Kepulangan Muhammad ke tanah air umpama satu mimpi. Encik Fadzil memeluk
erat anak lelakinya itu. Kejap dan kemas. Meluah seluruh rasa rindu dan kasih
dari arus pelukan itu. Genangan air mata si ayah kelihatan di tubir mata.
Si ibu memerhati dari sudut ruang tamu. Renungan anak mata berkaca itu
seakan-akan mengandungi seribu satu rasa dan emosi yang tidak dapat ditafsir
dengan mudah. Muhammad menghampiri ibunya yang masih merenung dalam ke
wajahnya. Seakan-akan tidak dapat dipercayai lelaki bertubuh sasa yang sedang
berdiri di hadapannya adalah anak lelakinya yang telah pergi selama hampir
tujuh tahun berhijrah ke bumi Anbiya’ bermusafir dari satu tempat ke tempat
yang lain demi mencari ilmu.
“Ibu....” Lunak
suara lelakinya menyeru panggilan buat ibu. Menitis air mata si ibu
mendengarnya.
“Subhanallah...
Betulkah Muhammad anak ibu? Muhammad?? Benarkah? Atau aku hanya bermimpi?...”
“Ibu....”
Lantas tangan kecil nan lembut
yang menghayun buaian ketika kecilnya Muhammad itu dikucup lembut. Kuat
genggaman tangannya. Disentuh lembut wajah anaknya. “Subhanallah, anak ibu...”
Terus dirangkul erat tubuh sasa Muhammad. Betapa dalamnya rindu ibu buat anak
yang telah lama tidak pulang. Kedua orang abang dan kakaknya yang seorang itu
tersenyum memerhati pasangan anak dan ibu itu. Muhammad mengalih pandangan pada
mereka saling bersalaman dan Muhammad tunduk mengucup tangan mereka satu
persatu.
***************************************************************
“Muhammad, ibu
nak masak makanan kegemaran Muhammad hari ni. Ibu ingat lagi Muhammad suka
makan sambal udang dengan pucuk ubi masak lemak pekena dengan sambal belacan
ibu.”
“Haha... Ibu tahu
tak, Muhammad asyik ingat masakan ibu saja. Mana taknya, Muhammad asyik makan
nasi lauk telur sahaja. Bermusafir dari satu tempat ke satu tempat mencari
ulama pelbagai bidang ilmu. Tak sempat nak fikir makan lauk sedap-sedap. Tapi
selalu juga Muhammad teringat masakan ibu. Muhammad jadi rindu nak balik tapi
Muhammad masih belum puas mencari ilmu baru.”
“Muhammad nak
pergi lagi selepas ni?” Abang Haqiemi bertanya.
“Kalau ayah dan
ibu izinkan....” Muhammad mengukir senyuman merenung ke wajah ibu dan ayahnya.
Encik Fadzil dan Puan Arbakenah
saling berpandangan. ‘Benarkah akan pergi semula?’ Hati si ibu bagai terhunus
sembilu. Pedih dan luka. Muhammad tersenyum melihat riak wajah ibu yang
bertukar mendung. Muhammad menggenggam tangan ibu. Matanya ditatap lembut.
“Ibu, Muhammad
cakap Muhammad hanya akan pergi kalau ayah dan ibu izinkan.”
“Muhammad,
tolonglah jangan tinggalkan ibu lagi. Cukuplah.” Puan Arbakenah seakan-akan
merayu.
“Ibu, Muhammad
janji Muhammad takkan pergi lagi tapi....”
“Tapi apa,
Muhammad?” Encik Fadzil mencelah. Semua mata merenung ke arah Muhammad.
“Boleh tak
Muhammad sambung belajar di sini sambil menunggu Muhammad dapat kerja dahulu?”
Puan Arbakenah mengurut dada. Seluruh
ahli keluarganya menghembus nafas lega. Encik Fadzil tersenyum memandang
Muhammad sambil mengangguk tanda setuju. Muhammad menyenduk nasi ke dalam
pinggan. Lapar katanya. Mereka sekeluarga tertawa melihat telatah Muhammad. Lucu
dan manis orangnya.
***********************************************
Khadijah benci dan rimas berada
di rumah. Terasa sentiasa diperhati dan dikongkong oleh kedua orang tuanya.
Perlu buat itu perlu buat ini. Semuanya arahan dan larangan. Tiada satu pun
suruhan atau kebenaran kepada apa yang diminatinya.
Dia terganggu dengan sikap ayah dan ibunya. Berasa diperlakukan seperti
boneka bodoh yang tiada akal dan fikiran sendiri untuk menjalani kehidupan yang
penuh makna dan keseronokan.
Khadijah belajar di sini! Khadijah belajar tentang ni! Khadijah jangan
bersikap begitu! Khadijah jangan keluar ke situ! Khadijah jangan berkawan
dengan sipolan tu! Semuanya Khadijah, Khadijah, Khadijah... ‘Aku ni
manusialah!!’ Hatinya menjerit.
GEDEGANG!!! Bergegar villa mewah
di pinggir tasik itu dengan tangan anak gadis berusia 25 tahun menghempas pintu
biliknya. Marah. Tekanan seakan-akan memuncak dengan teguran ayah dan ibunya.
Semua yang dilakukannya salah. Semuanya ada saja yang tidak kena di mata
mereka. Apa yang mereka mahu sebenarnya? Tidak puaskah mereka mengongkong
kehidupan abang dan kakaknya sehingga kehidupannya juga perlu ditentukan. Abang
dan kakaknya mungkin boleh dianggap sebagai boneka yang sentiasa menurut sahaja
apa yang mereka katakan tetapi tidak dirinya.
Ya, Khadijah seorang gadis lahir
dalam dunia metropolitan penuh kemewahan dan kesenangan. Sedikitpun tiada
minatnya yang cenderung kepada cara hidup sederhana dan bawahan. Baginya,
mereka yang bertaraf miskin dan hidup di kampung layak diperlakukan seperti
hamba dan tidak setaraf untuk bersahabat dengan mereka.
“Hello, Mia. Ha,
apahal??”
“Ha, Ieja. Aku
nak ajak kau keluar malam ni.”
“Pergi mana?
Kelab?? Sorrylah, Mia. Kau tahukan, sejahat-jahat aku ni aku tak naklah
pergi clubbing segala. Aku tak minatlah tempat serabut macam tu.”
“Apalah kau ni,
Ieja. Cuba dengar dulu apa aku nak cakap. Nak ikut aku tak pergi rumah Fahmi?”
“Fahmi mana ni??”
“Kau ni kan!!
Fahmilah! Khairul Fahmi.”
“Oh, aku terlupa.
Manalah aku tahu. Aku ingat Fahmi kawan kau. Ha, kenapa nak pergi rumah dia
pula?”
“Ai, takkanlah
dia tak jemput kau? Dia tak beritahu kau ke semalam?”
“Jemput apa pula
ni? Apasal? Dia nak nikah ke? Kau jangan macam-macam, Mia.”
“Apa benda pula
ke situ kau fikir ni. Dia buat majlis ulangtahun kelahiran dialah.”
“Oh, nak, nak.
Aku nak ikut. Kau jemput aku tau malam ni. Aku pun menyampah duduk dalam rumah
ni lama-lama.”
“Bergaduh lagilah
tu dengan mak ayah kau. Kau nikan Ieja tak habis-habiskan... Itukan mak ayah
kau.”
“Dahlah! Kau
jangan nak bagi ceramah pula kat sini. Aku tengah tertekan sangat ni. Kang tak
pasal-pasal dengan kau-kau sekali kena sembur kang. Pukul berapa nak jemput
aku?”
“Hurm... Kau ni
memang kepala batu, hati kayu. Aku jemput kau jam lapan nanti. Tak payah nak
tebal-tebal sangat mekap kau tu. Lambat sangat aku tinggal je. Kau pergi
sendiri.”
Khadijah tersenyum mendengar kata-kata sahabatnya. Kedengaran lucu baginya.
Talian dimatikan. Khadijah membuka almari. Satu-satu bajunya dibelek. ‘Yang
mana satu aku nak pakai ni?’ Dia berbisik dalam hati. Sehelai gaun merah labuh
sesuai untuk makan malam menjadi pilihan hatinya. Kasut tumit tinggi berwarna
merah jambu lembut berjenama diletakkan di tepi katil. Sesuai dipasangkan
dengan baju mahalnya. Khadijah mencapai tuala dan segera menuju ke bilik mandi.
*****************************
“Ayah, Ibu,
Muhammad pergi dulu ya.”
“Muhammad,
sampaikan salam ibu dan ayah pada Khair ya. Baik-baik memandu kereta tu.”
“Baiklah, ayah.
Muhammad pergi dulu ya.”
Puan Arbakenah tersenyum tatkala
anak itu tunduk mengucup lembut tangannya. Muhammad bersalaman dengan ayahnya
pula. Mereka berdua berdiri di pintu sehinggalah bayang kereta Muhammad hilang
ditelan kegelapan malam.
“Abang, saya rasa
tak sedap hatilah.” Puan Arbakenah meluahkan perasaan yang dialami.
