Sunday, August 29, 2010

Wasiat seorang anak...


Suasana kelam menyelimuti segenap ruang rumah banglo yang tesergam gah milik pasangan suami isteri Encik Johari dan Puan Julia. Anak sulung keluarga tersebut, Haikal yang baru tiba dari rumah teman wanitanya terduduk diam berteleku dihujung sudut. Annie Azirah hanya mampu membatukan diri tanpa sedikit reaksi apabila diajukan soalan oleh orang ramai yang hadir. Sepasang anak kembar berusia dalam lingkungan empat tahun kelihatan duduk disisi Puan Julia yang berwajah suram. Puan Julia hanya diam memerhati para hadirin membacakan ayat-ayat suci Al-quran buat jenazah anaknya, Ainin Azirah yang baru sahaja meninggalkan kefanaan dunia buat selamanya kerana serangan demam denggi berdarah. Pemergiannya merupakan kehilangan yang amat dirasai oleh setiap insan yang mengenali dirinya. Jenazah arwah dibawa dari bumi Nilam Puri dan tiba di kediaman keluarga tersebut tepat jam dua petang.

Sahabat-sahabat dari bumi tarbiah Nilam Puri turut sama hadir demi menghabiskan sisa-sisa waktu bersama arwah sebelum dikebumikan. Pemergian arwah ditemani dengan linangan air mata seluruh ahli keluarga dan para sahabat seperjuangan. Seorang insan agung dijemput lebih awal kerana rasa cinta dan rinduNya buat dia.
Kain kafan yang menutupi wajah arwah dibuka perlahan mempamer riak muka milik arwah yang tenang dan bersih. Walhal saat ajalnya menjemput arwah berada dalam keadaan sakit yang ditahan demi menenangkan hati para sahabat yang kebimbangan ketika menemaninya di Hospital Perempuan Tengku Zainab,Kota Bharu.
Encik Johari yang sejak tadi berada diluar rumah kerana tidak dapat menahan kesedihan melihat sekujur tubuh kaku milik arwah akhirnya masuk jua ke ruangan tetamu demi menatap wajah si anak buat kali terakhir. Meraung Haikal dan Annie Azirah apabila wajah adiknya yang satu itu teserlah. Seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihat mereka dihadapan mata. Para sahabat arwah menenangkan kedua mereka supaya pemergian arwah tidak tertahan kerana rasa tidak redha ahli keluarga.
Selepas jenazah arwah selesai dikebumikan di petang hari saat gerimis mengundang seorang sahabat baik arwah yang sentiasa bersamanya kala susah dan senang arwah datang menghampiri ahli keluarga yang sedang bersedih itu.
"Setiap permulaan pasti ada penghujungnya. Begitu juga manusia. Kita semua akan menyusulnya kemudian hanya tidak diketahui siapa yang akan dijemput dahulu. Redhailah apa yang telah ditentukan oleh yang maha menciptakan. Bersyukurlah kepada Allah atas pinjamannya buat kita."
Suara Nur Iman tertahan-tahan. Haikal memandangnya tajam seperti tidak berpuas hati dengan bicara gadis itu. Nur Iman tersenyum sambil menghulurkan sekeping surat putih kepada Puan Julia. Puan Julia teragak-agak menyambutnya. Salah seorang anak kecil disisi Puan Julia berkata,
"Mama! Mama! Kak Ainin tu nak pergi mana? Kenapa dia lambai-lambai kita?"
Nur Iman tersenyum memandang anak kecil itu lalau mengajukan soalan kepadanya semula.
"Kat mana adik nampak Kak Ainin?"
"Tu! Kat situ!"
Jari kecilnya mengunjuk ke satu arah di tanah perkuburan itu. Anak mata Nur Iman menyoroti arah telunjuk anak kecil itu. Lalu dia tersenyum.
"Kak Ainin nak pergi jauh sangat. Dia nak berjumpa dengan penciptanya."
"Siapa?" Anak kecil itu bertanya deras.
"Allah... Allah yang cipta kita semua. Kalau Allah tak cipta kita. Kita tak ada disini."
"Nanti kak Ainin balik tak? Syukri rindula dengan kakak. Dah lama tak jumpa kakak. Kakak jarang balik rumah. Dia asyik duduk kat tempat dia belajar je. Syukri dengan Syahmi selalu tau main dengan kak Ainin. Kak Ainin baik. Dia tak macam kak Annie."
Nur Iman menitiskan air mata. Ya, siapa yang tidak merindui dia. Setiap yang mengenalinya merasai kehilangannya. Dengan sesiapa sahaja dia akan melayaninya dengan baik. Tidak pernah dia membezakan antara sahabat-sahabat dan kenalannya. Setiap masa cerita yang baik-baik tentang keluarganya keluar dari mulutnya yang sentiasa tersenyum. Gadis ayu dan lemah lembut itu menjadi idaman mujahid di bumi Nilam Puri. Namun siapa jua yang tahu apa yang tersimpan rapi di dalam hati.
"Arwah serahkan surat ni buat seluruh ahli keluarganya sebelum arwah mengucapkan kalimah syahadah. Arwah berkirim salam pada semua. Doakanlah hanya yang baik untuk dirinya dan diri kamu semua."
Nur Iman berpesan sebelum dia berlalu meninggalkan ahli keluarga sahabat baiknya itu. Sayu memanjat ruang hatinya. Namun tidak lekang bibirnya memanjat doa buat sahabat yang satu itu. 'Oh Ainin!'



