata si ibu mendengarnya.

“Subhanallah... Betulkah Muhammad anak ibu? Muhammad?? Benarkah? Atau aku hanya bermimpi?...”

“Ibu....”

                Lantas tangan kecil nan lembut yang menghayun buaian ketika kecilnya Muhammad itu dikucup lembut. Kuat genggaman tangannya. Disentuh lembut wajah anaknya. “Subhanallah, anak ibu...” Terus dirangkul erat tubuh sasa Muhammad. Betapa dalamnya rindu ibu buat anak yang telah lama tidak pulang. Kedua orang abang dan kakaknya yang seorang itu tersenyum memerhati pasangan anak dan ibu itu. Muhammad mengalih pandangan pada mereka saling bersalaman dan Muhammad tunduk mengucup tangan mereka satu persatu.

***************************************************************

“Muhammad, ibu nak masak makanan kegemaran Muhammad hari ni. Ibu ingat lagi Muhammad suka makan sambal udang dengan pucuk ubi masak lemak pekena dengan sambal belacan ibu.”

“Haha... Ibu tahu tak, Muhammad asyik ingat masakan ibu saja. Mana taknya, Muhammad asyik makan nasi lauk telur sahaja. Bermusafir dari satu tempat ke satu tempat mencari ulama pelbagai bidang ilmu. Tak sempat nak fikir makan lauk sedap-sedap. Tapi selalu juga Muhammad teringat masakan ibu. Muhammad jadi rindu nak balik tapi Muhammad masih belum puas mencari ilmu baru.”

“Muhammad nak pergi lagi selepas ni?” Abang Haqiemi bertanya.

“Kalau ayah dan ibu izinkan....” Muhammad mengukir senyuman merenung ke wajah ibu dan ayahnya.

                Encik Fadzil dan Puan Arbakenah saling berpandangan. ‘Benarkah akan pergi semula?’ Hati si ibu bagai terhunus sembilu. Pedih dan luka. Muhammad tersenyum melihat riak wajah ibu yang bertukar mendung. Muhammad menggenggam tangan ibu. Matanya ditatap lembut.

“Ibu, Muhammad cakap Muhammad hanya akan pergi kalau ayah dan ibu izinkan.”

“Muhammad, tolonglah jangan tinggalkan ibu lagi. Cukuplah.” Puan Arbakenah seakan-akan merayu.

“Ibu, Muhammad janji Muhammad takkan pergi lagi tapi....”

“Tapi apa, Muhammad?” Encik Fadzil mencelah. Semua mata merenung ke arah Muhammad.

“Boleh tak Muhammad sambung belajar di sini sambil menunggu Muhammad dapat kerja dahulu?”

                Puan Arbakenah mengurut dada. Seluruh ahli keluarganya menghembus nafas lega. Encik Fadzil tersenyum memandang Muhammad sambil mengangguk tanda setuju. Muhammad menyenduk nasi ke dalam pinggan. Lapar katanya. Mereka sekeluarga tertawa melihat telatah Muhammad. Lucu dan manis orangnya.

*********************************************** 

                Khadijah benci dan rimas berada di rumah. Terasa sentiasa diperhati dan dikongkong oleh kedua orang tuanya. Perlu buat itu perlu buat ini. Semuanya arahan dan larangan. Tiada satu pun suruhan atau kebenaran kepada apa yang diminatinya.

Dia terganggu dengan sikap ayah dan ibunya. Berasa diperlakukan seperti boneka bodoh yang tiada akal dan fikiran sendiri untuk menjalani kehidupan yang penuh makna dan keseronokan.

Khadijah belajar di sini! Khadijah belajar tentang ni! Khadijah jangan bersikap begitu! Khadijah jangan keluar ke situ! Khadijah jangan berkawan dengan sipolan tu! Semuanya Khadijah, Khadijah, Khadijah... ‘Aku ni manusialah!!’ Hatinya menjerit.

                GEDEGANG!!! Bergegar villa mewah di pinggir tasik itu dengan tangan anak gadis berusia 25 tahun menghempas pintu biliknya. Marah. Tekanan seakan-akan memuncak dengan teguran ayah dan ibunya. Semua yang dilakukannya salah. Semuanya ada saja yang tidak kena di mata mereka. Apa yang mereka mahu sebenarnya? Tidak puaskah mereka mengongkong kehidupan abang dan kakaknya sehingga kehidupannya juga perlu ditentukan. Abang dan kakaknya mungkin boleh dianggap sebagai boneka yang sentiasa menurut sahaja apa yang mereka katakan tetapi tidak dirinya.

                Ya, Khadijah seorang gadis lahir dalam dunia metropolitan penuh kemewahan dan kesenangan. Sedikitpun tiada minatnya yang cenderung kepada cara hidup sederhana dan bawahan. Baginya, mereka yang bertaraf miskin dan hidup di kampung layak diperlakukan seperti hamba dan tidak setaraf untuk bersahabat dengan mereka.

“Hello, Mia. Ha, apahal??”

“Ha, Ieja. Aku nak ajak kau keluar malam ni.”

“Pergi mana? Kelab?? Sorrylah, Mia. Kau tahukan, sejahat-jahat aku ni aku tak naklah pergi clubbing segala. Aku tak minatlah tempat serabut macam tu.”

“Apalah kau ni, Ieja. Cuba dengar dulu apa aku nak cakap. Nak ikut aku tak pergi rumah Fahmi?”

“Fahmi mana ni??”

“Kau ni kan!! Fahmilah! Khairul Fahmi.”

“Oh, aku terlupa. Manalah aku tahu. Aku ingat Fahmi kawan kau. Ha, kenapa nak pergi rumah dia pula?”

“Ai, takkanlah dia tak jemput kau? Dia tak beritahu kau ke semalam?”

“Jemput apa pula ni? Apasal? Dia nak nikah ke? Kau jangan macam-macam, Mia.”

“Apa benda pula ke situ kau fikir ni. Dia buat majlis ulangtahun kelahiran dialah.”

“Oh, nak, nak. Aku nak ikut. Kau jemput aku tau malam ni. Aku pun menyampah duduk dalam rumah ni lama-lama.”

“Bergaduh lagilah tu dengan mak ayah kau. Kau nikan Ieja tak habis-habiskan... Itukan mak ayah kau.”

“Dahlah! Kau jangan nak bagi ceramah pula kat sini. Aku tengah tertekan sangat ni. Kang tak pasal-pasal dengan kau-kau sekali kena sembur kang. Pukul berapa nak jemput aku?”

“Hurm... Kau ni memang kepala batu, hati kayu. Aku jemput kau jam lapan nanti. Tak payah nak tebal-tebal sangat mekap kau tu. Lambat sangat aku tinggal je. Kau pergi sendiri.”

Khadijah tersenyum mendengar kata-kata sahabatnya. Kedengaran lucu baginya. Talian dimatikan. Khadijah membuka almari. Satu-satu bajunya dibelek. ‘Yang mana satu aku nak pakai ni?’ Dia berbisik dalam hati. Sehelai gaun merah labuh sesuai untuk makan malam menjadi pilihan hatinya. Kasut tumit tinggi berwarna merah jambu lembut berjenama diletakkan di tepi katil. Sesuai dipasangkan dengan baju mahalnya. Khadijah mencapai tuala dan segera menuju ke bilik mandi.

*****************************

“Ayah, Ibu, Muhammad pergi dulu ya.”

“Muhammad, sampaikan salam ibu dan ayah pada Khair ya. Baik-baik memandu kereta tu.”

“Baiklah, ayah. Muhammad pergi dulu ya.”

                Puan Arbakenah tersenyum tatkala anak itu tunduk mengucup lembut tangannya. Muhammad bersalaman dengan ayahnya pula. Mereka berdua berdiri di pintu sehinggalah bayang kereta Muhammad hilang ditelan kegelapan malam.

“Abang, saya rasa tak sedap hatilah.” Puan Arbakenah meluahkan perasaan yang dialami.

“Awak ni cuba jangan fikir bukan-bukan. Muhammad pergi rumah kawan lama dia. Bukan pergi merayap jauh pun.”

“Saya tahulah, abang. Tapi kenapa saya rasa tak sedap hati, ya?”

“Memanglah tak sedap hati...”

“Kenapa, bang?”

“Sebab awak tak bagi saya makan lagi.”

                Encik Fadzil meletakkan tangannya ke perut. Sengaja ingin menyindir isterinya. Puan Arbakenah tergelak besar. Sejak petang tadi suaminya masih belum makan kerana dia sibuk mengurus pakaian apa yang perlu dipakai Muhammad. Apa yang Muhammad ingin bawa ke rumah sahabatnya dan macam-macam lagi sehingga terlupa suaminya masih kelaparan menanti.