“Awak ni cuba
jangan fikir bukan-bukan. Muhammad pergi rumah kawan lama dia. Bukan pergi
merayap jauh pun.”
“Saya tahulah,
abang. Tapi kenapa saya rasa tak sedap hati, ya?”
“Memanglah tak
sedap hati...”
“Kenapa, bang?”
“Sebab awak tak
bagi saya makan lagi.”
Encik Fadzil meletakkan
tangannya ke perut. Sengaja ingin menyindir isterinya. Puan Arbakenah tergelak
besar. Sejak petang tadi suaminya masih belum makan kerana dia sibuk mengurus
pakaian apa yang perlu dipakai Muhammad. Apa yang Muhammad ingin bawa ke rumah
sahabatnya dan macam-macam lagi sehingga terlupa suaminya masih kelaparan
menanti.
*****************************
“Dah kau ni
kenapa pulak, Ieja? Puas aku tunggu kau berjam-jam depan rumah kau sekarang kau
taknak masuk pulak? Apa masalah kau ni sebenarnya, Ieja? Baik kau cakap
awal-awal kalau kau taknak pergi. Tak adalah aku nak membuang masa aku menunggu
kau dari pukul lapan tadi. Sekarang ni dah pukul 9.30 kau tahu tak?”
“Kau janganlah
membebel pulak, Mia. Aku tengah nervous ni kau tahu tak?”
“Dah pulak yang
kau nak nervous-nervous segala ni kenapa?”
“Aku pun tak
tahulah, Mia.”
“Aku rasa kau ni
kena pergi hospitallah, Ieja. Kau nak pergi hospital kecemasan ke hospital
sakit jiwa? Cuba kau pilih!” Marah benar Nuri Syarmia pada temannya yang satu
itu.
“Dahlah! Kau dah
kebulur sangatkan? Masuklah cepat!” Khadijah geram.
“Hai, aku pulak
yang kena marah?”
“Diamlah!”
Khairul Fahmi tergamam memandang
ke arah gadis itu. Manis dan.....entahlah. Tiada perkataan yang mampu
menterjemahkannya. Boleh dikatakan semua mata memandang ke arah Khadijah.
“Bidadari syurga
di dunia....”
Ayat itu keluar menyusur laju dari mulut Khairul Fahmi. Muhammad melihat ke
wajah sahabatnya. Pelik. Siapa yang dikatakan sebagai bidadari itu? Muhammad
memandang ke arah yang sama mencari-cari siapa yang dimaksudkan oleh Khairul
Fahmi. Matanya terus tertunduk. Hatinya beristighfar panjang. Memang indah.
Tetapi bukan untukku. Muhammad menjauh dari sahabatnya.
“Fahmi....”
Lembut suara bidadari itu menegur.
“Bidadari...”
Fikiran Khairul Fahmi masih menerawang jauh.
“Bidadari? Siapa
bidadari?” Khadijah mengajuan soalan kepada Khairul Fahmi. Khairul Fahmi
terkejut dari lamunannya.
“Eh, tak. Saya
sedang berbual tentang kisah bidadari syurga dengan sahabat saya. Kenalkan, ni
Muhammad.” Khairul Fahmi memandang ke sisinya namun Muhammad tiada di situ.
Khadijah tergelak kecil.
“Awak okay
ke tak ni, Fahmi?” Khadijah bertanya.
“Eh, saya
baik-baik je. Kejap ya, saya panggilkan kawan saya tu.” Khairul Fahmi berlalu
pergi meninggalkan Khadijah dan Nuri Syarmia di situ.
“Ieja, kan aku
dah cakap tak payah nak mekap tebal-tebal sangat. Ni tengok rambut kau ni. Dah
macam-macam gaya dah aku tengok. Macam pelangi pun ada aku tengok. Cuba
bawak-bawak pakai tudung sikit. Kau tengok apa dah jadi. Tengok semua mata
pandang kau tau.”
“Biarlah diorang
nak pandang aku pun. Orang ada mata pandanglah. Takkan aku nak tutup pulak mata
orang. Dah aku memang cantik, jadinya orang pandanglah.”
“Kau nikan, Ieja.
Memang menyakitkan hati!”
Mana tidak hatinya geram.
Kekasih hatinya dalam diam, Khairul Fahmi memandang sahabat baiknya seperti
ingin menelan sedang kecantikan pada wajahnya hanya sekadarnya sahaja. Nuri
Syarmia mengetap bibir melihat Khairul Fahmi menghampiri. Di sisinya seorang
lelaki. Penuh gaya dan karisma. Ada sesuatu di wajahnya yang tidak kelihatan
pada yang lain. Sinar.
“Mia, Ieja.
Kenalkan, ni sahabat saya, Muhammad. Hampir tujuh tahun barulah hari ini saya
dapat bertemu dengannya.”
Muhammad tersenyum. Manis. Tapi
pandangannya hanya sebentar ke wajah dua gadis di hadapannya. Malu ingin
menatap dan memandang lama.
“Muhammad. Sedapnya
nama. Dah kahwin?”
Mia menunjuk-nunjuk rasa minatnya pada Muhammad di hadapan Khairul Fahmi
supaya lelaki itu cemburu. Hati lelaki itu geram. ‘Adakah Mia mula jatuh cinta
pada Muhammad?’ Hati Khairul Fahmi sakit. Bagai tertusuk sembilu. Hancur luluh
berkecai. Rasa yang disembunyi sekian lama. Bilakah akan terluah? Hanya
menunggu masa.
********************************************************
Pertemuan singkat itu memberi
kesan yang mendalam pada diri Nuri Syarmia. Ya, sungguh dalam hatinya hanya ada
Khairul Fahmi. Lelaki yang telah lama bertakhta dalam hatinya sejak dari bangku
sekolah lagi. Tetapi fikirannya kerap
menerawang memikirkan lelaki pemalu itu, Muhammad.
Apa yang menarik tentang Muhammad? Nuri Syarmia sendiri tidak dapat
memberikan jawapan buat hatinya. Apa yang pasti ia bukan cinta. Mungkin hanya
rasa tertarik dengan akhlak lelaki berwajah bersih itu.
Kring! Kring! Kring! Kring!
Telefon bimbitnya berbunyi. Lamunannya mati di situ. ‘Allah, terkejut
aku.’
“Hello.
Assalamualaikum.”
“Tak payahlah nak
bersalam-salam dengan aku je pun. Weh, Mia! Kau nak tak keluar pergi taman hari
ni? Aku bosanlah duduk rumah ni makan tidur je.”
“Untunglah dapat
makan tidur je. Kau ni tak kepingin ke nak sambung belajar ke apa ke? Kalau dah
taknak belajar pergi cari kerja. Kata lulusan universiti. Apa guna ada
kelulusan tapi tak pandai guna? Kerja kau menghabiskan duit mak bapak kau je
kan?”
“Kau nak membebel
dengan aku pagi-pagi buta ni kenapa? Spoil mood orang jelah!”
“Dah tu, tadi kau
juga yang cakap bosan asyik makan tidur je. Aku bagi cadanganlah supaya kau tak
bosan dan asyik mengganggu aku pagi-pagi buta ajak pergi sana pergi sini. Aku
tolong mak akulah kemas rumah. Nak buat sarapan lagi. Kau pergilah taman tu
sendiri. Kereta ada pergi drive sendiri. Apalah kau ni!”
“Cakaplah dari
tadi tak boleh. Ni tak, berleter panjang macam mak nenek. Tu belum tua lagi
mulut dah macam kakak tua. Cuba kalau dah tua nanti? Ish, ish, ish, ish,
ish....”
“Tak kisahlah
kakak tua ke mak nenek ke.... Kau tu ha, tak payah duduk rumah menghabiskan
beras je. Sekali sekali bermanfaatlah sikit untuk orang lain. Nasib baik dapat
kawan baik macam aku ni. Boleh tolong jadi mak nenek kau. Kalau dapat kawan
yang syok je nak telan duit kau selalu memang bankrup mak bapak kau.”
“Dah, tak payah
membebel panjang-panjang. Aku chow dulu.”
“Hoi, aku tak
habis cakap lagi. Kau tu dah solat subuh ke belum?”
“Ish, nantilah.
Kalau aku rajin.”
“Tak senonoh
punya budak! Hoi, pergi solatlah!”
Talian terus dimatikan. Nuri
Syarmia geram. Kalaulah Khadijah ada di hadapannya pasti telah dipiat-piat telinga
gadis itu. Hatinya rasa bagai ingin meletup. Khadijah selalu menguji
kesabarannya. Memang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi apabila mempunyai
sahabat baik seperti gadis berkepala batu itu.
************************************************
“Aduh, penatlah
pulak. Ramai pulak manusia kat sini hari ni. Time aku datanglah orang
ramai nak datang. Sibuk je!”
