Wednesday, March 20, 2013

The Lady In Rain III (Bhg. Akhir)



                Khadijah menghirup teh ‘o’ panas. Menikmati suasana tenang lewat petang itu bersendirian duduk di pondok kecil di halaman rumah sambil memerhati ikan-ikan yang berenang berkejaran di dalam kolam. Rambut Khadijah sengaja dibiar lepas ditiup angin lembut. Di muka pintu Muhammad berdiri memerhati isterinya lama. ‘Keindahan yang tidak bisa disentuh, tidak bisa dibelai, tidak bisa dirasa. Hanya bisa dipuja. Allah, kuatkan aku! Sesungguhnya ujian ini adalah tanda sayangMu buatku. Ya! Aku insan yang Kau pilih kerana Kau masih melihat aku. Kau masih melihat akan kewujudan hambaMu yang satu ini. Terima kasih, Ya Allah atas ujianMu ini.’


                Perlahan Muhammad menghampiri Khadijah dari belakang. Tangan Khadijah disentuh lembut. Khadijah terkejut. Cepat-cepat dia menarik tangannya. Wajah Muhammad dipandang. Terasa bahang panas naik ke muka melihat mata lelaki itu tepat memandang ke dalam matanya. Pipi Khadijah memerah.

“Awak nak apa? Kalau sehari saya tak nampak muka awak tak boleh ke?!”

“Boleh cuma saya je tak boleh tak tengok muka awak walau cuma seminit. Sebab tu saya letak gambar awak dalam dompet saya. Bila saya rindu awak kat tempat kerja saya akan buka dompet saya. Tengok ni!” Muhammad membuka dompetnya dan menyuakan ke wajah Khadijah.

“Siapa suruh awak ambil gambar saya? Saya tak pernah benarkan awak!”

                Tangan Khadijah bergerak pantas. Muhammad tidak sempat menyimpan dompetnya Khadijah sudah merampas dari pegangannya. Khadijah bangun melarikan dompet Muhammad. Muhammad bingkas bangun mengejar isterinya. Sambil berlari Khadijah cepat-cepat mengeluarkan gambarnya dari situ. Tiba-tiba sekeping gambar kecil jatuh. Khadijah menghentikan langkahnya. Dia tunduk mengambil kepingan kecil itu. Lama dia merenung wajah gadis itu. Manis bertudung, sungguh menawan wajahnya. Di belakang gambar tersebut tertulis,

Selamanya menyintai abang. Letakkan ingatan tentangku sentiasa di hatimu...

                Rasa yang tidak diketahui tiba-tiba hadir bertamu di ruangan hati. ‘Siapakah gadis ini?’ Muhammad sudah lama berdiri tidak jauh di hadapan Khadijah. Muhammad seakan-akan tergamam. Ketika Khadijah mengangkat muka Muhammad cepat-cepat merampas gambar tersebut dari tangan Khadijah. Muhammad terus berlalu pergi meninggalkan Khadijah yang masih berdiri di situ dengan pelbagai perasaan yang berbaur. Entah mengapa, ada kesedihan yang bertamu di sudut hati Khadijah.

************************************

                Muhammad baru pulang dari tempat kerja. Belum masuk ke rumah telefon bimbitnya berdering. Khadijah  menyorok di belakang pintu. Perbualan Muhammad di telefon cuba-cuba dicuri dengar.

“Ya Allah, Putri dah balik? Bila balik sini? Kenapa tak beritahu abang cik doktor ni dah lama balik dari Jordan? Macam nilah, kita dinner malam ni kat Restoran Secret Garden, Bangsar. Lepas isya’ ya. Abang jemput Putri kat rumah. Abang rindu sangat dengan Putri!”

                Muhammad bergegas berlari ke bilik. Sedang Khadijah yang masih berdiri di sebalik pintu menggenggam tangannya kuat ke dada. Air matanya perlahan menuruni pipi. ‘Putri.....’ Khadijah terduduk. Air matanya masih mengalir.

