Hidayah
Wassyifa’. Ia nama pemberian mama dan abahku hasil cetusan ilham dari sahabat
baik mereka, Encik Bukhari. Ia kebanggaan aku sebagai seorang anak menatang
nama indah yang mempunyai makna dan sebutan yang baik. Ke mana sahaja hala
tujuku, setiap insan di sekelilingku pasti akan menyebut namaku berulangkali.
Jarang sekali mereka akan menyebut namaku dengan panggilan ringkas seperti
kebiasaan orang memanggil nama seseorang yang lain. Aku terasa dihormati.
Terima kasih, Ya Allah atas nama yang indah ini.
“Aku
terima nikahnya Hidayah Wassyifa’ binti Muhammad dengan mas kahwinnya 300
ringgit tunai.” Bibir itu mengungkap namaku. Penuh. Dan ia menitiskan air
mataku.
“Alhamdulillah……”
Desiran suara kecil lelaki itu disambut oleh deruan suara disebalik tabirnya.
Aku tertunduk. Masih lagi air mataku
menitis. Terus jatuh ke lantai rumah berlapik permaidani ungu kebiruan. Sedang
lengan baju kuning cairku kulapkan terus ke pipi demi menyeka air mata yang
terus mengalir. Sudah sah kini aku hak milik dia yang baru sahaja menjadi suamiku,
sang pembimbing dan imamku jua imam bakal anak-anakku nanti. Ketua bagi
organisasi kecil pembangun ummah dan penegak agama Allah di atas muka bumi ini.
Walaupun kecil namun ia merupakan titik permulaan perjalanan hidup seseorang
insan itu demi menentukan samada ahlinya menjadi yahudi, nasrani atau mu’minin.
Semuanya terletak di tangan pengemudi bahtera. Sekiranya baik perjalanannya
maka baiklah seluruh bahteranya serta isi-isinya. Dan aku mahu menjadi sang
pendamping yang sentiasa tulus dan setia di sisi nakhodanya. Terimalah aku
seadanya, duhai suami….
***************************************************
Malam pertama aku dan suamiku mendiami
rumah miliknya di pinggir kota. Senyap sunyi dari keriuhan bandar. Sedikit ke
hulu dari hilirnya. Hanya aku dan dia. Aku berdiam diri. Duduk berteleku di
atas katil menunggu dia masuk. Jantung berdegup kencang. Benar, penantian itu
satu penyeksaan. Kedengaran pintu bilik dibuka dari luar. Jantungku semakin
kuat berdegup bagai menunggu-nunggu untuk ia melompat keluar dari dalam dada.
Derap kakinya semakin dekat menghampiriku. Ya Allah…. Dari ekor mataku,
kelihatan dia melabuhkan punggungnya di hujung katil. Jauh dari tempat dudukku
dekat dengan kepala katil. Masih lagi wajahku menunduk. Malu.
“Hidayah
Wassyifa’. ” Suara lelakinya menggetarkan jiwaku. Tidak pernah ada mana-mana
lelaki yang cuba menghampiri dan menyebut namaku dengan begitu lembut sekali.
“Nama
yang menunjukkan kehalusan peribadi dan kesan dirimu kepada insan sekeliling.
Maafkan aku, duhai isteri andai aku telah menolak hak hatimu untuk bersuara
sebelum pernikahan kita. Maafkan aku andai kehendak ayahku untuk menjadikan
dirimu menantunya telah membataskan hak keinginanmu untuk melalui zaman
bujangmu lebih lama dan memaksa dirimu menerima diriku. Maafkan aku jua andai
di hatimu sudah bertakhta insan lain di dalamnya. Dari malam ini sehingga malam
berikutnya, aku menghormati dirimu. Semoga lena tidurmu. Assalamualaikum.”
Dia terus berlalu pergi sambil membawa
bantal dan kain selimut ke bilik sebelah. Aku ditinggalkan dengan seribu tanda
tanya. Mengapa? Apakah semua ini? Apa yang dia telah katakan? Kenapa? Hakku?