*****************************

“Dah kau ni kenapa pulak, Ieja? Puas aku tunggu kau berjam-jam depan rumah kau sekarang kau taknak masuk pulak? Apa masalah kau ni sebenarnya, Ieja? Baik kau cakap awal-awal kalau kau taknak pergi. Tak adalah aku nak membuang masa aku menunggu kau dari pukul lapan tadi. Sekarang ni dah pukul 9.30 kau tahu tak?”

“Kau janganlah membebel pulak, Mia. Aku tengah nervous ni kau tahu tak?”

“Dah pulak yang kau nak nervous-nervous segala ni kenapa?”

“Aku pun tak tahulah, Mia.”

“Aku rasa kau ni kena pergi hospitallah, Ieja. Kau nak pergi hospital kecemasan ke hospital sakit jiwa? Cuba kau pilih!” Marah benar Nuri Syarmia pada temannya yang satu itu.

“Dahlah! Kau dah kebulur sangatkan? Masuklah cepat!” Khadijah geram.

“Hai, aku pulak yang kena marah?”

“Diamlah!”

                Khairul Fahmi tergamam memandang ke arah gadis itu. Manis dan.....entahlah. Tiada perkataan yang mampu menterjemahkannya. Boleh dikatakan semua mata memandang ke arah Khadijah.

“Bidadari syurga di dunia....”

Ayat itu keluar menyusur laju dari mulut Khairul Fahmi. Muhammad melihat ke wajah sahabatnya. Pelik. Siapa yang dikatakan sebagai bidadari itu? Muhammad memandang ke arah yang sama mencari-cari siapa yang dimaksudkan oleh Khairul Fahmi. Matanya terus tertunduk. Hatinya beristighfar panjang. Memang indah. Tetapi bukan untukku. Muhammad menjauh dari sahabatnya.

“Fahmi....” Lembut suara bidadari itu menegur.

“Bidadari...” Fikiran Khairul Fahmi masih menerawang jauh.

“Bidadari? Siapa bidadari?” Khadijah mengajuan soalan kepada Khairul Fahmi. Khairul Fahmi terkejut dari lamunannya.

“Eh, tak. Saya sedang berbual tentang kisah bidadari syurga dengan sahabat saya. Kenalkan, ni Muhammad.” Khairul Fahmi memandang ke sisinya namun Muhammad tiada di situ. Khadijah tergelak kecil.

“Awak okay ke tak ni, Fahmi?” Khadijah bertanya.

“Eh, saya baik-baik je. Kejap ya, saya panggilkan kawan saya tu.” Khairul Fahmi berlalu pergi meninggalkan Khadijah dan Nuri Syarmia di situ.

“Ieja, kan aku dah cakap tak payah nak mekap tebal-tebal sangat. Ni tengok rambut kau ni. Dah macam-macam gaya dah aku tengok. Macam pelangi pun ada aku tengok. Cuba bawak-bawak pakai tudung sikit. Kau tengok apa dah jadi. Tengok semua mata pandang kau tau.”

“Biarlah diorang nak pandang aku pun. Orang ada mata pandanglah. Takkan aku nak tutup pulak mata orang. Dah aku memang cantik, jadinya orang pandanglah.”

“Kau nikan, Ieja. Memang menyakitkan hati!”

                Mana tidak hatinya geram. Kekasih hatinya dalam diam, Khairul Fahmi memandang sahabat baiknya seperti ingin menelan sedang kecantikan pada wajahnya hanya sekadarnya sahaja. Nuri Syarmia mengetap bibir melihat Khairul Fahmi menghampiri. Di sisinya seorang lelaki. Penuh gaya dan karisma. Ada sesuatu di wajahnya yang tidak kelihatan pada yang lain. Sinar.

“Mia, Ieja. Kenalkan, ni sahabat saya, Muhammad. Hampir tujuh tahun barulah hari ini saya dapat bertemu dengannya.”

                Muhammad tersenyum. Manis. Tapi pandangannya hanya sebentar ke wajah dua gadis di hadapannya. Malu ingin menatap dan memandang lama.

“Muhammad. Sedapnya nama. Dah kahwin?”

Mia menunjuk-nunjuk rasa minatnya pada Muhammad di hadapan Khairul Fahmi supaya lelaki itu cemburu. Hati lelaki itu geram. ‘Adakah Mia mula jatuh cinta pada Muhammad?’ Hati Khairul Fahmi sakit. Bagai tertusuk sembilu. Hancur luluh berkecai. Rasa yang disembunyi sekian lama. Bilakah akan terluah? Hanya menunggu masa.

********************************************************
                Pertemuan singkat itu memberi kesan yang mendalam pada diri Nuri Syarmia. Ya, sungguh dalam hatinya hanya ada Khairul Fahmi. Lelaki yang telah lama bertakhta dalam hatinya sejak dari bangku sekolah lagi.  Tetapi fikirannya kerap menerawang memikirkan lelaki pemalu itu, Muhammad.

Apa yang menarik tentang Muhammad? Nuri Syarmia sendiri tidak dapat memberikan jawapan buat hatinya. Apa yang pasti ia bukan cinta. Mungkin hanya rasa tertarik dengan akhlak lelaki berwajah bersih itu.

Kring! Kring! Kring! Kring!

                Telefon bimbitnya berbunyi.  Lamunannya mati di situ. ‘Allah, terkejut aku.’

“Hello. Assalamualaikum.”

“Tak payahlah nak bersalam-salam dengan aku je pun. Weh, Mia! Kau nak tak keluar pergi taman hari ni? Aku bosanlah duduk rumah ni makan tidur je.”

“Untunglah dapat makan tidur je. Kau ni tak kepingin ke nak sambung belajar ke apa ke? Kalau dah taknak belajar pergi cari kerja. Kata lulusan universiti. Apa guna ada kelulusan tapi tak pandai guna? Kerja kau menghabiskan duit mak bapak kau je kan?”

“Kau nak membebel dengan aku pagi-pagi buta ni kenapa? Spoil mood orang jelah!”

“Dah tu, tadi kau juga yang cakap bosan asyik makan tidur je. Aku bagi cadanganlah supaya kau tak bosan dan asyik mengganggu aku pagi-pagi buta ajak pergi sana pergi sini. Aku tolong mak akulah kemas rumah. Nak buat sarapan lagi. Kau pergilah taman tu sendiri. Kereta ada pergi drive sendiri. Apalah kau ni!”

“Cakaplah dari tadi tak boleh. Ni tak, berleter panjang macam mak nenek. Tu belum tua lagi mulut dah macam kakak tua. Cuba kalau dah tua nanti? Ish, ish, ish, ish, ish....”

“Tak kisahlah kakak tua ke mak nenek ke.... Kau tu ha, tak payah duduk rumah menghabiskan beras je. Sekali sekali bermanfaatlah sikit untuk orang lain. Nasib baik dapat kawan baik macam aku ni. Boleh tolong jadi mak nenek kau. Kalau dapat kawan yang syok je nak telan duit kau selalu memang bankrup mak bapak kau.”

“Dah, tak payah membebel panjang-panjang. Aku chow dulu.”

“Hoi, aku tak habis cakap lagi. Kau tu dah solat subuh ke belum?”

“Ish, nantilah. Kalau aku rajin.”

“Tak senonoh punya budak! Hoi, pergi solatlah!”

                Talian terus dimatikan. Nuri Syarmia geram. Kalaulah Khadijah ada di hadapannya pasti telah dipiat-piat telinga gadis itu. Hatinya rasa bagai ingin meletup. Khadijah selalu menguji kesabarannya. Memang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi apabila mempunyai sahabat baik seperti gadis berkepala batu itu.

************************************************

“Aduh, penatlah pulak. Ramai pulak manusia kat sini hari ni. Time aku datanglah orang ramai nak datang. Sibuk je!”

                Khadijah membebel sendiri. Dia mengambil tempat duduk di astaka berhampiran. Kakinya lenguh. Penat berlari tawaf seluruh kawasan Taman Tasik Perdana itu. Tiba-tiba pandangannya mati ke satu arah. Kelihatan kelibat lelaki yang dikenali sedang berlari. Matanya mencari-cari. Mengesan. Benarkah lelaki itu? Tidak kelihatan. Khadijah malas mengambil pusing. Rambutnya yang panjang mengurai disisir lembut dengan jari. Ikatannya diperkemas. Titisan peluh mengalir membasahi tubuhnya. Kain kecil berwarna oren dilapkan ke leher. Langit semakin mendung. Khadijah membebel lagi.

“Aduhai, dah sedap-sedap lepak sini nak hujan pulak. Nanti-nantilah nak hujan pun. Tunggu aku menikmati pemandangan kat sini. Seronok jugak keluar sorang-sorang sekali-sekala macam ni.”