                Kelibat Muhammad kelihatan menuruni tangga. Khadijah segera mengesat air matanya. Bangun dan terus berjalan tanpa sedikitpun memandang ke arah Muhammad. Muhammad cuba menegur tetapi Khadijah tidak mengendahkannya. Muhammad mengangkat bahu sambil mencebik. Dia terus menuju ke dapur. Tudung saji dibuka. Kosong. Tiada apa yang boleh dimakan. Teringat pula hanya dia dan Khadijah sahaja berada di rumah sedang mama dan papanya pergi bercuti. Orang gaji pula pulang ke kampung halaman. Roti dicapai dicicah dengan air teh sejuk. Asalkan dapat mengisi perut yang sedang berkeroncong.

                Khadijah baring memeluk bantalnya sambil termenung jauh. Air jernih masih bergenang di tubir mata. Fikirannya menerawang entah ke mana. Berjam-jam Khadijah berkeadaan begitu. Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu dibuka. Khadijah meramas bantal peluknya kuat. Dia menyapu air mata di pipinya. Hatinya geram. Tetapi tidak dapat meluahkannya. Dia sendiri bingung kenapa dia berkelakuan sebegitu. Padahal dia tidak pernah suka dengan Muhammad apatah lagi menyintainya sejak hari pernikahan mereka. Muhammad menghampiri dan melabuhkan punggungnya dihujung katil sambil memandang ke arah Khadijah yang masih kaku terbaring.

“Khadijah, tidur ke? Dah solat?”

Tiada respon dari Khadijah. Masih tubuh itu kaku. ‘Barangkali sudah tertidur agaknya’, fikir Muhammad. Muhammad bangun. Khadijah memejamkan matanya rapat. Muhammad menghampiri. Perlahan rambut si isteri yang jatuh ke muka diselak menyerlahkan wajah indah seorang Khadijah.

“Abang keluar sekejap, sayang....”

                Dahi Khadijah dikucup lembut. Muhammad bangun dan terus berlalu dari situ. Air mata Khadijah terus jatuh menderu berlumba-lumba menjadi tamu di pipinya.

 ‘Kenapa aku bersedih? Adakah aku sudah mula jatuh cinta? Ah, mustahil! Seharusnya aku perlu gembira dengan apa yang berlaku kerana apa yang aku impikan selama ini akan menjadi kenyataan. Ya, aku ingin bebas dan menjalani kehidupanku seperti yang aku mahukan.’

                Khadijah memujuk hatinya. Dia bangun dari pembaringan dan duduk memeluk kedua kakinya sambil ketawa. Ya, ketawa. Mentertawakan diri sendiri yang bodoh. Seharusnya dia perlu bergembira. Khadijah masih ketawa kecil sambil menyapu air mata di pipi. Bersendirian dan terus-terusan ketawa. Memujuk hati atau menyembunyikan rasa? Khadijah mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Dia mendail nombor Nuri Syarmia.

“Hello, Mia! Assalamualaikum.” Khadijah mengucap salam.

Di hujung talian Nuri Syarmia mengangkat kening. ‘Ieja ucapkan salam ke atau aku yang bermimpi ni?’ Nuri Syarmia kehairanan.

“Mia!” Khadijah mengangkat suara.

“Ya, waalaikumussalam. Ieja, lamanya kau tak contact aku. Sejak kau nika......” Nuri Syarmia menggantung ayatnya. Bimbang isu itu akan membangkitkan kemarahan temannya itu.

“Yalah, sejak wedding aku hari tu aku memang tak cari kau. Bukan lupa cuma aku tak ada mood nak berborak dan jumpa orang.”

“Kenapa ni, Ieja? Suara kau ni macam ada masalah je. Cuba kau ceritakan kat aku. Kau masih berdendam dengan papa mama kau ke?”

“Bukan.....” Suara Khadijah kedengaran lemah di hujung talian.

“Masalah dengan Muhammad?” Nuri Syarmia meneka.

“Entahlah, Mia. Aku tak tahu macamana nak cerita.”

“Ieja, akukan kawan kau. Selagimana aku boleh tolong insyaAllah aku cuba tolong. Tapi kalau isu atas katil aku tak nak masuk campur.”

“Katil apanya... Aku pun tak tidur sebilik dengan dia.”

