Wednesday, September 25, 2013

...Kerana mereka adalah butiran mutiara berharga... (Selamilah jiwa dan hati mereka meski mereka tidak berkata-kata)




Assalamualaikum wbt...

Keistimewaan mereka membuka mataku…

Kisah ini ana sampaikan untuk memberitahu kepada semua bahawa anak-anak ini terlahir ke dunia ini bukan sebagai penghambat kegembiraan orang tua, bukan sebagai pembawa malang bahkan bukan jua sebagai pemberi kesusahan ibu ayah anak-anak ini. Ketahuilah, kisah ini mengalirkan air mata hambaku. Betapa ana bersyukur dilahirkan sempurna fizikal begini dan betapa ana mengkeji sikap ibu bapa yang membenci anak sendiri kerana keistimewaan yang dimilikinya.

Ya, selepas ana mengikuti program Musabaqah Tilawah al-Quran murid pekak dan bisu di bawah Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi anak istimewa (faqeh) dan Centre of Quranic Research, UM Julai lalu, pengetahuan ana mulai bertambah mengenai anak-anak istimewa ini. Bagaimana yang dikatakan autism, sindrom down, pekak bisu dan sebagainya.



Syawal baru-baru ini seperti biasa, ana bersama keluarga beraya ke rumah keluarga terdekat. Sedang adik ana dan kanak-kanak lain sibuk memilih kuih-muih yang sedia tersusun di atas meja, pandangan ana teralih pada seorang anak lelaki salah seorang tetamu yang hadir berusia lingkungan sebaya dengan adik bongsu ana, 7 tahun. Kutegur si adik,

“Adik, tu kawan sorang tu tak ajak makan sekali ke?”

“Adik dah ajak dah tapi dia buat dek je. Adik ajak dia main kat luar dia diam. Adik cakap banyak-banyak dia tak pandang sikit pun muka adik.”

Dia duduk di sudut ruang tamu. Jauh dari tetamu-tetamu yang hadir. Seakan-akan memencilkan diri. Ibunya sedang rancak berborak dengan tetamu-tetamu lain yang hadir. Ya, tidak pernah ana lihat wajah wanita itu sebelum ini setiap kali ana bertandang ke rumah saudara ana ini.


Terdengar bual borak ibunya. Si ibu mengatakan dia sudah penat mengubati penyakit anak lelakinya yang satu itu. Baik berubat secara tradisional mahupun moden. Tetapi dia tidak pernah berputus asa. Dia mahu anak lelakinya itu hidup normal dan boleh bermain seperti anak-anak lain. Kelihatan raut wajah sedih di situ. Anaknya tidak mahu bercakap, tidak mahu bergaul. Malahan dia suka menyisihkan diri dan melakukan sesuatu berulang kali. Sedikit mencelah ana bertanya,

“Anak akak penghidap autisme, ya?”

“Ya, dik. Adik tahu?”

Ana sekadar tersenyum. Ana bangun dan menghampiri anak itu. Di sudut itu dia bermain-main dengan bucu tikar. Bisu seribu bahasa. Pandangannya tunduk dan tidak sedikitpun mengangkat wajah meskipun sesaat. Ana duduk di sebelah kiri dia berpaling ke sebelah kanan. Ana duduk di kanannya dia berpaling ke sebelah kiri. Dari jauh ibunya bersuara,

“Dia memang tak mahu dengan orang, dik.”

Ana mengukir senyum lagi. Satu perkara yang ana belajar di faqeh, kanak-kanak autisme ini sangat meminati sebarang bentuk gadget. Telefon ana yang tidak berapa nak canggih sangat tu ana keluarkan. Sengaja ana buka aplikasi game dan bermain di hadapannya. Untuk menarik perhatiannya, ana kuatkan sedikit nadanya. Dia mula tertoleh-toleh dan berpusing menghadap ke arah ana. Ya, terasa sedikit bangga di situ. Bangga dalam kesyukuran. Ana ingin mengenalinya.

Tetapi harapan ana sedikit terganggu bila bahasa yang keluar dari mulutnya sedikit advance dari bahasa yang sering digunakan oleh ana. Bahasa melayu bukan, bahasa inggeris pun bukan, bahasa arab lagilah bukan. Tidak mengapa! Telefon ana sudah berada di tangannya. Gigih dia memusing-musingkan telefon ana tu demi merampas gelaran juara joran. Hahahahahahaha… (Tak tahan nak gelak)

Ibunya dari jauh suka melihat telatah kami berdua. Dia dengan bahasanya dan ana nekad dengan bahasa ana. Nak buat macam mana? Takdir…… Umpama seekor ayam berjalan seiringan dengan seekor kucing. Mesra. Aneh??

Lama kurenung ke wajahnya yang tersenyum dan tersengih-sengih itu. Hati ini bahagia. Memuhasabah dan mensyukuri diri.

Anak-anak ISTIMEWA ini memerlukan ibu bapa yang ISTIMEWA untuk mendidik dan membesarkan mereka. Ibubapa perlu memiliki hati dan jiwa yang besar.

Tidakkah kamu wahai sekalian orang tua yang memiliki anak-anak istimewa ini berasa istimewa kerana telah dipilih oleh Allah SWT sebagai pemegang amanah yang sangat besar? Amanah ini perlu dibanggakan. Anugerah buat mereka yang terpilih. Peluang yang tidak semua orang peroleh.

Dan anak-anak istimewa ini, hak mereka sebagai hamba Allah yang tercatat dalam fitrahnya sebagai MUSLIM tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Tuntunilah mereka dengan cahaya al-Quran. Ilmu Allah SWT itu luas. Sekiranya tidak percaya untuk melepaskan mereka ke sekolah, berikanlah mereka walau sekelumit ilmu. Sesungguhnya mereka adalah insan sama seperti kita yang bernama manusia.

Alhamdulillahi Rabb al-Alamin... ana panjatkan setinggi-tinggi rasa syukur dan serendah-rendah sujud kepada Allah SWT atas peluang yang telah diberikanNya kepada ana untuk menyertai program Musabaqah Tilawah al-Quran murid pekak dan bisu pada awal Julai lalu. Peluang yang telah membuka mata dan hati ini tentang insan-insan istimewa ini. 

Apabila direnung jauh ke dalam mata anak-anak istimewa ini, ada harapan dan impian yang dimiliki. Tidak diketahui dan jauh tersembunyi. Tidak terserlah apatah lagi menyerlah. Tidak mampu mengatakan dan mengucapkan apa yang mereka inginkan, apa yang mereka impikan, apa yang mereka harapkan, apa yang mereka citakan...

Mungkin mereka tidak bisa mendengar seperti kita, mungkin mereka tidak bisa berbicara seperti kita, mungkin mereka tidak bisa melihat seperti kita, mungkin mereka tidak bisa berfikir seperti kita… Cuma… Hanya satu, ketahuilah! mereka punya sebingkis hati…. Yang bisa merasa seperti kita…

Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan buat Yayasan Faqeh dan Centre of Quranic Research, UM atas usaha dan kegigihan kalian. Semoga Allah SWT memberkati dan meredhai hidup kalian di dunia dan akhirat.

Dengan ini ana selitkan rakaman video johan nasyid kod tangan dari SKPK Sungai Petani, Kedah dan gambar-gambar sepanjang berlangsungnya program Musabaqah Tilawah al-Quran Murid Pekak dan Bisu. 





















Tuesday, April 2, 2013

Aku cemburu sedang aku tidak punya apa-apa....

Renunglah ke dalam mata mereka kerana walau hanya dengan pandangan ia bisa berkata-kata tentang apa yang mereka rasa....


Aku cemburu melihat tubuh mereka dalam pelukan ayah mereka... Aku cemburu melihat pipi mereka dikucup oleh ibu mereka... Aku cemburu mereka punya kasih ayahanda dan bonda mereka... Sedang aku tidak punya siapa-siapa... "Allah, Kau kasihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka mengasihani aku sehingga aku melihat dunia meskipun mereka tidak sempat mengasihaniku sehingga aku mengenal apa itu erti dunia..."

Tahniah kepada semua AJK dan Fasilitator Program Permata'13 di Rumah Anak Yatim dan Asnaf as-Solihin anjuran Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam , Universiti Malaya.

