Saturday, December 10, 2011

Misteri Cinta Aryana....



Mentari berlabuh di ufuk barat sedang bulan pula memuncul diri di lelangit tinggi. Selesai menunaikan solat maghrib berjamaah bersama teman-temannya, Tengku Hayyat mencapai kitab suci, al-Quran. Lembut suaranya menuturkan tiap bait kalamullah yang tertulis. Tiba-tiba terasa bergetar hatinya apabila bayangan wajah gadis itu menerpa ruang fikiran. "Astaghfirullahalazim..." Tengku Hayyat meraup muka. Bayangan gadis misteri itu kerap kali datang dalam setiap lena malamnya. 'Siapakah dia...'

Pada mulanya Tengku Hayyat menganggap ia hanyalah sebagai mainan tidur semata-mata namun bayangan itu kerap kali mengganggu tidurnya. Apabila diluahkan kepada sahabat baiknya, Adli menjawab ia hanya mainan tidur dan Tengku Hayyat terlalu memikirkannya membuatkan dia kerap bermimpi tentangnya. Biarlah ia begitu. Tengku Hayyat sudah tidak mahu mengambil pusing lagi.

Sudah terlalu lama bayangan wajah itu tidak muncul namun mengapa ketika ini? Tengku Hayyat menyentuh dadanya. Terasa degupan jantungnya kencang bergetar. Dadanya sakit. Tengku Hayyat beristighfar panjang. Al-Quran dalam pegangannya ditutup dan diletakkan di atas meja di hadapannya. 'Ya Allah, ujian apakah ini? Mengapa begini? Siapa dirinya? Mengapa jantungku kuat berdetak ketika mengingatinya?'


*******************************************************************


"Awak siapa?"

"Assalamualaikum, Hayyat."

"Awak siapa?! Kenapa awak selalu datang dalam mimpi saya?"

Gadis itu terus tersenyum manis. 'Subhanallah, indahnya...' Tengku Hayyat ta'jub dengan kecantikan gadis itu. Kelembutannya mempesonakan.

"Saya nantikan kehadiran awak di sana, Hayyat."

"Di sana?? Di mana?!"

Dia terus tersenyum dan menundukkan pandangannya. Sambil berpaling dia menutur salam dan terus berlalu pergi ditelan kekabus yang mengaburi pandangan.

"Nanti dulu! Jangan pergi!"

"Hayyat!! Hayyat!! Ya Allah.... Hayyat!! Bangun!"

"Nanti!!" 

Tengku Hayyat terjaga sambil tangannya seakan-akan menggapai sesuatu dan tercari-cari.

"Hayyat, istighfar banyak-banyak, Yat."

"Astaghfiullahalazim... Ana kenapa, Adli?"

"Kamu mengigaulah, Hayyat. Aku terjaga pun sebab kau asyik menjerit-jerit je. Apalah kau ni! Tidur tak basuh kaki ke? Mengigau macam orang gila je. Orang lain pun mimpi juga tapi tak adalah macam kau ni macam dah kena sampuk je."

"Maaf, Li. Ni dah subuh ke?"

"Subuh apa kebendanya? Baru pukul empat pagi. Kamu ni...."

Adli terus naik ke katilnya dan menyambung tidur. Tengku Hayyat meraup mukanya sambil beristighfar. 'Kenapa dengan aku ni, Ya Allah?' Tengku Hayyat terus bangun mengambil wudhu' dan menunaikan solat sunat.

"Ya Allah, kerap kali mimpi ini mengganggu lenaku. Siapakah gadis itu, Ya Allah? Apa kaitannya dengan diriku hinggakan dia selalu ada menemani malam-malamku? Tunjukkanlah cahayaMu, Ya Rabbi."

Azan subuh berkumandang sayup-sayup menggamati suasana pagi. Tengku Hayyat terus menunaikan solat subuh. Dia seakan-akan lemah ketika itu. Entahlah. Hatinya seakan-akan yakin bahawasanya gadis itu benar-benar wujud dalam dunia hakikat ini. Tetapi siapakah dia? Dimana dia akan menunggu kehadiran lelaki itu?

