Sunday, September 11, 2011

AKU INGIN MENJADI INSAN DAGANG (Walau terbuang akulah pilihan)

Bismillahirrahmanirrahim… 18 Ogos 2011. Pagi-pagi bulan ramadhan ni, selesai menunaikan solat subuh ahli keluarga semua menyambung tidur semula sementara menunggu matahari muncul di ufuk timur. Yang bekerja akan bergerak terus ke tempat kerja sementara yang bersekolah akan ke sekolah. Ana? Hurm, terasa malas hendak menyambung tidur. Apatah lagi perut masih terasa kenyang selepas bersahur tadi. Selesai menunaikan solat subuh dan membaca beberapa baris ayat cinta dari Allah ana membuka laptop dan mula menaip apa yang mahu dikongsikan kepada semua pembaca dan sahabat blog ana.

Semalam dengan rasa malas dan terpaksanya ana pergi ke cyber cafe untuk melayari internet. Maklumlah, di rumah tiada jaringan internet. Mama cakap, mahal nak langgan. Tak apalah, ana pergi juga memandangkan mama dah meminta tolong. Adik kecilku mahu di sekolahkan ke sekolah tahfiz. Ingin kusurvey seluruh sekolah tahfiz yang ada di kawasanku ini. Kurempitkan motosikal kapcaiku yang comel ini. Adik lelakiku membonceng di belakang. Pagi-pagi lagi mukanya sudah kelihatan. Tak sekolah katanya hari ini. Cuti Nisfu Syaaban. Sekurang-kurangnya ada juga yang menemankan.

Setibanya di cyber café yang dimaksudkan kutolak pintu masuknya. Kuberikan salam kepada adik manis yang menjaga kaunter.

“Dik, akak pasang laptop ea…”

“Okey, kak.” Adik tu tersenyum manis. Agaknya dia lepasan SPM. Sementara menunggu kemasukan ke university dia bekerja sambilan. Bagus. Tak buang masa.

Kutolehkan pandanganku ke ruang luas dalam cyber café itu. Darahku menyirap naik ke muka. Terasa merah wajahku. Malu. ‘Kenapa semua orang memandang ke arahku? Hidungku terbangkah atau mataku juling sebelah?’

“Kak, kenapa semua pandang akak?”

“Entah, tak pernah nampak orang agaknya.” Kucoverkan perasaan maluku ini.

Orang melayu kita, orang islam tapi pelik melihat tatacara dan pemakaian muslimah. Maklumlah, ana sering keluar memakai baju kurung dikenakan dengan tudung labuh. Mata-mata itu memandang ana dari atas ke bawah. Terasa pandangan mereka tembus seperti laser jet panas berapi. Sekiranya hendak memandang cukuplah sekadar kilasan tetapi pandangan itu sangat menyakitkan hati. Ada yang berbisik di belakang ada juga yang tersenyum sinis tak kurang juga yang tersenyum ikhlas. Entahlah, hati manusia siapa yang dapat mengetahuinya melainkan hanya Allah satu-satunya. Kadang-kadang kita sebagai manusia sendiri tak dapat memahami hati sendiri. Ana mengambil tempat di sebelah adikku. Dia membantu membukakan laptopku sementara laptopnya sudah terpasang. Cuba kutolehkan semula kepalaku memandang para manusia yang turut sama ada di situ, masih lagi pandangan mereka melekat pada diriku. Tanpa sengaja, ana terlepas kata.

“Teruskan kerja-kerja kamu semua ya, saya bukan artis pun.”

Alamak! Ia terkeluar. On the spot. Langsung tak sedar. Terbawa-bawa dek perasaan yang menekan. Wajah-wajah itu terus menunduk. Malu dengan teguranku. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dapat kutewaskan pandangan mata mereka. Ana seorang Hawa’ yang tidak mahu direnung oleh kaum Adam sedemikian rupa. Ana merupakan manusia yang punya hati yang tidak mahu dipertikai dan diperlekeh oleh kaum sejenisku sendiri dek kerana perbezaan pakaian dan caraku.

Ke mana sahaja ana pergi pasti ada mata yang memandang tanpa henti. Dari atas ke bawah. Lengkap. Semuanya mahu direnung. Pakaianku aneh bagi mereka. Tapi tak kurang juga yang bermanis wajah dan bersikap sopan dengan diriku.

Kuberjalan mencari mana-mana makanan untuk juadah berbuka di bazar, masih lagi dengan adikku. Berjalan dan terus berjalan. Terpandangkan karipap comel jualan seorang makcik. Ana menghampirinya.

“Assalamualaikum, makcik. Makcik, inti apa ya karipap ni...”

“Waalaikumussalam. Inti keledek, dik.” Jawab makcik itu sambil senyuman manis terukir di wajahnya. Sedap mata memandang.

“Keledek. Alhamdulillah. Sedap ni. Makcik, saya nak dua ringgit ya. Dua ringgit lima, kan?”

“Adik ni belajar lagi ke?” Makcik itu mengajukan pertanyaan.

“Ya, makcik. Di UM. Jurusan Syariah.”

“Alhamdulillah. Makcik teringin sangat nak anak-anak makcik macam adik ni. Sedap mata memandang. Sejuk perut ibu yang mengandung. Nikmat peluh ayah bekerja. Tapi masing-masing memilih jalan hidup sendiri.” Wajahnya yang murah dengan senyuman tadi bertukar muram.

“Makcik, anak-anak itu permata. Walaubagaimanapun mereka, mereka tetap bergelar anak. InsyaAllah, tanpa makcik sedari merekalah sebenarnya yang terbaik untuk makcik. Sekarang mungkin tak jelas lagi tapi satu hari nanti ia akan bersinar. Mutiara itu perlukan masa untuk dihasilkan.” Ana cuba menyejukkan hatinya. Diatur kata-kata supaya ia tak terlajak. Terlajak perahu boleh diundur tetapi kalau terlajak kata amat buruk padahnya.

Makcik itu membungkuskan karipap seperti yang diminta tadi. Tiba-tiba dia menambah beberapa ketul kuih lain ke dalam plastikku. “Makcik sedekah.” Katanya. Ana tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Terus berlalu pergi dihantar oleh pandangan matanya. Ada sinar di mata ibu tadi. Hati ibu tak siapa dapat menterjemah tetapi ada maksud yang tersirat di situ. Punya maksud yang sangat halus pengertiannya. Suatu harapan buat anak-anak. InsyaAllah, sinarnya pasti ada. Walupun ia lambat tiba. Hidayah Allah itu ada di mana-mana.

“Islam itu datang dalam keadaan dagang yakni asing. Maka beruntung dan berbahagialah bagi insan-insan dagang.” Sedikit tazkirah pendek untuk adikku.

Biar kita terbuang dalam kalangan manusia asalkan berada dekat di sisi Allah. Tiada guna bagi seseorang insan itu segala yang ada di sekelilingnya andai kasih Allah sudah menjadi miliknya. Terima kasih ya Allah. Jadikanlah diriku ini dengan Iman dan punya nafsu yang terdidik dengan Taqwa kepadaMu. Aku ingin menjadi insan dagang.

No comments:

Post a Comment