Wednesday, March 20, 2013

The Lady In Rain III (Bhg. Akhir)



                Khadijah menghirup teh ‘o’ panas. Menikmati suasana tenang lewat petang itu bersendirian duduk di pondok kecil di halaman rumah sambil memerhati ikan-ikan yang berenang berkejaran di dalam kolam. Rambut Khadijah sengaja dibiar lepas ditiup angin lembut. Di muka pintu Muhammad berdiri memerhati isterinya lama. ‘Keindahan yang tidak bisa disentuh, tidak bisa dibelai, tidak bisa dirasa. Hanya bisa dipuja. Allah, kuatkan aku! Sesungguhnya ujian ini adalah tanda sayangMu buatku. Ya! Aku insan yang Kau pilih kerana Kau masih melihat aku. Kau masih melihat akan kewujudan hambaMu yang satu ini. Terima kasih, Ya Allah atas ujianMu ini.’


                Perlahan Muhammad menghampiri Khadijah dari belakang. Tangan Khadijah disentuh lembut. Khadijah terkejut. Cepat-cepat dia menarik tangannya. Wajah Muhammad dipandang. Terasa bahang panas naik ke muka melihat mata lelaki itu tepat memandang ke dalam matanya. Pipi Khadijah memerah.

“Awak nak apa? Kalau sehari saya tak nampak muka awak tak boleh ke?!”

“Boleh cuma saya je tak boleh tak tengok muka awak walau cuma seminit. Sebab tu saya letak gambar awak dalam dompet saya. Bila saya rindu awak kat tempat kerja saya akan buka dompet saya. Tengok ni!” Muhammad membuka dompetnya dan menyuakan ke wajah Khadijah.

“Siapa suruh awak ambil gambar saya? Saya tak pernah benarkan awak!”

                Tangan Khadijah bergerak pantas. Muhammad tidak sempat menyimpan dompetnya Khadijah sudah merampas dari pegangannya. Khadijah bangun melarikan dompet Muhammad. Muhammad bingkas bangun mengejar isterinya. Sambil berlari Khadijah cepat-cepat mengeluarkan gambarnya dari situ. Tiba-tiba sekeping gambar kecil jatuh. Khadijah menghentikan langkahnya. Dia tunduk mengambil kepingan kecil itu. Lama dia merenung wajah gadis itu. Manis bertudung, sungguh menawan wajahnya. Di belakang gambar tersebut tertulis,

Selamanya menyintai abang. Letakkan ingatan tentangku sentiasa di hatimu...

                Rasa yang tidak diketahui tiba-tiba hadir bertamu di ruangan hati. ‘Siapakah gadis ini?’ Muhammad sudah lama berdiri tidak jauh di hadapan Khadijah. Muhammad seakan-akan tergamam. Ketika Khadijah mengangkat muka Muhammad cepat-cepat merampas gambar tersebut dari tangan Khadijah. Muhammad terus berlalu pergi meninggalkan Khadijah yang masih berdiri di situ dengan pelbagai perasaan yang berbaur. Entah mengapa, ada kesedihan yang bertamu di sudut hati Khadijah.

************************************

                Muhammad baru pulang dari tempat kerja. Belum masuk ke rumah telefon bimbitnya berdering. Khadijah  menyorok di belakang pintu. Perbualan Muhammad di telefon cuba-cuba dicuri dengar.

“Ya Allah, Putri dah balik? Bila balik sini? Kenapa tak beritahu abang cik doktor ni dah lama balik dari Jordan? Macam nilah, kita dinner malam ni kat Restoran Secret Garden, Bangsar. Lepas isya’ ya. Abang jemput Putri kat rumah. Abang rindu sangat dengan Putri!”

                Muhammad bergegas berlari ke bilik. Sedang Khadijah yang masih berdiri di sebalik pintu menggenggam tangannya kuat ke dada. Air matanya perlahan menuruni pipi. ‘Putri.....’ Khadijah terduduk. Air matanya masih mengalir.

                Kelibat Muhammad kelihatan menuruni tangga. Khadijah segera mengesat air matanya. Bangun dan terus berjalan tanpa sedikitpun memandang ke arah Muhammad. Muhammad cuba menegur tetapi Khadijah tidak mengendahkannya. Muhammad mengangkat bahu sambil mencebik. Dia terus menuju ke dapur. Tudung saji dibuka. Kosong. Tiada apa yang boleh dimakan. Teringat pula hanya dia dan Khadijah sahaja berada di rumah sedang mama dan papanya pergi bercuti. Orang gaji pula pulang ke kampung halaman. Roti dicapai dicicah dengan air teh sejuk. Asalkan dapat mengisi perut yang sedang berkeroncong.

                Khadijah baring memeluk bantalnya sambil termenung jauh. Air jernih masih bergenang di tubir mata. Fikirannya menerawang entah ke mana. Berjam-jam Khadijah berkeadaan begitu. Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu dibuka. Khadijah meramas bantal peluknya kuat. Dia menyapu air mata di pipinya. Hatinya geram. Tetapi tidak dapat meluahkannya. Dia sendiri bingung kenapa dia berkelakuan sebegitu. Padahal dia tidak pernah suka dengan Muhammad apatah lagi menyintainya sejak hari pernikahan mereka. Muhammad menghampiri dan melabuhkan punggungnya dihujung katil sambil memandang ke arah Khadijah yang masih kaku terbaring.

“Khadijah, tidur ke? Dah solat?”

Tiada respon dari Khadijah. Masih tubuh itu kaku. ‘Barangkali sudah tertidur agaknya’, fikir Muhammad. Muhammad bangun. Khadijah memejamkan matanya rapat. Muhammad menghampiri. Perlahan rambut si isteri yang jatuh ke muka diselak menyerlahkan wajah indah seorang Khadijah.

“Abang keluar sekejap, sayang....”

                Dahi Khadijah dikucup lembut. Muhammad bangun dan terus berlalu dari situ. Air mata Khadijah terus jatuh menderu berlumba-lumba menjadi tamu di pipinya.

 ‘Kenapa aku bersedih? Adakah aku sudah mula jatuh cinta? Ah, mustahil! Seharusnya aku perlu gembira dengan apa yang berlaku kerana apa yang aku impikan selama ini akan menjadi kenyataan. Ya, aku ingin bebas dan menjalani kehidupanku seperti yang aku mahukan.’

                Khadijah memujuk hatinya. Dia bangun dari pembaringan dan duduk memeluk kedua kakinya sambil ketawa. Ya, ketawa. Mentertawakan diri sendiri yang bodoh. Seharusnya dia perlu bergembira. Khadijah masih ketawa kecil sambil menyapu air mata di pipi. Bersendirian dan terus-terusan ketawa. Memujuk hati atau menyembunyikan rasa? Khadijah mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Dia mendail nombor Nuri Syarmia.

“Hello, Mia! Assalamualaikum.” Khadijah mengucap salam.

Di hujung talian Nuri Syarmia mengangkat kening. ‘Ieja ucapkan salam ke atau aku yang bermimpi ni?’ Nuri Syarmia kehairanan.

“Mia!” Khadijah mengangkat suara.

“Ya, waalaikumussalam. Ieja, lamanya kau tak contact aku. Sejak kau nika......” Nuri Syarmia menggantung ayatnya. Bimbang isu itu akan membangkitkan kemarahan temannya itu.

“Yalah, sejak wedding aku hari tu aku memang tak cari kau. Bukan lupa cuma aku tak ada mood nak berborak dan jumpa orang.”

“Kenapa ni, Ieja? Suara kau ni macam ada masalah je. Cuba kau ceritakan kat aku. Kau masih berdendam dengan papa mama kau ke?”

“Bukan.....” Suara Khadijah kedengaran lemah di hujung talian.

“Masalah dengan Muhammad?” Nuri Syarmia meneka.

“Entahlah, Mia. Aku tak tahu macamana nak cerita.”

“Ieja, akukan kawan kau. Selagimana aku boleh tolong insyaAllah aku cuba tolong. Tapi kalau isu atas katil aku tak nak masuk campur.”

“Katil apanya... Aku pun tak tidur sebilik dengan dia.”