Hak apa? Bagaimana pula hak dirimu sebagai suamiku? Ya Allah, bukan ini yang aku
pinta dalam bahtera perkahwinanku… Patutlah setiap malam di rumahnya mahupun di
rumahku sebelum ini dia seakan-akan mengelak. Ya, benar! Memang Encik Bukhari
yang beria-ia hendak menikahkan aku dengan anaknya, Muhammad Syukri. Apatah
lagi abah juga setuju dengan keinginan sahabat akrabnya itu. Aku? Aku hanya
mengikuti kehendak kedua orang tuaku. Apa yang terbaik bagi mereka ia juga
adalah yang terbaik untukku. Sesungguhnya redha Allah itu terletak pada keredhaan
kedua ibubapa. Mana mungkin aku akan membelakangi mereka. Mereka sandaran
kehidupanku dari aku kecil sehinggalah aku meniti usia dewasa. Mereka cinta
keduaku setelah Allah dan Rasulullah menduduki tempat pertama dalam hatiku. Ya
Allah, cintailah mereka berdua lebih dari mereka menyintai diriku.
*******************************************************
“Abang,
sarapan dulu ya! Saya buatkan mee goreng basah untuk abang. Duduk dulu, ya!”
Aku menyendukkan makanan untuknya ke
dalam pinggan. Air teh kutuangkan ke dalam cawan. Matanya memandangku sambil
tersenyum. Sudah menjadi tanggungjawabku untuk menjaga makan minumnya dan
melayaninya dengan baik walaupun hanya sekecil-kecil perkara. Ya, suami adalah
raja di dalam rumah. Layanan buatnya istimewa.
“Abang, abang nak
keluar ke mana-mana ke hari ni?” Aku sengaja berbasa-basi.
Dia hanya diam. Makan.
Khusyuk. Aku tersenyum.
“Abang....” Lembut aku
memanggil sambil menyentuh tangannya. Dia mengangkat muka. Wajahku manis
memandang ke wajahnya.
“Ya, apa dia? Saya...
eh, a...bang... abang tak dengar. Apa dia?” Wajahnya memerah. Terkejut, kaget
dan gagap untuk membahasakan dirinya.
“Abang nak keluar
pergi mana-mana ke hari ni?” Aku mengulang semula soalanku.
“Tak ada. Tak ada.
Abang tak pergi mana-mana. Badan abang penat lagi. Kenapa? Awak nak keluar ke?
Abang boleh bawakan.”
“Eh, tak perlulah,
abang. Saya cuma tanya sahaja. Saya ingat hari ni saya nak bersihkan rumah ni.
Dah berapa lama abang tinggalkan rumah ni?” Aku sengaja hendak memanjangkan
perbualan.
“Setengah bulan
sebelum tarikh pernikahan kita. Sekarang ni, kira-kira sudah sebulan juga abang
meninggalkan rumah ni.”
“Oh.... Abang mula
kerja bila?” Perasaan ingin tahu meluap-luap.
Dia diam.Sepatah
ditanya sepatah juga jawapannya. Langsung tidak memandang ke wajahku. Suapan
mee goreng ke mulutnya masih penuh. Aku tersenyum melihat aksinya. Sangat
berselera sekali. Aku masih menunggu jawapannya. Ya, sudah habis dikunyah,
ditelan dan menggelongsor masuk ke celah usus perutnya. Makanan hasil air
tanganku. Buat suamiku yang dalam diam aku kagumi dan aku cintai. Apa?
Sebentar! Apa aku katakan tadi? Aku cintai? Sejak bila? Aku tersenyum melayan
perasaan sendiri. Lamunanku terhenti.
“Abang dah suruh
pembantu abang, Elina uruskan semua urusan di sekolah. Abang dah buat schedule
untuk cuti abang ni.”
“Abang buka sekolah
sendiri dah berapa tahun?”
“Lebih kurang empat tahun.”
Masih lagi tunduk. Tiada kemesraan dalam jawapannya.
“Alhamdulillah.
Khalifah berjaya rupanya suami saya ni ya.”
Aku terus bangun dengan wajah yang
tersenyum meleret walaupun respon darinya tidak memuaskan hati. Ibarat sudah
membalingkan batu kemudian menyembunyikan tangan. Aku berpura-pura dengan muka
riak slumber. Aku membuka langkah hendak menuju ke dapur tiba-tiba tanganku
ditarik dari belakang. Aku terkejut. Aku menoleh perlahan dan memandang ke
wajahnya. Dia merenung mataku tajam.
“Terima kasih untuk
sarapan dan layanan awak. Mee goreng awak sangat sedap. Tolong hidangkan untuk
abang lagi. Abangmasih belum kenyang.”
Aduhai, mana aku nak sembunyikan muka aku
ni. Malu yang teramat-amat sangat sehingga menyendukkan mee ke pinggannya pun
tertumpah-tumpah. Tanganku menggigil-gigil. Aku terus berlalu ke dapur dan
mengemaskan bekas-bekas masakan tadi. Pinggan mangkuk dan kuali kubasuh bersih.