“Apa?! Kau biar betul Ieja? Dah berbulan kahwin korang tak tidur sebilik? Aku tahu. Ni semua mesti kau punya angkara. Aku faham sangat perangai kau tu. Ieja, dia suami kau. Janganlah kau buat macam tu kat dia. Dia bukan suami olok-olok macam mainan kita zaman kecil-kecil dulu.”

“Aku tahulah, Mia. Bukan masalah tu sebenarnya.” Khadijah merungut.

“Habis tu?”

“Muhammad ada perempuan lain.” Laju meluncur keluhan dari mulut Khadijah.

Mata Nuri Syarmia terbeliak. “What?! Ieja, kau cakap apa ni? Sikit punya baiklah suami kau tu kau jangan macam-macam, Khadijah. Kalau iya pun kau benci sangat dengan Muhammad tu janganlah kau tabur fitnah yang bukan-bukan. Buruk padahnya, Ieja.”

“Mia, aku tak tipu. Aku sendiri nampak gambar perempuan tu dalam dompet dia. Baru kejap ni dia keluar jumpa perempuan tu.” Air mata Khadijah menitis.

“Ieja, kau dah pastikan dulu ke status perempuan tu siapa dengan Muhammad? Manalah tahu adik dia.” Nuri Syarmia cuba bersangka baik bagi menenangkan hati Khadijah.

“Dia mana ada adik. Entahlah, Mia….” Berat suara Khadijah.

“Ieja, aku rasa kau dah jatuh cinta ni……” Nuri Syarmia sengaja menduga.

“Mana ada!! Kenapa kau cakap macam tu?!” Khadijah meninggikan suara.

“Kalau tak, kenapa kau nak kisah pula dengan apa yang Muhammad buat? Kalau betul kau benci dia kau takkan bersedih macam ni….”

“Aku, aku… Aku tak suka dia! Aku tak pernah suka dia! Aku benci dia!”

                Khadijah terus mematikan talian. Hatinya berang. Kata-kata Nuri Syarmia benar-benar mencabar egonya.

“Hello, hello! Ieja! Hello!” Nuri Syarmia memandang telefonnya. Dia menggelengkan kepala. Faham benar dengan sikap Khadijah. Bukan baru sehari dia mengenali Khadijah.

********************************************
“Khadijah….” Muhammad memanggil lembut nama isterinya. Ya, dia suka dengan nama itu. Nama wanita pertama yang berjaya menambat hati seorang Muhammad, sang Kekasih Agung.

Khadijah mengerling ke arah Muhammad,  “Kenapa?”

“Saya nak ajak awak makan tengahari. Saya kasihan tengok awak asyik terperap sahaja duduk di rumah.”

                Perut Khadijah berkeroncong. Dari malam tadi perutnya tidak berisi. Betul-betul ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Tapi... Egonya masih kuat bertahan. Ego yang tidak pernah mengalah dengan apa yang dihadapinya meski sakit, duka dan terluka.

“Khadijah, saya tahu awak lapar.”

“Awak pergilah makan sana. Saya tak lapar.”

“Baiklah, kalau awak taknak makan kat luar awak kena temankan saya beli barang-barang dapur. Hari ni saya masakkan untuk isteri saya ni. Boleh ya, sayang?”

“Apa? Awak jangan nak bersayang-sayang dengan saya. Saya jijik!”

“Saya, saya, saya tak maksudkannya. Saya tersalah kata. Maafkan saya.” Muhammad gagap.

                Khadijah memalingkan wajahnya. Dia menggenggam tangannya ke dada. Hatinya sakit. 

‘Tersalah? Tak maksudkannya? Adakah tidak layak bagiku untuk kau sayangi?’ Khadijah memendam rasanya sendiri.

“Tunggu saya. Saya nak bersiap kejap.” Khadijah masih dingin. Berpura-pura benci dalam rela.

                Muhammad tersenyum. Sepanjang usia perkahwinan mereka sejak hari pertama hingga ke hari ini dia tidak pernah keluar berdua dengan isterinya. Muhammad terus menuruni anak tangga dengan hati berbunga-bunga.