Khadijah membebel sendiri. Dia
mengambil tempat duduk di astaka berhampiran. Kakinya lenguh. Penat berlari
tawaf seluruh kawasan Taman Tasik Perdana itu. Tiba-tiba pandangannya mati ke
satu arah. Kelihatan kelibat lelaki yang dikenali sedang berlari. Matanya
mencari-cari. Mengesan. Benarkah lelaki itu? Tidak kelihatan. Khadijah malas
mengambil pusing. Rambutnya yang panjang mengurai disisir lembut dengan jari.
Ikatannya diperkemas. Titisan peluh mengalir membasahi tubuhnya. Kain kecil
berwarna oren dilapkan ke leher. Langit semakin mendung. Khadijah membebel
lagi.
“Aduhai, dah
sedap-sedap lepak sini nak hujan pulak. Nanti-nantilah nak hujan pun. Tunggu
aku menikmati pemandangan kat sini. Seronok jugak keluar sorang-sorang
sekali-sekala macam ni.”
Tiba-tiba hujan turun lebat
membasahi lantai bumi. Khadijah terkesima. Jalan menuju ke tempat parking
kereta masih jauh. Mulutnya membebel tak berhenti. Khadijah berlari meredah
hujan yang turun lebat. Tidak semena-mena dia jatuh terjelupuk.
“Ahhhh, masa
nilah kau nak wat aksi hindustan pulak, Khadijah oiii.....”
Khadijah cuba bangun. Gagal.
Kakinya sakit. Terseliuh. Tiba-tiba..... “Aik, hujan masih lebat! Sana hujan,
sini tak hujan. Sana hujan, sini tak hujan.” Tangannya di gerakkan ke kiri dan
ke kanan. Dia mendongak. Pandangannya mati ke wajah itu. Lelaki itu. Muhammad.
“Awak boleh
bangun ke tak?” Muhammad mengajukan soalan.
“Tak.”
“Kejap ya. Pegang
payung ni kejap.”
“Habis, awak....”
Belum habis Khadijah
berkata-kata Muhammad berlari dalam basah hujan pergi meninggalkannya sendirian
di situ bersama payung dan perasaan yang berbaur. ‘Dia nak pergi mana? Habis
aku macam mana?’ Khadijah melayan perasaan sendiri. Rasa hendak menangis pun
iya. Orang yang lalu lalang tidak seorang pun mengendahkannya. Begitulah
manusia. Tidak lama kemudian..
“Dik....” Suara
lembut menegurnya dari belakang. Khadijah berpaling.
“Akak tolong adik
bangun, ya?”
“Akak ni siapa?”
Khadijah bingung.
“Akak ni kakak
Muhammad. Nama akak Siratul Jannah. Boleh panggil akak kak Jannah. Muhammad
cakap ada kawan dia jatuh perlukan bantuan. Akak datanglah. Patutlah dia
panggil akak. Perempuan rupanya. Nama adik apa?” Kak Siratul Jannah membantu Khadijah
bangun. Tangannya memeluk Khadijah erat membantu gadis itu berjalan. Perlahan.
“Khadijah. Terima
kasih ya, kak. Muhammad mana, kak?”
Kak Siratul
Jannah tersenyum lebar. Seakan-akan ada maksud yang mendalam di situ. “Dia
tunggu kat kereta. Khadijah sorang je ke?”
“Haah, kak.”
Sejuk memandang ke wajah wanita itu. Bicaranya lembut, suaranya lunak. Jarang ketemu
wanita punya peribadi seperti Kak Siratul Jannah.
“Hurm... Khadijah
naik kereta akak boleh? Dalam keadaan macam ni tak boleh nak drive kereta
ni. Ikut akak, ya?”
“Baiklah, kak.”
Dari jauh Muhammad memerhati
Khadijah di sisi kakaknya. Di bawah payung dalam hujan yang turun
lebat. Bagai bidadari kayangan dalam dunia khayalan. Matanya dijatuhkan.
Hatinya beristighfar. Terleka seketika menghayati keindahan ciptaan Allah di
hadapan mata.
Kak Siratul Jannah mengetuk cermin tingkap kereta. Lamunannya mati setakat
di situ. Muhammad membantu membukakan pintu kereta. Perlahan-lahan Khadijah
masuk melangkahkan kaki kanannya yang terseliuh. Kak Siratul Jannah memandang
wajah adiknya. Wajah lelaki itu selalu menunduk. Sama layanannya dengan
perempuan-perempuan lain tetapi ada sesuatu yang berbeza dari segi tingkah laku
Muhammad yang seakan-akan gugup apabila Khadijah ada di situ. Tidak tenang
seperti selalu.
*************************************
“Ieja taknak
kahwin! Ieja taknak! Apatah lagi kahwin dengan pilihan mama dan papa. Ieja
taknak! Mama dan papa ingat Ieja ni anak patung ke? Tak ada perasaan? Tak ada
hidup sendiri? Ha?? Ieja ada hati dan cara Ieja sendiri. Janganlah paksa-paksa
Ieja kahwin! Mama dan papa tak perlu aturkan hidup Ieja. Ieja bukan budak kecil
yang boleh mama dan papa nak atur-atur. Dari kecil sampailah Ieja dah berumur
25 tahun pun mama dan papa tak puas-puas nak tentukan apa yang perlu Ieja
pilih, apa yang perlu Ieja buat. Ieja benci dengan semua ni. Ieja benci dengan
papa mama!”
“Ieja, mama dan
papa buat semua ni untuk Ieja.” Puan Sri Hashimah memujuk.
“Ieja meluat
dengan hidup ni. Ieja tak pernah bebas nak buat apa yang Ieja suka. Mama dan
papa tak pernah ambil tahu apa yang Ieja nak dan apa yang Ieja harapkan. Pernah
tak walau sekalipun mama dan papa fikir tentang kehendak hati anak mama papa
seorang ni? Semua yang papa dan mama buat untuk kepentingan mama dan papa. Tak
pernah pun fikir tentang perasaan Ieja. Mama dan papa nak jual Ieja kat
keluarga tu kan? Nak besarkan lagi empayar syarikat papa yang dah besar tu.
Tamak! Itulah sikap papa. Mama? Sebagai ibu mama pernah tak ajar Ieja macamana
jadi seorang anak yang pernah punya ibu? Pernah tak?! Apa yang kalian tahu hanyalah
bagaimana nak atur kehidupan orang lain. Ieja tak nafikan Ieja memang senang
hidup sebagai anak Tan Sri Luqman dan Puan Sri Hashimah. Wah, hebat! Anak orang
kaya! Tapi Ieja orang yang paling miskin sebenarnya. Miskin budi dan kasih
sayang. Sebab apa? Sebab Ieja ada mama papa yang cuma tahu nak buat duit
sahaja. Tak cukup-cukup lagi ke duit yang dah berbukit-bukit tu, ha?!!”
“Ieja, kami buat
semua ni untuk kepentingan Ieja. Cuba Ieja sesekali fikir tentang mama dan papa
juga.” Masih lagi Puan Sri Hashimah memujuk. Tan Sri Luqman hanya duduk
menunggu keputusan akhir pertengkaran itu.
“Sesekali??? Dah
tak terkira dengan jari berapa kali Ieja fikir tentang mama dan papa sejak dari
kecil sehinggalah ke hari ini sehingga Ieja dah tak mampu nak fikir tentang
kepentingan diri sendiri pun. Baiklah, fikir tentang mama dan papa, kan? Okey,
bila nak jual anak mama ni? Bila?!!!”
“Ieja, mulut kamu
jaga!” Tan Sri Luqman mula bersuara.
“Jaga? Dah lama
Ieja jaga. Penat dah. Hari ni Ieja serahkan seluruh hidup Ieja kepada papa dan
mama. Suka hati papa mamalah nak jadikan Ieja pelacur ke apa ke, silakan....”
Khadijah terus berlari naik ke
biliknya. Deraian air mata tiada siapa yang tahu. Hanya hatinya yang pedih
mengerti. Sedang Tan Sri Luqman dan Puan Sri Hashimah saling tersenyum
memandang satu sama lain. Puas hati kerana kedegilan anak itu kerap kalah
dengan kuasa veto mereka sebagai orang tua.
Pada siapa hati yang luluh itu hendak mengadu sedangkan dirinya tidak
pernah diajar bagaimana hendak mengenal tuhan. Sekadar memujuk hati sendiri.
************************************
“Aku terima
nikahnya Khadijah binti Luqman dengan mas kahwinnya senaskhah al-quran dan wang
RM 1000 Tunai.”
“Sah!” Suara para
saksi jelas kedengaran.
“Alhamdulillah.....”
Para hadirin mengucap syukur.
Dari jauh Muhammad memandang
wajah Khadijah yang basah dalam hujan air mata. Sejak dari mula-mula melihat
Khadijah keluar dari kamarnya air matanya sudah bertamu di pipi. Mekapnya
hilang dalam lengas kebasahan itu. Tetapi lebih indah wajah itu dalam
kesemulajadiannya.
Muhammad teragak-agak ingin menyarung cincin ke jari manis itu. Sedikit pun
Khadijah tidak sudi memandang ke wajahnya. Puan Sri Hashimah yang membantu
mengangkat tangan itu dan meluruskan jari runcing Khadijah. Muhammad berasa
serba salah namun dipaksa juga menjerluskan bulatan cincin itu ke jarinya
sambil dalam hatinya berdoa, semoga Allah yakinkan hatinya bahawa pilihannya
tidak sedikitpun khilaf.