                Tiba-tiba hujan turun lebat membasahi lantai bumi. Khadijah terkesima. Jalan menuju ke tempat parking kereta masih jauh. Mulutnya membebel tak berhenti. Khadijah berlari meredah hujan yang turun lebat. Tidak semena-mena dia jatuh terjelupuk.
“Ahhhh, masa nilah kau nak wat aksi hindustan pulak, Khadijah oiii.....”

                Khadijah cuba bangun. Gagal. Kakinya sakit. Terseliuh. Tiba-tiba..... “Aik, hujan masih lebat! Sana hujan, sini tak hujan. Sana hujan, sini tak hujan.” Tangannya di gerakkan ke kiri dan ke kanan. Dia mendongak. Pandangannya mati ke wajah itu. Lelaki itu. Muhammad.


“Awak boleh bangun ke tak?” Muhammad mengajukan soalan.

“Tak.”

“Kejap ya. Pegang payung ni kejap.”

“Habis, awak....”

                Belum habis Khadijah berkata-kata Muhammad berlari dalam basah hujan pergi meninggalkannya sendirian di situ bersama payung dan perasaan yang berbaur. ‘Dia nak pergi mana? Habis aku macam mana?’ Khadijah melayan perasaan sendiri. Rasa hendak menangis pun iya. Orang yang lalu lalang tidak seorang pun mengendahkannya. Begitulah manusia. Tidak lama kemudian..

“Dik....” Suara lembut menegurnya dari belakang. Khadijah berpaling.

“Akak tolong adik bangun, ya?”

“Akak ni siapa?” Khadijah bingung.

“Akak ni kakak Muhammad. Nama akak Siratul Jannah. Boleh panggil akak kak Jannah. Muhammad cakap ada kawan dia jatuh perlukan bantuan. Akak datanglah. Patutlah dia panggil akak. Perempuan rupanya. Nama adik apa?” Kak Siratul Jannah membantu Khadijah bangun. Tangannya memeluk Khadijah erat membantu gadis itu berjalan. Perlahan.

“Khadijah. Terima kasih ya, kak. Muhammad mana, kak?”
Kak Siratul Jannah tersenyum lebar. Seakan-akan ada maksud yang mendalam di situ. “Dia tunggu kat kereta. Khadijah sorang je ke?”

“Haah, kak.” Sejuk memandang ke wajah wanita itu. Bicaranya lembut, suaranya lunak. Jarang ketemu wanita punya peribadi seperti Kak Siratul Jannah.

“Hurm... Khadijah naik kereta akak boleh? Dalam keadaan macam ni tak boleh nak drive kereta ni. Ikut akak, ya?”

“Baiklah, kak.”

                Dari jauh Muhammad memerhati Khadijah di sisi kakaknya. Di bawah payung dalam hujan yang turun lebat. Bagai bidadari kayangan dalam dunia khayalan. Matanya dijatuhkan. Hatinya beristighfar. Terleka seketika menghayati keindahan ciptaan Allah di hadapan mata.

Kak Siratul Jannah mengetuk cermin tingkap kereta. Lamunannya mati setakat di situ. Muhammad membantu membukakan pintu kereta. Perlahan-lahan Khadijah masuk melangkahkan kaki kanannya yang terseliuh. Kak Siratul Jannah memandang wajah adiknya. Wajah lelaki itu selalu menunduk. Sama layanannya dengan perempuan-perempuan lain tetapi ada sesuatu yang berbeza dari segi tingkah laku Muhammad yang seakan-akan gugup apabila Khadijah ada di situ. Tidak tenang seperti selalu.

*************************************
“Ieja taknak kahwin! Ieja taknak! Apatah lagi kahwin dengan pilihan mama dan papa. Ieja taknak! Mama dan papa ingat Ieja ni anak patung ke? Tak ada perasaan? Tak ada hidup sendiri? Ha?? Ieja ada hati dan cara Ieja sendiri. Janganlah paksa-paksa Ieja kahwin! Mama dan papa tak perlu aturkan hidup Ieja. Ieja bukan budak kecil yang boleh mama dan papa nak atur-atur. Dari kecil sampailah Ieja dah berumur 25 tahun pun mama dan papa tak puas-puas nak tentukan apa yang perlu Ieja pilih, apa yang perlu Ieja buat. Ieja benci dengan semua ni. Ieja benci dengan papa mama!”

“Ieja, mama dan papa buat semua ni untuk Ieja.” Puan Sri Hashimah memujuk.

“Ieja meluat dengan hidup ni. Ieja tak pernah bebas nak buat apa yang Ieja suka. Mama dan papa tak pernah ambil tahu apa yang Ieja nak dan apa yang Ieja harapkan. Pernah tak walau sekalipun mama dan papa fikir tentang kehendak hati anak mama papa seorang ni? Semua yang papa dan mama buat untuk kepentingan mama dan papa. Tak pernah pun fikir tentang perasaan Ieja. Mama dan papa nak jual Ieja kat keluarga tu kan? Nak besarkan lagi empayar syarikat papa yang dah besar tu. Tamak! Itulah sikap papa. Mama? Sebagai ibu mama pernah tak ajar Ieja macamana jadi seorang anak yang pernah punya ibu? Pernah tak?! Apa yang kalian tahu hanyalah bagaimana nak atur kehidupan orang lain. Ieja tak nafikan Ieja memang senang hidup sebagai anak Tan Sri Luqman dan Puan Sri Hashimah. Wah, hebat! Anak orang kaya! Tapi Ieja orang yang paling miskin sebenarnya. Miskin budi dan kasih sayang. Sebab apa? Sebab Ieja ada mama papa yang cuma tahu nak buat duit sahaja. Tak cukup-cukup lagi ke duit yang dah berbukit-bukit tu, ha?!!”

“Ieja, kami buat semua ni untuk kepentingan Ieja. Cuba Ieja sesekali fikir tentang mama dan papa juga.” Masih lagi Puan Sri Hashimah memujuk. Tan Sri Luqman hanya duduk menunggu keputusan akhir pertengkaran itu.

“Sesekali??? Dah tak terkira dengan jari berapa kali Ieja fikir tentang mama dan papa sejak dari kecil sehinggalah ke hari ini sehingga Ieja dah tak mampu nak fikir tentang kepentingan diri sendiri pun. Baiklah, fikir tentang mama dan papa, kan? Okey, bila nak jual anak mama ni? Bila?!!!”

“Ieja, mulut kamu jaga!” Tan Sri Luqman mula bersuara.

“Jaga? Dah lama Ieja jaga. Penat dah. Hari ni Ieja serahkan seluruh hidup Ieja kepada papa dan mama. Suka hati papa mamalah nak jadikan Ieja pelacur ke apa ke, silakan....”

                Khadijah terus berlari naik ke biliknya. Deraian air mata tiada siapa yang tahu. Hanya hatinya yang pedih mengerti. Sedang Tan Sri Luqman dan Puan Sri Hashimah saling tersenyum memandang satu sama lain. Puas hati kerana kedegilan anak itu kerap kalah dengan kuasa veto mereka sebagai orang tua.

Pada siapa hati yang luluh itu hendak mengadu sedangkan dirinya tidak pernah diajar bagaimana hendak mengenal tuhan. Sekadar memujuk hati sendiri.

************************************

“Aku terima nikahnya Khadijah binti Luqman dengan mas kahwinnya senaskhah al-quran dan wang RM 1000 Tunai.”

“Sah!” Suara para saksi jelas kedengaran.

“Alhamdulillah.....” Para hadirin mengucap syukur.

                Dari jauh Muhammad memandang wajah Khadijah yang basah dalam hujan air mata. Sejak dari mula-mula melihat Khadijah keluar dari kamarnya air matanya sudah bertamu di pipi. Mekapnya hilang dalam lengas kebasahan itu. Tetapi lebih indah wajah itu dalam kesemulajadiannya.

Muhammad teragak-agak ingin menyarung cincin ke jari manis itu. Sedikit pun Khadijah tidak sudi memandang ke wajahnya. Puan Sri Hashimah yang membantu mengangkat tangan itu dan meluruskan jari runcing Khadijah. Muhammad berasa serba salah namun dipaksa juga menjerluskan bulatan cincin itu ke jarinya sambil dalam hatinya berdoa, semoga Allah yakinkan hatinya bahawa pilihannya tidak sedikitpun khilaf.

Hati Khadijah sekeras batu. Dia lekas bangun dan naik mendaki tangga masuk ke kamarnya. Hati Muhammad bagai terhiris halus. ‘Allah, kuatkan aku.’ Muhammad berpaling memandang ke arah ibu dan kakaknya. Puan Arbakenah dan Kak Siratul Jannah menghampirinya. Puan Arbakenah mengusap lembut belakang tubuh Muhammad semoga dengan itu hati Muhammad akan sedikit tenang.