*****************************************

                Muhammad memilih barang-barang dapur sendirian. Khadijah entah hilang ke mana. Masih seakan-akan keseorangan walaupun keluar berteman. Selesai membayar di kaunter Carefour Muhammad terpusing-pusing mencari kelibat Khadijah. Kemanalah Khadijah menghilang. Muhammad pening. Tiba-tiba langkahnya yang laju terhenti. Khadijah sedang membelek-belek tudung di dalam sebuah butik muslimah di situ. ‘Betul ke apa yang aku nampak ni?’ Muhammad memandang lagi bagi memastikan apa yang dilihatnya benar atau sekadar khayalannya semata. Benar! Memang Khadijah di situ.

“Akak, saya nak yang ni. Cantiknya tudung ni.” Khadijah menyarungkan ke kepalanya. Dia memandang ke arah cermin dan tersenyum sendiri. Dia tidak pernah melihat rupanya dengan imej bertudung sepanjang umurnya.

“Awak suka? Saya belikan untuk awak. Hadiah untuk isteri saya.”

                Khadijah terkejut. Terus dia berpusing ke belakang. Ya, Muhammad berdiri di situ sambil memerhati. Entah berapa lama dia telah berada di situ. Khadijah jadi malu. Dia tertunduk.

“Saya belikan untuk awak ye. Saya harap awak sudi terima.”

Muhammad hendak pergi ke kaunter. Khadijah segera menarik lengan Muhammad. Muhammad berpaling memandang ke wajah isterinya. Khadijah tidak mampu melawan pandangan itu. Dia tertunduk.

“Awak tak suka saya nak belikan untuk awak?” Muhammad menyentuh tangan Khadijah yang masih kejap memegang lengannya.

Khadijah mengangkat wajahnya. Dia memberanikan diri merenung ke dalam mata Muhammad. “Awak rasa saya cantik ke pakai tudung ni?”

“Awak tak cantik pakai tudung ni.” Muhammad membalas.

“Apa?” Pipi Khadijah mula memerah. Tubir matanya mula bergenang.

“Sebab perkataan cantik tu tak cukup untuk menggambarkan diri awak kerana awak teramat sangat cantik dengan hijab ni. Isteri saya kecantikannya bukan biasa-biasa sahaja tetapi keindahan yang sangat luar biasa.”

                Air mata Khadijah mengalir. Mudah benar air matanya menitis sejak mengenali lelaki itu. Muhammad punya tarikan yang dia sendiri tidak ketahui. Kelebihan yang tidak pernah ditemui pada mana-mana lelaki yang pernah didampinginya iaitu sabar. Satu perkataan yang mudah disebut tetapi sukar ditemui.

                Tudung yang dibelikan oleh Muhammad melekat di kepala. Serasa malu ingin menanggalkannya. Seakan tiba-tiba ada satu tanggungjawab dan amanah yang sangat besar terhadap dirinya sendiri bahawa dirinya dan hatinya adalah milik suaminya. Bukan untuk lelaki lain.  Khadijah bukan tidak tahu tentang hukum. Hanya hatinya tidak cukup kuat untuk berubah dan kini lelaki itu adalah pendukungnya untuk menjadi insan dan hamba yang lebih baik. ‘Tidak akan kukongsi diriku dengan selain darimu. Walau hanya sehelai rambutku adalah hakmu, duhai suami. Andailah kau bisa mendengar apa yang aku bisikkan, wahai pemilik cintaku.’
                Muhammad memohon untuk beransur ke tandas. Khadijah menunggu di kereta. Khadijah merenung wajahnya lama di dalam cermin sambil membelek-belek tudung barunya. Dia tersenyum sendiri. Merasa bangga dengan diri. Khadijah melihat jam. Dia mula tidak senang duduk menunggu Muhammad kelamaan ke tandas. Khadijah keluar dari kereta dan mula mencari Muhammad di dalam. Sambil berjalan Khadijah mendail nombor Muhammad. Tidak berangkat. Khadijah mencuba beberapa kali sambil matanya meliar mencari kelibat Muhammad di dalam Shopping Mall besar itu. Kaki Khadijah sakit kerana telah berjalan lama. Dia pergi ke ruangan tepi untuk menaiki lif. Tiba-tiba....