Tiba-tiba suamiku datang dari belakang kemudian meletakkan pinggan dan mangkuk
kosong ke dalam sinki.
“Abang dah habis
makan?”
“Dah. Biar saya yang
basuh, ya.” Dia menawarkan diri.
“Eh, abang! Tak
perlu... Biar saya sahaja yang basuh.” Aku menolak pertolongannya.
“Okey, awak gosok
dengan sabun saya tolong bilaskan. Baru adil. Boleh?”
Aku tersenyum.
Permintaannya tidak dapat aku tolak bulat-bulat. Pagi-pagi lagi si suami sedah
menolong isterinya di dapur. Aku jadi segan.
Sehari suntuk suamiku membantu aku
mengemas rumah. Sudah kutegah namun dia masih jua berdegil. Aku tidak mahu
menyusahkan dia. Aku tahu badannya masih lagi penat. Tetapi apalah dayaku untuk
melarangnya. Dari menyapu sawang hinggalah menyapu halaman rumah semuanya
dilakukan bersama. Dia tidak mahu aku melakukan kerja membersihkan rumah
seorang diri sedangkan dia duduk bersenang lenang meluruskan tubuh padahal
bukannya aku tidak biasa dengan kerja-kerja sebegini. Sudah menjadi kebiasaanku
sejak zaman bujangku lagi membersihkan rumah. Sangat pantang bagiku melihat
barang-barang di dalam rumah berhabuk apatah lagi halaman rumah dipenuhi
daun-daun gugur. Sedang dia menyapu daun-daun kering di atas tanah, kurenung
wajah sisinya. Peluh menuruni dahi jatuh ke pangkal hidung terus mengalir ke
hujung dagu sehinggalah ia menitis ke atas tanah. Wajah itu bersih. Sedap mata
memandang walaupun basah dalam peluh. ‘Suamiku, andai sahajalah kamu tahu debar
jantungku ini....’
***********************************************
“Elina, tolong saya
serahkan semua fail-fail ni kepada Ustazah Mashitah. Segera ya.” Arahan diberi
kepada pembantunya.
“Baik, Ustaz!”
‘Khalifah berjaya rupanya suami saya ni
ya.’ Terngiang-ngiang suara si isteri dalam kotak fikirannya. Muhammad Syukri
tersenyum sendiri. Wajah manis itu sering sahaja bertamu dalam ingatannya.
Kemesraan dan kelembutan layanannya benar-benar memikat. Namun adakah ruang
untuknya di hati si isteri. Hati wanita sukar dibaca. Ditafsir apatah lagi.
‘Mengapa sesulit dan sesukar ini hubungan kami, Ya Allah?...’
“Assalamualaikum!”
Lamunannya terhenti
setakat di situ. “Waalaikumussalam wbt... Ya Allah, Hidayah wassyifa’! Apa yang
awak buat di sini? Awak datang dengan siapa?”
“Abang, saya bawakan
abang sedikit makanan. Saya tahu abang belum makan tengahari lagi.”
“Awak, abangkan boleh
makan lepas balik ke rumah nanti.” Dia membangkang isterinya tanda protes
kehadiran isterinya. Padahal bukannya apa, dia bimbang andai ada mata nakal
memerhati isterinya di situ. Wajah manis itu akan memikat hati sesiapa sahaja.
“Abang, balik ke rumah
ada tiga jam lagi tau. Saya risau perut abang kosong masuk angin pula nanti.
Tak mengapalah, bukan susah pun. Saya memandu sendiri ke sini bukan saya sewa
teksi atau naik bas pun. Abang makanlah, janganlah marah saya lagi. Hari ni
hari pertama abang masuk kerja lepas cuti tiga bulan. Saya tahu abang banyak
kerja tertangguh nak siapkan jadinya saya datanglah bawakan abang makanan. Saya
yang masak tau. Sedap ni. Kita duduk di meja tetamu ni, ya. Abang duduk. Makan
ni.”
Muhammad Syukri tidak mampu bersuara
lagi. Sejak tadi lagi memang perutnya sudah berkeroncong namun ditahan juga
kerana kerjanya sebagai pengurus dan pemilik sekolah agama itu masih menimbun. Isterinya
sangat memahami dirinya walaupun mereka tidak pernah tidur sekamar mahupun
sekatil. ‘Dia benar-benar seorang isteri yang baik...’
“Tok! Tok! Tok!” Pintu
diketuk dari luar.