Encik Fadzil datang dari belakang terus menarik lembut tangan anak lelakinya. Muhammad dituntun ke luar rumah.

“Muhammad, ayah minta maaf kalau permintaan ayah pada Muhammad keterlaluan. Orang minta tolong pada kita, Muhammad.”

“Ayah, Muhammad faham... Muhammad tak salahkan ayah. Tak salahkan sesiapa pun. Ini memang pilihan Muhammad. Dan Muhammad faham, papa dan mama Khadijah sahabat baik papa. Mereka mengharapkan pertolongan Muhammad untuk membimbing anak mereka. Muhammad tak menyesali apa pilihan yang Muhammad dah buat. Dan Muhammad akan cuba menjadi suami dan imam yang terbaik buat isteri Muhammad. Muhammad cuba ya, ayah.”

“Muhammad, maafkan ayah.”

“Ayah, tolong jangan cakap macam tu. Muhammad....”

                Tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang. Kata-katanya terbantut. Muhammad berpaling. Dua wajah insan baru dalam kehidupannya.

“Muhammad.....” Tan Sri Luqman memanggil lembut.

“Iya, papa.”

“Muhammad, papa dan mama minta maaf atas sikap Khadijah pada kamu. Harapan kami besar pada kamu semoga kamu mampu mengubah dirinya setelah kegagalan kami mendidiknya. Kami lakukan ini semua hanya sebagai satu cara untuk menebus kembali kesilapan kami. Kami tak seharusnya melayan Khadijah seakan-akan barang hak milik dan bukannya sebagai anak. Kami sangat menyesali kesalahan kami. Dan inilah satu-satunya cara supaya Khadijah terselamat dalam kemudian kapalnya agar dia tidak terus hanyut dengan dunianya sendiri.” Suara Tan Sri Luqman lemah.

“Papa, Muhammad faham. Apa yang Muhammad minta hanya satu. Tolonglah layan Khadijah sebagaimana seorang anak memerlukan perhatian dan kasih kedua ibu bapanya. Dia merindukan keprihatinan, sikap belas kasihan serta kasih sayang papa mama. InsyaAllah, kita bersama-sama mengubahnya, ya.”

“Ya, Muhammad. Papa akan cuba.”

******************************************

“Khadijah, turun jom kita makan. Suami kamu pun nak makan tu. Kamu layanlah dia.” Puan Sri Hashimah memanggil dari sebalik pintu.

“Siapa suami Ieja? Mana? Bila pulak Ieja rela kahwin dengan dia?! Sendiri nak makan, mulut sendiri dan  perut sendiri yang nak kenyang. Apa kaitan dengan orang pulak?! Dahlah, mama jelah layan dia. Mama suka sangat dengan dia, kan? Pergi layanlah! Kenapa nak suruh-suruh orang pulak?!” Khadijah membentak.

Puan Sri Hashimah tertunduk mendengar tengkingan anak itu. Kebetulan Muhammad sedang berdiri di hujung tangga. Bentakan Khadijah ibarat petir bersabung hinggap di telinganya. Hatinya pilu melihat wajah si ibu bermuram durja. Muhammad menggenggam tangan ibu mertuanya.

“Mama turun dulu, ya. Biar saya yang pujuk Khadijah. Nanti saya turun kita makan sekali, ya.” Pandai Muhammad memujuk. Puan Sri Hashimah tersenyum. Dia terus turun ke bawah.

Muhammad menolak daun pintu. Dari muka pintu Muhammad taajub melihat suasana bilik pengantin itu. Indah perhiasannya namun dia tidak dapat menjejakkan kakinya ke situ pada malam pertama bergelar suami kerana tarafnya hanya sebagai suami atas kertas bagi Khadijah, zaujahnya.

Muhammad mengatur langkah kakinya perlahan menghampiri Khadijah yang sedang duduk di hujung katil memeluk bantal.

“Assalamualaikum.” Suara lelakinya menggentarkan hati Khadijah.

“Awak buat apa kat sini? Awak keluar! Keluar!” Terbang bantal hinggap ke wajah Muhammad. Sedikit pun dia tidak mengelak.

“Dah puas? Ke awak nak campak lagi bantal ni kat muka saya?” Muhammad mengangkat bantal itu dari lantai dan menyuakan kepada Khadijah.

“Awak jangan nak cari pasal dengan saya!”

“Saya tak cari pasal dengan awak. Saya cuma nak bagi awak lepas marah awak pada saya.”

“Saya tak marah awak tapi saya marah mama dan papa saya. Sebab mereka dah jual saya!”

Muhammad meletakkan bantal tersebut di atas katil. “Baiklah, awak ambil bantal ni dan pukul saya. Awak anggap saya ni macam papa dan mama awak. Pukullah saya sekuat hati awak. Saya sudi menerima beban kesalahan tu asalkan saya tak biarkan isteri saya marah dan menengking kedua ibu bapanya sehingga melukakan hati mereka.”

“Awak ni gila ke?”

“Anggap sahaja begitu.”

“Awak ni memang nak cari pasal dengan saya, kan?”

“Mungkin.”

“Awak ni memang menyakitkan hati!!”

                Khadijah mencapai bantal tersebut dan terus menghayun ke wajah dan tubuh Muhammad. Muhammad hanya berdiri tegak dan menerima pukulan dari sang isteri. Hatinya hanya perlu sabar kerana Khadijah punya hati sekeras batu dan batu itu perlu dilenturkan dengan tenangnya aliran air. Khadijah melepaskan geram dan sakit yang dipendam dengan pukulan itu.

Muhammad berasa sakit dan lemas tetapi terus bersabar. Air mata Khadijah sudah deras mengalir. Tiba-tiba dia berhenti dan terjelupuk jatuh.

“Kenapa mesti saya yang terima nasib seperti ini? Adakah saya tidak layak hidup seperti wanita lain? Adakah saya tidak layak menerima cinta dalam hidup ini? Adakah saya seorang wanita yang tidak berhak mengahwini lelaki yang saya cintai... Kenapa semua ini berlaku pada saya... Kenapa......”

                Air matanya berderai. Kakinya lemah untuk berdiri. Muhammad melutut di hadapan Khadijah. Hatinya turut sakit mendengar bicara itu. Perlahan tanpa dikawal tangannya merangkul tubuh Khadijah. Meminjamkan bahunya buat wanita itu meluahkan seluruh rasa kesedihannya.

Semakin lama suara tangisan itu semakin hilang. Muhammad melihat ke wajah isterinya. Mata itu tertutup. Kelihatan bengkak di bawah matanya. Kemungkinan terlalu banyak menangis dan kepenatan.

Muhammad mengangkat tubuh itu ke atas katil. Rambut Khadijah yang menutupi wajahnya dirapikan dengan jari lelakinya. ‘Subhanallah, bidadari ini Kau hadiahkan buatku mana mungkin aku tidak mensyukurinya, Ya Allah. Akan tetapi Kau bantulah aku dalam mengubati kesedihannya. Menjadi penawar kala sakitnya dan menjadi penguat kala lemahnya. Aku mahu menjadi suami yang layak memiliki bidadari kurniaanMu ini, Ya Allah. Dengan itu, Kau kuatkanlah iman dan hatiku agar teguhku berpegang pada taliMu sehingga aku berjaya menuntun bidadari ini menghampiriMu.’


******************************

“Mama dan papa makan dulu ya. Saya makan dengan Khadijah sahaja nanti.”

“Eh, segan pulak mama dan papa nak makan ni, Muhammad.” Tan Sri Luqman menolak pinggannya yang telah berisi mee goreng ke tengah meja.

“Tak apalah, papa. Muhammad tunggu Ieja. Kasihan dia tak ada siapa nak teman. Nanti dia taknak makan pula. Tak apa, nanti saya bawakan makanan ke bilik. Saya makan dengan dia dalam bilik sahaja. Mama dengan papa makan dulu, ya.” Muhammad menyendukkan sambal bilis ke pinggan mama dan papanya.

“Iyalah, Muhammad. Tolong tengok-tengokkan anak kami tu. Mama dah tak tahu macam mana nak pujuk dia. Marah benar dia dengan kami. Mama tahu dia salah faham dengan kami. Kami bukan nak jual dia untuk kepentingan perniagaan. Tetapi kami mahu yang terbaik buat dia. Kami taknak dia semakin hanyut dengan dunia dia sendiri.”

“Iya, ma. Muhammad naik dulu ya. Tak berani tinggalkan Khadijah tengah dalam keadaan macam tu. Nanti terjaga pulak.”

                Tan Sri Luqman dan Puan Sri Hashimah mengangguk. Sekadar menghantar langkah Muhammad dengan pandangan. Muhammad membuka pintu perlahan. Bimbang Khadijah terjaga dari tidur.