Hati Khadijah sekeras batu. Dia lekas bangun dan naik mendaki tangga masuk
ke kamarnya. Hati Muhammad bagai terhiris halus. ‘Allah, kuatkan aku.’ Muhammad
berpaling memandang ke arah ibu dan kakaknya. Puan Arbakenah dan Kak Siratul
Jannah menghampirinya. Puan Arbakenah mengusap lembut belakang tubuh Muhammad
semoga dengan itu hati Muhammad akan sedikit tenang.
Encik Fadzil datang dari belakang terus menarik lembut tangan anak
lelakinya. Muhammad dituntun ke luar rumah.
“Muhammad, ayah
minta maaf kalau permintaan ayah pada Muhammad keterlaluan. Orang minta tolong
pada kita, Muhammad.”
“Ayah, Muhammad
faham... Muhammad tak salahkan ayah. Tak salahkan sesiapa pun. Ini memang
pilihan Muhammad. Dan Muhammad faham, papa dan mama Khadijah sahabat baik papa.
Mereka mengharapkan pertolongan Muhammad untuk membimbing anak mereka. Muhammad
tak menyesali apa pilihan yang Muhammad dah buat. Dan Muhammad akan cuba
menjadi suami dan imam yang terbaik buat isteri Muhammad. Muhammad cuba ya,
ayah.”
“Muhammad,
maafkan ayah.”
“Ayah, tolong
jangan cakap macam tu. Muhammad....”
Tiba-tiba bahunya ditepuk dari
belakang. Kata-katanya terbantut. Muhammad berpaling. Dua wajah insan baru
dalam kehidupannya.
“Muhammad.....”
Tan Sri Luqman memanggil lembut.
“Iya, papa.”
“Muhammad, papa
dan mama minta maaf atas sikap Khadijah pada kamu. Harapan kami besar pada kamu
semoga kamu mampu mengubah dirinya setelah kegagalan kami mendidiknya. Kami
lakukan ini semua hanya sebagai satu cara untuk menebus kembali kesilapan kami.
Kami tak seharusnya melayan Khadijah seakan-akan barang hak milik dan bukannya
sebagai anak. Kami sangat menyesali kesalahan kami. Dan inilah satu-satunya
cara supaya Khadijah terselamat dalam kemudian kapalnya agar dia tidak terus
hanyut dengan dunianya sendiri.” Suara Tan Sri Luqman lemah.
“Papa, Muhammad
faham. Apa yang Muhammad minta hanya satu. Tolonglah layan Khadijah sebagaimana
seorang anak memerlukan perhatian dan kasih kedua ibu bapanya. Dia merindukan
keprihatinan, sikap belas kasihan serta kasih sayang papa mama. InsyaAllah,
kita bersama-sama mengubahnya, ya.”
“Ya, Muhammad.
Papa akan cuba.”
******************************************
“Khadijah, turun
jom kita makan. Suami kamu pun nak makan tu. Kamu layanlah dia.” Puan Sri
Hashimah memanggil dari sebalik pintu.
“Siapa suami
Ieja? Mana? Bila pulak Ieja rela kahwin dengan dia?! Sendiri nak makan, mulut
sendiri dan perut sendiri yang nak kenyang.
Apa kaitan dengan orang pulak?! Dahlah, mama jelah layan dia. Mama suka sangat
dengan dia, kan? Pergi layanlah! Kenapa nak suruh-suruh orang pulak?!” Khadijah
membentak.
Puan Sri Hashimah tertunduk mendengar tengkingan anak itu. Kebetulan
Muhammad sedang berdiri di hujung tangga. Bentakan Khadijah ibarat petir
bersabung hinggap di telinganya. Hatinya pilu melihat wajah si ibu bermuram
durja. Muhammad menggenggam tangan ibu mertuanya.
“Mama turun dulu,
ya. Biar saya yang pujuk Khadijah. Nanti saya turun kita makan sekali, ya.”
Pandai Muhammad memujuk. Puan Sri Hashimah tersenyum. Dia terus turun ke bawah.
Muhammad menolak daun pintu. Dari muka pintu Muhammad taajub melihat
suasana bilik pengantin itu. Indah perhiasannya namun dia tidak dapat
menjejakkan kakinya ke situ pada malam pertama bergelar suami kerana tarafnya
hanya sebagai suami atas kertas bagi Khadijah, zaujahnya.
Muhammad mengatur langkah kakinya perlahan menghampiri Khadijah yang sedang
duduk di hujung katil memeluk bantal.
“Assalamualaikum.”
Suara lelakinya menggentarkan hati Khadijah.
“Awak buat apa
kat sini? Awak keluar! Keluar!” Terbang bantal hinggap ke wajah Muhammad.
Sedikit pun dia tidak mengelak.
“Dah puas? Ke
awak nak campak lagi bantal ni kat muka saya?” Muhammad mengangkat bantal itu
dari lantai dan menyuakan kepada Khadijah.
“Awak jangan nak
cari pasal dengan saya!”
“Saya tak cari
pasal dengan awak. Saya cuma nak bagi awak lepas marah awak pada saya.”
“Saya tak marah
awak tapi saya marah mama dan papa saya. Sebab mereka dah jual saya!”
Muhammad meletakkan bantal tersebut di atas katil. “Baiklah, awak ambil
bantal ni dan pukul saya. Awak anggap saya ni macam papa dan mama awak.
Pukullah saya sekuat hati awak. Saya sudi menerima beban kesalahan tu asalkan
saya tak biarkan isteri saya marah dan menengking kedua ibu bapanya sehingga
melukakan hati mereka.”
“Awak ni gila
ke?”
“Anggap sahaja
begitu.”
“Awak ni memang
nak cari pasal dengan saya, kan?”
“Mungkin.”
“Awak ni memang
menyakitkan hati!!”
Khadijah mencapai bantal
tersebut dan terus menghayun ke wajah dan tubuh Muhammad. Muhammad hanya
berdiri tegak dan menerima pukulan dari sang isteri. Hatinya hanya perlu sabar
kerana Khadijah punya hati sekeras batu dan batu itu perlu dilenturkan dengan
tenangnya aliran air. Khadijah melepaskan geram dan sakit yang dipendam dengan
pukulan itu.
Muhammad berasa sakit dan lemas tetapi terus bersabar. Air mata Khadijah
sudah deras mengalir. Tiba-tiba dia berhenti dan terjelupuk jatuh.
“Kenapa mesti
saya yang terima nasib seperti ini? Adakah saya tidak layak hidup seperti
wanita lain? Adakah saya tidak layak menerima cinta dalam hidup ini? Adakah
saya seorang wanita yang tidak berhak mengahwini lelaki yang saya cintai...
Kenapa semua ini berlaku pada saya... Kenapa......”
Air matanya berderai. Kakinya
lemah untuk berdiri. Muhammad melutut di hadapan Khadijah. Hatinya turut sakit
mendengar bicara itu. Perlahan tanpa dikawal tangannya merangkul tubuh Khadijah.
Meminjamkan bahunya buat wanita itu meluahkan seluruh rasa kesedihannya.
Semakin lama suara tangisan itu semakin hilang. Muhammad melihat ke wajah
isterinya. Mata itu tertutup. Kelihatan bengkak di bawah matanya. Kemungkinan
terlalu banyak menangis dan kepenatan.
Muhammad mengangkat tubuh itu ke atas katil. Rambut Khadijah yang menutupi
wajahnya dirapikan dengan jari lelakinya. ‘Subhanallah, bidadari ini Kau
hadiahkan buatku mana mungkin aku tidak mensyukurinya, Ya Allah. Akan tetapi
Kau bantulah aku dalam mengubati kesedihannya. Menjadi penawar kala sakitnya
dan menjadi penguat kala lemahnya. Aku mahu menjadi suami yang layak memiliki
bidadari kurniaanMu ini, Ya Allah. Dengan itu, Kau kuatkanlah iman dan hatiku
agar teguhku berpegang pada taliMu sehingga aku berjaya menuntun bidadari ini
menghampiriMu.’
******************************
“Mama dan papa
makan dulu ya. Saya makan dengan Khadijah sahaja nanti.”
“Eh, segan pulak
mama dan papa nak makan ni, Muhammad.” Tan Sri Luqman menolak pinggannya yang
telah berisi mee goreng ke tengah meja.
“Tak apalah,
papa. Muhammad tunggu Ieja. Kasihan dia tak ada siapa nak teman. Nanti dia
taknak makan pula. Tak apa, nanti saya bawakan makanan ke bilik. Saya makan
dengan dia dalam bilik sahaja. Mama dengan papa makan dulu, ya.” Muhammad
menyendukkan sambal bilis ke pinggan mama dan papanya.