***********************************************************

"Enta nak ke mana pagi-pagi ni?"

"Macam biasalah, Yat... Mak aku hujung-hujung minggu ni kena keluar cari rezeki tambahan. Kalau tak siapa lagi yang nak sara hidup kami sekeluarga. Tu, adik aku yang terlantar sakit kat hospital tu. Siapa nak bayar kos rawatannya kalau mak aku tak cari duit lebih. Akulah kena bertanggungjawab jaga adik aku kat hospital tu sementara mak aku keluar. Ikutkan hati aku yang jahat ni Hayyat oi dah lama aku cabut je wayar oksigen adik aku tu. Masa tengah sihat, aku pun dia tak mengaku saudara. Tak guna punya adik. Dah sakit-sakit sekarang ni aku jugalah yang kena jaga dia. Tu kalau dah sedar dari koma tak sedar-sedar diri juga memang aku tembak je biar mati terus tak menyusahkan orang lain."

"Apalah enta ni, Adli. Tak baik cakap macam tu. Walau bagaimanapun dia, dia tetap adik enta. Satu-satunya adik enta tak ada yang lain tau. Sejahat-jahat dia ana yakin pasti jauh di sudut hatinya terselit walau sekelumit rasa penyesalan tu."

"Sebab aku fikir dia adik akulah aku tak lupakan tanggungjawab aku ni, Hayyat. Entahlah. Aku tak tahulah apa masalahnya dengan adik aku tu. Sejak pemergian arwah ayah sikap dia terus berubah. Aku tak tahulah kenapa. Mak aku pun dah pening dah tak tahu nak tegur macam mana lagi."

"Ada hikmahnya dia sakit ni, Adli. Sekurang-kurangnya walau terbeban sedikit dengan masalah kewangan mak kau masih boleh bernafas lagi kerana adik kau dah tak mampu nak membebankan hati dia."

"Betul tu, Hayyat. Kau nikan Hayyat selalu je boleh lembutkan hati aku dengan ayat-ayat kau tu. Terima kasih ya, Yat. Kaulah sahabat terbaik aku. Nasib baiklah aku dapat sebilik dengan kau kalau tak aku tak adalah nak kenal kau, Yat."

"Ada-ada sajalah enta ni, Adli. Elok-elok bawa motorsikal tu. Jangan bawa laju-laju sangat."

"Ya, Hayyat. Aku ingat pesan kau. Tapi, Hayyat..."

"Tapi apa?"

"Kalau apa-apa jadi kat aku, kau ambil jelah aku punya laptop tu, ya. Aku sedekah. Sekurang-kurangnya ada jugalah benda baik yang aku buat sebelum aku pergi. Aku ni pelajar biasa tak macam kau budak agama. Apalah sangat pahala yang aku buat kat dunia ni. Adik aku, kau tolong jaga ya. Aku sayang sangat dengan dia sebenarnya walaupun dia tak pernah anggap aku ni abang kandung dia."

"Apa enta mengarut ni?? Janganlah cakap macam tu. Enta suka buat ana rasa bersalah, kan? Selalu juga buat ana tak sedap hati."

"Sebab aku ni Adlilah aku buat macam tu. Kalau aku bukan Adli aku tak buat macam tu. Tapi mengingati mati tukan satu tuntutan. Tak salahkan kalau sekali sekala ingat mati."

"Adli....."

Wajah Adli ditatap lama. seakan-akan sangat mendalam pesanannya. Mengapa? Matanya seakan-akan berkaca. Kenapa? Tiba-tiba Adli memeluk Tengku Hayyat. Kejap dan erat rangkulannya. Tengku Hayyat tidak sedap hati. Dia tidak membenarkan Adli keluar namun Adli berkeras juga mahu pergi. Tanggungjawabnya sebagai abang tidak pernah diabaikan. Dia seorang yang mulia sebenarnya walaupun kadangkala sikapnya serba tidak kena pada pandangan Tengku Hayyat. 

