Muhammad
Adha sekadar melihat dari jauh. Tidak pernah sekalipun dia berani untuk
menegur mahupun mengukir senyuman buat gadis itu.
"Allah......" Terkeluar keluhan dari mulutnya.
"Adha,
kalau kamu sukakan dia apa salahnya kamu beritahu padanya. Jangan
disimpan lama benar bimbang nanti menjadi barah. Bunga memang bukan
sekuntum tapi dia bunga istimewa, Adha. Jangan tunggu lama sangat. Nanti
dipetik orang."
Muhammad
Adha sekadar tersenyum. Dia terus menyandang beg di bahu dan berlalu
pergi meninggalkan sahabatnya. Khairul Afif menggelengkan kepala. Apalah
yang bersarang dalam minda sahabatnya itu. Sangat sukar
menterjemahkannya.
********************************************************************************
"Adha, bila kamu sampai?"
"Allah, terkejut ana dibuatnya. Apalah kamu ni, Afif! cubalah bersopan sikit..."
"Maaflah, Adha. Bergurau sikitpun tak boleh. Ana rindu betulla dengan enta."
Muhammad
Adha tersenyum. Mereka berpelukan. Hampir beberapa bulan tidak bertemu
dipisahkan oleh jarak dan kesibukan tanggungjawab masing-masing akhirnya
mereka dipertemukan semula dalam majlis konvokesyen tersebut.
"Adha, dah bersedia?"
"Astaghfirullahalazim... Jantung ana ni terasa bagai nak melompat keluar... Ana takut..."
"Adha, istighfar banyak-banyak ya. Jangan gementar sangat. Bukan nak menikah pun cuma nak naik pentas ambil sijil sahaja."
Nama
Muhammad Adha disebut. Khairul Afif tersenyum melihat langkah
sahabatnya itu penuh yakin mendaki tangga pentas satu persatu. Tetapi
dihatinya hanya Allah sahaja yang tahu.
"Adha, wah.... Nampak machola mase kat atas pentas tadi."
"Heh, sudahlah! Kamu ni kalau tak mengusik ana memang tak sah."
"Tak namanya Khairul Afif bin Qamaruddin kalau tak selalu menyakat Muhammad Adha bin Luqman."
"Ish!"
"Hahaha"
"Eh, Adha. Dia...."
"Siapa?"
"Dialah!"
"Siapa dia?"
"Tu, atas pentas tu!"
'Subhanallah...'
Hati Muhammad Adha berbisik. Cepat-cepat pandangannya dijatuhkan. 'Akan
aku jadikan kau halal bagiku, duhai bidadari...' Kelihatan Nurussalwa
berjalan dengan penuh sopan mengambil tempatnya dalam susunan ribuan
manusia dalam Dewan Tunku Canselor. Segulung ijazah berada dalam
genggamannya.
********************************************************************************
"Ibu,
ayah... Adha ada benda nak sampaikan pada ayah dan ibu tapi Adha
serahkan semuanya pada ayah ibu. Adha ikut sahaja. Kalau ayah dan ibu
tak setuju Adha redha."
"Apa dia, Adha? Sampaikan pada kami." Encik Luqman memandang wajah anak itu.
"Ayah,
ibu, Adha sudah lama menyimpan perasaan pada seorang muslimah ni. Adha
tak pernah luahkan pada sesiapa dan Adha telah menunaikan hajat hati
Adha sendiri bahawasanya Adha nak ayah dan ibu menjadi yang pertama
mengetahuinya."
Encik
Luqman dan Puan Hifzah tersenyum sampai ke telinga. Puan Hifzah sudah
tidak sabar. "Siapa orangnya? Bila nak kenalkan pada ibu? Pasti baik dan
manis gadisnya sehingga dapat menewaskan keegoan anak ibu ni."
"Dia...err...dia..." Muhammad Adha tertunduk malu. Wajahnya sudah memerah.
"Dia apa, Adha?" Encik Luqman bertanya.
Muhammad
Adha mengangkat muka. "Adha nak ayah dan ibu yang pertama tahu soal
hati Adha jadi tuan punya diri tak pernah tahu pun Adha menyimpan
perasaan padanya."
"Subhanallah.... Anak ibu.... Habis sekarang macam mana?"
"Ibu dan ayahlah yang uruskan. Adha ikut saja."
"Ayah nak uruskan macam mana ni Adha oi namanya pun kami tak tahu."
"Err...dia.. Namanya Nurussalwa binti Muhammad."
"Subhanallah sedapnya nama....." Puan Hifzah tersenyum-senyum. Senyumannya nakal sengaja ingin mengusik anak tunggalnya itu.
"Tunjukkan pada ibu mana orangnya."