Assalamualaikum...


Ayah....Ibu..... Aku memohon ampun... Aku pergi dulu tanpa khabar. Aku sendiri tidak tahu saat datangnya malaikat meminta nyawaku... Aku merelakan kerana tidak dapat ditunda sesaat atau dipercepat sesaat pun... Saat ini... Beburung berkicau sayu... Air diluar terdengar menitis perlahan... seolah-olah pendengaranku sehingga seluruh alam kedengaran. Saat terhampir ini wahai ayah ibu... Terlintas wajah ayah bonda di ruangan mata... Moga pemergianku nanti diredhai walaupun aku tahu kesedihan itu datang...


Ayah ibu.... Aku tidak mempunyai harta menggunung mahupun senilai wang untuk ditinggalkan buat kamu semua... Ampuni aku wahai kesayanganku... Hanya sedikit perkara yang berbaki tertinggal buat semua yang akan terus berada dialam sana...


Buat ayah....
Aku merinduimu... Saban kali kau pergi meninggalkan kami demi mencari sesuap nasi... Aku akan memandang bayangmu sehingga hilang ditelan kejauhan... Setiap kali itu jua aku berdoa... "Ya Allah, kau peliharalah iman imam kami... Kau pelihara jua dirinya dari sesuatu yang tidak kau redhai... Niatkanlah hatinya untuk redha jua berserah hanya padaMu demi sesuap nasi memikul amanah dariMu... Ya Allah,aku memohon setulusnya dariMu... Kau berkatilah dirinya... Sungguh,aku menyayanginya..." Wahai ayah, anakmu yang satu ini ingin meminta sesuatu darimu... Serasa tidak layak namun hatiku tetap mengingininya... Aku sudah lali dengan kemewahan pemberianmu... Pernah satu tahap aku meminta supaya Allah susahkan aku kerana aku takut aku lupa wahai ayah...aku takut aku lupa dan leka kepada tuhanku setelah nikmatNya atas diriku ini... Ayah,hanya satu permintaanku... Kau imam kami wahai cintaku... Sekiranya buta pemimpin kami maka ke mana hala tuju kami... kemana kau akan membawa kami... Aku meminta wahai ayah... Kau didiklah dirimu sendiri demi membimbing ibu, abang, kakak dan adik-adikku ke arah kemuliaan... Bukan diangkat kerana dunia... Tetapi disanjung kerana cinta... cinta yang tulus suci hanya kepada Allah yang Esa... Ayah, bisakah kau menunaikannya... Aku menanti...


Ibu,
Aku selalu melihatmu berpenat lelah menjaga keluarga... Saat tidurmu kurenung dalam ke wajahmu... Kulihat ketulusan disitu... Tetapi aku jua mengerti erti kelelahan... Air mata ku menitis tidak dapat ditakung lagi oleh kelopak mata... Aku teramat menyintaimu... Kau merupakan insan yang dituntut oleh islam untuk aku jadikan teman dan berbuat baik... Betapa tingginya martabatmu wahai ibu... Tetapi janganlah kau menurunkan darjatmu sehingga tiada pandangan Allah buatmu... Teruskanlah menjalankan tanggungjawabmu sebagai seorang isteri dan seorang ibu... Lena malamku tidak indah andai tidak aku bermimpi tentangmu saat jauh ini... Ibu, andai kau berasa lemah kembalilah kepada Allah... Dia tempat kau bergantung sepenuhnya... Bukan insan mahupun yang lain... Hanya Allah! Hanya Dia tempat terbaik buatmu....


