Tuesday, May 1, 2012

Hati sang Musafir...



Beburung terbang bebas di awanan tinggi. Menyanyi girang dengan kicauan yang menenangkan. Sedang deru ombak pula terus-terusan memukul pantai. Hembusan bayu perlahan menyapa lembut wajah anak muda itu. Dalam hatinya lemah berbisik,
“Ya Allah, andai ini yang telah Engkau takdirkan buatku, dengan sejuta keredhaan aku menerimanya walaupun hatiku sendiri sakit demi berhadapan dengan ujian ini. Sungguh, Ya Allah aku hanya insan biasa. Manusia yang bertaraf hamba mana mungkin telus menandingi kehebatanMu. Jika ini yang terbaik bagiku, tabahkan hatiku dan peliharalah imanku.”
                Uwais al-Qarni menyapa air biru dari lautan luas itu. Tangannya diangkat ke atas terisi dengan takungan air dalam genggaman. Perlahan-lahan titisan demi titisan gugur melalui celah jemarinya sambil titisan jernih mengalir dari celahan tubir matanya.

****************************************************

“Uwais! Bersabarlah, nak....” Perlahan wanita bongkok itu mengusap belakang Uwais al-Qarni.
“Ya, makcik.” Uwais al-Qarni tersenyum. Dan masih lagi mampu tersenyum.
Wanita bongkok itu berpaling. Air matanya jatuh. Cepat-cepat diseka dengan tangan tuanya. “Makcik balik dulu, ya.”
“Baiklah, makcik.”
                Wanita bongkok tersebut mengatur langkah keluar dari pondok buruk nan kecil tersergam di pinggiran pantai. Sebelum menuruni anak tangga sempat dia berpaling memandang ke arah anak itu. ‘Dan di sinilah titik tolak hidupmu bermula, wahai pemuda. Tiada yang lebih menenangkan melainkan kesenangan setelah kesusahan. Kehilangan kedua orang tuamu bukan noktah penghujung hidupmu.’
                Uwais al-Qarni menatap lama potret kecil ibu dan ayahnya. Hatinya berbisik pilu, ‘dan belum sempat bagiku membalas segala pengorbanan kalian dengan terlebih dahulunya kalian pergi meninggalkanku. Adakah besar hajatku ingin menjadi Uwais al-Qarni si lelaki tabah sebagaimana dalam sebutan Rasulullah ketika hidupnya tidak sehebat sebagaimana angan-angan khalifah yang lain? Allah, besarnya ujianMu.’

 يا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala apa yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya (penting)."

          Berulang-ulang Uwais al-Qarni membaca ayat ke-17 dari Surah Luqman tersebut. Betapa istimewanya kata-kata al-Hakim itu sehingga dipahatkan dalam kalam suci Ilahi kerana kehikmahan apa yang dikatakannya. Sedikit demi sedikit hatinya terpujuk. Indahnya Kalamullah. Ketika dan saatnya manusia itu memerlukan tempat bersandar hanya kepada Allahlah segalanya dikembalikan. Sakit, pedih, luka dan hiba datang dariNya. Itu jugalah hikmahnya Al-quran, kalam istimewa.
‘Telah aku ini datang dalam hidupmu sebagai wasilah bertambahnya umat Rasulullah. Kehilanganku hanyalah sebahagian ujian kecil buatmu. Dan ingatlah anakku, di hadapanmu menantinya ujian yang lebih besar dari apa yang mampu engkau bayangkan. Pilihlah arah hidupmu. Kehilanganku jangan terlalu kau tangisi. Bersyukurlah sesungguhnya Allah memberi pinjam diri kami buatmu dan telah tiba saatnya Dia mengambil semula apa yang dimilikiNya.’
“Allah!!” Uwais al-Qarni mengurut dada. Matanya memerhati ke segenap ruang rumah. Hatinya beristighfar panjang. Entah bila dia terlena di atas sejadah. Jam di dinding dilihat lama. ‘MasyaAllah, sudah masuk waktu subuh rupanya.’ Al-quran dalam pelukannya diletakkan di atas meja kecil. Cepat-cepat dia menyucikan diri dengan wudhu’ dan menunaikan solat fardhu subuh. Setelah salam, tangannya diangkat ke separa dada memohon doa.
“Allah, aku telah bermimpi akan kedua orang tuaku. Dan aku berasa bahagia, Ya Allah. Cintaku pada mereka, Ya Allah, tak dapat menandingi cintaku pada yang lain. Dan sandaran cinta ini hanya buatMu. Cinta ini seindah-indah ciptaanMu. Tiada hadiah teristimewaku buat mereka sekadar sekalung doa dari seorang anak semoga mereka sentiasa dalam rahmatMu. Redhailah mereka, Ya Allah. Aku memohon kepadaMu. Cintai dan kasihanilah mereka lebih dari mereka menyintai dan mengasihaniku. Terima kasih, Ya Rabbul Izzati. Terima kasih…..”

***********************************************
Lapangan Terbang Antarabangsa King Hussein menjadi gerbang utama kakinya melangkah ke bumi Jordan. Entah mengapa hatinya kuat meminta dia datang ke situ. Uwais al-Qarni berjalan keluar dari lapangan terbang tersebut dan melihat-lihat sekiranya ada teksi di sekitar kawasan itu. Tiba-tiba bahunya dipegang dari belakang. Uwais al-Qarni terkejut. Kepalanya dipalingkan. Wajah di hadapannya ditatap lama.
“Subhanallah, akhi!” Lantas Uwais al-Qarni memeluk lelaki itu.
“Uwais, apa khabar kamu?”
“Alhamdulillah, akhi. Subhanallah, ana tak sangka dapat bertemu akhi di sini.”
“Uwais, apa khabar kedua orang tuamu?”
“Mereka… Mereka telah kembali ke rahmatullah, akhi.”
“MasyaAllah, bila??”
“Dua bulan yang lalu…”
“Bersabarlah, Uwais. Allah lebih berhak ke atas nyawa hamba-hambaNya. Dia pemilik mutlaqnya manalah qudrat kita ingin menolaknya.”
“Ya, akhi. Atas sebab itu jugalah ana datang ke sini. Mencari jalan dan hala yang baru. Bimbang kesedihan berpanjangan sekiranya masih menetap di sana.”
“Tidak mengapalah, Uwais. Jadi, ke mana halamu sekarang?”
“Ana hanya mengikut berat langkah kaki ana sahaja, akhi.”
“Sekiranya begitu, marilah bertamu ke rumah ana. Hanya anak-anak ana sahaja yang ada. Kadang-kadang bosan juga tiada siapa yang hendak diajak berbual ketika mereka ke sekolah.”
“Bagaimana dengan isterimu?”
Lelaki itu tersenyum. “Jalan yang sama seperti kedua ibubapamu.”
“Allah itu lebih tahu, akhi.”
“Iyalah. Dah, jom!”
Kebetulan bertemu sahabat lama ketika bersama-sama berjihad di jalan ilmu di sekolah menengah dahulu. Perbezaan umur bukan darjat pemisah antara mereka. ‘Aathif Abrisam merupakan senior tingkatan tiga sedang Uwais al-Qarni berada dalam tingkatan satu. ‘Aathif Abrisam membawa Uwais al-Qarni ke rumahnya yang terletak di jalan Ruhuz Zahra’. Terpaku Uwais al-Qarni melihat rumah besar yang gah itu.
“Abang, subhanallah… Besarnya rumah abang.”
“Jom, masuk dulu.”
‘Aathif Abrisam membantu mengangkat bagasi milik Uwais al-Qarni. Pintu dibuka perlahan. Mulut Uwais al-Qarni ternganga luas.
“Tutup sikit mulut kamu tu.” ‘Aathif Abrisam tertawa melihat reaksi Uwais al-Qarni.
“Akhi, besarnya rumah akh. Akh kerja apa kat sini?”
“Kerja biasa-biasa sahaja. Akhi menguruskan syarikat takaful di sini.”
“Wah, menguruskan syarikat takaful dikatakan kerja biasa sahaja. Kalau ana yang tak bekerja ni apalah yang akhi cakap, kan?” Uwais al-Qarni sekadar bergurau.
“Hahahaha… Memandangkan Uwais sudah berada di sini apa kata Uwais bantu ana menguruskan syarikat. Ana bukan apa, Uwais. Anak-anak di rumah tiada siapa yang ingin menguruskannya. Terpaksa bekerja dari rumah sahaja selalunya.”
“Eh, tak mengapalah, akhi. Menguruskan syarikat? Ana tak tahulah, akhi. Kalau akhi minta ana tolong uruskan anak-anak akhi insyaAllah ana boleh.”
“Ana ingin mendidik anak-anak ana dengan tangan ana sendiri, Uwais. Ana taknak lepaskan tanggungjawab ana sebagai bapa walau sesibuk manapun ana sebagai seorang pemilik syarikat. Boleh ya, Uwais? Bantu ana?”
“Tapi, akhi….”
“Uwais, Allah pertemukan kita hari ni supaya akhi dapat membantu mempermudah jalan Uwais dan dalam masa yang sama mempermudahkan jalan akhi. Uwais, ana berharap…”
Uwais al-Qarni menelan air liur. Tekaknya terasa seakan-akan sedak dan tersumbat. Apa yang harus dia lakukan. Permintaan saudaranya itu terlalu besar baginya. Serasa bimbang dirinya andai tidak dapat memikul amanah sebesar itu. 
“Uwais… Uwais rasa tak mampu akhi….”
“Uwais, akhi percaya pada Uwais. Bukan sehari dua ana kenal Uwais. Dah bertahun-tahun dah. Ana yakin Uwais mampu dan boleh dipercayai. Pada mulanya ketika ana nampak kelibat Uwais di lapangan terbang tadi hati ana sudah mula berbunga riang. Ana turuti langkah Uwais sehingga ke luar lapangan dan ternyata sangkaan akhi benar. Bagi akhi pertemuan ini adalah rahmat Allah ke atas kita berdua.”
“Akhi, permintaan akh terlalu besar bagi insan yang kosong seperti ana ni.”
“Siapa kata kosong? Uwais ingat akhi tak tahu Uwais merupakan sarjana dari Universiti Malaya dalam jurusan Muamalat. Ana dah lama sediakan tempat ni untuk Uwais dan Allah benar-benar menunjukkan jalannya.”
“Akhi………”
******************************************


“Pekerja baru?” Aisyah bertanya.
“Naam. Baru. Bukan pekerja tapi pengurus.” Rizz Habibah.
“Wah, masuk-masuk jadi pengurus. Muda ke? Dah kahwin ke belum?”
“Haah, muda lagi. Belum kahwin. Dia cakap dia nak tunggu aku.”
“Kau ni kalau tak mengarut memang tak sah, kan? Perasan tak sudah-sudah.”
“Hahahaha….Yang aku dengar dia tu sahabat baik bos kita sejak sekolah menengah dan secara kebetulan datang ke Jordan.”
“Siapa namanya?” Tanya Aisyah dengan muka yang beria-ia.
“Uwais al-Qarni.”
‘Uwais al-Qarni….’ Aisy Qalbi berselindung di sebalik daun pintu. Senyumannya tersembunyi pula disebalik tabir niqabnya ketika menyebut nama itu. Dan pernah seorang lelaki dengan nama yang sama menyentuh hatinya dengan akhlak yang terdidik ketika pengajiannya di Universiti Malaya dahulu. Aisy Qalbi cepat-cepat bangun dari khayalannya. Dia datang menghampiri dua sahabatnya yang sibuk berbual dalam pantry pejabat sambil menikmati hidangan air teh.
“Tak siap-siap minum lagi? Amboi kamu berdua… Sibuk bercerita, ya.”
Rizz Habibah ketawa. “Kami sekadar berbual kosong membuang semua tekanan kerja. Maklumlah, bila bos jarang masuk kerja terpaksalah kita semua yang bertungkus lumus.”
“Tak mengapalah. Bos kita tu seorang ayah yang baik. Dah nasibnya memang begitu. Anggap sahajalah kita ini meringankan bebannya. Banyak jasanya pada kita. Kalau diikutkan apa sangatlah pekerjaan yang kita boleh dapat di sini dengan taraf sebagai rakyat asing. Untung kita bertemu dengan Tuan ‘Aathif Abrisam. Dialah yang banyak menolong kita dari mula sehinggalah senangnya kita sekarang ini.” Aisy Qalbi cuba mengingatkan teman-teman baiknya.
“Betul tu, Aisy. Masa kita mula-mula habis belajar kat sini, aku ingat nak balik ke Malaysia sahaja tapi untung bertemu dengan Tuan ‘Aathif. Tidaklah terkapai-kapai sibuk mencari kerja di Malaysia. Lagipun siapalah juga tempat bergantung kita di Malaysia sedangkan dari kecil kita ini hanya duduk di rumah anak yatim sahaja.” Aisyah cuba memuhasabah diri.
Tiba-tiba….
“Assalamualaikum….” Satu suara menegur mereka dari muka pintu.
Ketiga-tiga mereka berpaling memandang ke arah yang sama sambil menjawab salam. Aisyah dan Rizz Habibah ternganga memandang wajah yang sedang tersenyum itu. Bersih dan…. Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Sedang Aisy Qalbi pula terus menundukkan pandangan. Degupan jantungnya deras menggoncang seakan-akan seluruh tubuhnya menggigil bergetar. ‘Benar, dialah orangnya.’
“Ana Uwais al-Qarni. Saudara ‘Aathif Abrisam yang menghantar ana ke sini untuk meluruskan urusan syarikatnya. Ana hanya datang membantu. Antunna pekerja di sini, ya? MasyaAllah, benar-benar anak melayu semuanya. Alhamdulillah. Semoga kerja ana dipermudahkan.”
“Tuan, maaf. Kami masuk kerja sekarang. Maafkan kami lama sangat berbual dalam pantry ni. Yang lain turun makan tengahari dan ada yang masih solat dalam surau. Nanti saya hubungi mereka. Maafkan kami.” Aisyah menggelabah.
Aisyah menarik tangan Rizz Habibah keluar dari ruangan pantry tersebut. Uwais al-Qarni masih berdiri di muka pintu. Aisy Qalbi kaget kerana hanya dia seorang sahaja yang masih tinggal di situ. Langkahnya cuba diatur kemas. Sedang dalam hatinya hanya Allah sahaja yang tahu. Dia berjalan melalui muka pintu sambil kepalanya ditundukkan. Uwais al-Qarni masih berdiri di situ.
“Aisy Qalbi.” Namanya keluar dari celah bibir lelaki itu.
Langkah Aisy Qalbi terhenti. Jantungnya semakin deras berdegup kencang. Tangannya diangkat dan disentuhkan ke dadanya. Meminta agar perasaannya tidak jelas kelihatan. Uwais al-Qarni di belakang berpaling memandang ke arahnya yang terkedu dan kaku berdiri di situ.
“Dan aku mengenalimu kerana niqabmu.” Uwais al-Qarni menambah bicara.
Aisy Qalbi memejamkan mata dan menarik nafas panjang. Perlahan matanya dibuka dan terus meninggalkan Uwais al-Qarni berseorangan di situ. Uwais al-Qarni tersenyum.

