Thursday, March 22, 2012

_The Lady in Rain_ (Bersempena Maulidurrasul, persembahan buatmu Ya Rasulullah demi cintaku kepadamu dan Tuhanku, Allah s.w.t.…)





Kepulangan Muhammad ke tanah air umpama satu mimpi. Encik Fadzil memeluk erat anak lelakinya itu. Kejap dan kemas. Meluah seluruh rasa rindu dan kasih dari arus pelukan itu. Genangan air mata si ayah kelihatan di tubir mata. Si ibu memerhati dari sudut ruang tamu. Renungan anak mata berkaca itu seakan-akan mengandungi seribu satu rasa dan emosi yang tidak dapat ditafsir dengan mudah. Muhammad menghampiri ibunya yang masih merenung dalam ke wajahnya. Seakan-akan tidak dapat dipercayai lelaki bertubuh sasa yang sedang berdiri di hadapannya adalah anak lelakinya yang telah pergi selama hampir tujuh tahun berhijrah ke bumi Anbiya’ bermusafir dari satu tempat ke tempat yang lain demi mencari ilmu.

“Ibu....” Lunak suara lelakinya menyeru panggilan buat ibu. Menitis air mata si ibu mendengarnya.

“Subhanallah... Betulkah Muhammad anak ibu? Muhammad?? Benarkah? Atau aku hanya bermimpi?...”

“Ibu....”

                Lantas tangan kecil nan lembut yang menghayun buaian ketika kecilnya Muhammad itu dikucup lembut. Kuat genggaman tangannya. Disentuh lembut wajah anaknya. “Subhanallah, anak ibu...” Terus dirangkul erat tubuh sasa Muhammad. Betapa dalamnya rindu ibu buat anak yang telah lama tidak pulang. Kedua orang abang dan kakaknya yang seorang itu tersenyum memerhati pasangan anak dan ibu itu. Muhammad mengalih pandangan pada mereka saling bersalaman dan Muhammad tunduk mengucup tangan mereka satu persatu.


***************************************************************

“Muhammad, ibu nak masak makanan kegemaran Muhammad hari ni. Ibu ingat lagi Muhammad suka makan sambal udang dengan pucuk ubi masak lemak pekena dengan sambal belacan ibu.”

“Haha... Ibu tahu tak, Muhammad asyik ingat masakan ibu saja. Mana taknya, Muhammad asyik makan nasi lauk telur sahaja. Bermusafir dari satu tempat ke satu tempat mencari ulama pelbagai bidang ilmu. Tak sempat nak fikir makan lauk sedap-sedap. Tapi selalu juga Muhammad teringat masakan ibu. Muhammad jadi rindu nak balik tapi Muhammad masih belum puas mencari ilmu baru.”

“Muhammad nak pergi lagi selepas ni?” Abang Haqiemi bertanya.

“Kalau ayah dan ibu izinkan....” Muhammad mengukir senyuman merenung ke wajah ibu dan ayahnya.

                Encik Fadzil dan Puan Arbakenah saling berpandangan. ‘Benarkah akan pergi semula?’ Hati si ibu bagai terhunus sembilu. Pedih dan luka. Muhammad tersenyum melihat riak wajah ibu yang bertukar mendung. Muhammad menggenggam tangan ibu. Matanya ditatap lembut.

“Ibu, Muhammad cakap Muhammad hanya akan pergi kalau ayah dan ibu izinkan.”

“Muhammad, tolonglah jangan tinggalkan ibu lagi. Cukuplah.” Puan Arbakenah seakan-akan merayu.

“Ibu, Muhammad janji Muhammad takkan pergi lagi tapi....”

“Tapi apa, Muhammad?” Encik Fadzil mencelah. Semua mata merenung ke arah Muhammad.

“Boleh tak Muhammad sambung belajar di sini sambil menunggu Muhammad dapat kerja dahulu?”

                Puan Arbakenah mengurut dada. Seluruh ahli keluarganya menghembus nafas lega. Encik Fadzil tersenyum memandang Muhammad sambil mengangguk tanda setuju. Muhammad menyenduk nasi ke dalam pinggan. Lapar katanya. Mereka sekeluarga tertawa melihat telatah Muhammad. Lucu dan manis orangnya.