Muhammad Syukri
berhenti makan. Arahan masuk diberi. Pintu terbuka. Muncul seorang wanita muda
bertudung litup dengan gaya lembut dan ayu.
“Maafkan saya
mengganggu, ustaz. Saya nak tanya tentang buku audit bulan lepas. Seperti ada
kesilapan. Jadi saya hendak bincangkannya dengan ustaz.” Ustazah Mashitah
berbicara.
“Baiklah!”
Muhammad
Syukri terus bangun dan menuju ke mejanya. Ustazah Mashitah menghampiri. Hidayah
Wassyifa’ memandang nasi di dalam bekas yang terusik baru sedikit. ‘Adakah
kerjanya lebih penting dari aku? Kenapa dia tak kenalkan aku pada orang lain
apatah lagi para pekerjanya? Adakah dia tidak mahu mengakui aku ini sebagai
isterinya?” Mereka berbincang dan berbual mesra. Dari jauh Hidayah Wassyifa’
memerhati tingkah laku mereka. Semakin lama semakin rancak perbualan mereka.
Benar-benar nampak mesra. Dengan dirinya sendiri sebagai isteri pun suaminya
tidak pernah melayaninya dengan sebegitu mesra sekali. Gurauan dan tawa riang. Hidayah
Wassyifa’ berasa terasing. Seakan-akan dia tidak wujud di situ. Hidayah
Wassyifa’ bangun dan terus berlalu dari situ. Sedikit pun suaminya tidak
perasaan dengan pemergiannya. Dia terus memandu keluar dari perkarangan sekolah
dan terus pulang ke rumah dengan hati yang tercalar.
************************************************
“Assalamualaikum...”
Aku terus menuju ke
hadapan membukakan pintu untuk suamiku. Tangannya kucapai dan kukucup lembut.
Hari sudah lewat petang.
“Abang naiklah ke atas
dan mandi dahulu. Saya siapkan makan malam untuk abang.” Suamiku menghidu
sedikit kehambaran dari layananku.
Dia memandangku
berjalan menuju ke dapur. Sedikit pun aku tidak menoleh memandang ke wajahnya.
Dengan langkah yang lemah suamiku memanjat anak tangga. Dia masuk ke dalam
bilik dan membersihkan diri serta menunaikan solat fardhu asar. Apabila aku
hendak menghidangkan makan malam dia sudah duduk menungguku di meja makan. Aku
melayaninya seperti biasa. Wajahku sedikit sugul ketika itu. Aku menjamah
sedikit nasi sahaja. Langsung tidak ada selera. Geramku kepadanya masih belum
beransur kurang sejak kejadian hari itu apatah lagi hari ini aku bertembung
dengan suamiku bersama guru wanita itu di sebuah pasaraya ketika hendak membeli
barang-barang dapur. Manakan tidak bertambah kemarahan dalam hati apabila
diminta suami untuk menemani namun ada sahaja alasannya menolak permintaanku.
Sibuklah, ada kerja itu, kerja ini tapi akhirnya keluar berdua-duaan dengan guru
wanita itu. Geram!
Aku terus mengangkat pinggan dan pergi ke
dapur. Bimbang semakin lama kududuk di hadapannya akan menambah sakit di dalam
hatiku. Habis kubasuh semua pinggan mangkuk di sinki. Hatiku sakit benar.
Sangat terluka. Kenapa dia tidak mahu bersikap jujur dan terbuka dengan diriku.
Mengapa mesti menipu? Benci! Tiba-tiba tanganku disentuh. Aku memandang ke
sebelah. Suamiku berdiri di situ. Cepat-cepat aku mengalihkan pandangan. Sejak
bila pula dia ada di situ?
“Hidayah Wassyifa’! Awak
kenapa ni? Dah beberapa hari ni awak bersikap dingin sahaja dengan abang. Awak
ada masalah tolonglah beritahu abang. Kongsi dengan abang. Hari ni lagilah.
Awak buat abang ni macam tak wujud sahaja di hadapan awak. Tolonglah beritahu
abang masalah awak.” Muhammad Syukri meluahkan perasaannya.
“Mana ada apa-apa.
Abang janganlah fikir yang bukan-bukan. Saya baik-baik sahaja. Abang tu saja
yang salah sangka.” Aku menarik muka masam. Muncungku panjang sedepa.
“Hidayah
Wassyifa’...........” Dia menyeru namaku. Air mataku menitis.