"Nantilah, bu."
"Aish, sekaranglah... Ibu dah tak nak tunggu lagi. Nak dapat menantu ni."
"Ibu!"
"Hahahahahahaha!"
Berderai
tawa kedua orang tua Muhammad Adha. Ada mata yang memandang kemesraan
keluarga tersebut. Mata bundar penuh sinar dan harapan mengharap dari
Allah semoga lelaki itu menjadi imamnya satu masa nanti. Lelaki itu
menoleh ke arahnya. Cepat-cepat pandangannya dialihkan ke tempat lain.
Hatinya malu. 'Semoga dia tak nampak.'
******************************************************************************
"Salwa, dah sedia?"
"Mama, perlu ke? Salwa rasa penat dengan semua ni, ma."
"Salwa,
ni dah masuk kali ketiga orang meminang kamu. Sebelum-sebelum ni semua
undur diri. Mama tak pernah penat tapi kenapa anak mama sendiri penat
dengan apa yang dia pilih? Salwa dah penat menunggu? Dah taknak
kemukakan syarat-syarat Salwa tu?"
"Mama,
salah ke dengan apa yang Salwa minta sebagai mahar Salwa? Kenapa
beribu-ribu ringgit orang sanggup bayar tapi permintaan kecil tak
boleh?"
"Bagi kamu mudah tapi bagi orang lain ia berat, Nurussalwa binti Muhammad."
"Salwa
menunggu khalifah terpilih yang sanggup menerima besarnya mahar Salwa.
Walau diri Salwa dimamah usia sekalipun Salwa akan terus menunggu."
Puan
Hanan hanya mampu tersenyum dengan ketegasan anaknya. Ada yang istimewa
tentangnya. Puan Hanan keluar menyambut tetamu yang tiba. Apabila
dikenalkan dengan lelaki yang berhajat ingin menyunting anaknya Puan
Hanan seakan-akan tak pasti, apakah lelaki ini akan tetap dengan
pendiriannya dan tidak akan mengangkat kaki pergi melupakan hajatnya
itu? Hanya mampu menunggu dan melihat apa yang bakal terjadi.
Nurussalwa
dipanggil keluar. Sang jejaka ingin melihat pemilik nama indah tersebut
samada benar orangnya seindah namanya atau hanya sekadar indah khabar
dari rupa. Nah! Ternganga mulutnya merenung ke wajah gadis itu.
Tersangat indah rupa dari khabarnya. Sangat setuju. Tiba-tiba Nurussalwa
bersuara meminta apa yang diingini buat maharnya. Lelaki tersebut
bangun.
"Jom kita balik!"
"Tapi... tapi..." Kedua orang tua pihak lelaki termangu-mangu.
Selepas
mengucap maaf, seluruh rombongan meminang pulang dengan tangan kosong.
Sia-sia sahaja kedatangan mereka. Mereka yang ingin datang meminang
mereka juga yang menolak pinangan. Nurussalwa tersenyum. Dia sudah tahu
pasti begitu jadinya. Dia naik ke bilik dan menukar pakaian.
*******************************************************************************
Nurussalwa
sedang sibuk menguruskan tesis masternya. Ligat tangannya menaip segala
isi yang diterjemahkan dari buah fikir ke laptop kesayangannya.
Tiba-tiba jemarinya terhenti. 'Subhanallah... Kenapa wajahmu muncul
secara tiba-tiba? Allah...' Nurussalwa segera bangun dari kerusi menuju
ke bilik mandi. Wudhu' diambil dengan tertib. Dia melangkah keluar dan
menunaikan solat sunat hajat dan istikharah.
"Ya
Allah, telah lama kupendamkan perasaan ini tetapi sangat malu untuk
kuluahkan padanya. Aku bimbang, Ya Allah... Apakah aku akan mengakhiri
usiaku dengan bersendiri? Aku ingin punya zuriat dari rahimku. Aku ingin
memiliki imam yang mampu memimpin keluarga dan hatiku menujuMu, Ya
Rabbi... Ya Rahman, andai benar dia tercipta untukku dekatkanlah hatinya
dengan hatiku. Andai dia bukan untukku redhakanlah hatiku dengan
ketentuanMu, Ya Rahim."
Nurussalwa
menyapu mukanya dengan kedua belah tangan. Air matanya masih belum
berhenti. Hati manusia terfitrah untuk menyintai manusia yang lain. Hati
Nurussalwa jua. Telah lama tersimpan cintanya buat Muhammad Adha bin
Luqman.
Nurussalwa
segera bangun dari tempat persujudannya dan memcuci wajah dengan
wudhu'. Kerjanya disambung semula. Tiba-tiba ' Tok! Tok! Tok!'