*********************************************** 

                Khadijah benci dan rimas berada di rumah. Terasa sentiasa diperhati dan dikongkong oleh kedua orang tuanya. Perlu buat itu perlu buat ini. Semuanya arahan dan larangan. Tiada satu pun suruhan atau kebenaran kepada apa yang diminatinya. Dia terganggu dengan sikap ayah dan ibunya. Berasa diperlakukan seperti boneka bodoh yang tiada akal dan fikiran sendiri untuk menjalani kehidupan yang penuh makna dan keseronokan. Khadijah pergi solat! Khadijah tak boleh pakai begini! Khadijah jangan bersikap begitu! Khadijah jangan keluar! Khadijah jangan berkawan dengan dia! Semuanya Khadijah, Khadijah, Khadijah... ‘Aku ni manusialah!!’ Hatinya menjerit.

                GEDEGANG!!! Bergegar villa mewah di pinggir tasik itu dengan tangan anak gadis berusia 24 tahun menghempas pintu biliknya. Marah. Tekanan seakan-akan memuncak dengan teguran ayah dan ibunya. Semua yang dilakukannya salah. Semuanya ada saja yang tidak kena di mata mereka. Apa yang mereka mahu sebenarnya? Tidak puaskah mereka mengongkong kehidupan abang dan kakaknya sehingga kehidupannya juga perlu ditentukan. Abang dan kakaknya mungkin boleh dianggap sebagai boneka yang sentiasa menurut sahaja apa yang mereka katakan tetapi tidak dirinya.

                Ya, Khadijah seorang gadis lahir dalam dunia metropolitan penuh kemewahan dan kesenangan. Sedikitpun tiada minatnya yang cenderung kepada cara hidup sederhana dan bawahan. Baginya, mereka yang bertaraf miskin dan hidup di kampung layak diperlakukan seperti hamba dan tidak setaraf untuk bersahabat dengan mereka.

“Hello, Mia. Ha, apahal??”

“Ha, Ieja. Aku nak ajak kau keluar malam ni.”

“Pergi mana? Kelab?? Sorrylah, Mia. Kau tahukan, sejahat-jahat aku ni aku tak naklah pergi clubbing segala. Aku tak minatlah tempat serabut macam tu.”

“Apalah kau ni, Ieja. Cuba dengar dulu apa aku nak cakap. Nak ikut aku tak pergi rumah Fahmi?”

“Fahmi mana ni??”

“Kau ni kan!! Fahmilah! Khairul Fahmi.”

“Oh, aku terlupa. Manalah aku tahu. Aku ingat Fahmi kawan kau. Ha, kenapa nak pergi rumah dia pula?”

“Ai, takkanlah dia tak jemput kau? Dia tak beritahu kau ke semalam?”

“Jemput apa pula ni? Apasal? Dia nak nikah ke? Kau jangan macam-macam, Mia.”

“Apa benda pula ke situ kau fikir ni. Dia buat majlis ulangtahun kelahiran dialah.”

“Oh, nak, nak. Aku nak ikut. Kau jemput aku tau malam ni. Aku pun menyampah duduk dalam rumah ni lama-lama.”

“Bergaduh lagilah tu dengan mak ayah kau. Kau nikan Ieja tak habis-habiskan... Itukan mak ayah kau.”

“Dahlah! Kau jangan nak bagi ceramah pula kat sini. Aku tengah tertekan sangat ni. Kang tak pasal-pasal dengan kau-kau sekali kena sembur kang. Pukul berapa nak jemput aku?”

“Hurm... Kau ni memang kepala batu, hati kayu. Aku jemput kau jam lapan nanti. Tak payah nak tebal-tebal sangat mekap kau tu. Lambat sangat aku tinggal je. Kau pergi sendiri.”

Khadijah tersenyum mendengar kata-kata sahabatnya. Kedengaran lucu baginya. Talian dimatikan. Khadijah membuka almari. Satu-satu bajunya dibelek. ‘Yang mana satu aku nak pakai ni?’ Dia berbisik dalam hati. Sehelai gaun merah labuh sesuai untuk makan malam menjadi pilihan hatinya. Kasut tumit tinggi berwarna merah jambu lembut jenama Gucci diletakkan di tepi katil. Sesuai dipasangkan dengan baju mahalnya. Khadijah mencapai tuala dan segera menuju ke bilik mandi.