“Iyalah,
Muhammad. Tolong tengok-tengokkan anak kami tu. Mama dah tak tahu macam mana
nak pujuk dia. Marah benar dia dengan kami. Mama tahu dia salah faham dengan
kami. Kami bukan nak jual dia untuk kepentingan perniagaan. Tetapi kami mahu
yang terbaik buat dia. Kami taknak dia semakin hanyut dengan dunia dia
sendiri.”
“Iya, ma.
Muhammad naik dulu ya. Tak berani tinggalkan Khadijah tengah dalam keadaan
macam tu. Nanti terjaga pulak.”
Tan Sri Luqman dan Puan Sri
Hashimah mengangguk. Sekadar menghantar langkah Muhammad dengan pandangan.
Muhammad membuka pintu perlahan. Bimbang Khadijah terjaga dari tidur.
Pasti semalaman wanita itu tidak dapat melelapkan mata dan demi menghormati
Khadijah Muhammad meminta izin kedua mertuanya untuk tidur di bilik tetamu dan
begitu juga pada malam-malam yang seterusnya sehingga hati wanita itu sedia
untuk menerimanya sebagai suami.
*******************************************
Luas mulut Khadijah menguap. Dia menggeliat perlahan. Khadijah bangun dan
menyandarkan tubuhnya di kepala katil.
“Dah bangun?”
“Ha? Eh, apa awak
buat dalam bilik saya? Awak siapa? Eh, saya masih bermimpi ke?” Khadijah
menampar-nampar pipinya.
“Sakit pipi tu.
Jangan buat macam tu. Ni, saya bawakan sarapan untuk awak.”
“Sarapan?”
Khadijah mengulang tayang kembali kejadian sebelumnya dalam kotak fikirannya.
‘Ya Allah, aku tertidur dalam pelukan dia? Jadi, betullah aku dah kahwin. Bukan
mimpi? Bukan! Aku dah nikah kelmarin. Ha, apa aku dah buat ni? Kenapa aku boleh
tertidur dalam pelukan dia?!’ Wajah Khadijah memerah. Lirikan mata Muhammad
memandang ke wajahnya seakan-akan mentertawakannya. ‘Ahhhhhh....malunya!’
“Awak, makan dulu
ya. Saya suap nak?” Muhammad sengaja mahu memaksa Khadijah makan dengan cara
tersebut.
“Eh, tak payah.
Saya bukan kudung nak kena suap-suap segala. Bak sini!”
Muhammad tersenyum. Khadijah
makan sambil matanya mencuri-curi pandang ke arah Muhammad. Aksi Khadijah
kelihatan lucu pada mata Muhammad. Muhammad tertawa kecil.
“Kenapa
ketawa-ketawa? Tak pernah tengok orang makan?”
“Taklah, pernah je
cuma tak pernah nampak orang makan terus tanpa basuh muka lepas bangun dari
tidur.”
‘Cis, bedebah!
Dia gelakkan aku. Yang aku pun satu, macamana boleh terlupa nak basuh muka
pulak ni. Aduh, jatuh saham!’ Khadijah seakan-akan malu.
“Biarlah, saya
basuh muka ke tak basuh muka ke ada saya kisah? Saya tak susahkan orang pun
jadi awak tak payah nak sibuk-sibuk ya. Dah, awak buat apa lagi kat sini? Tak
reti-reti lagi nak keluar?” Khadijah mempertahankan keegoannya.
“Saya nak makan
dengan awak.”
“Saya tak
jemputlah. Dah-dah! Pergi keluar sana!”
“Taknak, saya
kata saya nak makan dengan awak.”
“Awak ni memang
menyakitkan hati, kan? Nah, ambik ni! Makanlah puas-puas. Saya nak mandi.”
Khadijah bangun mencapai tuala
dan terus menuju ke bilik mandi. Muhammad menggelengkan kepala. Jelas, Khadijah
memang berkepala batu. Pinggan diletakkan di atas meja. Muhammad keluar segera
dari bilik.
Kedengaran pintu bilik ditutup. Khadijah menjengulkan kepalanya keluar dari
pintu bilik mandi. Melihat-lihat sekiranya Muhammad masih ada di dalam biliknya
atau tidak. Khadijah tersenyum sendiri. Niatnya untuk mandi disambung sambil
menyanyi kecil. Riang.
***************************
“Assalamualaikum,
ayah.”
“Waalaikumussalam.”
“Ayah sihat?
Muhammad rindukan ayah.”
“Ayah sihat saja,
Muhammad. Kami semua di sini sihat. Muhammad macamana duduk sana? Baik-baik
saja, kan?”
“Alhamdulillah.
Macam biasa saja, ayah. Ayah, Muhammad telefon ni sebenarnya Muhammad nak
sampaikan berita baik. Muhammad harap ayah dan ibu izinkan.”
“kenapa ni,
Muhammad? Apa khabar baiknya?” Encik Fadzil tertanya-tanya.
“Ayah, Muhammad
dapat tawaran kerja di UM.”
“Alhamdulillah.
Tahniah, Muhammad. Tapi kerja apa tu?”
“Pensyarah di
Akademi Pengajian Islam.”
“Wah, hebat anak
ayah! Ayah dan ibu izinkan saja Muhammad asalkan rezki yang baik dan halal. Bakal
jadi pensyarahlah anak ayah ni. Tahniah! Ni, ibu nak bercakap dengan kamu.”
“Assalamualaikum,
Muhammad.”
“Waalaikumussalam,
ibu. Ibu, Muhammad rindukan ibu. Ibu rindukan Muhammad?”
“Mestilah ibu
rindu dengan Muhammad. Tiap-tiap malam ibu tak boleh tidur asyik fikir apalah
yang Muhammad makan, Muhammad pakai. Macamana Muhammad jaga diri kat rumah
mertua Muhammad tu pun sampai termimpi-mimpi jugak tau.”
“Apalah ibu ni.
Jagalah kesihatan ibu tu. Ni yang buat Muhammad tak boleh tidur jugak ni. Ibu
tak sayang Muhammad, ya?”
“Muhammad
janganlah cakap macam tu.”
“Anak ibu ni
baik-baik je kat sini. Ibu tak payahlah susah hati sangat. Kesihatan ibu
terjejas siapa yang sedih? Siapa yang susah? Ha, baik ibu dengar cakap
Muhammad. Muhammad kan dah ada isteri. Dia jaga Muhammad dengan baiklah, ibu.
Dia isteri yang baik dan bertanggungjawab. Penuh kelembutan, penurut dan solehah,
bu.”
Dari sebalik pintu Khadijah terdengar
perbualan Muhammad. Hatinya tersentuh. ‘Apa yang digambarkan oleh Muhammad jauh
sekali dari hakikat sebenarnya. Aku tidak pernah menganggapnya sebagai seorang
suami apatah lagi melayannya dengan baik. Tidak pernah. Kubiarkan dia tidur
sendirian di bilik tetamu. Apabila dia cuba untuk berbual denganku aku pula
berpaling darinya. Apabila dia menyediakan makan pakaiku sedikitpun aku tidak
pernah menghargainya. Padahal akukah si isteri atau dia?’ Khadijah melayan
perasaan sendiri.
“Awak mengintip
saya, ya?” Muhammad menegur.
Khadijah
terkejut. Tuala kecil di tangannya terjatuh. “Mana ada!”
“Baik. Tapi apa
awak buat menyorok belakang pintu ni?” Muhammad sengaja memancing.
“Eh, ha, hurm...
saya punya cincin jatuh tadi. Ha, jatuh. Jatuh kat belakang pintu ni.”
“Oh, jatuh ya... Dah
jumpa ke belum?”
“Dah. Eh, belum.”
“Belum? Tu yang
kat jari awak tu cincin siapa?”
“Ni cincin
sayalah. Maksud saya, maksud saya.... yang jatuh tu cincin nikah... kita...”
“Cincin nikah
siapa?” Muhammad mengusik.
“Hurm... Tak ada
sesiapa!”
“Awak pernah ke pakai
cincin tu lepas pernikahan kita hari tu...” Khadijah terasa. Muhammad pergi.
Cepat-cepat Khadijah memegang lengan Muhammad. Muhammad berpaling memandang
ke wajah Khadijah. Khadijah meneguk air liur. Pandangan Muhammad seakan-akan
tembus. Sedang dalam hati Muhammad bergetar sekencang taufan.
“Kenapa awak tak
beritahu saja perkara sebenar pada keluarga awak? Beritahu yang sebenarnya saya
ni bukan isteri yang baik buat awak. Tak pernah juga menganggap dan melayan
awak sebagai seorang suami. Tak pernah jalankan tanggungjawab saya sebagai
seorang isteri. Kenapa tak beritahu semua tu? Kenapa mesti menipu?”
“Awak rasa saya
menipu ke, Khadijah?” Mata Muhammad tajam merenung ke dalam mata Khadijah.
Khadijah jadi gugup.
“Ya. Awak tipu.
Semua tu tak benar.”
