Assalamualaikum wbt...
Keistimewaan mereka membuka mataku…
Kisah ini ana sampaikan untuk memberitahu kepada semua bahawa
anak-anak ini terlahir ke dunia ini bukan sebagai penghambat kegembiraan orang
tua, bukan sebagai pembawa malang bahkan bukan jua sebagai pemberi kesusahan
ibu ayah anak-anak ini. Ketahuilah, kisah ini mengalirkan air mata hambaku.
Betapa ana bersyukur dilahirkan sempurna fizikal begini dan betapa ana mengkeji
sikap ibu bapa yang membenci anak sendiri kerana keistimewaan yang dimilikinya.
Ya, selepas ana mengikuti program Musabaqah Tilawah
al-Quran murid pekak dan bisu di bawah Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi anak
istimewa (faqeh) dan Centre of Quranic Research, UM Julai lalu, pengetahuan ana mulai bertambah mengenai anak-anak
istimewa ini. Bagaimana yang dikatakan autism, sindrom down, pekak bisu dan
sebagainya.
Syawal baru-baru ini seperti biasa, ana bersama keluarga beraya ke
rumah keluarga terdekat. Sedang adik ana dan kanak-kanak lain sibuk memilih
kuih-muih yang sedia tersusun di atas meja, pandangan ana teralih pada seorang
anak lelaki salah seorang tetamu yang hadir berusia lingkungan sebaya dengan
adik bongsu ana, 7 tahun. Kutegur si adik,
“Adik, tu kawan sorang tu tak ajak makan sekali ke?”
“Adik dah ajak dah tapi dia buat dek je. Adik ajak dia main kat
luar dia diam. Adik cakap banyak-banyak dia tak pandang sikit pun muka adik.”
Dia duduk di sudut ruang tamu. Jauh dari tetamu-tetamu yang hadir.
Seakan-akan memencilkan diri. Ibunya sedang rancak berborak dengan
tetamu-tetamu lain yang hadir. Ya, tidak pernah ana lihat wajah wanita itu
sebelum ini setiap kali ana bertandang ke rumah saudara ana ini.
Terdengar bual borak ibunya. Si ibu mengatakan dia sudah penat
mengubati penyakit anak lelakinya yang satu itu. Baik berubat secara
tradisional mahupun moden. Tetapi dia tidak pernah berputus asa. Dia mahu anak lelakinya
itu hidup normal dan boleh bermain seperti anak-anak lain. Kelihatan raut wajah
sedih di situ. Anaknya tidak mahu bercakap, tidak mahu bergaul. Malahan dia
suka menyisihkan diri dan melakukan sesuatu berulang kali. Sedikit mencelah ana
bertanya,
“Anak akak penghidap autisme, ya?”
“Ya, dik. Adik tahu?”
Ana sekadar tersenyum. Ana bangun dan menghampiri anak itu. Di
sudut itu dia bermain-main dengan bucu tikar. Bisu seribu bahasa. Pandangannya
tunduk dan tidak sedikitpun mengangkat wajah meskipun sesaat. Ana duduk di
sebelah kiri dia berpaling ke sebelah kanan. Ana duduk di kanannya dia berpaling
ke sebelah kiri. Dari jauh ibunya bersuara,
“Dia memang tak mahu dengan orang, dik.”
Ana mengukir senyum lagi. Satu perkara yang ana belajar di faqeh,
kanak-kanak autisme ini sangat meminati sebarang bentuk gadget. Telefon ana
yang tidak berapa nak canggih sangat tu ana keluarkan. Sengaja ana buka
aplikasi game dan bermain di hadapannya. Untuk menarik perhatiannya, ana
kuatkan sedikit nadanya. Dia mula tertoleh-toleh dan berpusing menghadap ke arah
ana. Ya, terasa sedikit bangga di situ. Bangga dalam kesyukuran. Ana ingin
mengenalinya.
Tetapi harapan ana sedikit terganggu bila bahasa yang keluar dari
mulutnya sedikit advance dari bahasa yang sering digunakan oleh ana.
Bahasa melayu bukan, bahasa inggeris pun bukan, bahasa arab lagilah bukan. Tidak
mengapa! Telefon ana sudah berada di tangannya. Gigih dia memusing-musingkan
telefon ana tu demi merampas gelaran juara joran. Hahahahahahaha… (Tak tahan
nak gelak)
Ibunya dari jauh suka melihat telatah kami berdua. Dia dengan
bahasanya dan ana nekad dengan bahasa ana. Nak buat macam mana? Takdir…… Umpama
seekor ayam berjalan seiringan dengan seekor kucing. Mesra. Aneh??
Lama kurenung ke wajahnya yang tersenyum dan tersengih-sengih itu.
Hati ini bahagia. Memuhasabah dan mensyukuri diri.
Anak-anak ISTIMEWA ini memerlukan ibu bapa yang ISTIMEWA untuk
mendidik dan membesarkan mereka. Ibubapa perlu memiliki hati dan jiwa yang
besar.
Tidakkah kamu wahai sekalian orang tua yang memiliki anak-anak
istimewa ini berasa istimewa kerana telah dipilih oleh Allah SWT sebagai pemegang
amanah yang sangat besar? Amanah ini perlu dibanggakan. Anugerah buat mereka
yang terpilih. Peluang yang tidak semua orang peroleh.
Dan anak-anak istimewa ini, hak mereka sebagai hamba Allah yang
tercatat dalam fitrahnya sebagai MUSLIM tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Tuntunilah mereka dengan cahaya al-Quran. Ilmu Allah SWT itu luas. Sekiranya tidak
percaya untuk melepaskan mereka ke sekolah, berikanlah mereka walau sekelumit
ilmu. Sesungguhnya mereka adalah insan sama seperti kita yang bernama manusia.
Alhamdulillahi Rabb al-Alamin... ana panjatkan setinggi-tinggi
rasa syukur dan serendah-rendah sujud kepada Allah SWT atas peluang yang telah
diberikanNya kepada ana untuk menyertai program Musabaqah Tilawah al-Quran
murid pekak dan bisu pada awal Julai lalu. Peluang
yang telah membuka mata dan hati ini tentang insan-insan istimewa ini.
Apabila
direnung jauh ke dalam mata anak-anak istimewa ini, ada harapan dan impian yang
dimiliki. Tidak diketahui dan jauh tersembunyi. Tidak terserlah apatah lagi
menyerlah. Tidak mampu mengatakan dan mengucapkan apa yang mereka inginkan, apa
yang mereka impikan, apa yang mereka harapkan, apa yang mereka citakan...
Mungkin
mereka tidak bisa mendengar seperti kita, mungkin mereka tidak bisa berbicara
seperti kita, mungkin mereka tidak bisa melihat seperti kita, mungkin mereka
tidak bisa berfikir seperti kita… Cuma… Hanya satu, ketahuilah! mereka punya
sebingkis hati…. Yang bisa merasa seperti kita…
Tahniah
dan setinggi-tinggi penghargaan buat Yayasan Faqeh dan Centre of Quranic Research, UM atas usaha dan kegigihan
kalian. Semoga Allah SWT memberkati dan meredhai hidup kalian di dunia dan
akhirat.
Dengan ini ana selitkan rakaman video johan nasyid kod tangan dari SKPK Sungai Petani, Kedah dan gambar-gambar sepanjang berlangsungnya program Musabaqah Tilawah al-Quran Murid Pekak dan Bisu.