********************************************

“Ayah, Ibu, Muhammad pergi dulu ya.”

“Muhammad, sampaikan salam ibu dan ayah pada Khair ya. Baik-baik memandu kereta tu.”

“Baiklah, ayah. Muhammad pergi dulu ya.”

                Puan Arbakenah tersenyum tatkala anak itu tunduk mengucup lembut tangannya. Muhammad bersalaman dengan ayahnya pula. Mereka berdua berdiri di pintu sehinggalah bayang kereta Muhammad hilang ditelan kegelapan malam.

“Abang, saya rasa tak sedap hatilah.” Puan Arbakenah meluahkan perasaan yang dialami.

“Awak ni cuba jangan fikir bukan-bukan. Muhammad pergi rumah kawan lama dia. Bukan pergi merayap jauh pun.”

“Saya tahulah, abang. Tapi kenapa saya rasa tak sedap hati, ya?”

“Awak tak makan lagi tu....”

                Encik Fadzil meletakkan tangannya ke perut. Kata-katanya tadi sengaja ingin menyindir isterinya. Puan Arbakenah tergelak besar. Sejak petang tadi suaminya masih belum makan kerana dia sibuk mengurus pakaian apa yang perlu dipakai Muhammad. Apa yang Muhammad ingin bawa ke rumah sahabatnya dan macam-macam lagi sehingga terlupa suaminya masih kelaparan menanti.

*******************************************

“Dah kau ni kenapa pulak, Ieja? Puas aku tunggu kau berjam-jam depan rumah kau sekarang kau taknak masuk pulak? Apa masalah kau ni sebenarnya, Ieja? Baik kau cakap awal-awal kalau kau taknak pergi. Tak adalah aku nak membuang masa aku menunggu kau dari pukul lapan tadi. Sekarang ni dah pukul 9.30 kau tahu tak?”

“Kau janganlah membebel pulak, Mia. Aku tengah nervous ni kau tahu tak?”

“Dah pulak yang kau nak nervous-nervous segala ni kenapa?”

“Aku pun tak tahulah, Mia.”

“Aku rasa kau ni kena pergi hospitallah, Ieja. Kau nak pergi hospital kecemasan ke hospital sakit jiwa. Cuba kau pilih?” Marah benar Nuri Syarmia pada temannya yang satu itu.

“Dahlah! Kau dah kebulur sangatkan? Masuklah cepat!” Khadijah geram.

“Hai, aku pulak yang kena marah?”

“Diamlah!”

                Khairul Fahmi tergamam memandang ke arah gadis itu. Manis dan.....entahlah. Tiada perkataan yang mampu menterjemahkannya. Boleh dikatakan semua mata memandang ke arah Khadijah.

“Bidadari syurga di dunia....”

Ayat itu keluar menyusur laju dari mulut Khairul Fahmi. Muhammad melihat ke wajah sahabatnya. Pelik. Siapa yang dikatakan sebagai bidadari itu? Muhammad memandang ke arah yang sama mencari-cari siapa yang dimaksudkan oleh Khairul Fahmi. Matanya terus tertunduk. Hatinya beristighfar panjang. Memang indah. Tetapi bukan untukku. Muhammad menjauh dari sahabatnya.

“Fahmi....” Lembut suara bidadari itu menegur.

“Bidadari...” Fikiran Khairul Fahmi masih menerawang jauh.

“Bidadari? Siapa bidadari?” Khadijah mengajuan soalan kepada Khairul Fahmi. Khairul Fahmi terkejut dari lamunannya.

“Eh, tak. Saya sedang berbual tentang kisah bidadari syurga dengan sahabat saya. Kenalkan, ni Muhammad.” Khairul Fahmi memandang ke sisinya namun Muhammad tiada di situ. Khadijah tergelak kecil.

“Awak okay ke tak ni, Fahmi?” Khadijah bertanya.

“Eh, saya baik-baik je. Kejap ya, saya panggilkan kawan saya tu.” Khairul Fahmi berlalu pergi meninggalkan Khadijah dan Nuri Syarmia di situ.