“Apa?! Kau biar betul Ieja? Dah berbulan kahwin korang tak tidur sebilik? Aku tahu. Ni semua mesti kau punya angkara. Aku faham sangat perangai kau tu. Ieja, dia suami kau. Janganlah kau buat macam tu kat dia. Dia bukan suami olok-olok macam mainan kita zaman kecil-kecil dulu.”

“Aku tahulah, Mia. Bukan masalah tu sebenarnya.” Khadijah merungut.

“Habis tu?”

“Muhammad ada perempuan lain.” Laju meluncur keluhan dari mulut Khadijah.

Mata Nuri Syarmia terbeliak. “What?! Ieja, kau cakap apa ni? Sikit punya baiklah suami kau tu kau jangan macam-macam, Khadijah. Kalau iya pun kau benci sangat dengan Muhammad tu janganlah kau tabur fitnah yang bukan-bukan. Buruk padahnya, Ieja.”

“Mia, aku tak tipu. Aku sendiri nampak gambar perempuan tu dalam dompet dia. Baru kejap ni dia keluar jumpa perempuan tu.” Air mata Khadijah menitis.

“Ieja, kau dah pastikan dulu ke status perempuan tu siapa dengan Muhammad? Manalah tahu adik dia.” Nuri Syarmia cuba bersangka baik bagi menenangkan hati Khadijah.

“Dia mana ada adik. Entahlah, Mia….” Berat suara Khadijah.

“Ieja, aku rasa kau dah jatuh cinta ni……” Nuri Syarmia sengaja menduga.

“Mana ada!! Kenapa kau cakap macam tu?!” Khadijah meninggikan suara.

“Kalau tak, kenapa kau nak kisah pula dengan apa yang Muhammad buat? Kalau betul kau benci dia kau takkan bersedih macam ni….”

“Aku, aku… Aku tak suka dia! Aku tak pernah suka dia! Aku benci dia!”

                Khadijah terus mematikan talian. Hatinya berang. Kata-kata Nuri Syarmia benar-benar mencabar egonya.

“Hello, hello! Ieja! Hello!” Nuri Syarmia memandang telefonnya. Dia menggelengkan kepala. Faham benar dengan sikap Khadijah. Bukan baru sehari dia mengenali Khadijah.

********************************************
“Khadijah….” Muhammad memanggil lembut nama isterinya. Ya, dia suka dengan nama itu. Nama wanita pertama yang berjaya menambat hati seorang Muhammad, sang Kekasih Agung.

Khadijah mengerling ke arah Muhammad,  “Kenapa?”

“Saya nak ajak awak makan tengahari. Saya kasihan tengok awak asyik terperap sahaja duduk di rumah.”

                Perut Khadijah berkeroncong. Dari malam tadi perutnya tidak berisi. Betul-betul ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Tapi... Egonya masih kuat bertahan. Ego yang tidak pernah mengalah dengan apa yang dihadapinya meski sakit, duka dan terluka.

“Khadijah, saya tahu awak lapar.”

“Awak pergilah makan sana. Saya tak lapar.”

“Baiklah, kalau awak taknak makan kat luar awak kena temankan saya beli barang-barang dapur. Hari ni saya masakkan untuk isteri saya ni. Boleh ya, sayang?”

“Apa? Awak jangan nak bersayang-sayang dengan saya. Saya jijik!”

“Saya, saya, saya tak maksudkannya. Saya tersalah kata. Maafkan saya.” Muhammad gagap.

                Khadijah memalingkan wajahnya. Dia menggenggam tangannya ke dada. Hatinya sakit. 

‘Tersalah? Tak maksudkannya? Adakah tidak layak bagiku untuk kau sayangi?’ Khadijah memendam rasanya sendiri.

“Tunggu saya. Saya nak bersiap kejap.” Khadijah masih dingin. Berpura-pura benci dalam rela.

                Muhammad tersenyum. Sepanjang usia perkahwinan mereka sejak hari pertama hingga ke hari ini dia tidak pernah keluar berdua dengan isterinya. Muhammad terus menuruni anak tangga dengan hati berbunga-bunga.

*****************************************

                Muhammad memilih barang-barang dapur sendirian. Khadijah entah hilang ke mana. Masih seakan-akan keseorangan walaupun keluar berteman. Selesai membayar di kaunter Carefour Muhammad terpusing-pusing mencari kelibat Khadijah. Kemanalah Khadijah menghilang. Muhammad pening. Tiba-tiba langkahnya yang laju terhenti. Khadijah sedang membelek-belek tudung di dalam sebuah butik muslimah di situ. ‘Betul ke apa yang aku nampak ni?’ Muhammad memandang lagi bagi memastikan apa yang dilihatnya benar atau sekadar khayalannya semata. Benar! Memang Khadijah di situ.

“Akak, saya nak yang ni. Cantiknya tudung ni.” Khadijah menyarungkan ke kepalanya. Dia memandang ke arah cermin dan tersenyum sendiri. Dia tidak pernah melihat rupanya dengan imej bertudung sepanjang umurnya.

“Awak suka? Saya belikan untuk awak. Hadiah untuk isteri saya.”

                Khadijah terkejut. Terus dia berpusing ke belakang. Ya, Muhammad berdiri di situ sambil memerhati. Entah berapa lama dia telah berada di situ. Khadijah jadi malu. Dia tertunduk.

“Saya belikan untuk awak ye. Saya harap awak sudi terima.”

Muhammad hendak pergi ke kaunter. Khadijah segera menarik lengan Muhammad. Muhammad berpaling memandang ke wajah isterinya. Khadijah tidak mampu melawan pandangan itu. Dia tertunduk.

“Awak tak suka saya nak belikan untuk awak?” Muhammad menyentuh tangan Khadijah yang masih kejap memegang lengannya.

Khadijah mengangkat wajahnya. Dia memberanikan diri merenung ke dalam mata Muhammad. “Awak rasa saya cantik ke pakai tudung ni?”

“Awak tak cantik pakai tudung ni.” Muhammad membalas.

“Apa?” Pipi Khadijah mula memerah. Tubir matanya mula bergenang.

“Sebab perkataan cantik tu tak cukup untuk menggambarkan diri awak kerana awak teramat sangat cantik dengan hijab ni. Isteri saya kecantikannya bukan biasa-biasa sahaja tetapi keindahan yang sangat luar biasa.”

                Air mata Khadijah mengalir. Mudah benar air matanya menitis sejak mengenali lelaki itu. Muhammad punya tarikan yang dia sendiri tidak ketahui. Kelebihan yang tidak pernah ditemui pada mana-mana lelaki yang pernah didampinginya iaitu sabar. Satu perkataan yang mudah disebut tetapi sukar ditemui.

                Tudung yang dibelikan oleh Muhammad melekat di kepala. Serasa malu ingin menanggalkannya. Seakan tiba-tiba ada satu tanggungjawab dan amanah yang sangat besar terhadap dirinya sendiri bahawa dirinya dan hatinya adalah milik suaminya. Bukan untuk lelaki lain.  Khadijah bukan tidak tahu tentang hukum. Hanya hatinya tidak cukup kuat untuk berubah dan kini lelaki itu adalah pendukungnya untuk menjadi insan dan hamba yang lebih baik. ‘Tidak akan kukongsi diriku dengan selain darimu. Walau hanya sehelai rambutku adalah hakmu, duhai suami. Andailah kau bisa mendengar apa yang aku bisikkan, wahai pemilik cintaku.’
                Muhammad memohon untuk beransur ke tandas. Khadijah menunggu di kereta. Khadijah merenung wajahnya lama di dalam cermin sambil membelek-belek tudung barunya. Dia tersenyum sendiri. Merasa bangga dengan diri. Khadijah melihat jam. Dia mula tidak senang duduk menunggu Muhammad kelamaan ke tandas. Khadijah keluar dari kereta dan mula mencari Muhammad di dalam. Sambil berjalan Khadijah mendail nombor Muhammad. Tidak berangkat. Khadijah mencuba beberapa kali sambil matanya meliar mencari kelibat Muhammad di dalam Shopping Mall besar itu. Kaki Khadijah sakit kerana telah berjalan lama. Dia pergi ke ruangan tepi untuk menaiki lif. Tiba-tiba....

                Khadijah ternganga. Telefon di tangannya terhempas jatuh ke lantai. Air matanya mengalir perlahan. Sembilu kecil sedang merobek-robek hatinya dengan rakus. Dia terjelupuk jatuh menyembah bumi.

“Awak............” Khadijah kecewa. Sedunya kedengaran. Syahdu.

                Muhammad terkejut dengan kehadiran Khadijah di situ. Segera dia meleraikan pelukan wanita tersebut. Dia bergegas berlari ke arah Khadijah. Tangan Khadijah disentuh.

“Khadijah.......”

“Lepaskan saya! Jangan sentuh saya!”

Khadijah menepis tangan Muhammad. Dia bingkas bangun. Sempat dia memandang ke wajah wanita yang memeluk suaminya. Ya, persis benar wajahnya dengan wanita di dalam gambar yang dilihatnya secara tidak sengaja tempoh hari.

“Khadijah, saya........” Muhammad masih cuba memujuk. Dia cuba menyentuh tangan Khadijah.

“Jangan! Jangan sentuh saya! Semoga.... semoga awak bahagia.” Khadijah berlalu pergi meninggalkan Muhammad yang kaku di situ.

“Khadijahhhh!!!” Muhammad meraung. Dia meraup wajahnya. Rambutnya kusut ditarik. ‘Khadijah, ini bukan seperti apa yang awak fikirkan....’

****************************************

“Muhammad, masalah ni pun kamu tak boleh nak uruskan ke? Apalah kamu ni jadi lelaki. Jadilah hero sikit. Selesaikan masalah ni dengan baik.” Encik Fadzil sedikit emosi.

“Ayah, masalahnya Khadijah taknak cakap dengan saya. Apatah nak bercakap tengok muka saya pun dia tak sudi, ayah.” Muhammad bingung.

“Kau pun satu. Hati perempuan ni kamu janganlah buat main-main. Kenapa tak terangkan dan beritahu dia awal-awal. Kan dah jadi macam ni. Ayah pun pening dah ni.”

“Ayah, tolonglah saya. Tolong beritahu ibu suruh ibu tolong pujukkan Khadijah. Ibu sama-sama perempuan mestilah tahu nak pujuk hati perempuan.”

                Puan Arbakenah keluar dari dapur membawa dulang air. Dia menggeleng-geleng melihat keadaan Muhammad seperti orang sasau sahaja lagaknya.

“Setiap kali ibu tanya kamu ada masalah dengan menantu ibu tu ke tak kamu cakap kamu baik-baik saja. Tengok ni apa dah jadi sekarang. Nak kejutan sangat ha sekarang kamu yang terkejut. Apalah kamu ni, Muhammad. Ibu tak pernah marah anak ibu sorang ni tapi tulah, silap kamu. Kenapa tak beritahu dari awal Putri ni adik kamu.” Puan Arbakenah membebel.

“Itulah, bu. Abang ni degil sangat. Putri dah cakap dah suruh beritahu je tapi dia cakap nak surprisekan kak Khadijah. Dia nak beritahu masa family day  kita nanti katanya. Tak sampai family day sampai ke disaster day dulu dah ni. Abang juga yang susah.”

“Yang kamu tu pun satu, dah tahu abang kamu tu dah kahwin tak payahlah bermanja-manja macam zaman kamu kecil-kecil dulu. Khadijah tu memanglah tak tahu Muhammad ada adik perempuan ni. Masa kenduri kahwin hari tu Putri tak boleh balik sibuk dengan peperiksaan. Lepas tu Muhammad pulak berat mulut nak cerita pasal Putri. Dah jadi merajuk pulak menantu ibu tu. Lambatlah ibu nak timang cucu dari Muhammad ni.”

                Putri Mariam dan Encik Fadzil ketawa. Puan Arbakenah mencebik. Muhammad masih dengan muka kusutnya. Benar-benar bingung.

“Hari tu Khadijah ada ternampak gambar arwah Putri Marina dalam dompet Muhammad. Rasanya mula dari situ dia dah mula makan hati. Aduhai ayah, ibu... Apa Muhammad nak buat ni?”

“Muhammad, arwah dah pergi relakan je dia pergi. Jangan dikenang lagi. Doakan je untuk arwah.” Encik Fadzil menasihati Muhammad.

“Kalau abang sayang Putri, abang jangan salahkan diri abang atas pemergian kembar Putri tu. Dah sampai ajalnya, bang. Kemalangan tu bukan salah abang pun. Semuanya nak terjadi. Kun fayakun, bang. Kuasa Allah tu kalau Dia dah kata ketika itu dan saat itu ajal kita Dia takkan tunggu sesaat meskipun tangguh sesaat. Kebetulan sahaja dia dengan abang masa tu. Abang berhentilah salahkan diri abang lagi.”

“Tapi, Putri....”

“Abang, tolonglah dengar nasihat Putri ni kali ni saja.”

“Baiklah, Putri. Terima kasih atas ingatan tu. Terima kasih sangat. Ibu, ayah, Muhammad naik atas dulu.” Muhammad memohon diri.

“Eh, kamu tak balik rumah Khadijah?” Puan Arbakenah bertanya.

“Muhammad tidur di sini sahajalah malam ni.”

                Muhammad bergegas naik ke biliknya. Dia menutup daun pintu perlahan. Langkahnya lemah. Dia melabuhkan punggungnya di hujung katil. Muhammad menekup muka. Gelisah, bingung, murung dan buntu. Muhammad tidak tahu apa lagi daya yang mampu dilakukan. Segera Muhammad membersihkan diri dan menunaikan solat sunat memohon agar Allah memudahkan jalannya dan mengembalikan isterinya yang dicintai ke sisinya semula. Muhammad mengangkat tangannya tinggi dan memanjat sepenuhnya permohonan agar Allah melembutkan hati Khadijah. Air mata lelakinya menitis. Terasa malu dan kerdil di hadapan Allah. Hatinya sakit.

“Ya Allah, andai permintaanku ini keterlaluan Kau ampunilah aku. Namun aku tidak mampu menjalani kehidupanku tanpa Khadijahku. Pulangkanlah Khadijahku kembali ke pangkuanku. Hanya dia Khadijahku kekasih dunia dan akhiratku. Telah kucuba sedaya upayaku menjadi imam yang terbaik baginya namun aku telah gagal, ya Allah. Aku gagal, ya Allah. Ampunilah aku!”

                Air mata itu tidak berhenti mengalir. Kelihatan teguh, kukuh dan sukar runtuh namun Muhammad jua punya hati seorang hamba yang akan menangis di hadapan yang Esa. Teresak-esak Muhammad menangis kerana merasa lemahnya diri di hadapan Tuhan. Matanya tertutup rapat menyesali diri. Tiba-tiba tangannya digenggam dan dikucup.

“Abang tak pernah gagal baik sebagai seorang suami mahupun sebagai seorang hamba. Abang adalah sebaik-baik manusia yang Allah kurniakan dalam hidup saya. Abanglah dunia dan akhirat saya. Izinkan saya letakkan abang sebagai darjat tertinggi dalam hidup dan mati saya. Andai saya berdosa maafkan saya, abang.” Khadijah melutut dan mengucup dahi Muhammad.

“Sayang.... Maafkan, abang.” Suara Muhammad hilang dalam esak tangis lelakinya.

“Saya salah faham dengan abang. Putri dan ibu dah terangkan pada saya dari semalam lagi. Abang, jangan pernah tinggalkan saya lagi. Saya buang semua ego saya demi cinta saya pada abang. Sudikah abang kembali menyintai saya?” Khadijah turut menangis.

Muhammad menyeka air mata Khadijah. “Terima kasih kerana sudi menerima abang dalam hidup sayang. Abang tidak pernah berpaling dan lupa bahkan hati abang telah terbiasa dipenuhi cinta buatmu, Khadijah bidadari syurgaku di dunia dan ketua bidadariku di sana. Selamanya menyintaimu, sayang.”

‘Ya Allah, terima kasih kerana mengurniakan aku seorang suami yang bisa membimbing dan teguh kukuh hatinya di jalanMu.......’



Monday, September 10, 2012

Kerna aku yang tersakiti...




"Biarlah insan memandang hina tetapi jangan Allah tidak pandang kita. Sekali kesilapan yang kita lakukan, manusia dan Pencipta akan mencatatnya tetapi antara manusia dan Pencipta punya darjat yang berbeza. Manusia melakar dosa sesama manusia di ukiran batu sedang Allah melakar dosa hambaNya ibaratnya di atas pepasiran pantai. Sekali dihempas ombak taubat maka akan terpadamlah dosa tersebut dengan serta merta. Manusia. Ya, manusia. Manusia mengukir indah kesilapan manusia lain rapi di atas batuan. Walau ditimpa titisan hujan beribu, ukiran masih kekal di situ."

Ta'jub dengan kekuasaan yang Maha Mencipta. Lembut tangannya menyentuh ombak yang datang menderu. Tanpa dipinta air matanya menuruni pipi. Setitis demi setitis. Wajahnya dipalingkan ke bahu. Tertutuplah wajah agar tiada siapa yang dapat melihat kesedihan ini. Kata-kata Khadijah bagai menembusi lautan hatinya jauh hingga ke dasarnya.

'Pergilah. Pergilah dendam sehingga diri ini tidak mengenali apa itu erti kebencian.'

***************************************

Laju tangan Mastura mengisi borang memilih subjek-subjek yang dikehendakinya untuk naik ke tingkatan empat menjelang tahun hadapan. Selesai. Mastura berdiri tegak. Borang yang telah lengkap diisi diangkat sehingga hampir ke mukanya. Baris demi baris diteliti agar tidak ada yang ketinggalan. Tidak sabar Mastura ingin pulang ke rumah. Berita ini harus disampaikan kepada ibunya dengan segera. Borang dihantar ke kaunter. Kebetulan pengetua sekolah berada di situ. Mastura melihat borangnya disahkan di hadapan matanya. Hatinya lega. Segera Mastura keluar dan menghidupkan enjin motorsikal. Perlahan dan penuh hati-hati dia menunggang sehingga tiba di rumah.

"Ibu, Mas dah balik!"

"Mas! Kenapa termengah-mengah ni?"

"Ibu, Mas nak beritahu ibu satu berita gembira ni."

"Apa dia?"

"Mas dapat sambung belajar ke sekolah agama, bu!"

"Apa?"

"Kenapa, bu? Ibu macam tak suka je?"

"Tak boleh ke sambung kat sekolah biasa je?"

"Tapi, bu...."

"Ibu tak setuju! Mas sekolah menengah biasa je kat sini tak payah nak masuk sekolah-sekolah agama bagai."

"Tapi, bu... Mas dah...."

"Kalau ibu cakap jangan, janganlah! Tak faham ke?!"

Lidah Mastura jadi kelu. Mulutnya rapat bagai terkunci rapi. Cita-citanya untuk mempelajari agama dan bahasa arab dengan lebih mendalam bagai tersekat dicelahan kerongkong untuk disuarakan. Diam dan bisu. Semangatnya yang berkobar-kobar sebentar tadi mati serta merta. Mastura berpaling membelakangi ibunya. Pandangannya meliar ke seluruh ruang banglo mewah itu. Hatinya berbisik, 'Sejak kecil sehingga ke hari ini ibu bapaku tidak pernah mengajar aku siapa Tuhanku. Andailah semua harta ini bermanfaat untuk kubawa mati tidak perlu sedikitpun aku berasa risau tentang kehidupan bertuhan.'

Suka atau tidak Mastura menuruti semua kehendak ibunya. Tetapi dalam diam-diam Mastura mengambil subjek bahasa arab dalam tingkatan empat dan limanya di sekolah biasa itu. Setelah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia diambil, Mastura mengisi borang kemasukan ke universiti dan seperti biasa menuruti kehendak ibunya. "Anak aku mesti berada dalam golongan berpangkat dan disegani." Mastura mengeluh. Pilihan yang terakhir, akal nakal Mastura menguasai.

Keputusan peperiksaan Mastura cemerlang. Keputusan kemasukan ke universiti keluar hari ini. Surat tawaran dibaca sambil tersenyum. Tetapi terselit kerisauan yang besar jauh di sudut hatinya.

"Ibu.... Surat tawaran Mas." Mastura menyuakan surat tersebut kepada ibunya. Tersenyum lebar wanita tersebut. Berasa bangga anaknya diterima masuk ke universiti. Surat tersebut dibaca perlahan. Senyuman yang mekar tadi semakin surut sedikit demi sedikit. Wajahnya bertukar bengis.

"Kenapa kau pilih kursus ni? Kau nak mati kelaparan ke? Dari mula lagi aku benci kau ambil subjek-subjek agama ni. Kau ingat aku halang-halang kau selama ni aku sekadar suka-suka ke? Belajar agama ni tak ada masa depan! Jadi ustaz ustazah kau ingat mampu ke nak sara hidup melainkan kau sanggup makan berebut macam pengemis. Kau tak payah pergi. Ibu sanggup hantar kau ke kolej dari masuk universiti ambil subjek tak ada masa depan ni. Ibu mampu. Duit ibu banyak."

"Tapi, bu... Mas nak juga ambil kos syariah ni."

"Kau pekak ke aku cakap tak payah?!"

"Ibu, saya tak kisahlah ibu nak cakap tak ada masa depan ke kena jadi pengemis ke saya nak jugak masuk universiti ambil kursus ni."

"Baiklah! Tapi ingat, ibu tak akan bagi satu sen pun untuk kau dan kau pergilah dengan kudrat kau sendiri. Jangan harapkan bantuan ibu sikit pun."

"Baiklah , ibu. Ibu hidup di dunia ni pun atas ehsan dan kudrat Allah. Mas terpaksa harapkan orang lain untuk ajar Mas tentang agama. Ibu dan ayah Mas tertinggal mengenali hati anaknya. Keinginan untuk kembali mengenali fitrah diri anak ini sayangnya tak diiringi keredhaan ibu."

Sebolehnya Mastura cuba mengelakkan diri dari bertembung dengan ibunya di dalam rumah itu. Setibanya hari yang dinanti, Mastura sendirian mengangkut beg pakaiannya dan barang-barang keperluan lain. Hanya berbekalkan wang RM150 pemberian Pakcik Ali, tukang kebun di rumahnya, Mastura menaiki bas di Terminal Pudu menuju ke Universiti Malaya Nilam Puri, Kelantan. Bulat tekad dan kesungguhannya. Perlahan Mastura memohon semoga Allah meredhai apa yang sedang dilakukannya.

"Ya Allah, sekiranya mengelak aku dari kejahilan sehingga sanggup aku membelakangi ibuku adalah yang terbaik,Kau redhailah aku, Ya Allah. Tunjukkan dan permudahkanlah jalanku ini, Ya Rahman."

"Adik, bangun! Tadi kata nak berhenti di UM, Nilam Puri, kan?"

"Subhanallah... Maafkan saya, pakcik. Saya tak sedar. Tertidur."

"Tak apa. Dah sampai ni. Betul-betul depan pintu pagar UM ni."

"Terima kasih, pakcik."

Barang-barangnya satu persatu dibawa masuk ke dalam. Mastura berdiri seketika. Menghirup udara bumi serambi Mekah dalam-dalam.

Sedikit sesak pada mulanya kerana wang yang dibawa tidak cukup untuk menampung hidupnya di situ. Alhamdulillah... Allah itu Maha Mengasihani. Mujurlah wang biasiswa tersedia untuk semua para pelajar peringkat asasi di situ.

****************************************** 

Lembut bahunya disentuh. Mastura tersentak. Wajahnya diangkat. Lautan luas terbentang di hadapannya. Jauh fikirannya menerawang kembali mengenang masa silam, ketika kehidupannya yang dirasakan bererti bermula. Mastura berpaling memandang siapa yang memegang erat bahunya. Wajah di hadapannya tersenyum. Manis dan lembut. Khadijah menyentuh dan menggenggam tangan Mastura.