“Salah! Saya tak
pernah tipu. Saya beritahu keluarga saya perkara benar. Kerana sebenarnya saya
tahu hati awak bersih. Awak tak sedegil yang diperkatakan banyak mulut. Bagi saya,
awaklah wanita terhormat dan suci. Awak seindah-indah perhiasan dan pendamping
terbaik yang hadir dalam hidup saya. Wanita yang berdiri di hadapan saya tidak
menjadi istimewa hanya dengan perbuatannya. Cukuplah sekadar menjadi Qurratul
Aini bagi saya. Isteri yang menjadi penyejuk mata suaminya. Dan saya yakin awak
akan jadi seorang isteri sebagaimana yang saya khabarkan pada ibu saya.”
Tangan Khadijah jatuh ke sisi.
Lemah pegangannya pada lengan lelaki itu. Khadijah terus berlari masuk ke bilik
dan mengunci pintu. Tubuhnya disandarkan ke dada pintu. Airmatanya deras mengalir.
Telinganya bagai disiat-siat mendengar kalam suami. Penipuan paling bodoh yang
menyentuh jiwanya. Penipuan jenis apakah ini?
**************************************
Muhammad bersalaman dengan kedua
mertuanya. Lembut dikucup tangan kedua mereka. Segak berpakaian tidak seperti
biasa. Maklumlah, hari pertama masuk bekerja. Hatinya berbunga riang hari ini
sementalah hari pertamanya bekerja Khadijah pula menyediakan pakaiannya.
“Elok-elok memandu
tu, Muhammad.”
“Iya, mama. Saya
pergi dahulu ya.”
“Ma, mana anak
awak ni? Tak salam suami nak pergi kerja? Apa nak jadilah anak awak ni!” Tan
Sri Luqman membebel.
“Jangan lupa, dia
pun anak awak juga.” Puan Sri Hashimah menjawab.
Muhammad tergelak
melihat pasangan itu saling usik-mengusik. “Tak apalah, mama, papa... Dia dah
gosokkan baju saya ni pun dah cukup baik.”
“Dia gosokkan
baju kamu?!” Puan Sri Hashimah ternganga.
Muhammad tersenyum meleret. Dia
memandu kereta hadiah dari bapa mertua menuju ke tempat kerja. Khadijah sekadar
menghantar pemergian suaminya dari jendela kamar sahaja. Malu hendak berhadapan
dengan lelaki itu setelah secara sembunyi menggosokkan pakaiannya dan
menyangkutnya di hadapan almari bilik Muhammad ketika dia masih tidur.
**********************************************
Khadijah menghirup teh ‘o’ panas.
Menikmati suasana tenang lewat petang itu bersendirian di pondok kecil di
halaman rumah sambil memerhati ikan-ikan yang berenang berkejaran di dalam
kolam. Rambut Khadijah sengaja dibiar lepas ditiup angin lembut.
Di muka pintu Muhammad berdiri memerhati isterinya lama. ‘Keindahan yang
tidak bisa disentuh, tidak bisa dibelai, tidak bisa dirasa. Hanya bisa dipuja.
Allah, kuatkan aku! Sesungguhnya ujian ini adalah tanda sayangMu buatku. Ya!
Aku insan yang Kau pilih kerana Kau masih melihat aku. Kau masih melihat akan
kewujudan hambaMu yang satu ini. Terima kasih, Ya Allah atas ujianMu ini.’
Perlahan Muhammad menghampiri
Khadijah dari belakang. Tangan Khadijah disentuh lembut. Khadijah terkejut.
Cepat-cepat dia menarik tangannya. Wajah Muhammad dipandang. Terasa bahang
panas naik ke muka melihat mata lelaki itu tepat memandang ke dalam matanya.
Pipi Khadijah memerah.
“Awak nak apa?
Kalau sehari saya tak nampak muka awak tak boleh ke?!”
“Boleh cuma saya yang
tak boleh tak tengok muka awak walau cuma sekejap. Sebab tu saya letak gambar
awak dalam dompet saya. Bila saya rindu awak kat tempat kerja, saya akan buka
dompet saya. Tengok ni!” Muhammad membuka dompetnya dan menunjukkan pada Khadijah.
“Siapa suruh awak
ambil gambar saya? Saya tak pernah benarkan awak!”
Tangan Khadijah bergerak pantas.
Muhammad tidak sempat menyimpan dompetnya. Khadijah sudah merampas dari
pegangannya. Khadijah bangun melarikan dompet Muhammad. Muhammad bingkas bangun
mengejar isterinya.
Sambil berlari Khadijah cepat-cepat mengeluarkan gambarnya dari situ.
Tiba-tiba sekeping gambar kecil jatuh. Khadijah menghentikan langkahnya. Dia
tunduk mengambil kepingan kecil itu. Lama dia merenung wajah gadis itu. Manis
bertudung, sungguh menawan wajahnya. Di belakang gambar tersebut tertulis,
Selamanya menyintai abang. Letakkan ingatan tentangku
sentiasa di hatimu...
Rasa yang tidak diketahui
tiba-tiba hadir bertamu di ruangan hati. ‘Siapakah gadis ini?’ Muhammad
seakan-akan tergamam. Ketika Khadijah mengangkat muka Muhammad cepat-cepat
merampas gambar tersebut dari tangannya. Muhammad terus berlalu pergi
meninggalkan Khadijah yang masih berdiri di situ dengan pelbagai perasaan yang
berbaur. Entah mengapa, ada kesedihan yang bertamu di sudut hati Khadijah.
************************************
Muhammad baru pulang dari tempat
kerja. Belum masuk ke rumah telefon bimbitnya berdering. Khadijah menyorok di belakang pintu. Perbualan
Muhammad di telefon cuba-cuba dicuri dengar.
“Ya Allah, Putri
dah balik? Bila balik sini? Kenapa tak beritahu abang cik doktor ni dah lama
balik dari Jordan? Macam nilah, kita dinner malam ni kat Restoran Secret
Garden, Bangsar. Lepas isya’ ya. Abang jemput Putri kat rumah. Abang rindu
sangat dengan Putri!”
Muhammad bergegas berlari ke
bilik. Sedang Khadijah yang masih berdiri di sebalik pintu menggenggam
tangannya kuat di dada. Air matanya perlahan menuruni pipi. ‘Putri.....’
Khadijah terduduk.
Kelibat Muhammad kelihatan
menuruni tangga. Khadijah segera mengesat air matanya. Bangun dan terus
berjalan tanpa sedikitpun memandang ke arah Muhammad. Muhammad cuba menegur
tetapi wanita itu tidak mengendahkannya. Duhammad mengangkat bahu sambil
mencebik.
Muhammad terus menuju ke dapur. Tudung saji dibuka. Kosong. Tiada apa yang
boleh dimakan. Teringat pula hanya dia dan Khadijah sahaja berada di rumah
sedang mama dan papanya pergi bercuti. Orang gaji pula pulang ke kampung
halaman. Roti dicapai dicicah dengan air teh sejuk. Asalkan dapat mengisi perut
yang sedang berkeroncong.
Khadijah baring memeluk
bantalnya sambil termenung jauh. Air jernih masih bergenang di tubir mata.
Fikirannya menerawang entah ke mana. Berjam-jam Khadijah dalam keadaan begitu.
Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu dibuka.
Khadijah meramas bantal peluknya kuat. Dia menyapu air mata di pipi. Hatinya
geram. Tetapi tidak dapat meluahkannya. Dia sendiri bingung kenapa dia
berkelakuan begitu. Padahal dia tidak pernah suka dengan Muhammad apatah lagi
menyintainya sejak hari pernikahan mereka. Muhammad menghampiri dan melabuhkan
punggungnya dihujung katil sambil memandang ke arah Khadijah yang masih
terbaring kaku.
“Khadijah, tidur
ke? Dah solat?”
Tiada respon dari Khadijah. Masih tubuh itu kaku. ‘Barangkali sudah
tertidur agaknya’, fikir Muhammad. Muhammad bangun. Khadijah memejamkan matanya
rapat. Muhammad menghampiri. Perlahan rambut si isteri yang jatuh ke muka
diselak menyerlahkan wajah indah seorang Khadijah.
“Abang keluar
sekejap, sayang....”
Dahi Khadijah dikucup lembut.
Muhammad bangun dan terus berlalu dari situ. Air mata Khadijah terus jatuh
menderu berlumba-lumba menjadi tamu di pipinya.
‘Kenapa aku bersedih? Adakah aku sudah mula
jatuh cinta? Ah, mustahil! Seharusnya aku perlu gembira dengan apa yang berlaku
kerana apa yang aku impikan selama ini akan menjadi kenyataan. Ya, aku ingin
bebas dan menjalani kehidupanku seperti yang aku mahukan.’
Khadijah memujuk hatinya. Dia bangun
dari pembaringan dan duduk memeluk kedua kakinya sambil ketawa. Ya, ketawa.
Mentertawakan diri sendiri yang bodoh. Seharusnya dia perlu bergembira.
Khadijah masih ketawa kecil sambil menyapu air mata di pipi. Bersendirian
dan terus-terusan ketawa. Memujuk hati atau menyembunyikan rasa? Khadijah
mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Dia mendail nombor Nuri Syarmia.
“Hello, Mia!
Assalamualaikum.” Khadijah mengucap salam.