“Okey! Kalau abang nak
tahu sangat saya beritahu abang. Abang dengar betul-betul apa saya nak
terangkan pada abang. Abang tahu tak, saya sangat tak suka abang dekat dengan
ustazah kat sekolah abang tu. Saya ni isteri abang tau. Abang tolonglah jaga
hati dan perasaan saya. Saya dah buat semuanya untuk abang. Tentu abang masih
ingat lagi tentang syarat yang saya kemukakan sebelum kita nikah dulu. Saya nak
jadi seperti Saidatina Khadijah yang tidak pernah dimadukan oleh suaminya
sepanjang hayatnya ada. Abang, beritahu saya apa hubungan abang dengan
perempuan tu? Saya nampak abang bersama dia semasa saya sedang membeli barang
dapur di pasaraya tadi. Jelaskan pada saya apa hubungan kamu berdua.” Aku sudah
menangis teresak-esak.
Muhammad Syukri
memandang wajahku. Sedikit pun pandangannya tidak dialihkan. Suamiku merenung
wajahku seakan-akan tembus ke belakang. Tanganku menggigil. Perasaan takut mula
bersarang dalam hati setelah meluahkan semua yang terpendam. Aku benar-benar
berkecil hati dengan suamiku ini. Aku benci situasi ini. Patutlah dia
membuangku pada awal usia perkahwinan kami. Rupa-rupanya hatinya yang telah
dimiliki orang. Tuduhannya yang dijatuhkan padaku mula-mula dahulu ternyata
berbalik padanya. Kenapa dia tidak berterus terang sejak awal lagi. Aku mula
membuka langkah hendak pergi tetapi tanganku dipegang erat.
“Adakah ini
membuktikan bahawa awak menyintai saya?” Suamiku mengajukan soalan yang tidak
berapa rasional untuk diterima otakku ketika itu. Tentulah aku menyintainya.
Dia suamiku. Takkan pula aku hendak menyintai lelaki lain sedangkan aku ini
miliknya.
“Abang tanya soalan
jenis apa ni?” Suaraku hilang ditelan esak tangis yang tidak dapat dibendung.
Dia terus merenung jauh ke dalam mataku. Emosiku tidak mampu dikawal lagi.
“Kenapa baru sekarang
abang tanyakan soal hati ni? Dulu abang tak pernah ambil kisah tentang perasaan
saya. Abang nafikan hubungan kita sebagai suami isteri. Abang buang hak saya
sebagai isteri yang diri ni hanya mahu menumpang kasih dan berkongsi curahan perasaan. Abang tak pernah pun cuba memahami saya. Abang
selalu mengelak dari memandang mahupun bersama saya. Kalau saya tak cintakan
abang saya takkan menunggu abang sehingga ke hari ini. Abang buang saya pada
hari pertama saya bergelar isteri. Kadang-kadang saya tertanya dalam hati saya
sendiri, sudahkah saya memiliki seorang suami. Sudahkah saya menjadi seorang
isteri.”
Muhammad Syukri menarik tanganku kuat
sehingga aku jatuh ke dalam pelukannya. Dia memelukku erat. Kupinjam bahunya
menyembunyikan air mata yang semakin laju mengalir.“ Jujur, sejak kali pertama
abang mendengar cerita tentang dirimu abang sudah tertarik. Apatah lagi apabila
melihat ke dalam wajahmu. Mana mungkin abang menyintai wanita lain sedangkan abang
sudah memiliki bidadari syurga di sisi. Maafkan abang atas semua salah faham
abang padamu sejak mula lagi. Maafkan abang. Maafkan abang, sayang. Abang
menyintaimu....”
Itulah happy ending yang selalu
disebut-sebut orang akhirnya ia menjadi milikku. Kisah aku dan dia. Cemburu itu
tanda kasih dan cinta namun apabila ia berlebih-lebihan maka akan meruntuhkan
sebuah kedamaian walau sekukuh manapun ikatan cinta kepada suami mahupun
isteri. Apa yang paling penting adalah komunikasi antara pasangan. Tiada komunikasi
yang baik maka akan berlakulah salah faham. Walau setinggi manapun termometer
menunjukkan suhu kemarahan cuba bersikap rasional dan bertenang. Duduk dan
berbincang dengan pasangan tentang sesuatu masalah untuk menyelesaikannya bukan
untuk menambahkan bebannya. Tetapi ingatlah, sedangkan lidah lagikan tergigit
apatah lagi hubungan suami isteri. Perjalanan sebuah bahtera pasti akan dilanda
badai. Tanpa ujian ia tidak akan memaniskan sesebuah perhubungan. Sekian
dariku, Hidayah Wassyifa’. Kerana cintaNya aku di sini....