"Assalamualaikum..." Adli mengucapkan salam. Tengku Hayyat menjawabnya sambil matanya menatap pemergian Adli.

********************************************************

Hari sudah lewat petang. Adakah Adli tidak pulang ke asrama hari ini? Tengku Hayyat berjalan ke hulu ke hilir. Kebimbangannya semakin menebal. Fikirannya asyik terarah kepada apa yang telah dikatakan oleh Adli pagi tadi. Tiba-tiba telefonnya berdering. Panggilan dari telefon Adli. Tengku Hayyat tersenyum lebar. Hatinya yang bimbang berubah girang.

"Assalamualaikum, Adli. Ya Allah... Enta kat mana ni? Tak balik-balik lagi. Tidur kat rumah ke?"

"Waalaikumussalam... Hayyat ke ni... Ni mak Adli."

"Ha... Ya... Saya Hayyat, makcik."

"Hayyat, makcik nak sampaikan pesan Adli. Kamu jangan bersedih, ya. Adli minta kamu supaya berjanji kamu akan mengingati dia selalu... Adli...."

Suara di sana seakan-akan sayup-sayup kedengaran. Tengku Hayyat seakan-akan hilang sedar. Telefon bimbit di tangannya terlepas begitu sahaja. Kebimbangannya tadi ternyata benar. 'Adli....' Air mata lelakinya mengalir mengiringi pemergian sahabatnya. 

"Ya Allah, tabahkan hatiku. Gantikan tempatnya dengan sahabat yang lebih baik yang mampu mendekatkan aku kepadaMu... Semoga redhaMu kau berikan buat dia sahabatku... Ya Allah...."

*******************************************************

Buat pertama kalinya setelah tiga tahun, Tengku Hayyat menjejakkan kaki ke hospital ini demi menunaikan pesanan Adli sebelum pemergiannya.

"Assalamualaikum, kak. Tumpang tanya, Aryana Hasyimah binti Ismail wad berapa,ya?"

"Sebentar, ya. Aryana Hasyimah, ya?"

"Ya, kak."

"Wad ICU, bilik nombor 12, dik."

"Terima kasih, kak."

"Eh, sebentar ya, dik."

"Kenapa, kak?"

"Maafkan saya. Melalui laporan terbaru ni dia dah dipindahkan ke wad biasa bilik bernombor 22 kerana dia dah sedarkan diri semalam."

"Yeke? Alhamdulillah. Terima kasih ya, kak."

"Sama-sama."

Tengku Hayyat berjalan meninggalkan kaunter mencari wad yang dimaksudkan. Pintu bilik tersebut dibuka perlahan sambil memberi salam. Kepalanya menjengah ke dalam tetapi tiada sesiapa di dalam bilik itu. Tengku Hayyat melangkah masuk. Sejambak bunga ros merah yang dibawanya dikeluarkan dari bungkusannya dan diletakkan dalam pasu. Cantik. Tengku Hayyat tersenyum. Tiba-tiba pintu bilik dibuka dari luar. Kedengaran bunyi gelak tawa. Tengku Hayyat berpaling ke belakang memandang ke arah pemilik suara yang menegurnya. "Subhanallah.........." Gadis di hadapannya mengukir senyuman. Manis. Tengku Hayyat ternganga memandang ke arahnya. 'Dia yang selalu hadir dalam mimpi-mimpiku.'

"Hayyat.... Silakanlah duduk." Puan Asma' ibu kepada arwah Adli menegurnya sambil memimpin Aryana Hasyimah menuju ke katil.

Pandangan Tengku Hayyat tidak beralih. Masih ke wajah gadis itu. Terasa diri seakan-akan bermimpi di siang hari. Subhanallah....