“Ieja, kan aku dah cakap tak payah nak mekap tebal-tebal sangat. Ni tengok rambut kau ni. Dah macam-macam gaya dah aku tengok. Macam pelangi pun ada. Cuba bawak-bawak pakai tudung sikit. Kau tengok apa dah jadi. Tengok semua mata pandang kau tau.”

“Biarlah diorang nak pandang aku pun. Orang ada mata pandanglah. Takkan aku nak tutup pulak mata orang. Dah aku memang cantik, jadinya orang pandanglah.”

“Kau nikan, Ieja. Memang menyakitkan hati!”

                Mana tidak hatinya geram. Kekasih hatinya dalam diam, Khairul Fahmi memandang sahabat baiknya seperti ingin menelan sedang kecantikan pada wajahnya hanya sekadarnya sahaja. Nuri Syarmia mengetap bibir melihat Khairul Fahmi menghampiri. Di sisinya seorang lelaki. Penuh gaya dan karisma. Ada sesuatu di wajahnya yang tidak kelihatan pada yang lain. Sinar.

“Mia, Ieja. Kenalkan, ni sahabat saya, Muhammad. Hampir tujuh tahun barulah hari ini saya dapat bertemu dengannya.”

                Muhammad tersenyum. Manis. Tapi pandangannya hanya sebentar ke wajah dua gadis di hadapannya. Malu ingin menatap dan memandang lama.

“Muhammad. Nama yang baik. Tapi kenapa baru selepas tujuh tahun berjumpa? Awak masih belajar atau sudah bekerja?”

Mia menunjuk-nunjuk rasa minatnya pada Muhammad di hadapan Khairul Fahmi supaya lelaki itu cemburu. Hati lelaki itu geram. ‘Adakah Mia mula jatuh cinta pada Muhammad?’ Hati Khairul Fahmi sakit. Bagai tertusuk sembilu. Hancur luluh berkecai. Rasa yang disembunyi sekian lama. Bilakah akan terluah? Hanya menunggu masa.

********************************************************

                Pertemuan singkat itu memberi kesan yang mendalam pada diri Nuri Syarmia. Ya, sungguh dalam hatinya hanya ada Khairul Fahmi. Lelaki yang telah lama bertakhta dalam hatinya sejak dari bangku sekolah lagi.  Tetapi fikirannya kerap menerawang memikirkan lelaki pemalu itu, Muhammad. Apa yang menarik tentang Muhammad? Nuri Syarmia sendiri tidak dapat memberikan jawapan buat hatinya. Apa yang pasti ia bukan cinta. Mungkin hanya rasa tertarik dengan akhlak lelaki berwajah bersih itu.

Kring! Kring! Kring! Kring!

                Telefon bimbitnya berbunyi.  Lamunannya mati di situ. ‘Allah, terkejut aku.’

“Hello. Assalamualaikum.”

“Tak payahlah nak bersalam-salam dengan aku je pun. Weh, Mia! Kau nak tak keluar pergi taman hari ni? Aku bosanlah duduk rumah ni makan tidur je.”

“Untunglah dapat makan tidur je. Kau ni tak kepingin ke nak sambung belajar ke apa ke? Kalau dah taknak belajar pergi cari kerja. Kata lulusan universiti. Apa guna ada kelulusan tapi tak pandai guna? Kerja kau menghabiskan duit mak bapak kau je kan?”

“Kau nak membebel dengan aku pagi-pagi buta ni kenapa? Spoil mood orang jelah!”

“Dah tu, tadi kau juga yang cakap bosan asyik makan tidur je. Aku bagi cadanganlah supaya kau tak bosan dan asyik mengganggu aku pagi-pagi buta ajak pergi sana pergi sini. Aku tolong mak akulah kemas rumah. Nak buat sarapan lagi. Kau pergilah taman tu sendiri. Kereta ada pergi drive sendiri. Apalah kau ni!”

“Cakaplah dari tadi tak boleh. Ni tak, berleter panjang macam mak nenek. Tu belum tua lagi mulut dah macam kakak tua. Cuba kalau dah tua nanti? Ish, ish, ish, ish, ish....”

“Tak kisahlah kakak tua ke mak nenek ke.... Kau tu ha, tak payah duduk rumah menghabiskan beras je. Sekali sekali bermanfaatlah sikit untuk orang lain. Nasib baik dapat kawan baik macam aku ni. Boleh tolong jadi mak nenek kau. Kalau dapat kawan yang syok je nak makan duit kau selalu memang bankrup mak bapak kau.”

