Wednesday, November 24, 2010

Cahaya seorang Khadijah...


Khadijah memohon izin kepada kedua ibu bapanya untuk menyambung pengajiannya di Universiti Nottingham, United Kingdom. Ibu bapanya jadi berat hati ingin merelakan pemergiannya. Fikiran yang bukan-bukan mengintai tingkap hati mereka. Bukan apa, pandaikah dia menjaga dirinya? Bisakah dia bersendirian di sana? Dengan siapa dia akan bersahabat nanti? Bagaimana amalan agamanya? Adakah akan sentiasa berada dalam keadaan baik? Bagaimana pula sekiranya dia akan terpengaruh nanti? Puan Salina dan Encik Syakirin beristighfar. Keluhan nafas berat dilepaskan. Khadijah pula yang jadi serba salah kerana meletakkan kedua orang tuanya dalam keadaan yang sukar dan kritikal. Ia bukan satu keputusan yang mudah untuk dilaksanakan secepat mungkin. Puan Salina meminta izin berlalu dari ruang tamu. Air matanya hampir-hampir sahaja menitis di hadapan anak tunggal kesayangannya itu. Dia tidak mahu Khadijah melihat air mata pengecut miliknya. Dia bukan tidak mempercayai anaknya sendiri. Apa yang terbuku dalam hatinya hanyalah sebuah rasa bimbang yang memuncak.Bimbang dan gelisah andai perkara yang tidak diingini terjadi pada anak gadisnya. Dia masuk ke bilik dan menutup pintu rapat. Khadijah yang masih berada di ruang tamu bersama Encik Syakirin memandang wajah ayah itu. Ada kerutan yang sukar ditafsirkan samada dia tidak suka dengan keputusan Khadijah ataupun dia berasa berat hati. Khadijah tunduk. Bergelombang rasa serba salah dalam hatinya. 'Ya Allah, apa yang telah aku lakukan ini? Andai berat benar keputusan ini maka tidak mengapa aku mengorbankan kehendakku sendiri demi menjaga hati kedua orang tuaku....' Khadijah menghampiri bapanya yang sedang tunduk.

"Abah, tak mengapa kalau mama dan abah berat hati nak lepaskan Ieja. Kalau ieja ada di tempat mama dan abah pun Ieja akan beri respon yang sama." Khadijah bertutur lembut pada bapanya.

"Ieja, abah minta maaf. Tapi Ieja, bukan senang nak lepaskan anak abah yang ada satu saja ni pergi ke tempat orang. Apatah lagi jauh dari kami."

"Abah, Ieja tak nak paksa abah dengan mama lagi. Tak apa Ieja belajar kat sini saja. Lagipun, bukan Ieja tak ada tempat nak sambung belajar di sini. Ieja boleh saja kalau nak sambung degree Ieja di UM... Demi mama dan abah Ieja rela selamanya berada di sisi kamu berdua."

Wajah Khadijah dipandang dengan penuh rasa syahdu. Bukan dia tidak tahu Khadijah akan patah hati sekiranya keputusan mereka tidak berpihak pada keinginan anak itu. Sejak dari kecil lagi Khadijah sudah bercita-cita ingin menjadi seorang penuntut Universiti Nottingham dalam jurusan undang-undang. Dia tidak mahu menjadi punca keruntuhan harapan anaknya yang satu itu. Cepat-cepat dia bangkit dari tempat duduknya dan berlalu meninggalkan Khadijah sendirian di ruang tamu.

Saat makan malam memang dinantikan Khadijah saban hari kerana boleh berkumpul bersama kedua ibubapanya dan berkongsi cerita bersama. Malam itu seperti biasa Puan Salina menyediakan masakan yang enak-enak. Khadijah jadi kecur liur dan tidak sabar ingin menikmati hidangan ibunya.

"Wah, mama Ieja ni memang the best mother in the world la... Ieja suka sangat... I love you, mom."

Puan Salina hanya tersenyum. Mereka makan dengan berselera sekali. Selesai makan mereka duduk semula di meja. Pelbagai cerita keluar dan mereka gembira berkongsi cerita. Tiba-tiba Khadijah tersebut tentang pengajiannya. Puan Salina dan Encik Syakirin terus terdiam. Rasa serba salah menyerbu semula. Muka Khadijah yang putih melepak mula nampak memerah.