Pasti semalaman wanita itu tidak dapat melelapkan mata dan demi menghormati Khadijah Muhammad meminta izin kedua mertuanya untuk tidur di bilik tetamu dan begitu juga pada malam-malam yang seterusnya sehingga hati wanita itu sedia untuk menerimanya sebagai suami.

*******************************************

Luas mulut Khadijah menguap. Dia menggeliat perlahan. Khadijah bangun dan menyandarkan tubuhnya di kepala katil.

“Dah bangun?”

“Ha? Eh, apa awak buat dalam bilik saya? Awak siapa? Eh, saya masih bermimpi ke?” Khadijah menampar-nampar pipinya.

“Sakit pipi tu. Jangan buat macam tu. Ni, saya bawakan sarapan untuk awak.”

“Sarapan?” Khadijah mengulang tayang kembali kejadian sebelumnya dalam kotak fikirannya. ‘Ya Allah, aku tertidur dalam pelukan dia? Jadi, betullah aku dah kahwin. Bukan mimpi? Bukan! Aku dah nikah kelmarin. Ha, apa aku dah buat ni? Kenapa aku boleh tertidur dalam pelukan dia?!’ Wajah Khadijah memerah. Lirikan mata Muhammad memandang ke wajahnya seakan-akan mentertawakannya. ‘Ahhhhhh....malunya!’

“Awak, makan dulu ya. Saya suap nak?” Muhammad sengaja mahu memaksa Khadijah makan dengan cara tersebut.

“Eh, tak payah. Saya bukan kudung nak kena suap-suap segala. Bak sini!”

                Muhammad tersenyum. Khadijah makan sambil matanya mencuri-curi pandang ke arah Muhammad. Aksi Khadijah kelihatan lucu pada mata Muhammad. Muhammad tertawa kecil.

“Kenapa ketawa-ketawa? Tak pernah tengok orang makan?”

“Taklah, pernah je cuma tak pernah nampak orang makan terus tanpa basuh muka lepas bangun dari tidur.”

‘Cis, bedebah! Dia gelakkan aku. Yang aku pun satu, macamana boleh terlupa nak basuh muka pulak ni. Aduh, jatuh saham!’ Khadijah seakan-akan malu.

“Biarlah, saya basuh muka ke tak basuh muka ke ada saya kisah? Saya tak susahkan orang pun jadi awak tak payah nak sibuk-sibuk ya. Dah, awak buat apa lagi kat sini? Tak reti-reti lagi nak keluar?” Khadijah mempertahankan keegoannya.

“Saya nak makan dengan awak.”

“Saya tak jemputlah. Dah-dah! Pergi keluar sana!”

“Taknak, saya kata saya nak makan dengan awak.”

“Awak ni memang menyakitkan hati, kan? Nah, ambik ni! Makanlah puas-puas. Saya nak mandi.”

                Khadijah bangun mencapai tuala dan terus menuju ke bilik mandi. Muhammad menggelengkan kepala. Jelas, Khadijah memang berkepala batu. Pinggan diletakkan di atas meja. Muhammad keluar segera dari bilik.

Kedengaran pintu bilik ditutup. Khadijah menjengulkan kepalanya keluar dari pintu bilik mandi. Melihat-lihat sekiranya Muhammad masih ada di dalam biliknya atau tidak. Khadijah tersenyum sendiri. Niatnya untuk mandi disambung sambil menyanyi kecil. Riang.

***************************

“Assalamualaikum, ayah.”

“Waalaikumussalam.”

“Ayah sihat? Muhammad rindukan ayah.”

“Ayah sihat saja, Muhammad. Kami semua di sini sihat. Muhammad macamana duduk sana? Baik-baik saja, kan?”

“Alhamdulillah. Macam biasa saja, ayah. Ayah, Muhammad telefon ni sebenarnya Muhammad nak sampaikan berita baik. Muhammad harap ayah dan ibu izinkan.”

“kenapa ni, Muhammad? Apa khabar baiknya?” Encik Fadzil tertanya-tanya.

“Ayah, Muhammad dapat tawaran kerja di UM.”

“Alhamdulillah. Tahniah, Muhammad. Tapi kerja apa tu?”

“Pensyarah di Akademi Pengajian Islam.”

“Wah, hebat anak ayah! Ayah dan ibu izinkan saja Muhammad asalkan rezki yang baik dan halal. Bakal jadi pensyarahlah anak ayah ni. Tahniah! Ni, ibu nak bercakap dengan kamu.”

“Assalamualaikum, Muhammad.”

“Waalaikumussalam, ibu. Ibu, Muhammad rindukan ibu. Ibu rindukan Muhammad?”

“Mestilah ibu rindu dengan Muhammad. Tiap-tiap malam ibu tak boleh tidur asyik fikir apalah yang Muhammad makan, Muhammad pakai. Macamana Muhammad jaga diri kat rumah mertua Muhammad tu pun sampai termimpi-mimpi jugak tau.”

“Apalah ibu ni. Jagalah kesihatan ibu tu. Ni yang buat Muhammad tak boleh tidur jugak ni. Ibu tak sayang Muhammad, ya?”

“Muhammad janganlah cakap macam tu.”

“Anak ibu ni baik-baik je kat sini. Ibu tak payahlah susah hati sangat. Kesihatan ibu terjejas siapa yang sedih? Siapa yang susah? Ha, baik ibu dengar cakap Muhammad. Muhammad kan dah ada isteri. Dia jaga Muhammad dengan baiklah, ibu. Dia isteri yang baik dan bertanggungjawab. Penuh kelembutan, penurut dan solehah, bu.”

                Dari sebalik pintu Khadijah terdengar perbualan Muhammad. Hatinya tersentuh. ‘Apa yang digambarkan oleh Muhammad jauh sekali dari hakikat sebenarnya. Aku tidak pernah menganggapnya sebagai seorang suami apatah lagi melayannya dengan baik. Tidak pernah. Kubiarkan dia tidur sendirian di bilik tetamu. Apabila dia cuba untuk berbual denganku aku pula berpaling darinya. Apabila dia menyediakan makan pakaiku sedikitpun aku tidak pernah menghargainya. Padahal akukah si isteri atau dia?’ Khadijah melayan perasaan sendiri.

“Awak mengintip saya, ya?” Muhammad menegur.

Khadijah terkejut. Tuala kecil di tangannya terjatuh. “Mana ada!”

“Baik. Tapi apa awak buat menyorok belakang pintu ni?” Muhammad sengaja memancing.

“Eh, ha, hurm... saya punya cincin jatuh tadi. Ha, jatuh. Jatuh kat belakang pintu ni.”

“Oh, jatuh ya... Dah jumpa ke belum?”

“Dah. Eh, belum.”

“Belum? Tu yang kat jari awak tu cincin siapa?”

“Ni cincin sayalah. Maksud saya, maksud saya.... yang jatuh tu cincin nikah... kita...”

“Cincin nikah siapa?” Muhammad mengusik.

“Hurm... Tak ada sesiapa!”

“Awak pernah ke pakai cincin tu lepas pernikahan kita hari tu...” Khadijah terasa. Muhammad pergi.

Cepat-cepat Khadijah memegang lengan Muhammad. Muhammad berpaling memandang ke wajah Khadijah. Khadijah meneguk air liur. Pandangan Muhammad seakan-akan tembus. Sedang dalam hati Muhammad bergetar sekencang taufan.

“Kenapa awak tak beritahu saja perkara sebenar pada keluarga awak? Beritahu yang sebenarnya saya ni bukan isteri yang baik buat awak. Tak pernah juga menganggap dan melayan awak sebagai seorang suami. Tak pernah jalankan tanggungjawab saya sebagai seorang isteri. Kenapa tak beritahu semua tu? Kenapa mesti menipu?”

“Awak rasa saya menipu ke, Khadijah?” Mata Muhammad tajam merenung ke dalam mata Khadijah. Khadijah jadi gugup.

“Ya. Awak tipu. Semua tu tak benar.”

“Salah! Saya tak pernah tipu. Saya beritahu keluarga saya perkara benar. Kerana sebenarnya saya tahu hati awak bersih. Awak tak sedegil yang diperkatakan banyak mulut. Bagi saya, awaklah wanita terhormat dan suci. Awak seindah-indah perhiasan dan pendamping terbaik yang hadir dalam hidup saya. Wanita yang berdiri di hadapan saya tidak menjadi istimewa hanya dengan perbuatannya. Cukuplah sekadar menjadi Qurratul Aini bagi saya. Isteri yang menjadi penyejuk mata suaminya. Dan saya yakin awak akan jadi seorang isteri sebagaimana yang saya khabarkan pada ibu saya.”