“Dah, tak payah membebel panjang-panjang. Aku chow dulu.”

“Hoi, aku tak habis cakap lagi. Kau tu dah solat subuh ke belum?”

“Ish, nantilah. Kalau aku rajin.”

“Tak senonoh punya budak! Hoi, pergi solatlah!”

                Talian terus dimatikan. Nuri Syarmia geram. Kalaulah Khadijah ada di hadapannya pasti telah dipiat-piat telinga gadis itu. Hatinya rasa bagai ingin meletup. Khadijah selalu menguji kesabarannya. Memang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi apabila mempunyai sahabat baik seperti gadis berkepala batu itu.

************************************************


“Aduh, penatlah pulak. Ramai pulak manusia kat sini hari ni. Time aku datanglah orang ramai nak datang. Sibuk je!”

                Khadijah membebel sendiri. Dia mengambil tempat duduk di astaka berhampiran. Kakinya lenguh. Penat berlari tawaf seluruh kawasan Taman Tasik Perdana itu. Tiba-tiba pandangannya mati ke satu arah. Kelihatan kelibat lelaki yang dikenali sedang berlari. Matanya mencari-cari. Mengesan. Benarkah lelaki itu? Tidak kelihatan. Khadijah malas mengambil pusing. Rambutnya yang panjang mengurai disisir lembut dengan jari. Ikatannya diperkemas. Titisan peluh mengalir membasahi tubuhnya. Kain kecil berwarna oren dilapkan ke leher. Langit semakin mendung. Khadijah membebel lagi.

“Aduhai, dah sedap-sedap lepak sini nak hujan pulak. Nanti-nantilah nak hujan pun. Tunggu aku menikmati pemandangan kat sini. Seronok jugak keluar sorang-sorang sekali-sekala macam ni.”

                Tiba-tiba hujan turun lebat membasahi lantai bumi. Khadijah terkesima. Jalan menuju ke tempat parking kereta masih jauh. Mulutnya membebel tak berhenti. Khadijah bangun dan berlari meredah hujan yang turun lebat. Tidak semena-mena Khadijah jatuh terjelupuk.

“Ahhhh, masa nilah kau nak wat aksi hindustan pulak, Khadijah oiii.....”

                Khadijah cuba bangun. Gagal. Kakinya sakit. Terseliuh. Tiba-tiba..... “Hujan masih lebat tapi kenapa aku tak kena hujan.....” Khadijah mendongak. Pandangannya mati ke wajah itu. Lelaki itu. Muhammad. Dalam hatinya, ‘memang macam cerita hindustanlah!’

“Awak boleh bangun ke tak?” Muhammad mengajukan soalan.

“Tak.”

“Kejap ya. Pegang payung ni kejap.”

“Habis, awak....”

                Belum habis Khadijah berkata-kata Muhammad berlari dalam basah hujan pergi meninggalkannya sendirian di situ bersama payung dan perasaan yang berbaur. ‘Dia nak pergi mana? Habis aku macam mana?’ Khadijah melayan perasaan sendiri. Rasa hendak menangis pun iya.

“Khadijah....” Suara lembut menegurnya dari belakang. Khadijah berpaling.

“Akak tolong Khadijah bangun, ya?”

“Akak ni siapa?” Khadijah bingung.

“Akak ni kakak Muhammad. Nama akak Siratul Jannah. Boleh panggil akak kak Jannah. Muhammad cakap ada kawan dia jatuh perlukan bantuan. Akak datanglah. Patutlah dia panggil akak. Perempuan rupanya.” Kak Siratul Jannah membantu Khadijah bangun. Tangannya memeluk Khadijah erat membantu gadis itu berjalan. Perlahan.

“Terima kasih, kak. Tapi mana akak tahu nama saya Khadijah?" Kak Siratul Jannah tersenyum lebar. Seakan-akan ada maksud yang mendalam di situ. 

"Muhammad pernah cerita. Akak saja jer sebut tadi tak tahu pulaklah memang betul Khadijah rupanya."

"Cerita?" Khadijah bingung. "Muhammad mana, kak?"

“Dia tunggu kat kereta. Khadijah sorang je ke?”