"Masuk..."
"Anak mama sayang..."
"Ya, mama."
"Tadi baru je ada orang telefon abah beritahu mereka hendak menghantar rombongan meminang pada minggu hadapan."
"Adakah sekali lagi, ma? Sanggupkah mereka?"
"InsyaAllah....
Perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik. Allah
pasti menyediakan insan yang selayaknya berdiri sama tinggi dengan anak
mama."
Nurussalwa
tersenyum memandang wajah tenang itu. Dia menganggukkan wajah. Dalam
hatinya berdoa semoga jodoh yang baik tercipta buatnya.
******************************************************************************
Nurussalwa
dipanggil keluar kerana pihak rombongan lelaki ingin melihat empunya
bunga yang berjaya menggoyahkan keteguhan hati seorang lelaki yang
berjiwa kental.
"Assalamualaikum..." Bergetar suara yang mengucap salam.
"Waalaikumussalam..." Nurussalwa masih menundukkan wajah. Sedikitpun dia tidak berani memandang ke arah lelaki di hadapannya.
"Ibu dan ayah Salwa mengatakan bahawa ada sesuatu yang ingin Salwa katakan." Sangat macho suara itu.
Masih
lagi menunduk. Nurussalwa melontarkan kata-kata. "Apa yang ingin saya
katakan bukan sekadar bicara biasa. Andai kamu mampu menanggungnya maka
jawablah dengan cara persetujuan yang baik dan sekiranya tidak, ana
minta maaf. Tiada kompromi dan tawar menawar di sini."
"Silakan..."
"Ana
mahu menjadi seperti Khadijah yang tidak pernah diduakan atau ditigakan
oleh Rasulullah sepanjang hayatnya dan seperti Fatimah yang tidak
pernah dimadukan oleh suaminya, Saidina Ali r.a. Ana tidak meminta harga
tetap bagi wang hantaran ana tetapi ana meminta kamu memberinya dengan
hati yang ikhlas menghulur seberapa banyak ingin kamu hadiahkan buat
ana. Ana meminta mahar ana setinggi harga hafalan Surah Fatihah dan
Annisa' serta menyerahkan mahar itu selepas akad. Di hadapan ana."
"Ya, ana terima syarat dan maharmu." Tegas.
Berdesing
di telinga mendengar persetujuan itu. Puan Hanan dan Encik Muhammad
saling berpandangan. Ucapan syukur memenuhi segenap ruang kediaman itu.
Nurussalwa mengangkat wajahnya memandang ke arah lelaki itu. 'ALLAH!!'
******************************************************************************
"Aku
Muhammad Adha bin Luqman terima nikahnya Nurussalwa binti Muhammad
dengan mas kahwinnya RM 350 tunai beserta hafalan Surah Fatihah dan
Annisa'."
"Alhamdulillah..... anak mama..." Puan Hanan memeluk Nurussalwa erat.
Encik
Muhammad menatap lama wajah anak itu yang sedang basah dalam air mata.
"Terlepas sudah tanggungjawab abah. Jadilah isteri yang mampu menjadi
pendukung kepada suamimu dalam susah dan senang mengharungi medan
perjuangan sebelum ke akhirat."
"Abah,
walaupun Salwa sudah menjadi isteri orang Salwa masih menjadi harta
abah sebagai anak. Tanggungjawab Salwa masih belum berakhir sebagai
seorang anak buat abah dan mama. Terima kasih, abah, mama..."
Selesai
menunaikan solat sunat bersama, Nurussalwa bersama suami, Muhammad Adha
duduk bagi upacara penyerahan mahar, menyarung cincin dan batal air
sembahyang. Lancar bacaan Surah Fatihah dan Annisa' yang keluar dari
kedua bentuk bibir indah itu. Sedikitpun Nurussalwa tidak dapat
menangkap di mana kesalahannya. Air mata Nurussalwa mengalir perlahan.
Bagai ada satu desupan tatkala tangan lelaki itu menyentuh tangannya.
Nurussalwa malu menunduk. Wajahnya merah menahan malu. Sebentuk cincin
indah tersarung di jari manis. Tangan Muhammad Adha dikucup lembut.
Muhammad Adha membalas dengan ciuman di dahi Nurussalwa. Terasa sejuk
mengalir ke seluruh tubuh Muhammad Adha. 'Akhirnya....'
"Maafkan
abang kerana lambat menyuntingmu. Abang mengambil masa untuk
memperbaiki diri di hadapan Allah. Mana mungkin seorang yang penuh hina
ingin berjalan seiringan denganmu, duhai bidadari. Terima kasih, Ya
Allah..."
No comments:
Post a Comment