                Tangan Khadijah jatuh ke sisi. Lemah pegangannya pada lengan lelaki itu. Khadijah terus berlari masuk ke bilik dan mengunci pintu. Tubuhnya disandarkan ke dada pintu. Airmatanya deras mengalir. Telinganya bagai disiat-siat mendengar kalam suami. Penipuan paling bodoh yang menyentuh jiwanya. Penipuan jenis apakah ini?

**************************************

                Muhammad bersalaman dengan kedua mertuanya. Lembut dikucup tangan kedua mereka. Segak berpakaian tidak seperti biasa. Maklumlah, hari pertama masuk bekerja. Hatinya berbunga riang hari ini sementalah hari pertamanya bekerja Khadijah pula menyediakan pakaiannya.

“Elok-elok memandu tu, Muhammad.”

“Iya, mama. Saya pergi dahulu ya.”

“Ma, mana anak awak ni? Tak salam suami nak pergi kerja? Apa nak jadilah anak awak ni!” Tan Sri Luqman membebel.

“Jangan lupa, dia pun anak awak juga.” Puan Sri Hashimah menjawab.
Muhammad tergelak melihat pasangan itu saling usik-mengusik. “Tak apalah, mama, papa... Dia dah gosokkan baju saya ni pun dah cukup baik.”

“Dia gosokkan baju kamu?!” Puan Sri Hashimah ternganga.

                Muhammad tersenyum meleret. Dia memandu kereta hadiah dari bapa mertua menuju ke tempat kerja. Khadijah sekadar menghantar pemergian suaminya dari jendela kamar sahaja. Malu hendak berhadapan dengan lelaki itu setelah secara sembunyi menggosokkan pakaiannya dan menyangkutnya di hadapan almari bilik Muhammad ketika dia masih tidur.

**********************************************

                Khadijah menghirup teh ‘o’ panas. Menikmati suasana tenang lewat petang itu bersendirian di pondok kecil di halaman rumah sambil memerhati ikan-ikan yang berenang berkejaran di dalam kolam. Rambut Khadijah sengaja dibiar lepas ditiup angin lembut.

Di muka pintu Muhammad berdiri memerhati isterinya lama. ‘Keindahan yang tidak bisa disentuh, tidak bisa dibelai, tidak bisa dirasa. Hanya bisa dipuja. Allah, kuatkan aku! Sesungguhnya ujian ini adalah tanda sayangMu buatku. Ya! Aku insan yang Kau pilih kerana Kau masih melihat aku. Kau masih melihat akan kewujudan hambaMu yang satu ini. Terima kasih, Ya Allah atas ujianMu ini.’

                Perlahan Muhammad menghampiri Khadijah dari belakang. Tangan Khadijah disentuh lembut. Khadijah terkejut. Cepat-cepat dia menarik tangannya. Wajah Muhammad dipandang. Terasa bahang panas naik ke muka melihat mata lelaki itu tepat memandang ke dalam matanya. Pipi Khadijah memerah.

“Awak nak apa? Kalau sehari saya tak nampak muka awak tak boleh ke?!”

“Boleh cuma saya yang tak boleh tak tengok muka awak walau cuma sekejap. Sebab tu saya letak gambar awak dalam dompet saya. Bila saya rindu awak kat tempat kerja, saya akan buka dompet saya. Tengok ni!” Muhammad membuka dompetnya dan menunjukkan pada Khadijah.

“Siapa suruh awak ambil gambar saya? Saya tak pernah benarkan awak!”

                Tangan Khadijah bergerak pantas. Muhammad tidak sempat menyimpan dompetnya. Khadijah sudah merampas dari pegangannya. Khadijah bangun melarikan dompet Muhammad. Muhammad bingkas bangun mengejar isterinya.

Sambil berlari Khadijah cepat-cepat mengeluarkan gambarnya dari situ. Tiba-tiba sekeping gambar kecil jatuh. Khadijah menghentikan langkahnya. Dia tunduk mengambil kepingan kecil itu. Lama dia merenung wajah gadis itu. Manis bertudung, sungguh menawan wajahnya. Di belakang gambar tersebut tertulis,

Selamanya menyintai abang. Letakkan ingatan tentangku sentiasa di hatimu...

                Rasa yang tidak diketahui tiba-tiba hadir bertamu di ruangan hati. ‘Siapakah gadis ini?’ Muhammad seakan-akan tergamam. Ketika Khadijah mengangkat muka Muhammad cepat-cepat merampas gambar tersebut dari tangannya. Muhammad terus berlalu pergi meninggalkan Khadijah yang masih berdiri di situ dengan pelbagai perasaan yang berbaur. Entah mengapa, ada kesedihan yang bertamu di sudut hati Khadijah.

************************************

                Muhammad baru pulang dari tempat kerja. Belum masuk ke rumah telefon bimbitnya berdering. Khadijah  menyorok di belakang pintu. Perbualan Muhammad di telefon cuba-cuba dicuri dengar.
“Ya Allah, Putri dah balik? Bila balik sini? Kenapa tak beritahu abang cik doktor ni dah lama balik dari Jordan? Macam nilah, kita dinner malam ni kat Restoran Secret Garden, Bangsar. Lepas isya’ ya. Abang jemput Putri kat rumah. Abang rindu sangat dengan Putri!”

                Muhammad bergegas berlari ke bilik. Sedang Khadijah yang masih berdiri di sebalik pintu menggenggam tangannya kuat di dada. Air matanya perlahan menuruni pipi. ‘Putri.....’ Khadijah terduduk.

                Kelibat Muhammad kelihatan menuruni tangga. Khadijah segera mengesat air matanya. Bangun dan terus berjalan tanpa sedikitpun memandang ke arah Muhammad. Muhammad cuba menegur tetapi wanita itu tidak mengendahkannya. Duhammad mengangkat bahu sambil mencebik.

Muhammad terus menuju ke dapur. Tudung saji dibuka. Kosong. Tiada apa yang boleh dimakan. Teringat pula hanya dia dan Khadijah sahaja berada di rumah sedang mama dan papanya pergi bercuti. Orang gaji pula pulang ke kampung halaman. Roti dicapai dicicah dengan air teh sejuk. Asalkan dapat mengisi perut yang sedang berkeroncong.

                Khadijah baring memeluk bantalnya sambil termenung jauh. Air jernih masih bergenang di tubir mata. Fikirannya menerawang entah ke mana. Berjam-jam Khadijah dalam keadaan begitu. Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu dibuka.

Khadijah meramas bantal peluknya kuat. Dia menyapu air mata di pipi. Hatinya geram. Tetapi tidak dapat meluahkannya. Dia sendiri bingung kenapa dia berkelakuan begitu. Padahal dia tidak pernah suka dengan Muhammad apatah lagi menyintainya sejak hari pernikahan mereka. Muhammad menghampiri dan melabuhkan punggungnya dihujung katil sambil memandang ke arah Khadijah yang masih terbaring kaku.

“Khadijah, tidur ke? Dah solat?”

Tiada respon dari Khadijah. Masih tubuh itu kaku. ‘Barangkali sudah tertidur agaknya’, fikir Muhammad. Muhammad bangun. Khadijah memejamkan matanya rapat. Muhammad menghampiri. Perlahan rambut si isteri yang jatuh ke muka diselak menyerlahkan wajah indah seorang Khadijah.

“Abang keluar sekejap, sayang....”

                Dahi Khadijah dikucup lembut. Muhammad bangun dan terus berlalu dari situ. Air mata Khadijah terus jatuh menderu berlumba-lumba menjadi tamu di pipinya.

 ‘Kenapa aku bersedih? Adakah aku sudah mula jatuh cinta? Ah, mustahil! Seharusnya aku perlu gembira dengan apa yang berlaku kerana apa yang aku impikan selama ini akan menjadi kenyataan. Ya, aku ingin bebas dan menjalani kehidupanku seperti yang aku mahukan.’

                Khadijah memujuk hatinya. Dia bangun dari pembaringan dan duduk memeluk kedua kakinya sambil ketawa. Ya, ketawa. Mentertawakan diri sendiri yang bodoh. Seharusnya dia perlu bergembira.

Khadijah masih ketawa kecil sambil menyapu air mata di pipi. Bersendirian dan terus-terusan ketawa. Memujuk hati atau menyembunyikan rasa? Khadijah mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Dia mendail nombor Nuri Syarmia.

“Hello, Mia! Assalamualaikum.” Khadijah mengucap salam.
Di hujung talian Nuri Syarmia mengangkat kening. ‘Assalamualaikum?? Aku salah dengar ke ni?’ Nuri Syarmia kehairanan.

“Mia!” Khadijah mengangkat suara.

“Ya, waalaikumussalam. Ieja, lamanya kau tak contact aku. Sejak kau nika......” Nuri Syarmia menggantung ayatnya. Bimbang isu itu akan membangkitkan kemarahan temannya itu.

“Yalah, sejak wedding aku hari tu aku memang tak cari kau. Bukan lupa cuma aku tak ada mood nak berborak dan jumpa orang.”