“Haah, kak.” Sejuk memandang ke wajah wanita itu. Bicaranya lembut suaranya lunak. Jarang menjumpai wanita punya peribadi seperti Kak Siratul Jannah.

“Hurm... Khadijah naik kereta akak boleh? Dalam keadaan macam ni tak boleh nak drive kereta ni. Ikut akak, ya?”

“Baiklah, kak.”



                Dari jauh Muhammad memerhati Khadijah di sisi kakaknya. Di bawah payung merah jambu dalam hujan yang turun lebat. Bagai bidadari kayangan dalam dunia khayalan. Matanya dijatuhkan. Hatinya beristighfar. Terleka seketika menghayati keindahan ciptaan Allah di hadapan mata. Kak Siratul Jannah mengetuk cermin tingkap kereta. Lamunannya mati setakat di situ. Muhammad membantu membukakan pintu kereta. Perlahan-lahan Khadijah masuk melangkahkan kaki kanannya yang terseliuh. Kak Siratul Jannah memandang wajah adiknya. Wajah lelaki itu selalu menunduk. Sama layanannya dengan perempuan-perempuan lain tetapi ada sesuatu yang berbeza dari segi tingkah laku Muhammad yang seakan-akan gugup apabila Khadijah ada di situ. Tidak tenang seperti selalu.






AKAN BERSAMBUNG........



Wednesday, March 21, 2012

Geng pengembaraan bermula...


          Bismillahirrahmanirrahim.... Ana minta maaf kepada semua kerana baru hari ini dapat mengupdate blog ana ni... Subhanallah... Tak banyak yang ana hendak karangkan di sini... Hanyalah sekadar coretan tinta perjuangan dakwah ketika berada di perkampungan Orang Asli, Slim River, Perak. Bukan mudah ingin menarik mereka yang rata-ratanya beragama kristian... Kami hanya terlambat sedikit tetapi Allah itu memilih siapa yang Dia mahu berikan HidayahNya... Itu tidak mengapa... Apa yang paling penting, kami mencuba... 

             Sahabat-sahabat sekalian... cerita yang paling menggugat air mata ketabahan seorang wanita seperti ana adalah apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan 4 tahun telah datang kepada ana menghulur sehelai kertas dan meminta ana membentuk kertas tersebut lalu ana jadikan kertas empat segi tersebut menjadi bentuk sampan. Ana lakar indah namanya, SENA beserta nama ana di sisi sampan kertas itu. Ana hulurkan padanya. Disambut dan dia mengukir senyuman indah. Dalam hati berbisik, "Ya Allah, manisnya senyuman anak ini." entah mengapa, terasa ada sesuatu padanya. Dia berlari ke aras teman-temannya dan bermain gembira. Sedang leka melayan beberapa keletah anak-anak lain tiba-tiba tubuh ana dipeluk dari tepi. Terkejut. Terasa seperti ada kejutan elektrik di situ. ana pandang ke sisi. Anak kecil tadi tersenyum lebar. Dua tangan kecilnya masih erat memeluk tubuh ana. Ana balas pelukannya lalu dia mengambil tempat di atas riba. Ana ajukan soalan padanya, 

"Adik, datang dengan siapa kat sini?"

"Dengan kawan."

"Tak datang dengan mak? Boleh kita makan sama-sama."

"Kak, mak adik dah tak ada..."

             Allah... Rasa ingin berterabur air mata ana di situ juga. Namun tetap cuba ana tahan. Mana tidaknya, anak itu mampu bertabah apatah lagi ana yang tidak mengalaminya. Perlu salurkan padanya kekuatan walaupun ana sendiri rasa sesak dada tika suara kecilnya menyatakan hakikat itu. Allah, kuatkanlah anak ini.... Adakah kerana itu dia memeluk manja diri ana... Tetapi kenapa ana... Terasa istimewa buatnya... Pelbagai perkara ana buat supaya dia gembira pada hari itu. Semoga dia sentiasa mengingati ana walaupun kehadiran ana di situ hanya seketika...

              Apa-apa pun, banyak lagi sebenarnya kisah yang ana ingin ceritakan tetapi takut tak menang tangan menaip... Hanya gambar yang mempu menyampaikan sebuah kisah pengembaraan dakwah kami...