                Khadijah ternganga. Telefon di tangannya terhempas jatuh ke lantai. Air matanya mengalir perlahan. Sembilu kecil sedang merobek-robek hatinya dengan rakus. Dia terjelupuk jatuh menyembah bumi.

“Awak............” Khadijah kecewa. Sedunya kedengaran. Syahdu.

                Muhammad terkejut dengan kehadiran Khadijah di situ. Segera dia meleraikan pelukan wanita tersebut. Dia bergegas berlari ke arah Khadijah. Tangan Khadijah disentuh.

“Khadijah.......”

“Lepaskan saya! Jangan sentuh saya!”

Khadijah menepis tangan Muhammad. Dia bingkas bangun. Sempat dia memandang ke wajah wanita yang memeluk suaminya. Ya, persis benar wajahnya dengan wanita di dalam gambar yang dilihatnya secara tidak sengaja tempoh hari.

“Khadijah, saya........” Muhammad masih cuba memujuk. Dia cuba menyentuh tangan Khadijah.

“Jangan! Jangan sentuh saya! Semoga.... semoga awak bahagia.” Khadijah berlalu pergi meninggalkan Muhammad yang kaku di situ.

“Khadijahhhh!!!” Muhammad meraung. Dia meraup wajahnya. Rambutnya kusut ditarik. ‘Khadijah, ini bukan seperti apa yang awak fikirkan....’

****************************************

“Muhammad, masalah ni pun kamu tak boleh nak uruskan ke? Apalah kamu ni jadi lelaki. Jadilah hero sikit. Selesaikan masalah ni dengan baik.” Encik Fadzil sedikit emosi.

“Ayah, masalahnya Khadijah taknak cakap dengan saya. Apatah nak bercakap tengok muka saya pun dia tak sudi, ayah.” Muhammad bingung.

“Kau pun satu. Hati perempuan ni kamu janganlah buat main-main. Kenapa tak terangkan dan beritahu dia awal-awal. Kan dah jadi macam ni. Ayah pun pening dah ni.”

“Ayah, tolonglah saya. Tolong beritahu ibu suruh ibu tolong pujukkan Khadijah. Ibu sama-sama perempuan mestilah tahu nak pujuk hati perempuan.”

                Puan Arbakenah keluar dari dapur membawa dulang air. Dia menggeleng-geleng melihat keadaan Muhammad seperti orang sasau sahaja lagaknya.

“Setiap kali ibu tanya kamu ada masalah dengan menantu ibu tu ke tak kamu cakap kamu baik-baik saja. Tengok ni apa dah jadi sekarang. Nak kejutan sangat ha sekarang kamu yang terkejut. Apalah kamu ni, Muhammad. Ibu tak pernah marah anak ibu sorang ni tapi tulah, silap kamu. Kenapa tak beritahu dari awal Putri ni adik kamu.” Puan Arbakenah membebel.

“Itulah, bu. Abang ni degil sangat. Putri dah cakap dah suruh beritahu je tapi dia cakap nak surprisekan kak Khadijah. Dia nak beritahu masa family day  kita nanti katanya. Tak sampai family day sampai ke disaster day dulu dah ni. Abang juga yang susah.”

“Yang kamu tu pun satu, dah tahu abang kamu tu dah kahwin tak payahlah bermanja-manja macam zaman kamu kecil-kecil dulu. Khadijah tu memanglah tak tahu Muhammad ada adik perempuan ni. Masa kenduri kahwin hari tu Putri tak boleh balik sibuk dengan peperiksaan. Lepas tu Muhammad pulak berat mulut nak cerita pasal Putri. Dah jadi merajuk pulak menantu ibu tu. Lambatlah ibu nak timang cucu dari Muhammad ni.”

                Putri Mariam dan Encik Fadzil ketawa. Puan Arbakenah mencebik. Muhammad masih dengan muka kusutnya. Benar-benar bingung.

“Hari tu Khadijah ada ternampak gambar arwah Putri Marina dalam dompet Muhammad. Rasanya mula dari situ dia dah mula makan hati. Aduhai ayah, ibu... Apa Muhammad nak buat ni?”