“Kenapa ni, Ieja? Suara kau ni macam ada masalah je. Cuba kau ceritakan kat aku. Kau masih berdendam dengan papa mama kau ke?”

“Bukan.....” Suara Khadijah kedengaran lemah di hujung talian.

“Masalah dengan Muhammad?” Nuri Syarmia meneka.

“Entahlah, Mia. Aku tak tahu macamana nak cerita.”

“Ieja, akukan kawan kau. Selagimana aku boleh tolong insyaAllah aku cuba tolong. Tapi kalau isu atas katil aku tak nak masuk campur.”

“Katil apanya... Aku pun tak tidur sebilik dengan dia.”

“Apa?! Kau biar betul Ieja? Dah berbulan kahwin korang tak tidur sebilik? Aku tahu. Ni semua mesti kau punya angkara. Aku faham sangat perangai kau tu. Ieja, dia suami kau. Janganlah kau buat macam tu kat dia. Dia bukan suami olok-olok macam mainan kita zaman kecil-kecil dulu.”

“Aku tahulah, Mia. Bukan masalah tu sebenarnya.” Khadijah merungut.

“Habis tu?”

“Muhammad ada perempuan lain.” Laju meluncur keluhan dari mulut Khadijah.
Mata Nuri Syarmia terbeliak. “What?! Ieja, kau cakap apa ni? Sikit punya baiklah suami kau tu kau jangan macam-macam, Khadijah. Kalau iya pun kau benci sangat dengan Muhammad tu janganlah kau tabur fitnah yang bukan-bukan! Buruk padahnya, Ieja!”

“Mia, aku tak tipu. Aku sendiri nampak gambar perempuan tu dalam dompet dia. Baru kejap ni dia keluar nak jumpa perempuan tu.” Air mata Khadijah menitis.

“Ieja, kau dah pastikan dulu ke status perempuan tu siapa dengan Muhammad? Manalah tahu adik dia.” Nuri Syarmia cuba bersangka baik bagi menenangkan hati Khadijah.

“Dia mana ada adik. Entahlah, Mia….” Berat suara Khadijah.

“Ieja, aku rasa kau dah jatuh cinta ni……” Nuri Syarmia sengaja menduga.

“Mana ada!!” Khadijah meninggikan suara.

“Kalau tak, kenapa kau nak kisah pula dengan apa yang Muhammad buat? Kalau betul kau benci dia kau takkan bersedih macam ni….”

“Aku, aku… Aku tak suka dia! Aku tak pernah suka dia! Aku benci dia!”

                Khadijah terus mematikan talian. Hatinya berang. Kata-kata Nuri Syarmia benar-benar mencabar egonya.

“Hello, hello! Ieja! Hello!” Nuri Syarmia memandang telefonnya. Dia menggelengkan kepala. Faham benar dengan sikap Khadijah. Bukan baru sehari dia mengenali Khadijah.

********************************************

“Khadijah….” Muhammad memanggil lembut nama isterinya. Ya, dia suka dengan nama itu. Nama wanita pertama yang berjaya menambat hati seorang Muhammad, sang Kekasih Agung.

Khadijah mengerling ke arah Muhammad,  “Kenapa?”

“Saya nak ajak awak makan tengahari. Saya kasihan tengok awak asyik terperap sahaja duduk di rumah.”

                Perut Khadijah berkeroncong. Dari malam tadi perutnya tidak berisi. Betul-betul ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Tapi... Egonya masih kuat bertahan. Ego yang tidak pernah mengalah dengan apa yang dihadapinya meski sakit, duka dan terluka.

“Khadijah, saya tahu awak lapar.”

“Awak pergilah makan sana. Saya tak lapar.”

“Baiklah, kalau awak taknak makan kat luar awak kena temankan saya beli barang-barang dapur. Hari ni saya masakkan untuk isteri saya ni. Boleh ya, sayang?”

“Apa? Awak jangan nak bersayang-sayang dengan saya! Saya jijik!”

“Saya, saya, saya tak maksudkannya. Saya tersalah cakap. Maafkan saya.” Muhammad gagap.

                Khadijah memalingkan wajahnya. Dia menggenggam tangannya ke dada. Hatinya sakit. ‘Tersalah? Tak maksudkannya? Adakah tidak layak bagiku untuk kau sayangi?’ Khadijah memendam rasanya sendiri.

“Tunggu saya. Saya nak bersiap kejap.” Khadijah masih dingin. Berpura-pura benci dalam rela.

                Muhammad tersenyum. Sepanjang usia perkahwinan mereka sejak hari pertama hingga ke hari ini dia tidak pernah keluar berdua dengan isterinya. Muhammad terus menuruni anak tangga dengan hati berbunga-bunga.

*****************************************

                Muhammad memilih barang-barang dapur sendirian. Khadijah entah hilang ke mana. Masih seakan-akan keseorangan walaupun keluar berteman. Selesai membayar di kaunter Carefour, Muhammad terpusing-pusing mencari kelibat Khadijah. Kemanalah isterinya menghilang? Muhammad buntu.

Tiba-tiba langkahnya yang laju terhenti. Khadijah sedang membelek-belek tudung di dalam sebuah butik muslimah di situ. ‘Betul ke apa yang aku nampak ni?’ Muhammad memandang lagi bagi memastikan apa yang dilihatnya benar atau sekadar khayalannya semata. Benar! Memang Khadijah di situ.

“Akak, saya nak yang ni. Cantiknya tudung ni.” Khadijah menyarungkan ke kepalanya. Dia memandang ke arah cermin dan tersenyum sendiri. Dia tidak pernah melihat rupanya dengan imej bertudung sepanjang umurnya.

“Awak suka? Saya belikan untuk awak.”

                Khadijah terkejut. Terus dia berpusing memandang Muhammad. Ya, Muhammad berdiri di situ sambil memerhati. Entah berapa lama dia telah berada di situ. Khadijah jadi malu. Dia tertunduk.

“Saya belikan untuk awak ya.”

Muhammad hendak pergi ke kaunter. Khadijah segera menarik lengan Muhammad. Muhammad berpaling memandang ke wajah isterinya. Khadijah tidak mampu melawan pandangan itu. Dia tertunduk.

“Awak tak suka saya nak belikan untuk awak?” Muhammad menyentuh tangan Khadijah yang masih kejap memegang lengannya. Khadijah mengangkat wajahnya. Dia memberanikan diri merenung ke dalam mata Muhammad. 

“Awak rasa cantik ke saya pakai tudung ni?”

“Tak. Tak cantik.” Muhammad membalas slumber.

“Apa?” Pipi Khadijah mula memerah. Bibir matanya mula bergenang air jernih.

“Sebab perkataan cantik tu tak cukup untuk menggambarkan diri awak. Kerana awak bukan sekadar cantik malah lebih dari itu.”

                Air mata Khadijah mengalir. Mudah benar air matanya menitis sejak mengenali lelaki itu. Muhammad punya tarikan yang dia sendiri tidak ketahui. Kelebihan yang tidak pernah ditemui pada mana-mana lelaki yang pernah didampinginya iaitu sabar. Satu perkataan yang mudah disebut tetapi sukar ditemui.

                Tudung yang dibelikan oleh Muhammad melekat di kepala. Serasa malu ingin menanggalkannya. Seakan tiba-tiba ada satu tanggungjawab dan amanah yang sangat besar terhadap dirinya sendiri bahawa dirinya dan hatinya adalah milik suaminya. Bukan untuk lelaki lain. 

Khadijah bukan tidak tahu tentang hukum. Hanya hatinya tidak cukup kuat untuk berubah dan kini lelaki itu adalah pendukungnya untuk menjadi insan dan hamba yang lebih baik. ‘Tidak akan kukongsi diriku dengan selain darimu. Walau hanya sehelai rambutku adalah hakmu, duhai suami. Andailah kau bisa mendengar apa yang aku bisikkan, wahai pemilik cintaku.’

                Muhammad menyuruh Khadijah menunggunya di kereta. Di dalam kereta, Khadijah merenung wajahnya lama di dalam cermin sambil membelek-belek tudung barunya. Dia tersenyum sendiri. Merasa bangga dengan diri. Khadijah melihat jam. Dia mula tidak senang duduk menunggu Muhammad terlalu lama. Katanya cuma mahu ke tandas. Khadijah keluar dari kereta dan mula mencari Muhammad di dalam.

Sambil berjalan Khadijah mendail nombor Muhammad. Tidak berangkat. Khadijah mencuba beberapa kali sambil matanya meliar mencari kelibat Muhammad di dalam Shopping Mall besar itu. Kaki Khadijah sakit kerana telah berjalan lama. Dia pergi ke ruangan tepi untuk menaiki lif. Tiba-tiba....
        
