Tuesday, September 27, 2011

Kerana aku seorang wanita...


Khadijah berjalan perlahan menuju ke kafe. Sepanjang hari itu dia masih belum menjamah sedikit makanan pun. Kelasnya penuh dari jam sembilan pagi hingga lima petang. Bagi dirinya, ia satu kebiasaan. Sudah menjadi rutinnya setiap hari menjamu selera hanya pada waktu petang. Sekiranya datang hari isnin dan khamis maka dia lebih cenderung untuk berpuasa sunat.

"Khadijah, baru nak makan?" Nabilah datang menegurnya di pintu masuk kafe.

"Ya, Nabilah. Jom makan sama. Ana tak ada teman berbual hari ni."

"Boleh juga. Sebelum balik ke kolej kediaman ni kena isi perut penuh-penuh. Nanti kelaparan."

"Macam-macamlah kamu ni, Nabilah. Ada-ada saja. Azimah, jom makan sekali."

Azimah yang berdiri di sebelah Nabilah memegang perut. "Kenyanglah. Tadi tengahari aku dah makan tapi boleh je temankan korang makan. Kelas aku pun dah habis."

Kebetulan mereka bertiga menduduki kolej kediaman yang sama. Selesai menikmati makan malam lewat petang itu mereka bersama-sama pulang ke kolej kediaman dengan menaiki bas.

"Weh, cantik gilalah perempuan tu." Azimah memuji dengan penuh rasa kagum.

"Perempuan mana ni?" Nabilah bertanya. Khadijah hanya tersenyum.

"Tu ha, yang tengah masuk dalam kereta tu."

"La, macam tu enti kata cantik. Ketat sana ketat sini. Rambut menggerbang. Muka pulak macam Cina Opera. Takut ana tengok." Khadijah mengutuk.

"Subhanallah. Khadijah, dia juga manusia, Punya nafsu seperti kita. Bersangka baiklah dengan dia. Hidayah Allah masih belum tiba untuknya. Kamu juga yang cakap, untuk menukarkan pepasir menjadi sebutir mutiara berkilau memerlukan satu jangka waktu yang panjang. Mungkin perubahan dia akan jauh lebih baik dari kita." Nabilah menegur sikap Khadijah yang gelojoh mengutarakan kata-kata.

"Betul tu. Tadi aku nak cakap, perempuan tadi tu cantik tapi lagi cantik kalau dia menutup auratnya. Aku suka."

"Astaghfirullahalazim.... Ya Allah, ampuni dosa hambaMu ini atas keterlanjuran kata-kataku."

"Tak apalah, Khadijah. Cuba bagitau aku manusia mana yang tak pernah melakukan kesilapan. Allah itu maha pengampun lagi maha mengasihani. Kita bukan maksum macam nabi langsung tak pernah tersilap. Apabila sudah tersilap dan kembali bertaubat darjat kita jauh lebih baik dari orang lain." Azimah cuba menenangkan hati Khadijah.

"Terima kasih, Azimah."

Mereka berpisah di hadapan pagar utama kolej kediaman dan menuju ke bilik masing-masing. Khadijah memberi salam kerana yakin teman sebiliknya yang senang dengan panggilan Kak Suhailee sudah pulang dari fakultinya. 

"Assalamualaikum...."

"Waalaikumussalam... Baru balik, Khadijah?"

"Ya, kak. Letihnya badan. Penat sangat..."

"Biasalah kita ni, Khadijah. Sebagai pelajar bukan cuma duduk diam je."

"Iya, kak."

"Khadijah, cuba tengok ni."

"Apa dia?"

"Cantik tak dia ni?"

"Cantik, kak... Tapi..."

"Tapi apa, Khadijah?"

"Aku sedikitpun tidak cemburu melihat wanita lain jauh lebih cantik, bergaya mahupun kaya dariku... Tetapi aku cemburu  melihat wanita lain yang mempunyai akhlak dan ketaqwaan yang jauh lebih baik dariku... Aku cemburu..."

No comments:

Post a Comment