Sunday, November 27, 2011

Hidup anak kampung...



Subhanallah... Terasa lenguh dan pegal seluruh badan tapi dikuatkan jua semangat kembali ke UM sementara ramai sahabat-sahabat masih bercuti bersama keluarga. Apabila sampai sahaja ke hadapan pintu bilik ana mengucapkan syukur yang tak terhingga kerana Allah s.w.t melindungi ana sepanjang perjalanan pulang tadi tetepi setelah masuk ke dalam bilik hati ana terasa seperti ketinggalan dan kehilangan sesuatu. Apakah dia? Ya, senyuman mama dan tawa seluruh ahli keluargaku menyambut kepulangan ana di rumah. Selama dua hari berada di rumah tidak sedikitpun masa ana disia-siakan begitu sahaja. Ada saja aktiviti yang akan dilakukan. Setibanya di rumah pada jam 8 malam selesai menunaikan segala tuntutan ana duduk berbual bersama keluarga berkongsi cerita. Keesokan harinya selepas solat asar, ana diajak oleh mama untuk memancing ikan di parit yang berada berhampiran dengan rumah. Ana sangat suka memancing sejak dari kecil lagi. Semuanya disebabkan oleh minatnya mama dan abah ana memancing jadi anak-anaknya turut sama menjadi kaki pancing. 

Sedang seronok memancing apabila patukan ikan tidak berhenti-henti mengena pada pancing ana tiba-tiba mama mengajak ana balik. Katanya langit sudah gelap di bahagian sebelah sana. Ana menjawab dengan pelbagai alasan supaya dapat melengah-lengahkan ajakan mama... Hehe... Orang dah gila memancing satu hari pun dia sanggup tunggu apatah lagi apabila rezki tidak putus-putus diperoleh. Sedang kilat sabung menyabung di langit ana juga sedang bertarung dengan pancingan ana. Apabila diangkat ternyata seekor ikan puyu sebesar telapak tangan mengena pada umpan... Alhamdulillah... Tiba-tiba MasyaAllah... hujan lebat turun secara tiba-tiba... Ana tergelak besar apabila melihat mama menggelabah mengemas alat-alat memancing kerana hujan semakin lebat. Ingin lekas-lekas pulang. Ana pun membawa motor sedang mama duduk di belakang dan adik kecilku berada di tengah-tengah... Sedang membawa motorsikal LC milik abang ana, ana mendongak ke langit memerhati hujan yang turun dengan lebat... Basah wajah ana dipukul dek hujan. Habis lencun seluruh badan. Semuanya kerana gila memancing punya pasal. Tapi agak sedih ana rasa sebab baru memperoleh ikan sebesar itu sudah terpaksa rela untuk pulang.

Hari ini pula pagi-pagi lagi kami sekeluarga sudah keluar ke kebun kami yang terletak di Bukit Tinggi berhampiran dengan UNISEL, Bestari Jaya. Jalan agak kering kerana hujan masih belum turun. Kami mendaki bukit untuk sampai ke kebun abah di puncak sana sedang abang ana memandu kereta Ranger kami naik ke atas. Sekiranya ana punya kekuatan yang tinggi setinggi bukit itu sudah tentu ana naik kereta bersama abang ke atas namun kerana kecut perut dan cuaknya membuatkan ana, mama, makcik, adik dan sepupu lebih sanggup berjalan kaki mendaki bukit.










Seronok melihat buah-buahan yang sedang masak ranum di pokok dan buah durian yang banyak jatuh. Apa yang pertama sekali ana kejar adalah sebiji durian yang telah jatuh ke atas tanah. Maklumlah, hantu duriankan... Oleh sebab itulah abah mengusahakan dusun buah-buahan ini kerana dia tahu anak-anaknya gila makan buah selain dari gila memancing... hehe... Aduh... Sangat penat.... Berjalan dari satu pokok ke satu pokok meredah lereng bukit mencari mana-mana buah durian yang telah gugur sesekali ana juga gugur seperti nangka busuk kerana lereng bukit yang agak curam di samping memanjat pohon manggis memetik buahnya yang telah masak hitam memerah. Dah macam-macam aksi dah... 

Sangat seronok pulang ke rumah. Ana tak pernah ada keinginan untuk tinggal di bandar kerana hati ana sangat menyintai suasana kampung yang tenang dan jauh dari hiruk pikuk kekecohan manusia selain dari dapat menikmati rezki hidup di kampung dengan pelbagai aktiviti berfaedah dapat dilakukan bersama keluarga. Andai diberi pilihan, hidup di kampunglah yang ana pilih. Apa yang menjadi kekeliruan dan keanehan fikiran ana sekarang, apakah yang menyebabkan anak-anak bandar (tak semua tetapi kebanyakannya) sangat bangga dengan kehidupan bandarnya sedangkan ia tidak membawa apa-apa yang boleh dibanggakan melainkan kuragnya perhatian ibubapa kerana karier yang menyibukkan mereka serta kemodenan dan keterdepanan bandar dengan teknologi baru yang melalaikan. Bukan bermakna ana mengutuk anak bandar kerana mereka juga asalnya dari kampung tapi tidak perlulah meninggikan benar hidung yang sudah sedia tinggi itu. Minta maaf atas kata-kata ini tetapi ana mempunyai pengalaman berada dalam kalangan anak-anak bandar yang suka membangga-banggakan apa yang mereka ada. Ok, diterima tapi tak semua yang anda semua banggakan itu baik untuk anda sekiranya anda menggunakan kemodenan itu sehingga menjadi satu budaya baru kepada masyarakat melayu iaitu hedonisme. Dalam kalangan manusia seperti itu terselit juga beberapa sahabat dari bandar yang sangat sukakan kehidupan kampung dan teringin benar hidup di kampung. Bagi mereka ini, rumah ana sentiasa terbuka untuk menerima tetamu.

Apa yang ana tahu, ana hanya anak kampung yang tidaklah sehebat mana cuma ana suka turun memancing, menyangkul dan berkebun. Jadi, ana bangga dengan apa segala kekurangan dan kelebihan ana. Inilah budaya hidup ana di rumah dan kepada sesiapa yang ingin mencuba, sila tiru aksi ini... he... jemputlah ke rumah... Wassalam....

No comments:

Post a Comment