        Khadijah ternganga. Telefon di tangannya terhempas jatuh ke lantai. Air matanya mengalir perlahan. Sembilu kecil tetapi penuh bisa sedang merobek-robek hatinya dengan rakus. Dia terjelupuk jatuh menyembah bumi.

“Awak............” Khadijah kecewa. Sedunya kedengaran. Syahdu.

        Muhammad terkejut dengan kehadiran Khadijah di situ. Segera dia meleraikan pelukan wanita tersebut. Dia bergegas berlari ke arah Khadijah. Tangan Khadijah disentuh.

“Khadijah.......”

“Lepaskan saya! Jangan sentuh saya!”

Khadijah menepis tangan Muhammad. Dia bingkas bangun. Sempat dia memandang wajah wanita yang memeluk suaminya. Ya, persis benar wajahnya dengan wanita di dalam gambar yang dilihatnya secara tidak sengaja tempoh hari.

“Khadijah, saya........” Muhammad masih cuba memujuk. Dia cuba menyentuh tangan Khadijah.

“Jangan! Jangan sentuh saya! Semoga.... semoga awak bahagia.” Khadijah berlalu pergi meninggalkan Muhammad yang kaku di situ.

“Khadijahhhh!!!” Muhammad meraung. Dia meraup wajahnya. Rambutnya kusut ditarik. ‘Khadijah, ini bukan seperti apa yang awak fikirkan....’

****************************************

“Muhammad, masalah ni pun kamu tak boleh nak uruskan ke? Apalah kamu ni jadi lelaki. Jadilah hero sikit. Selesaikan masalah ni dengan baik.” Encik Fadzil sedikit emosi.

“Ayah, masalahnya Khadijah taknak cakap dengan saya. Apatah nak bercakap tengok muka saya pun dia tak sudi, ayah.” Muhammad bingung.

“Kamu pun satu. Hati perempuan ni kamu janganlah buat main-main. Kenapa tak terangkan dan beritahu dia awal-awal. Kan dah jadi macam ni. Ayah pun pening dah ni.”

“Ayah, tolonglah saya. Tolong beritahu ibu suruh ibu tolong pujukkan Khadijah. Ibu sama-sama perempuan mestilah tahu nak pujuk hati perempuan.”

                Puan Arbakenah keluar dari dapur membawa dulang air. Dia menggeleng-geleng melihat keadaan Muhammad seperti orang sasau sahaja lagaknya.

“Setiap kali ibu tanya kamu ada masalah dengan menantu ibu tu ke tak kamu cakap kamu baik-baik saja. Tengok ni apa dah jadi sekarang. Nak kejutan sangat ha sekarang kamu yang terkejut. Apalah kamu ni, Muhammad. Ibu tak pernah marah anak ibu sorang ni tapi tulah, silap kamu. Kenapa tak beritahu dari awal Putri ni adik kamu.” Puan Arbakenah membebel.

“Itulah, bu. Abang ni degil sangat. Putri dah cakap dah suruh beritahu je tapi dia cakap kak Khadijah tak tanya pun. Nak surprisekan kak Khadijah kononnya. Dia nak beritahu masa family day  kita nanti katanya. Tak sampai family day sampai ke disaster day dulu dah ni. Abang juga yang susah.”

“Yang kamu tu pun satu, dah tahu abang kamu tu dah kahwin tak payahlah bermanja-manja macam zaman kamu kecil-kecil dulu. Khadijah tu memanglah tak tahu Muhammad ada adik perempuan ni. Masa kenduri kahwin hari tu Putri tak boleh balik sibuk dengan peperiksaan. Lepas tu Muhammad pulak berat mulut nak cerita pasal Putri. Dah jadi merajuk pulak menantu ibu tu. Lambatlah ibu nak timang cucu dari Muhammad ni.”

                Putri Mariam dan Encik Fadzil ketawa. Puan Arbakenah mencebik. Muhammad masih dengan muka kusutnya. Benar-benar bingung.

“Hari tu Khadijah ada ternampak gambar arwah Putri Marina dalam dompet Muhammad. Rasanya mula dari situ dia dah mula makan hati. Aduhai ayah, ibu... Apa Muhammad nak buat ni?”

“Muhammad, arwah dah pergi relakan je dia pergi. Jangan dikenang lagi. Doakan je untuk arwah semoga dia bersama para soleh solihin di sana.” Encik Fadzil menasihati Muhammad.

“Kalau abang sayang Putri, abang jangan salahkan diri abang atas pemergian kembar Putri tu. Dah sampai ajalnya, bang. Kemalangan tu bukan salah abang pun. Abang cuma tak ada di sini masa tu. Semuanya nak terjadi. Kun fayakun, bang. Kuasa Allah tu kalau Dia dah kata ketika itu dan saat itu ajal kita, Dia takkan tunggu sesaat meskipun tangguh sesaat. Abang berhentilah salahkan diri abang lagi.”

“Tapi, Putri.... tanggungjawab abang sebagai seorang abang untuk jaga adik-adik abang. Macam mana abang tak salahkan diri abang sedangkan abang tak ada di sini untuk menjaga kalian.”

“Abang, kalau macam tu kami semua patut dipersalahkan sebab tak dapat menjaga arwah sedangkan kami ada di sini dekat dengannya. Tolonglah dengar nasihat Putri untuk kali ni saja.”
Muhammad diam. Dia memohon diri untuk berehat.

“Eh, kamu tak balik rumah sana?” Puan Arbakenah bertanya.

“Muhammad tidur di sini sahajalah malam ni.”

                Muhammad bergegas naik ke biliknya. Dia menutup daun pintu perlahan. Langkahnya lemah. Dia melabuhkan punggungnya di hujung katil. Muhammad menekup muka. Gelisah, bingung, murung dan buntu. Muhammad tidak tahu apa lagi daya yang mampu dilakukan.

  Segera Muhammad membersihkan diri dan menunaikan solat sunat memohon agar Allah memudahkan jalannya dan mengembalikan isteri yang dicintai ke sisinya semula. Muhammad mengangkat tangannya tinggi dan memanjat sepenuhnya permohonan agar Allah melembutkan hati Khadijah. Air mata lelakinya menitis. Terasa malu dan kerdil di hadapan Allah. Hatinya sakit.

“Ya Allah, andai permintaanku ini keterlaluan Kau ampunilah aku. Namun aku tidak mampu menjalani kehidupanku tanpa Khadijahku. Pulangkanlah Khadijahku kembali ke pangkuanku. Hanya dia Khadijahku kekasih dunia dan akhiratku. Telah kucuba sedaya upayaku menjadi imam yang terbaik baginya namun aku telah gagal, ya Allah. Aku gagal, ya Allah. Ampunilah aku!”

                Air mata itu tidak berhenti mengalir. Kelihatan teguh, kukuh dan sukar runtuh namun Muhammad jua punya hati seorang hamba yang akan menangis di hadapan yang Esa. Teresak-esak dia menangis kerana merasa lemahnya diri di hadapan Tuhan. Matanya ditutup rapat menyesali diri. Tiba-tiba tangannya digenggam dan dikucup.

“Abang tak pernah gagal baik sebagai seorang suami mahupun sebagai seorang hamba. Abang adalah sebaik-baik manusia yang Allah kurniakan dalam hidup saya. Abanglah dunia dan akhirat saya. Izinkan saya letakkan abang sebagai darjat tertinggi dalam hidup dan mati saya. Andai saya berdosa maafkan saya, abang.” Khadijah melutut dan mengucup dahi Muhammad.

“Sayang.... Maafkan, abang.” Suara Muhammad hilang dalam esak tangis lelakinya.

“Saya salah faham dengan abang. Putri dan ibu dah terangkan pada saya dari semalam lagi. Abang, jangan pernah tinggalkan saya lagi. Saya buang semua ego saya demi cinta saya pada abang. Sudikah abang kembali menyintai saya?” Khadijah turut menangis.

               Muhammad menyeka air mata Khadijah. “Terima kasih kerana sudi menerima abang dalam hidup sayang. Abang tidak pernah berpaling dan lupa bahkan hati abang telah terbiasa dipenuhi cinta buatmu, Khadijah bidadari syurgaku di dunia dan ketua bidadariku di sana. Selamanya cintaku hanya buatmu, sayang.”


‘Ya Allah, terima kasih kerana mengurniakan aku seorang suami yang bisa membimbing dan teguh kukuh hatinya hanya di jalanMu.......’






3 comments:

  1. Mkasih y..., atas berbaginya,smg menjadi Ilmu yang bermanfaat di sisi Nya, salam kenal..,,kapan2 mampirlah ke blognya awak..!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Syukran sudi siggah d blog ana dn mmbaca sdikit coretan yg x sberapa... insyaAllah smoga Allah mmberi nilai d sisiNya... ^__^

      Delete