"Kekecewaan dan kemarahan apabila disimpan lama akan menjadi dendam. Dan dendam membuat perhitungan dengan bayaran. Ibu, Mas... Tiada anak di dalam dunia ini yang tidak pernah melakukan kesalahan pada kedua ibu bapa dan tidak pernah ada ibu bapa yang sempurna yang tidak pernah berbuat dosa pada anak-anaknya. Kita semua manusia. Tidaklah fitrah kita ini lahirnya sepenuhnya sempurna. Hari ini Mastura telah buktikan pada diri sendiri. Agama bukanlah penghalang kepada kemajuan, kebijaksanaan dan sanjungan. Ketika ini tipulah sekiranya orang tidak mengenali siapa Pengarah Lembaga Kewangan Malaysia. Percayalah, ibumu menanti lama kepulangan anak yang dahulu kecilnya bibir ibu mengucup lembut telapak kaki anak sedangkan ketika dewasa ini anak seharusnya mengerti syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Keredhaan Allah itu terletak pada keredhaan ibu bapa, Mas."

Limpahan air mata itu jelas menunjukkan betapa lamanya terpendam rindu anak itu pada ibunya. Khadijah memeluk erat tubuh Mastura sambil berbisik ke telinganya, "Dendam kemarahan yang lama itu tidak salah sekiranya dibalas dengan sesuatu yang baik. Dendam itu tidak semestinya berbalas dengan kebencian. Pulanglah dan peluklah ibumu. Kebenciannya padamu sudah lama surut kerana dia adalah seorang ibu...."

Khadijah melepaskan pelukan. Mastura terus berlari ke arah kereta. Tidak sedikitpun dia menoleh ke belakang. Dan azamnya diperkukuh. Dahi ibunya akan dikucup sebelum dia terlewat.

Friday, June 1, 2012



Dear my husband...
Aku tak pandang kacaknya wajahmu...
Aku tak pandang tegapnya tubuhmu...
Aku tak pandang tingginya pangkatmu...

Dear my husband...
Aku hanya menilai kacaknya akhlakmu...
Aku hanya menilai tegapnya taqwamu...
Aku hanya menilai tingginya ilmumu...

Jangan kau persoalkan lagi tentang mewahkah hidupku? Senangkah makan minumku? Mudahkah urusan harianku?

Aku hanya akan persoalkan, mewahkah akhiratku? Senangkah imanku? Mudahkah urusan hisabku? Semuanya terletak di bahumu...

Aku tak minta lelaki yang perkasa... Aku hanya meminta pemimpin aku ke syurga...

Kerana sayangku ini bersebab.....


Awak, awak.... Saya sayang awak....

Kenapa dikau menyayangiku , duhai suamiku....

Kerana kau jadikan aku yang TERISTIMEWA buatmu... Kau jaga auratmu hanya buat tatapanku... Kau jaga akhlakmu dan bermanja hanya denganku... Kau pelihara imanmu memudah jalanku ke syurga tuhanmu... Apa lagi yang mampu aku minta, hanya inginkan kau sebagai ketua bidadariku di sana... Semoga Allah meredhainya....

Tuesday, May 1, 2012

Hati sang Musafir...



Beburung terbang bebas di awanan tinggi. Menyanyi girang dengan kicauan yang menenangkan. Sedang deru ombak pula terus-terusan memukul pantai. Hembusan bayu perlahan menyapa lembut wajah anak muda itu. Dalam hatinya lemah berbisik,
“Ya Allah, andai ini yang telah Engkau takdirkan buatku, dengan sejuta keredhaan aku menerimanya walaupun hatiku sendiri sakit demi berhadapan dengan ujian ini. Sungguh, Ya Allah aku hanya insan biasa. Manusia yang bertaraf hamba mana mungkin telus menandingi kehebatanMu. Jika ini yang terbaik bagiku, tabahkan hatiku dan peliharalah imanku.”
                Uwais al-Qarni menyapa air biru dari lautan luas itu. Tangannya diangkat ke atas terisi dengan takungan air dalam genggaman. Perlahan-lahan titisan demi titisan gugur melalui celah jemarinya sambil titisan jernih mengalir dari celahan tubir matanya.

****************************************************

“Uwais! Bersabarlah, nak....” Perlahan wanita bongkok itu mengusap belakang Uwais al-Qarni.
“Ya, makcik.” Uwais al-Qarni tersenyum. Dan masih lagi mampu tersenyum.
Wanita bongkok itu berpaling. Air matanya jatuh. Cepat-cepat diseka dengan tangan tuanya. “Makcik balik dulu, ya.”
“Baiklah, makcik.”
                Wanita bongkok tersebut mengatur langkah keluar dari pondok buruk nan kecil tersergam di pinggiran pantai. Sebelum menuruni anak tangga sempat dia berpaling memandang ke arah anak itu. ‘Dan di sinilah titik tolak hidupmu bermula, wahai pemuda. Tiada yang lebih menenangkan melainkan kesenangan setelah kesusahan. Kehilangan kedua orang tuamu bukan noktah penghujung hidupmu.’
                Uwais al-Qarni menatap lama potret kecil ibu dan ayahnya. Hatinya berbisik pilu, ‘dan belum sempat bagiku membalas segala pengorbanan kalian dengan terlebih dahulunya kalian pergi meninggalkanku. Adakah besar hajatku ingin menjadi Uwais al-Qarni si lelaki tabah sebagaimana dalam sebutan Rasulullah ketika hidupnya tidak sehebat sebagaimana angan-angan khalifah yang lain? Allah, besarnya ujianMu.’

 يا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala apa yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya (penting)."

          Berulang-ulang Uwais al-Qarni membaca ayat ke-17 dari Surah Luqman tersebut. Betapa istimewanya kata-kata al-Hakim itu sehingga dipahatkan dalam kalam suci Ilahi kerana kehikmahan apa yang dikatakannya. Sedikit demi sedikit hatinya terpujuk. Indahnya Kalamullah. Ketika dan saatnya manusia itu memerlukan tempat bersandar hanya kepada Allahlah segalanya dikembalikan. Sakit, pedih, luka dan hiba datang dariNya. Itu jugalah hikmahnya Al-quran, kalam istimewa.
‘Telah aku ini datang dalam hidupmu sebagai wasilah bertambahnya umat Rasulullah. Kehilanganku hanyalah sebahagian ujian kecil buatmu. Dan ingatlah anakku, di hadapanmu menantinya ujian yang lebih besar dari apa yang mampu engkau bayangkan. Pilihlah arah hidupmu. Kehilanganku jangan terlalu kau tangisi. Bersyukurlah sesungguhnya Allah memberi pinjam diri kami buatmu dan telah tiba saatnya Dia mengambil semula apa yang dimilikiNya.’
“Allah!!” Uwais al-Qarni mengurut dada. Matanya memerhati ke segenap ruang rumah. Hatinya beristighfar panjang. Entah bila dia terlena di atas sejadah. Jam di dinding dilihat lama. ‘MasyaAllah, sudah masuk waktu subuh rupanya.’ Al-quran dalam pelukannya diletakkan di atas meja kecil. Cepat-cepat dia menyucikan diri dengan wudhu’ dan menunaikan solat fardhu subuh. Setelah salam, tangannya diangkat ke separa dada memohon doa.
“Allah, aku telah bermimpi akan kedua orang tuaku. Dan aku berasa bahagia, Ya Allah. Cintaku pada mereka, Ya Allah, tak dapat menandingi cintaku pada yang lain. Dan sandaran cinta ini hanya buatMu. Cinta ini seindah-indah ciptaanMu. Tiada hadiah teristimewaku buat mereka sekadar sekalung doa dari seorang anak semoga mereka sentiasa dalam rahmatMu. Redhailah mereka, Ya Allah. Aku memohon kepadaMu. Cintai dan kasihanilah mereka lebih dari mereka menyintai dan mengasihaniku. Terima kasih, Ya Rabbul Izzati. Terima kasih…..”