"Abang Hayyat, terima kasih atas semua bantuan abang pada kami sekeluarga selama ni. Saya tak tahulah. Saya rasa semua ni satu keajaiban. Saya tak ingat apa yang berlaku. Apa yang saya ingat kereta tu laju datang ke arah saya dan saya hanya mampu berdiri di situ dan menunggu. Abang, terima kasih ya. Kalau abang tak tanggung semua kos rawatan saya, saya tak tahulah apa akan jadi pada saya sekarang ni. Mungkin saya juga akan menyusul abang saya di sana."

"Jangan cakap macam tu! Tolonglah jangan cakap macam tu. Cukuplah hanya arwah Adli yang berkata begitu pada ana. Ana dah tak sanggup lagi."

"Maafkan saya, abang Hayyat. Abang, tentu abang Adli selalu cerita tentang saya, kan? Betapa saya ni jahat pada dia. Jahat pada mak saya. Entahlah, bang. Saya pun tak tahu kenapa saya boleh benci sangat dengan dia. Pada masa tu, bila arwah ayah saya tinggalkan kami saya rasa macam tak ada sesiapa lagi dah yang sayangkan saya. Apa yang saya tahu, mak cuma dengar cakap abang saja sedangkan saya mak sedikitpun tak ambil peduli. Apa perasaan saya mak tak pernah pun nak ambil tahu. Tapi sekarang saya dah sedar, saya bersalah sebab saya boleh bersangka buruk pada orang-orang yang sayangkan saya. Semuanya disebabkan kasih sayang Abang Adli yang tak terbatas untuk saya. Ketika saya sedar, orang pertama yang saya paling taknak tengok adalah dia dan akhirnya hajat saya termakbul kerana Allah telah mengambil dia dari pandangan saya selama-lamanya sejak tiga tahun yang dulu. Sekarang, saya harap saya dapat bertemu dia lagi tapi semua tu mustahil, kan? Saya... Saya tak tahu bagaimana saya boleh benci orang yang paling sayangkan saya dan ambil berat tentang saya. Saya tak sempat minta maaf pada dia." Air mata gadis itu bercucuran jatuh.

"Aryana, Adli kadangkala lelah juga dengan sikap kamu tapi dia tak pernah menunjukkan betapa dia kecewa dengan kamu. Dia selalu khabarkan kepada abang betapa sayangnya dia kepada kamu. Walaupun dia dah pergi tapi kenangannya tetap ada bersama kita semua. Janganlah ditangisi pemergiannya sebaliknya doakanlah semoga dia tergolong dalam kalangan hamba-hambaNya yang diredhai."

"Ya, bang..."

Air matanya masih lagi mengalir perlahan di pipi. Matanya melihat ke luar cermin tingkap memandang sepasang kanak-kanak lelaki dan perempuan bermain layang-layang bersama. Tiba-tiba Aryana Hasyimah bersuara perlahan...

"Dulu abang selalu buatkan layang-layang kecil untuk Aryana terbangkan. Dia cakap, dia akan mencipta mimpi untuk Aryana dan Aryana yang akan menggapainya. Aryana sayang abang...."

Air mata itu semakin laju menyusuri pipinya. Terasa pedih hati Tengku Hayyat melihat kesedihan itu. Serasa ingin sahaja dia menyeka air mata itu dari terus mengalir. Arwah Adli sememangnya insan yang baik. Hatinya mulia walaupun dia tidak pernah mempamerkannya dengan jelas. Tengku Hayyat bingkas bangun meninggalkan bilik itu. Air matanya turut mengalir. Ingatan pada arwah sahabatnya itu masih menebal dalam hatinya.

*****************************************************

'Benar, Adli. Engkau selalu mencipta mimpi dan insan-insan di sekelilingmu yang akan menggapainya. Dan mimpiku yang telah Allah hadiahkan buatku engkau menjadi perantaranya dan akhirnya mimpi itu telah menjadi hakikat di hadapanku. Izinkan aku, Ya Allah menjadikan dia Aryana Hasyimah binti Ismail sebagai suriku. Telah lama bidadari itu menanti kehadiranku di sisinya....'


2 comments: