Monday, September 10, 2012

Kerna aku yang tersakiti...




"Biarlah insan memandang hina tetapi jangan Allah tidak pandang kita. Sekali kesilapan yang kita lakukan, manusia dan Pencipta akan mencatatnya tetapi antara manusia dan Pencipta punya darjat yang berbeza. Manusia melakar dosa sesama manusia di ukiran batu sedang Allah melakar dosa hambaNya ibaratnya di atas pepasiran pantai. Sekali dihempas ombak taubat maka akan terpadamlah dosa tersebut dengan serta merta. Manusia. Ya, manusia. Manusia mengukir indah kesilapan manusia lain rapi di atas batuan. Walau ditimpa titisan hujan beribu, ukiran masih kekal di situ."

Ta'jub dengan kekuasaan yang Maha Mencipta. Lembut tangannya menyentuh ombak yang datang menderu. Tanpa dipinta air matanya menuruni pipi. Setitis demi setitis. Wajahnya dipalingkan ke bahu. Tertutuplah wajah agar tiada siapa yang dapat melihat kesedihan ini. Kata-kata Khadijah bagai menembusi lautan hatinya jauh hingga ke dasarnya.

'Pergilah. Pergilah dendam sehingga diri ini tidak mengenali apa itu erti kebencian.'

***************************************

Laju tangan Mastura mengisi borang memilih subjek-subjek yang dikehendakinya untuk naik ke tingkatan empat menjelang tahun hadapan. Selesai. Mastura berdiri tegak. Borang yang telah lengkap diisi diangkat sehingga hampir ke mukanya. Baris demi baris diteliti agar tidak ada yang ketinggalan. Tidak sabar Mastura ingin pulang ke rumah. Berita ini harus disampaikan kepada ibunya dengan segera. Borang dihantar ke kaunter. Kebetulan pengetua sekolah berada di situ. Mastura melihat borangnya disahkan di hadapan matanya. Hatinya lega. Segera Mastura keluar dan menghidupkan enjin motorsikal. Perlahan dan penuh hati-hati dia menunggang sehingga tiba di rumah.

"Ibu, Mas dah balik!"

"Mas! Kenapa termengah-mengah ni?"

"Ibu, Mas nak beritahu ibu satu berita gembira ni."

"Apa dia?"

"Mas dapat sambung belajar ke sekolah agama, bu!"

"Apa?"

"Kenapa, bu? Ibu macam tak suka je?"

"Tak boleh ke sambung kat sekolah biasa je?"

"Tapi, bu...."

"Ibu tak setuju! Mas sekolah menengah biasa je kat sini tak payah nak masuk sekolah-sekolah agama bagai."

"Tapi, bu... Mas dah...."

"Kalau ibu cakap jangan, janganlah! Tak faham ke?!"

Lidah Mastura jadi kelu. Mulutnya rapat bagai terkunci rapi. Cita-citanya untuk mempelajari agama dan bahasa arab dengan lebih mendalam bagai tersekat dicelahan kerongkong untuk disuarakan. Diam dan bisu. Semangatnya yang berkobar-kobar sebentar tadi mati serta merta. Mastura berpaling membelakangi ibunya. Pandangannya meliar ke seluruh ruang banglo mewah itu. Hatinya berbisik, 'Sejak kecil sehingga ke hari ini ibu bapaku tidak pernah mengajar aku siapa Tuhanku. Andailah semua harta ini bermanfaat untuk kubawa mati tidak perlu sedikitpun aku berasa risau tentang kehidupan bertuhan.'

Suka atau tidak Mastura menuruti semua kehendak ibunya. Tetapi dalam diam-diam Mastura mengambil subjek bahasa arab dalam tingkatan empat dan limanya di sekolah biasa itu. Setelah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia diambil, Mastura mengisi borang kemasukan ke universiti dan seperti biasa menuruti kehendak ibunya. "Anak aku mesti berada dalam golongan berpangkat dan disegani." Mastura mengeluh. Pilihan yang terakhir, akal nakal Mastura menguasai.

Keputusan peperiksaan Mastura cemerlang. Keputusan kemasukan ke universiti keluar hari ini. Surat tawaran dibaca sambil tersenyum. Tetapi terselit kerisauan yang besar jauh di sudut hatinya.

"Ibu.... Surat tawaran Mas." Mastura menyuakan surat tersebut kepada ibunya. Tersenyum lebar wanita tersebut. Berasa bangga anaknya diterima masuk ke universiti. Surat tersebut dibaca perlahan. Senyuman yang mekar tadi semakin surut sedikit demi sedikit. Wajahnya bertukar bengis.

"Kenapa kau pilih kursus ni? Kau nak mati kelaparan ke? Dari mula lagi aku benci kau ambil subjek-subjek agama ni. Kau ingat aku halang-halang kau selama ni aku sekadar suka-suka ke? Belajar agama ni tak ada masa depan! Jadi ustaz ustazah kau ingat mampu ke nak sara hidup melainkan kau sanggup makan berebut macam pengemis. Kau tak payah pergi. Ibu sanggup hantar kau ke kolej dari masuk universiti ambil subjek tak ada masa depan ni. Ibu mampu. Duit ibu banyak."

"Tapi, bu... Mas nak juga ambil kos syariah ni."

"Kau pekak ke aku cakap tak payah?!"

"Ibu, saya tak kisahlah ibu nak cakap tak ada masa depan ke kena jadi pengemis ke saya nak jugak masuk universiti ambil kursus ni."

"Baiklah! Tapi ingat, ibu tak akan bagi satu sen pun untuk kau dan kau pergilah dengan kudrat kau sendiri. Jangan harapkan bantuan ibu sikit pun."

"Baiklah , ibu. Ibu hidup di dunia ni pun atas ehsan dan kudrat Allah. Mas terpaksa harapkan orang lain untuk ajar Mas tentang agama. Ibu dan ayah Mas tertinggal mengenali hati anaknya. Keinginan untuk kembali mengenali fitrah diri anak ini sayangnya tak diiringi keredhaan ibu."

Sebolehnya Mastura cuba mengelakkan diri dari bertembung dengan ibunya di dalam rumah itu. Setibanya hari yang dinanti, Mastura sendirian mengangkut beg pakaiannya dan barang-barang keperluan lain. Hanya berbekalkan wang RM150 pemberian Pakcik Ali, tukang kebun di rumahnya, Mastura menaiki bas di Terminal Pudu menuju ke Universiti Malaya Nilam Puri, Kelantan. Bulat tekad dan kesungguhannya. Perlahan Mastura memohon semoga Allah meredhai apa yang sedang dilakukannya.

"Ya Allah, sekiranya mengelak aku dari kejahilan sehingga sanggup aku membelakangi ibuku adalah yang terbaik,Kau redhailah aku, Ya Allah. Tunjukkan dan permudahkanlah jalanku ini, Ya Rahman."

"Adik, bangun! Tadi kata nak berhenti di UM, Nilam Puri, kan?"

"Subhanallah... Maafkan saya, pakcik. Saya tak sedar. Tertidur."

"Tak apa. Dah sampai ni. Betul-betul depan pintu pagar UM ni."

"Terima kasih, pakcik."

Barang-barangnya satu persatu dibawa masuk ke dalam. Mastura berdiri seketika. Menghirup udara bumi serambi Mekah dalam-dalam.

Sedikit sesak pada mulanya kerana wang yang dibawa tidak cukup untuk menampung hidupnya di situ. Alhamdulillah... Allah itu Maha Mengasihani. Mujurlah wang biasiswa tersedia untuk semua para pelajar peringkat asasi di situ.

****************************************** 

Lembut bahunya disentuh. Mastura tersentak. Wajahnya diangkat. Lautan luas terbentang di hadapannya. Jauh fikirannya menerawang kembali mengenang masa silam, ketika kehidupannya yang dirasakan bererti bermula. Mastura berpaling memandang siapa yang memegang erat bahunya. Wajah di hadapannya tersenyum. Manis dan lembut. Khadijah menyentuh dan menggenggam tangan Mastura.

"Kekecewaan dan kemarahan apabila disimpan lama akan menjadi dendam. Dan dendam membuat perhitungan dengan bayaran. Ibu, Mas... Tiada anak di dalam dunia ini yang tidak pernah melakukan kesalahan pada kedua ibu bapa dan tidak pernah ada ibu bapa yang sempurna yang tidak pernah berbuat dosa pada anak-anaknya. Kita semua manusia. Tidaklah fitrah kita ini lahirnya sepenuhnya sempurna. Hari ini Mastura telah buktikan pada diri sendiri. Agama bukanlah penghalang kepada kemajuan, kebijaksanaan dan sanjungan. Ketika ini tipulah sekiranya orang tidak mengenali siapa Pengarah Lembaga Kewangan Malaysia. Percayalah, ibumu menanti lama kepulangan anak yang dahulu kecilnya bibir ibu mengucup lembut telapak kaki anak sedangkan ketika dewasa ini anak seharusnya mengerti syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Keredhaan Allah itu terletak pada keredhaan ibu bapa, Mas."

Limpahan air mata itu jelas menunjukkan betapa lamanya terpendam rindu anak itu pada ibunya. Khadijah memeluk erat tubuh Mastura sambil berbisik ke telinganya, "Dendam kemarahan yang lama itu tidak salah sekiranya dibalas dengan sesuatu yang baik. Dendam itu tidak semestinya berbalas dengan kebencian. Pulanglah dan peluklah ibumu. Kebenciannya padamu sudah lama surut kerana dia adalah seorang ibu...."

Khadijah melepaskan pelukan. Mastura terus berlari ke arah kereta. Tidak sedikitpun dia menoleh ke belakang. Dan azamnya diperkukuh. Dahi ibunya akan dikucup sebelum dia terlewat.

No comments:

Post a Comment