***********************************************
Lapangan Terbang Antarabangsa King Hussein menjadi gerbang utama kakinya melangkah ke bumi Jordan. Entah mengapa hatinya kuat meminta dia datang ke situ. Uwais al-Qarni berjalan keluar dari lapangan terbang tersebut dan melihat-lihat sekiranya ada teksi di sekitar kawasan itu. Tiba-tiba bahunya dipegang dari belakang. Uwais al-Qarni terkejut. Kepalanya dipalingkan. Wajah di hadapannya ditatap lama.
“Subhanallah, akhi!” Lantas Uwais al-Qarni memeluk lelaki itu.
“Uwais, apa khabar kamu?”
“Alhamdulillah, akhi. Subhanallah, ana tak sangka dapat bertemu akhi di sini.”
“Uwais, apa khabar kedua orang tuamu?”
“Mereka… Mereka telah kembali ke rahmatullah, akhi.”
“MasyaAllah, bila??”
“Dua bulan yang lalu…”
“Bersabarlah, Uwais. Allah lebih berhak ke atas nyawa hamba-hambaNya. Dia pemilik mutlaqnya manalah qudrat kita ingin menolaknya.”
“Ya, akhi. Atas sebab itu jugalah ana datang ke sini. Mencari jalan dan hala yang baru. Bimbang kesedihan berpanjangan sekiranya masih menetap di sana.”
“Tidak mengapalah, Uwais. Jadi, ke mana halamu sekarang?”
“Ana hanya mengikut berat langkah kaki ana sahaja, akhi.”
“Sekiranya begitu, marilah bertamu ke rumah ana. Hanya anak-anak ana sahaja yang ada. Kadang-kadang bosan juga tiada siapa yang hendak diajak berbual ketika mereka ke sekolah.”
“Bagaimana dengan isterimu?”
Lelaki itu tersenyum. “Jalan yang sama seperti kedua ibubapamu.”
“Allah itu lebih tahu, akhi.”
“Iyalah. Dah, jom!”
Kebetulan bertemu sahabat lama ketika bersama-sama berjihad di jalan ilmu di sekolah menengah dahulu. Perbezaan umur bukan darjat pemisah antara mereka. ‘Aathif Abrisam merupakan senior tingkatan tiga sedang Uwais al-Qarni berada dalam tingkatan satu. ‘Aathif Abrisam membawa Uwais al-Qarni ke rumahnya yang terletak di jalan Ruhuz Zahra’. Terpaku Uwais al-Qarni melihat rumah besar yang gah itu.
“Abang, subhanallah… Besarnya rumah abang.”
“Jom, masuk dulu.”
‘Aathif Abrisam membantu mengangkat bagasi milik Uwais al-Qarni. Pintu dibuka perlahan. Mulut Uwais al-Qarni ternganga luas.
“Tutup sikit mulut kamu tu.” ‘Aathif Abrisam tertawa melihat reaksi Uwais al-Qarni.
“Akhi, besarnya rumah akh. Akh kerja apa kat sini?”
“Kerja biasa-biasa sahaja. Akhi menguruskan syarikat takaful di sini.”
“Wah, menguruskan syarikat takaful dikatakan kerja biasa sahaja. Kalau ana yang tak bekerja ni apalah yang akhi cakap, kan?” Uwais al-Qarni sekadar bergurau.
“Hahahaha… Memandangkan Uwais sudah berada di sini apa kata Uwais bantu ana menguruskan syarikat. Ana bukan apa, Uwais. Anak-anak di rumah tiada siapa yang ingin menguruskannya. Terpaksa bekerja dari rumah sahaja selalunya.”
“Eh, tak mengapalah, akhi. Menguruskan syarikat? Ana tak tahulah, akhi. Kalau akhi minta ana tolong uruskan anak-anak akhi insyaAllah ana boleh.”
“Ana ingin mendidik anak-anak ana dengan tangan ana sendiri, Uwais. Ana taknak lepaskan tanggungjawab ana sebagai bapa walau sesibuk manapun ana sebagai seorang pemilik syarikat. Boleh ya, Uwais? Bantu ana?”
“Tapi, akhi….”
“Uwais, Allah pertemukan kita hari ni supaya akhi dapat membantu mempermudah jalan Uwais dan dalam masa yang sama mempermudahkan jalan akhi. Uwais, ana berharap…”
Uwais al-Qarni menelan air liur. Tekaknya terasa seakan-akan sedak dan tersumbat. Apa yang harus dia lakukan. Permintaan saudaranya itu terlalu besar baginya. Serasa bimbang dirinya andai tidak dapat memikul amanah sebesar itu. 
“Uwais… Uwais rasa tak mampu akhi….”
“Uwais, akhi percaya pada Uwais. Bukan sehari dua ana kenal Uwais. Dah bertahun-tahun dah. Ana yakin Uwais mampu dan boleh dipercayai. Pada mulanya ketika ana nampak kelibat Uwais di lapangan terbang tadi hati ana sudah mula berbunga riang. Ana turuti langkah Uwais sehingga ke luar lapangan dan ternyata sangkaan akhi benar. Bagi akhi pertemuan ini adalah rahmat Allah ke atas kita berdua.”
“Akhi, permintaan akh terlalu besar bagi insan yang kosong seperti ana ni.”
“Siapa kata kosong? Uwais ingat akhi tak tahu Uwais merupakan sarjana dari Universiti Malaya dalam jurusan Muamalat. Ana dah lama sediakan tempat ni untuk Uwais dan Allah benar-benar menunjukkan jalannya.”
“Akhi………”
******************************************


“Pekerja baru?” Aisyah bertanya.
“Naam. Baru. Bukan pekerja tapi pengurus.” Rizz Habibah.
“Wah, masuk-masuk jadi pengurus. Muda ke? Dah kahwin ke belum?”
“Haah, muda lagi. Belum kahwin. Dia cakap dia nak tunggu aku.”
“Kau ni kalau tak mengarut memang tak sah, kan? Perasan tak sudah-sudah.”
“Hahahaha….Yang aku dengar dia tu sahabat baik bos kita sejak sekolah menengah dan secara kebetulan datang ke Jordan.”
“Siapa namanya?” Tanya Aisyah dengan muka yang beria-ia.
“Uwais al-Qarni.”
‘Uwais al-Qarni….’ Aisy Qalbi berselindung di sebalik daun pintu. Senyumannya tersembunyi pula disebalik tabir niqabnya ketika menyebut nama itu. Dan pernah seorang lelaki dengan nama yang sama menyentuh hatinya dengan akhlak yang terdidik ketika pengajiannya di Universiti Malaya dahulu. Aisy Qalbi cepat-cepat bangun dari khayalannya. Dia datang menghampiri dua sahabatnya yang sibuk berbual dalam pantry pejabat sambil menikmati hidangan air teh.
“Tak siap-siap minum lagi? Amboi kamu berdua… Sibuk bercerita, ya.”
Rizz Habibah ketawa. “Kami sekadar berbual kosong membuang semua tekanan kerja. Maklumlah, bila bos jarang masuk kerja terpaksalah kita semua yang bertungkus lumus.”
“Tak mengapalah. Bos kita tu seorang ayah yang baik. Dah nasibnya memang begitu. Anggap sahajalah kita ini meringankan bebannya. Banyak jasanya pada kita. Kalau diikutkan apa sangatlah pekerjaan yang kita boleh dapat di sini dengan taraf sebagai rakyat asing. Untung kita bertemu dengan Tuan ‘Aathif Abrisam. Dialah yang banyak menolong kita dari mula sehinggalah senangnya kita sekarang ini.” Aisy Qalbi cuba mengingatkan teman-teman baiknya.
“Betul tu, Aisy. Masa kita mula-mula habis belajar kat sini, aku ingat nak balik ke Malaysia sahaja tapi untung bertemu dengan Tuan ‘Aathif. Tidaklah terkapai-kapai sibuk mencari kerja di Malaysia. Lagipun siapalah juga tempat bergantung kita di Malaysia sedangkan dari kecil kita ini hanya duduk di rumah anak yatim sahaja.” Aisyah cuba memuhasabah diri.
Tiba-tiba….
“Assalamualaikum….” Satu suara menegur mereka dari muka pintu.
Ketiga-tiga mereka berpaling memandang ke arah yang sama sambil menjawab salam. Aisyah dan Rizz Habibah ternganga memandang wajah yang sedang tersenyum itu. Bersih dan…. Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Sedang Aisy Qalbi pula terus menundukkan pandangan. Degupan jantungnya deras menggoncang seakan-akan seluruh tubuhnya menggigil bergetar. ‘Benar, dialah orangnya.’
“Ana Uwais al-Qarni. Saudara ‘Aathif Abrisam yang menghantar ana ke sini untuk meluruskan urusan syarikatnya. Ana hanya datang membantu. Antunna pekerja di sini, ya? MasyaAllah, benar-benar anak melayu semuanya. Alhamdulillah. Semoga kerja ana dipermudahkan.”
“Tuan, maaf. Kami masuk kerja sekarang. Maafkan kami lama sangat berbual dalam pantry ni. Yang lain turun makan tengahari dan ada yang masih solat dalam surau. Nanti saya hubungi mereka. Maafkan kami.” Aisyah menggelabah.
Aisyah menarik tangan Rizz Habibah keluar dari ruangan pantry tersebut. Uwais al-Qarni masih berdiri di muka pintu. Aisy Qalbi kaget kerana hanya dia seorang sahaja yang masih tinggal di situ. Langkahnya cuba diatur kemas. Sedang dalam hatinya hanya Allah sahaja yang tahu. Dia berjalan melalui muka pintu sambil kepalanya ditundukkan. Uwais al-Qarni masih berdiri di situ.
“Aisy Qalbi.” Namanya keluar dari celah bibir lelaki itu.
Langkah Aisy Qalbi terhenti. Jantungnya semakin deras berdegup kencang. Tangannya diangkat dan disentuhkan ke dadanya. Meminta agar perasaannya tidak jelas kelihatan. Uwais al-Qarni di belakang berpaling memandang ke arahnya yang terkedu dan kaku berdiri di situ.
“Dan aku mengenalimu kerana niqabmu.” Uwais al-Qarni menambah bicara.
Aisy Qalbi memejamkan mata dan menarik nafas panjang. Perlahan matanya dibuka dan terus meninggalkan Uwais al-Qarni berseorangan di situ. Uwais al-Qarni tersenyum.

***************************************

“Akhi, ana ingin bertanya.” Uwais al-Qarni membuka perbualan mereka lewat petang itu di halaman rumah di pinggir kolam ikan kecil.
‘Aathif Abrisam meletakkan cawan minumannya ke dalam dulang. “Apa dia, Uwais?”
“Akhi… Apakah dia pemilik nama Aisy Qalbi bidadari kepada Aqmar Afnan masih layak baginya mana-mana lelaki atau telah disunting dirinya?” Uwais al-Qarni tertunduk. Seakan-akan malu dengan soalannya.
“Subhanallah…. Maha Suci Engkau, Ya Allah. Telah Kau detikkan hatinya untuk jalannya yang seterusnya. Apakah hajatmu sebenarnya, Uwais?”
“Seperti yang telah akhi fikirkan.”
“Alhamdulillah…. Akan akhi risikkan dia buatmu.”
******************************************
Di sisi Uwais al-Qarni adanya ‘Aathif Abrisam sambil memeluk anak-anaknya. Hajatnya sudah disampaikan. Hanya menanti jawapan dari sebalik tirai. Apakah sudi wanita itu menerima Uwais al-Qarni sebagai suami? Aisyah dan Rizz Habibah datang menghampiri membawa satu jawapan yang pasti samada ya atau tidak. Jantung Uwais al-Qarni berdegup kencang. ‘Aathif Abrisam menggenggam tangan Uwais al-Qarni erat. Rizz Habibah dan Aisyah mengambil tempat di hadapan Uwais al-Qarni dan ‘Aathif Abrisam. Mereka saling berpandangan seakan-akan mempersilakan antara mereka untuk memulakan bicara.
“Bismillahirrahmanirrahim… Dia Aisy Qalbi bintun Aqmar Afnan menerima pinangan saudara Uwais al-Qarni dengan satu kata, andai telah tercipta padanan kumbang dengan bunga, air dengan laut, matahari dengan Sahara, maka telah ditentukan jua hati Aisy Qalbi milik hati Uwais al-Qarni.”
“Alhamdulillah…. Terima kasih, Ya Allah…” Ucapan itu meluncur laju dari bibir Uwais al-Qarni. Uwais al-Qarni terus tunduk bersujud tanda syukur kepada Allah SWT.
Dari sebalik tirai kamar Aisy Qalbi juga tunduk sujud mengangkat segala kesyukuran kepada Allah. Menitis air matanya membayar semua kesabarannya menyintai lelaki itu dalam diam sejak dari zaman pengajiannya di Malaysia dahulu. Dan bumi Jordan ini menjadi saksi tautan hati antara dua musafir. Air matanya bertambah deras mengalir ketika terdengar suara lelaki itu menyuakan harapan. Aisyah bertanya sekiranya Uwais al-Qarni mahu menuntut haknya melihat wanita itu di sebalik niqabnya.
“Tidak aku memilih dia kerana apa yang ada di sebalik niqabnya tetapi telah aku pilih dia apa yang ada di sebalik hatinya. Aku tidak mahu hatiku berbolak balik dengan pilihanku. Walaupun ia selayaknya bagiku melihatnya namun biarlah tersimpan indah begitu. Aku ingin menyimpannya halus dan tersembunyi.”

********************************************** 

Majlis walimatul urus berjalan dengan baik. Dan insan yang paling penat menguruskan sejak dari awal hingga akhir adalah ‘Aathif Abrisam. Dia penat dan tersandar di tiang pondok kecil di halaman. Uwais al-Qarni datang menghampirinya.
“Akhi, maafkan Uwais kerana menyusahkan akhi.”
“Astaghfirullahalazim… Apa yang Uwais cakap ni? Ana sangat bahagia melihat kamu berdua selamat diijabkabulkan. Mana mungkin akhi tidak mahu menyambutnya. Akh menganggap kamu sudah sama seperti adik sendiri. Akh tiada siapa di sini. Hanya Uwais dan anak-anak akh sahaja. Itulah yang membahagiakan ana. Jangan cakap macam tu lagi ya, Uwais. Uwais tak pernah menyusahkan akh sebaliknya analah yang banyak terhutang budi dengan Uwais.”
“Terima kasih, Akhi.” Uwais al-Qarni memeluk saudaranya itu erat. Tidak dapat tergambar bagaimana rasa penghargaan buat saudaranya itu.
“Akh ‘Aathif… Jemput minum.” Aisy Qalbi datang menghidangkan air.
“Ai, akh je ke? Suami kamu tak boleh minum?” ‘Aathif Abrisam sengaja mengusik. Aisy Qalbi tertunduk malu. Uwais al-Qarni tersenyum meleret. Terus wanita itu bangun dan masuk ke dalam rumah.
“Akhi, ana dan zaujah ingin menziarahi rumah baru kami. Akhi jaga kesihatan, ya.”
“Baiklah, Uwais.”
*******************************************

Setelah meninjau-ninjau ke dalam rumah, Uwais al-Qarni keluar untuk melihat isterinya. Kelihatan Aisy Qalbi terkial-kial mengeluarkan bagasi dari bonet kereta. Uwais al-Qarni menggelengkan kepalanya. Cepat-cepat dia berlari ke arah Aisy Qalbi dan membantunya.
“Kan abang ada kenapa tak biarkan abang saja yang buat?”
“Tak apalah. Aisy boleh buatla.”
“Isteri abang ni perangainya memang tak berubah langsungkan dari dulu?”
Aisy Qalbi mengangkat wajahnya memandang Uwais al-Qarni. Renungan anak mata coklat bersinar itu benar-benar membuatkan Uwais al-Qarni tak keruan. Dan bagaimana pula dengan wajahnya di sebalik niqab itu? Aisy Qalbi menjatuhkan pandangannya dan terus masuk ke dalam rumah. Malu. Bagaimana dia seberani itu merenung ke dalam mata lelaki itu. Ya, lelaki itu. Lelaki yang sudah sah menjadi suaminya. Aisy Qalbi masuk ke bilik.
Uwais al-Qarni membawa bagasi besar itu naik ke bilik. Ditolak daun pintunya. Uwais al-Qarni kaget. Pegangannya terlepas. Hampir-hampir sahaja menindih kakinya. Pandangannya mati ke wajah itu. ‘Maha Indah Engkau, Ya Allah yang menciptakan keindahan….’

“Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh daripada isteri serta zuriat keturunan kami, perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai imam bagi orang yang bertakwa.”
(Surah al-Furqan, ayat 74)