***************************************

“Akhi, ana ingin bertanya.” Uwais al-Qarni membuka perbualan mereka lewat petang itu di halaman rumah di pinggir kolam ikan kecil.
‘Aathif Abrisam meletakkan cawan minumannya ke dalam dulang. “Apa dia, Uwais?”
“Akhi… Apakah dia pemilik nama Aisy Qalbi bidadari kepada Aqmar Afnan masih layak baginya mana-mana lelaki atau telah disunting dirinya?” Uwais al-Qarni tertunduk. Seakan-akan malu dengan soalannya.
“Subhanallah…. Maha Suci Engkau, Ya Allah. Telah Kau detikkan hatinya untuk jalannya yang seterusnya. Apakah hajatmu sebenarnya, Uwais?”
“Seperti yang telah akhi fikirkan.”
“Alhamdulillah…. Akan akhi risikkan dia buatmu.”
******************************************
Di sisi Uwais al-Qarni adanya ‘Aathif Abrisam sambil memeluk anak-anaknya. Hajatnya sudah disampaikan. Hanya menanti jawapan dari sebalik tirai. Apakah sudi wanita itu menerima Uwais al-Qarni sebagai suami? Aisyah dan Rizz Habibah datang menghampiri membawa satu jawapan yang pasti samada ya atau tidak. Jantung Uwais al-Qarni berdegup kencang. ‘Aathif Abrisam menggenggam tangan Uwais al-Qarni erat. Rizz Habibah dan Aisyah mengambil tempat di hadapan Uwais al-Qarni dan ‘Aathif Abrisam. Mereka saling berpandangan seakan-akan mempersilakan antara mereka untuk memulakan bicara.
“Bismillahirrahmanirrahim… Dia Aisy Qalbi bintun Aqmar Afnan menerima pinangan saudara Uwais al-Qarni dengan satu kata, andai telah tercipta padanan kumbang dengan bunga, air dengan laut, matahari dengan Sahara, maka telah ditentukan jua hati Aisy Qalbi milik hati Uwais al-Qarni.”
“Alhamdulillah…. Terima kasih, Ya Allah…” Ucapan itu meluncur laju dari bibir Uwais al-Qarni. Uwais al-Qarni terus tunduk bersujud tanda syukur kepada Allah SWT.
Dari sebalik tirai kamar Aisy Qalbi juga tunduk sujud mengangkat segala kesyukuran kepada Allah. Menitis air matanya membayar semua kesabarannya menyintai lelaki itu dalam diam sejak dari zaman pengajiannya di Malaysia dahulu. Dan bumi Jordan ini menjadi saksi tautan hati antara dua musafir. Air matanya bertambah deras mengalir ketika terdengar suara lelaki itu menyuakan harapan. Aisyah bertanya sekiranya Uwais al-Qarni mahu menuntut haknya melihat wanita itu di sebalik niqabnya.
“Tidak aku memilih dia kerana apa yang ada di sebalik niqabnya tetapi telah aku pilih dia apa yang ada di sebalik hatinya. Aku tidak mahu hatiku berbolak balik dengan pilihanku. Walaupun ia selayaknya bagiku melihatnya namun biarlah tersimpan indah begitu. Aku ingin menyimpannya halus dan tersembunyi.”