Di hujung talian
Nuri Syarmia mengangkat kening. ‘Assalamualaikum?? Aku salah dengar ke ni?’
Nuri Syarmia kehairanan.
“Mia!” Khadijah
mengangkat suara.
“Ya,
waalaikumussalam. Ieja, lamanya kau tak contact aku. Sejak kau
nika......” Nuri Syarmia menggantung ayatnya. Bimbang isu itu akan
membangkitkan kemarahan temannya itu.
“Yalah, sejak wedding
aku hari tu aku memang tak cari kau. Bukan lupa cuma aku tak ada mood nak
berborak dan jumpa orang.”
“Kenapa ni, Ieja?
Suara kau ni macam ada masalah je. Cuba kau ceritakan kat aku. Kau masih
berdendam dengan papa mama kau ke?”
“Bukan.....”
Suara Khadijah kedengaran lemah di hujung talian.
“Masalah dengan
Muhammad?” Nuri Syarmia meneka.
“Entahlah, Mia.
Aku tak tahu macamana nak cerita.”
“Ieja, akukan
kawan kau. Selagimana aku boleh tolong insyaAllah aku cuba tolong. Tapi kalau
isu atas katil aku tak nak masuk campur.”
“Katil apanya...
Aku pun tak tidur sebilik dengan dia.”
“Apa?! Kau biar
betul Ieja? Dah berbulan kahwin korang tak tidur sebilik? Aku tahu. Ni semua
mesti kau punya angkara. Aku faham sangat perangai kau tu. Ieja, dia suami kau.
Janganlah kau buat macam tu kat dia. Dia bukan suami olok-olok macam mainan
kita zaman kecil-kecil dulu.”
“Aku tahulah,
Mia. Bukan masalah tu sebenarnya.” Khadijah merungut.
“Habis tu?”
“Muhammad ada
perempuan lain.” Laju meluncur keluhan dari mulut Khadijah.
Mata Nuri Syarmia
terbeliak. “What?!
Ieja, kau cakap apa ni? Sikit punya baiklah suami kau tu kau jangan
macam-macam, Khadijah. Kalau iya pun kau benci sangat dengan Muhammad tu
janganlah kau tabur fitnah yang bukan-bukan! Buruk padahnya, Ieja!”
“Mia, aku tak tipu. Aku sendiri nampak gambar perempuan tu dalam dompet
dia. Baru kejap ni dia keluar nak jumpa perempuan tu.” Air mata Khadijah
menitis.
“Ieja, kau dah pastikan dulu ke status perempuan tu siapa dengan Muhammad?
Manalah tahu adik dia.” Nuri Syarmia cuba bersangka baik bagi menenangkan hati
Khadijah.
“Dia mana ada adik. Entahlah, Mia….” Berat suara Khadijah.
“Ieja, aku rasa kau dah jatuh cinta ni……” Nuri Syarmia sengaja menduga.
“Mana ada!!” Khadijah meninggikan suara.
“Kalau tak, kenapa kau nak kisah pula dengan apa yang Muhammad buat? Kalau
betul kau benci dia kau takkan bersedih macam ni….”
“Aku, aku… Aku tak suka dia! Aku tak pernah suka dia! Aku benci dia!”
Khadijah terus
mematikan talian. Hatinya berang. Kata-kata Nuri Syarmia benar-benar mencabar
egonya.
“Hello, hello! Ieja! Hello!” Nuri Syarmia memandang telefonnya. Dia
menggelengkan kepala. Faham benar dengan sikap Khadijah. Bukan baru sehari dia
mengenali Khadijah.
********************************************
“Khadijah….” Muhammad memanggil lembut nama isterinya. Ya, dia suka dengan
nama itu. Nama wanita pertama yang berjaya menambat hati seorang Muhammad, sang
Kekasih Agung.
Khadijah mengerling ke arah Muhammad, “Kenapa?”
“Saya nak ajak awak makan tengahari. Saya kasihan tengok awak asyik
terperap sahaja duduk di rumah.”
Perut Khadijah
berkeroncong. Dari malam tadi perutnya tidak berisi. Betul-betul ibarat orang
mengantuk disorongkan bantal. Tapi... Egonya masih kuat bertahan. Ego yang
tidak pernah mengalah dengan apa yang dihadapinya meski sakit, duka dan
terluka.
“Khadijah, saya tahu awak lapar.”
“Awak pergilah makan sana. Saya tak lapar.”
“Baiklah, kalau awak taknak makan kat luar awak kena temankan saya beli
barang-barang dapur. Hari ni saya masakkan untuk isteri saya ni. Boleh ya,
sayang?”
“Apa? Awak jangan nak bersayang-sayang dengan saya! Saya jijik!”
“Saya, saya, saya tak maksudkannya. Saya tersalah cakap. Maafkan saya.”
Muhammad gagap.
Khadijah memalingkan
wajahnya. Dia menggenggam tangannya ke dada. Hatinya sakit. ‘Tersalah? Tak
maksudkannya? Adakah tidak layak bagiku untuk kau sayangi?’ Khadijah memendam
rasanya sendiri.
“Tunggu saya. Saya nak bersiap kejap.” Khadijah masih dingin. Berpura-pura
benci dalam rela.
Muhammad tersenyum.
Sepanjang usia perkahwinan mereka sejak hari pertama hingga ke hari ini dia
tidak pernah keluar berdua dengan isterinya. Muhammad terus menuruni anak
tangga dengan hati berbunga-bunga.
*****************************************
Muhammad memilih
barang-barang dapur sendirian. Khadijah entah hilang ke mana. Masih seakan-akan
keseorangan walaupun keluar berteman. Selesai membayar di kaunter Carefour,
Muhammad terpusing-pusing mencari kelibat Khadijah. Kemanalah isterinya
menghilang? Muhammad buntu.
Tiba-tiba langkahnya yang laju terhenti. Khadijah
sedang membelek-belek tudung di dalam sebuah butik muslimah di situ. ‘Betul ke
apa yang aku nampak ni?’ Muhammad memandang lagi bagi memastikan apa yang
dilihatnya benar atau sekadar khayalannya semata. Benar! Memang Khadijah di
situ.
“Akak, saya nak yang ni. Cantiknya tudung ni.” Khadijah menyarungkan ke
kepalanya. Dia memandang ke arah cermin dan tersenyum sendiri. Dia tidak pernah
melihat rupanya dengan imej bertudung sepanjang umurnya.
“Awak suka? Saya belikan untuk awak.”
Khadijah terkejut.
Terus dia berpusing memandang Muhammad. Ya, Muhammad berdiri di situ sambil memerhati.
Entah berapa lama dia telah berada di situ. Khadijah jadi malu. Dia tertunduk.
“Saya belikan untuk awak ya.”
Muhammad hendak pergi ke kaunter. Khadijah segera
menarik lengan Muhammad. Muhammad berpaling memandang ke wajah isterinya.
Khadijah tidak mampu melawan pandangan itu. Dia tertunduk.
“Awak tak suka saya nak belikan untuk awak?” Muhammad menyentuh tangan
Khadijah yang masih kejap memegang lengannya. Khadijah mengangkat wajahnya. Dia memberanikan diri merenung ke dalam mata Muhammad.
“Awak rasa cantik ke saya pakai tudung ni?”
“Tak. Tak cantik.” Muhammad membalas slumber.
“Apa?” Pipi Khadijah mula memerah. Bibir matanya mula bergenang air jernih.
“Sebab perkataan cantik tu tak cukup untuk menggambarkan diri awak. Kerana
awak bukan sekadar cantik malah lebih dari itu.”
Air mata Khadijah
mengalir. Mudah benar air matanya menitis sejak mengenali lelaki itu. Muhammad
punya tarikan yang dia sendiri tidak ketahui. Kelebihan yang tidak pernah
ditemui pada mana-mana lelaki yang pernah didampinginya iaitu sabar. Satu
perkataan yang mudah disebut tetapi sukar ditemui.
Tudung yang dibelikan
oleh Muhammad melekat di kepala. Serasa malu ingin menanggalkannya. Seakan
tiba-tiba ada satu tanggungjawab dan amanah yang sangat besar terhadap dirinya
sendiri bahawa dirinya dan hatinya adalah milik suaminya. Bukan untuk lelaki
lain.
Khadijah bukan tidak tahu tentang hukum. Hanya
hatinya tidak cukup kuat untuk berubah dan kini lelaki itu adalah pendukungnya
untuk menjadi insan dan hamba yang lebih baik. ‘Tidak akan kukongsi diriku
dengan selain darimu. Walau hanya sehelai rambutku adalah hakmu, duhai suami. Andailah
kau bisa mendengar apa yang aku bisikkan, wahai pemilik cintaku.’
Muhammad menyuruh
Khadijah menunggunya di kereta. Di dalam kereta, Khadijah merenung wajahnya
lama di dalam cermin sambil membelek-belek tudung barunya. Dia tersenyum
sendiri. Merasa bangga dengan diri. Khadijah melihat jam. Dia mula tidak senang duduk menunggu Muhammad terlalu
lama. Katanya cuma mahu ke tandas. Khadijah keluar dari kereta dan mula mencari
Muhammad di dalam.