“Muhammad, arwah dah pergi relakan je dia pergi. Jangan dikenang lagi. Doakan je untuk arwah.” Encik Fadzil menasihati Muhammad.

“Kalau abang sayang Putri, abang jangan salahkan diri abang atas pemergian kembar Putri tu. Dah sampai ajalnya, bang. Kemalangan tu bukan salah abang pun. Semuanya nak terjadi. Kun fayakun, bang. Kuasa Allah tu kalau Dia dah kata ketika itu dan saat itu ajal kita Dia takkan tunggu sesaat meskipun tangguh sesaat. Kebetulan sahaja dia dengan abang masa tu. Abang berhentilah salahkan diri abang lagi.”

“Tapi, Putri....”

“Abang, tolonglah dengar nasihat Putri ni kali ni saja.”

“Baiklah, Putri. Terima kasih atas ingatan tu. Terima kasih sangat. Ibu, ayah, Muhammad naik atas dulu.” Muhammad memohon diri.

“Eh, kamu tak balik rumah Khadijah?” Puan Arbakenah bertanya.

“Muhammad tidur di sini sahajalah malam ni.”

                Muhammad bergegas naik ke biliknya. Dia menutup daun pintu perlahan. Langkahnya lemah. Dia melabuhkan punggungnya di hujung katil. Muhammad menekup muka. Gelisah, bingung, murung dan buntu. Muhammad tidak tahu apa lagi daya yang mampu dilakukan. Segera Muhammad membersihkan diri dan menunaikan solat sunat memohon agar Allah memudahkan jalannya dan mengembalikan isterinya yang dicintai ke sisinya semula. Muhammad mengangkat tangannya tinggi dan memanjat sepenuhnya permohonan agar Allah melembutkan hati Khadijah. Air mata lelakinya menitis. Terasa malu dan kerdil di hadapan Allah. Hatinya sakit.

“Ya Allah, andai permintaanku ini keterlaluan Kau ampunilah aku. Namun aku tidak mampu menjalani kehidupanku tanpa Khadijahku. Pulangkanlah Khadijahku kembali ke pangkuanku. Hanya dia Khadijahku kekasih dunia dan akhiratku. Telah kucuba sedaya upayaku menjadi imam yang terbaik baginya namun aku telah gagal, ya Allah. Aku gagal, ya Allah. Ampunilah aku!”

                Air mata itu tidak berhenti mengalir. Kelihatan teguh, kukuh dan sukar runtuh namun Muhammad jua punya hati seorang hamba yang akan menangis di hadapan yang Esa. Teresak-esak Muhammad menangis kerana merasa lemahnya diri di hadapan Tuhan. Matanya tertutup rapat menyesali diri. Tiba-tiba tangannya digenggam dan dikucup.

“Abang tak pernah gagal baik sebagai seorang suami mahupun sebagai seorang hamba. Abang adalah sebaik-baik manusia yang Allah kurniakan dalam hidup saya. Abanglah dunia dan akhirat saya. Izinkan saya letakkan abang sebagai darjat tertinggi dalam hidup dan mati saya. Andai saya berdosa maafkan saya, abang.” Khadijah melutut dan mengucup dahi Muhammad.

“Sayang.... Maafkan, abang.” Suara Muhammad hilang dalam esak tangis lelakinya.

“Saya salah faham dengan abang. Putri dan ibu dah terangkan pada saya dari semalam lagi. Abang, jangan pernah tinggalkan saya lagi. Saya buang semua ego saya demi cinta saya pada abang. Sudikah abang kembali menyintai saya?” Khadijah turut menangis.

Muhammad menyeka air mata Khadijah. “Terima kasih kerana sudi menerima abang dalam hidup sayang. Abang tidak pernah berpaling dan lupa bahkan hati abang telah terbiasa dipenuhi cinta buatmu, Khadijah bidadari syurgaku di dunia dan ketua bidadariku di sana. Selamanya menyintaimu, sayang.”

‘Ya Allah, terima kasih kerana mengurniakan aku seorang suami yang bisa membimbing dan teguh kukuh hatinya di jalanMu.......’