********************************************** 

Majlis walimatul urus berjalan dengan baik. Dan insan yang paling penat menguruskan sejak dari awal hingga akhir adalah ‘Aathif Abrisam. Dia penat dan tersandar di tiang pondok kecil di halaman. Uwais al-Qarni datang menghampirinya.
“Akhi, maafkan Uwais kerana menyusahkan akhi.”
“Astaghfirullahalazim… Apa yang Uwais cakap ni? Ana sangat bahagia melihat kamu berdua selamat diijabkabulkan. Mana mungkin akhi tidak mahu menyambutnya. Akh menganggap kamu sudah sama seperti adik sendiri. Akh tiada siapa di sini. Hanya Uwais dan anak-anak akh sahaja. Itulah yang membahagiakan ana. Jangan cakap macam tu lagi ya, Uwais. Uwais tak pernah menyusahkan akh sebaliknya analah yang banyak terhutang budi dengan Uwais.”
“Terima kasih, Akhi.” Uwais al-Qarni memeluk saudaranya itu erat. Tidak dapat tergambar bagaimana rasa penghargaan buat saudaranya itu.
“Akh ‘Aathif… Jemput minum.” Aisy Qalbi datang menghidangkan air.
“Ai, akh je ke? Suami kamu tak boleh minum?” ‘Aathif Abrisam sengaja mengusik. Aisy Qalbi tertunduk malu. Uwais al-Qarni tersenyum meleret. Terus wanita itu bangun dan masuk ke dalam rumah.
“Akhi, ana dan zaujah ingin menziarahi rumah baru kami. Akhi jaga kesihatan, ya.”
“Baiklah, Uwais.”
*******************************************

Setelah meninjau-ninjau ke dalam rumah, Uwais al-Qarni keluar untuk melihat isterinya. Kelihatan Aisy Qalbi terkial-kial mengeluarkan bagasi dari bonet kereta. Uwais al-Qarni menggelengkan kepalanya. Cepat-cepat dia berlari ke arah Aisy Qalbi dan membantunya.
“Kan abang ada kenapa tak biarkan abang saja yang buat?”
“Tak apalah. Aisy boleh buatla.”
“Isteri abang ni perangainya memang tak berubah langsungkan dari dulu?”
Aisy Qalbi mengangkat wajahnya memandang Uwais al-Qarni. Renungan anak mata coklat bersinar itu benar-benar membuatkan Uwais al-Qarni tak keruan. Dan bagaimana pula dengan wajahnya di sebalik niqab itu? Aisy Qalbi menjatuhkan pandangannya dan terus masuk ke dalam rumah. Malu. Bagaimana dia seberani itu merenung ke dalam mata lelaki itu. Ya, lelaki itu. Lelaki yang sudah sah menjadi suaminya. Aisy Qalbi masuk ke bilik.
Uwais al-Qarni membawa bagasi besar itu naik ke bilik. Ditolak daun pintunya. Uwais al-Qarni kaget. Pegangannya terlepas. Hampir-hampir sahaja menindih kakinya. Pandangannya mati ke wajah itu. ‘Maha Indah Engkau, Ya Allah yang menciptakan keindahan….’

“Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh daripada isteri serta zuriat keturunan kami, perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai imam bagi orang yang bertakwa.”
(Surah al-Furqan, ayat 74)




2 comments:

  1. wah..rizz habibah gitu...heheeee bersambung k nih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Xsambungla yang... haah...dkat2 plak ngn rosy habibah...hu... yg ni xbsambug....cerpenla...

      Delete