Friday, December 2, 2011

Cinta dalam hati....



Menyintai seseorang dalam diam merupakan satu perasaan yang sukar diterjemahkan. Kadangkala hati terasa sedih dan pedih. Kadangkala juga hati bisa menjadi  suka dan bahagia. Apabila terpandangkan dia nun jauh di sana hati kita seperti diisi dengan bunga-bunga cinta di taman kejora. Namun apabila dia tidak kelihatan, fikiran mula gelisah sedang mata meliar mencari di mana keberadaannya. Begitulah indah dan sakitnya bila aku jatuh cinta namun dipendam demi menjaga rasa malu dan hati yang bimbang andai si dia sudah termiliki hatinya. Hati... Hati merupakan satu dari komponen tubuh yang sangat sukar menterjemahkan isinya. Kadangkala mulut bicara namun hati menidakkannya. Akal sendiri tidak mampu mengetahui apa mahunya hati ini. Cinta... Cinta itu indah. Sesiapa yang tidak memiliki cinta dia bukan manusia biasa. Cinta hadir melalui hati yang hanya hati sahaja tahu apa mahunya ia. 

Telah datang kepadaku seorang gadis manis dengan air mata yang bercucuran selebat hujan di luar sana. Kusentuh lembut tangannya lalu kugenggam erat. Kupeluk tubuhnya rapat. Kesedihan dan segala kesakitannya dilepaskan dibahuku melalui air mata. Basah bajuku tidak sedikit kupedulikan. Hanya hatinya sahaja yang ingin kupujuk walau tidak kutahu apa sebabnya kesedihannya itu. Kubisikkan lembut ke telinganya lafaz zikrullah demi menenangkan hati yang sukar diterjemah itu. Sendunya semakin surut namun lebatnya hujan di luar masih selebat tadi begitu juga hatinya. Walau air matanya sudah cuba dikeringkan namun hatinya itu masih terasa sakitnya. Kukesat air mata di pipinya dengan jemariku. Lembut. Matanya memandang ke dalam mataku seakan-akan meminta supaya kubantu dirinya. Supaya kutenangkan dia. Lalu aku pun bersuara.

"Tiada sesiapa yang dapat menenangkan dan membantu dirimu melainkan hanya Allah sahaja yang berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. Berjumpalah denganNya terlebih dahulu. Rayu dan luahkan kepadaNya. Aku tidak bisa memahami apa mahunya hatimu. Allah itu tahu apa perancanganNya dan apa ciptaanNya mahukan. Bukan aku."

Hati yang turut sama sakit sedikit terpujuk apabila si manis itu mahu berjamaah denganku bertemu dengan Kekasih agung. Setelah sekian lama dia meninggalkan persujudan ini aku gembira dengan kesakitan ini Allah berikan jalan mudah baginya kembali mengingati Dia yang Maha Memiliki tiap-tiap hati.  Kupalingkan wajah memandangnya setelah salamku ke kiri dan kanan bahu. Tubuh yang sedang sujud itu sedang bergetar seakan-akan habis seluruh rasa hatinya diluahkan kepada Yang Maha Mendengar. Air mataku turut menitis melihat betapa dalamnya kesakitan gadis itu walau dia pernah menjadi orang yang paling membenci diriku. Dia pernah membuat diriku terasa seperti sampah dalam masyarakat Islam akhir zaman ini. Namun Rasulullah telah mengajarku dan semua umatnya supaya bersifat dengan sifat pemaaf dan mengawal rasa amarah. Begitu hebat Rasulku dia Rasullullah. Subhanallah. Tak terluah betapa cintanya aku kepadanya. Andai dia masih berada di sisiku. Aku Khadijah akhir zaman ini mendamba cintanya sebagaimana cintanya kepada Khadijah, bidadari syurganya.

"Kak, maafkan saya."

"Tidak perlu meminta kata maaf itu kerana akak tak pernah memendam rasa sakit dulu. Ianya telah berakhir setelah melihat keangkuhanmu dirapuh oleh sujudmu. Terima kasih..."

"Kak...."

"Ya..."

"Kenapa akak sebaik ini?"

"Akak tak pernah menjadi baik tetapi sentiasa mencuba untuk menjadi yang terbaik. Andai matamu melihat diri ini sedemikian rupa ingatlah, sesungguhnya diri ini hanya manusia biasa yang sering juga melakukan khilaf. Jangan memandang mulia diriku kerana bimbang andai sekali berlakunya khilafku maka kau akan membenciku."

"Kak.... Masih adakah yang mahukan saya?"

"Kenapa, sayang..."

"Saya kotor, kak. Akak pasti jijik dengan saya apatah lagi Allah."

"Jangan berburuk sangka dengan Allah, adikku."

"Tapi kak... Saya dah buang maruah diri saya, maruah keluarga saya. Saya dah sapukan arang di wajah kedua ibubapa saya. Saya dah berzina, kak. Saya dah buang keperawanan saya. Saya malu, kak. Lelaki itu tidak mahu bertanggungjawab. Katanya saya hanya barang yang tiada harga. Boleh didapati secara percuma di mana-mana. Kak, masih adakah lelaki yang mahukan saya? Saya takut, kak."

"Tidak perlu risau, sayangku. Jangan takut atau bimbang dengan pertanyaan masih adakah lelaki yang mahukan kamu sebaliknya risaulah sekiranya masih mahukah Allah padamu. Taubat itu adalah satu jalan terbaik setelah melakukan khilaf. Bersihkan dirimu di hadapanNya. Jangan berburuk sangka dengan Allah. Allah pasti menerima taubatmu sekiranya benar-benar kamu mahu kembali padaNya. Pasti Dia akan memberikan jalan yang terbaik bagimu."

"Kak.... Terima kasih...."

Erat dia merangkul tubuhku. "Terima kasih, Ya Allah..." Allah itu sentiasa ada bersama tiap-tiap hati yang mengingatiNya. Tidak kiralah sebesar manapun dosa yang dilakukan oleh hambaNya. Subhanallah... Betapa mulianya Dia. Cintaku padaMu, Ya Allah sudah tidak mampu dipendam lagi. Kuluahkan kepadaNya betapa mahunya aku akan cintaNya. Aku mendamba cintaMu, Ya Allah. Biarlah semua makhluk tidak mengerti apa mahunya hatiku namun aku mendamba hanya cintaMu. Andai rasa cinta yang bertapak dalam hatiku buat insan itu, biarlah dia merupakan hambaMu yang turut sama mendamba cinta dariMu. Aku mahukan dia Adam itu membantu aku mendapatkan cintaMu, bukan menjauhkan aku dari sisiMu. Aku ini... Hanya manusia.... Manusia yang penuh khilaf punya hati yang berisi cinta... Cinta yang besar terluah buatMu namun terpendam buat adam itu demi menjaga hati dan imanku sendiri agar tidak terlalai dan tersasar jauh dari jalan hidayahMu....

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah maha mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." 
( Surah al-Baqarah ayat 216).



2 comments:

  1. Subhanallah..,,Mudah2n Dia (Allah) sllu yg terbaik,smg Dia selalu memberikan Cinta Nya, dan cinta orang2 yang saling mencintai hanya karena Nya,,..

    ReplyDelete