Abang,
Aku memerhatimu... sering aku melihat tingkahmu... Setiap gerak gerimu menjadi tarikan buat mataku... Aku lihat kau sebagai asetku bagi membantu jalan permujahadahanku.... Kau khalifah wahai pemuda! Tidak pernah aku melihat dirimu dengan pandangan penghinaan... Tidak jua aku menyalahkan dirimu kerana kelalaianmu... Sebaliknya aku berasa malu... saat sihatku tidak mampu aku mengembalikan kau kepada fitrah insan... Aku menghukum diriku saban waktu... Ya Akhi, aku sangat menyayangimu... Sudikah kau mendengar rintihanku... Setiap kali kau keluar bersama teman-temanmu... Hatiku mula resah... Apakah yang kau lakukan bersama temanmu berhibur di luar sana... Abang, aku menyayangimu... Tidak mahu sedikitpun terusik dirimu dengan calitan api neraka... Aku resah... Aku takut dipertanggungjawabkan diri ini atas kegagalanku membawa engkau pulang... Saat kau tersenyum memandangku... Saat kau kucup lembut pipi ini... Saat gurau senda bersamamu memenuhi segenap ruang syurga keluarga... Aku bahagia... Namun mengapa kini kau pergi jauh meninggalkan semua kenangan ini... Aku merindui semua itu... Abang, ibu pernah mengucap kata ini padaku kala subuh hari, "dulu abang paling rapat dengan ibu sehinggakan tidur pun tidak mahu terpisah... Tapi kenapa sekarang dia yang paling jauh..." Saat luahan itu menyentuh pendengaranku... Aku terus melangkah kaki meninggalkan ibu kerana mataku memaksa untuk mengalirkan air mata.... Dimana kau pergi bersama tanggungjawabmu wahai anak lelaki... Abang,aku tahu kau menyayangiku... Apatah lagi diriku... Cinta dan kasihku padamu menggunung tinggi... tidak sanggup kulihat dirimu dikecam gelombang cinta dunia... Kembalilah sayangku... Kembali kepada fitrahmu....


Wahai kakak yang aku kasihi,
Aku tahu pemergianku menjadi kesedihan yang panjang buatmu... Namun ingatlah kakakku... Aku pergi bertemu cinta teragungku... Mengapa perlu bersedih... sebaliknya bergembiralah dengan apa yang bakal aku kecapi... Redhailah apa adanya... Kakakku, rasa malu seorang wanita itu bukanlah apabila dia tersipu pabila diusik maupun dipuji... Kakak,rasa malu itu hanya apabila dalam hati seorang wanita itu ada rasa yang sangat bimbang baginya melanggar batasan tuhan... Malu itu juga apabila dalam hatinya hanya ada cinta kepada yang menciptakan hati itu sendiri... Tidak sekali-kali dia menyerahkan hatinya pada insan yang hanya bertaraf seorang hamba... Jua apabila dia menghiasi dirinya dengan akhlak seorang muslimah dan peribadi seorang hamba... Apabila ada rasa itu dalam hatimu... Maka tersimpan rapi dalam hati kecilmu untuk mudahnya menjaga dirimu dari panahan kejahatan... Benar kakakku! wanita adalah fitnah terbesar buat lelaki... Jangan kau biarkan dirimu terjerumus sebagai fitnah dunia buat adam... Kasihanilah dirimu dan diri mereka... Kakak yang aku kasihi, bukalah bungkusan yang aku kirimkan buatmu... Didalamnya aku hadiahkan khas buatmu... Senaskhah al-quran itu kau jadikanlah temanmu yang paling rapat sentiasa dia tidak lekang dari sisimu... Bacalah surat cinta Allah buat dirimu itu selalu...Indah bait kata didalamnya pernah menjadikan aku terpesona... Kau hayatilah ia... Moga kau juga akan terpesona dengannya sehinggakan kau inginkan hanya ia yang sentiasa menemanimu saban waktu...Sepasang salinan untuk solat kau gunakanlah ia sebaiknya... Jua tudung litup serta jubah-jubah itu kau jadikanlah sebagai pakaianmu...


Buat semua ahli keluargaku...
Tidak ada yang lebih tinggi bagi seseorang itu melainkan hanya redha Allah buat dirinya... Salam sayang buat semua... Aku pergi dulu...
Wassalam....


Ainin Azirah


Kelam pandangan Puan Julia. Pipinya dibasahi dengan titis air mata yang tidak henti-henti mengalir. Begitu mulia anak yang satu ini namun yang satu ini jualah Allah tarik lebih awal darinya. Kenapa semasa hayat anak itu sentiasa dia dipersenda dan dihina sedangkan kasih dan cintanya pada mereka lebih dalam dari air di lautan, lebih tinggi dari awan di kaki lelangit. 'Aininku sayang....'
Encik Johari dan anak-anaknya melayani rasa keinsafan. Lautan air mata mula membanjiri pipi. Ya, Ainin Azirah akan menjadi ingatan masa depan dan kenangan masa lalu.


No comments:

Post a Comment