Sambil berjalan Khadijah mendail nombor Muhammad.
Tidak berangkat. Khadijah mencuba beberapa kali sambil matanya meliar mencari
kelibat Muhammad di dalam Shopping Mall besar itu. Kaki Khadijah sakit kerana
telah berjalan lama. Dia pergi ke ruangan tepi untuk menaiki lif. Tiba-tiba....
Khadijah ternganga.
Telefon di tangannya terhempas jatuh ke lantai. Air matanya mengalir perlahan.
Sembilu kecil tetapi penuh bisa sedang merobek-robek hatinya dengan rakus. Dia
terjelupuk jatuh menyembah bumi.
“Awak............” Khadijah kecewa. Sedunya kedengaran. Syahdu.
Muhammad terkejut
dengan kehadiran Khadijah di situ. Segera dia meleraikan pelukan wanita
tersebut. Dia bergegas berlari ke arah Khadijah. Tangan Khadijah disentuh.
“Khadijah.......”
“Lepaskan saya! Jangan sentuh saya!”
Khadijah menepis tangan Muhammad. Dia bingkas
bangun. Sempat dia memandang wajah wanita yang memeluk suaminya. Ya, persis
benar wajahnya dengan wanita di dalam gambar yang dilihatnya secara tidak
sengaja tempoh hari.
“Khadijah, saya........” Muhammad masih cuba memujuk. Dia cuba menyentuh
tangan Khadijah.
“Jangan! Jangan sentuh saya! Semoga.... semoga awak bahagia.” Khadijah
berlalu pergi meninggalkan Muhammad yang kaku di situ.
“Khadijahhhh!!!” Muhammad meraung. Dia meraup wajahnya. Rambutnya kusut
ditarik. ‘Khadijah, ini bukan seperti apa yang awak fikirkan....’
****************************************
“Muhammad, masalah ni pun kamu tak boleh nak uruskan ke? Apalah kamu ni
jadi lelaki. Jadilah hero sikit. Selesaikan masalah ni dengan baik.” Encik
Fadzil sedikit emosi.
“Ayah, masalahnya Khadijah taknak cakap dengan saya. Apatah nak bercakap
tengok muka saya pun dia tak sudi, ayah.” Muhammad bingung.
“Kamu pun satu. Hati perempuan ni kamu janganlah buat main-main. Kenapa tak
terangkan dan beritahu dia awal-awal. Kan dah jadi macam ni. Ayah pun pening
dah ni.”
“Ayah, tolonglah saya. Tolong beritahu ibu suruh ibu tolong pujukkan
Khadijah. Ibu sama-sama perempuan mestilah tahu nak pujuk hati perempuan.”
Puan Arbakenah keluar
dari dapur membawa dulang air. Dia menggeleng-geleng melihat keadaan Muhammad seperti
orang sasau sahaja lagaknya.
“Setiap kali ibu tanya kamu ada masalah dengan menantu ibu tu ke tak kamu
cakap kamu baik-baik saja. Tengok ni apa dah jadi sekarang. Nak kejutan sangat
ha sekarang kamu yang terkejut. Apalah kamu ni, Muhammad. Ibu tak pernah marah
anak ibu sorang ni tapi tulah, silap kamu. Kenapa tak beritahu dari awal Putri
ni adik kamu.” Puan Arbakenah membebel.
“Itulah, bu. Abang ni degil sangat. Putri dah cakap dah suruh beritahu je
tapi dia cakap kak Khadijah tak tanya pun. Nak surprisekan kak Khadijah kononnya.
Dia nak beritahu masa family day kita nanti katanya. Tak sampai family day
sampai ke disaster day dulu dah ni. Abang juga yang susah.”
“Yang kamu tu pun satu, dah tahu abang kamu tu dah kahwin tak payahlah bermanja-manja
macam zaman kamu kecil-kecil dulu. Khadijah tu memanglah tak tahu Muhammad ada
adik perempuan ni. Masa kenduri kahwin hari tu Putri tak boleh balik sibuk
dengan peperiksaan. Lepas tu Muhammad pulak berat mulut nak cerita pasal Putri.
Dah jadi merajuk pulak menantu ibu tu. Lambatlah ibu nak timang cucu dari
Muhammad ni.”
Putri Mariam dan Encik
Fadzil ketawa. Puan Arbakenah mencebik. Muhammad masih dengan muka kusutnya.
Benar-benar bingung.
“Hari tu Khadijah ada ternampak gambar arwah Putri Marina dalam dompet
Muhammad. Rasanya mula dari situ dia dah mula makan hati. Aduhai ayah, ibu...
Apa Muhammad nak buat ni?”
“Muhammad, arwah dah pergi relakan je dia pergi. Jangan dikenang lagi.
Doakan je untuk arwah semoga dia bersama para soleh solihin di sana.” Encik
Fadzil menasihati Muhammad.
“Kalau abang sayang Putri, abang jangan salahkan diri abang atas pemergian
kembar Putri tu. Dah sampai ajalnya, bang. Kemalangan tu bukan salah abang pun.
Abang cuma tak ada di sini masa tu. Semuanya nak terjadi. Kun fayakun, bang.
Kuasa Allah tu kalau Dia dah kata ketika itu dan saat itu ajal kita, Dia takkan
tunggu sesaat meskipun tangguh sesaat. Abang berhentilah salahkan diri abang
lagi.”
“Tapi, Putri.... tanggungjawab abang sebagai seorang abang untuk jaga adik-adik
abang. Macam mana abang tak salahkan diri abang sedangkan abang tak ada di sini
untuk menjaga kalian.”
“Abang, kalau macam tu kami semua patut dipersalahkan sebab tak dapat
menjaga arwah sedangkan kami ada di sini dekat dengannya. Tolonglah dengar nasihat
Putri untuk kali ni saja.”
Muhammad diam. Dia memohon diri untuk berehat.
“Eh, kamu tak balik rumah sana?” Puan Arbakenah bertanya.
“Muhammad tidur di sini sahajalah malam ni.”
Muhammad bergegas naik
ke biliknya. Dia menutup daun pintu perlahan. Langkahnya lemah. Dia melabuhkan
punggungnya di hujung katil. Muhammad menekup muka. Gelisah, bingung, murung
dan buntu. Muhammad tidak tahu apa lagi daya yang mampu dilakukan.
Segera Muhammad membersihkan diri dan menunaikan
solat sunat memohon agar Allah memudahkan jalannya dan mengembalikan isteri
yang dicintai ke sisinya semula. Muhammad mengangkat tangannya tinggi dan
memanjat sepenuhnya permohonan agar Allah melembutkan hati Khadijah. Air mata
lelakinya menitis. Terasa malu dan kerdil di hadapan Allah. Hatinya sakit.
“Ya Allah, andai permintaanku ini keterlaluan Kau ampunilah aku. Namun aku
tidak mampu menjalani kehidupanku tanpa Khadijahku. Pulangkanlah Khadijahku
kembali ke pangkuanku. Hanya dia Khadijahku kekasih dunia dan akhiratku. Telah
kucuba sedaya upayaku menjadi imam yang terbaik baginya namun aku telah gagal,
ya Allah. Aku gagal, ya Allah. Ampunilah aku!”
Air mata itu tidak
berhenti mengalir. Kelihatan teguh, kukuh dan sukar runtuh namun Muhammad jua
punya hati seorang hamba yang akan menangis di hadapan yang Esa. Teresak-esak dia
menangis kerana merasa lemahnya diri di hadapan Tuhan. Matanya ditutup rapat
menyesali diri. Tiba-tiba tangannya digenggam dan dikucup.
“Abang tak pernah gagal baik sebagai seorang suami mahupun sebagai seorang
hamba. Abang adalah sebaik-baik manusia yang Allah kurniakan dalam hidup saya.
Abanglah dunia dan akhirat saya. Izinkan saya letakkan abang sebagai darjat
tertinggi dalam hidup dan mati saya. Andai saya berdosa maafkan saya, abang.”
Khadijah melutut dan mengucup dahi Muhammad.
“Sayang.... Maafkan, abang.” Suara Muhammad hilang dalam esak tangis
lelakinya.
“Saya salah faham dengan abang. Putri dan ibu dah terangkan pada saya dari
semalam lagi. Abang, jangan pernah tinggalkan saya lagi. Saya buang semua ego
saya demi cinta saya pada abang. Sudikah abang kembali menyintai saya?”
Khadijah turut menangis.
Muhammad menyeka air mata Khadijah. “Terima kasih kerana sudi menerima
abang dalam hidup sayang. Abang tidak pernah berpaling dan lupa bahkan hati
abang telah terbiasa dipenuhi cinta buatmu, Khadijah bidadari syurgaku di dunia
dan ketua bidadariku di sana. Selamanya cintaku hanya buatmu, sayang.”
‘Ya Allah, terima kasih kerana mengurniakan aku seorang suami yang bisa
membimbing dan teguh kukuh hatinya hanya di jalanMu.......’