"Ieja, mama dan abah dah buat keputusan. Ieja boleh sambung belajar di UK. Abah dengan mama dah bincangkan perkara ni." Encik Syakirin bersuara.

Khadijah berasa sangat terharu. Dia bingkas bangun dari kerusinya dan terus memeluk kedua orang tuanya. "Terima kasih, mama... Abah..."

"Sama-sama, sayang."

******************************************************

Tinggal seminggu sahaja lagi pengajian Khadijah di perantauan akan tamat. Dia akan pulang dengan segulung ijazah di genggaman. Puan Salina sudah tidak sabar-sabar menanti kepulangan anaknya. Selama hampir dua tahun dia tidak bertemu dengan anak kesayangannya itu. Kali terakhir dia menatap wajah anak itu semasa raya dua tahun sebelum itu. Pelbagai persediaan dan kejutan disediakan bagi menyambut kepulangan Khadijah. Nampak benar kerinduan seorang ibu pada anaknya. Encik Syakirin pula hanya melihat telatah Puan Salina dengan gembira. Tiba-tiba satu panggilan telefon mematikan semua kegembiraan yang sedang mereka jalani.

"Assalamualaikum. Saya ketua Mahasiswa Malaysia di Universiti Nottingham. Boleh saya bercakap dengan waris Khadijah Syakirin?"

"Ya, saya ayahnya. Boleh saya tahu ada apa ni ya?"

"Takziah saya ucapkan kepada pakcik sekeluarga. Bersabarlah menerima hakikat ini. Khadijah binti Muhammad Syakirin telah kembali ke rahmatullah kerana Allahyarhamah menghidap penyakit Leukimia yang berpunca dari gejala lelah lesu. Jenazah Allahyarhamah akan diterbangkan pulang ke tanah air atas persetujuan ahli keluarga dan waris."

Serasa lemah lutut Encik Syakirin menerima berita itu. Air mata lelakinya mengalir hiba. Sudah hilang keegoannya. Anak kesayangannya.....

"Saya mahu dia dibawa pulang ke sini. Secepat mungkin." Encik Syakirin menyediakan sepenuh tenaga untuk bersuara.

"Baiklah. Segala prosedurnya akan diuruskan oleh pihak kami. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam...."

Encik Syakirin terus terduduk. Air matinya terus-terusan mengalir. Gelas yang berada dalam pegangan Puan Salina terlepas kerana terkejut melihat keadaan suaminya. Puan Salina terus menerpa ke arah Encik Syakirin.

"Anak kita............" Encik Syakirin sudah kehilangan daya.


**************************************

Jenazah Allahyarhamah dikebumikan di tanah perkuburan Islam berhampiran dengan rumah mereka. Puan Salina kehilangan kata-kata. Sanak saudara yang ramai berkunjung di rumahnya seakan-akan tidak bermakna apa-apa walau suara teriak dan tawa anak-anak saudara Puan Salina dan Encik Syakirin memenuhi segenap ruang rumah. Wajah mereka jelas mempamer kesedihan atas kehilangan anak yang amat disayangi.

Sebuah beg pakaian besar milik Khadijah yang dihantar pulang melalui penghantaran pos jarak jauh baru sahaja diterima. Puan Salina dan Encik Syakirin membuka beg pakaian tersebut. Alangkah terkejutnya mereka semua dengan apa yang baru sahaja dilihat oleh pandangan mata mereka.

"Apa semua ni??" Encik Syakirin seakan-akan tidak percaya.

"Ya Allah, bang... Kenapa jadi macam ni? Kenapa? Ya Allah... Apa salah kami, Ya Allah...."

Sanak saudara yang menyaksikan kejadian itu mula bercakap-cakap di belakang. Mana tidaknya, sudah selamat Khadijah dikebumikan mengikut cara Islam. Akhirnya mereka dikejutkan dengan kehadiran beg itu. Kitab bible yang terselit di tengah-tengahnya seutas kalung salib bersama pakaian-pakaian yang mengundang berahi ditemukan dalam beg tersebut. Puan Salina menitiskan air mata. Begitu kesudahannya anak yang dikandungkan selama sembilan bulan lebih dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Seakan-akan tidak percaya...... Oleh sebab inilah berat hati seorang ibu ingin melepaskan anaknya pergi ke bumi asing. 'Ya Allah, andaiku tahu, tidak akan aku lepaskan anak ini menjauh dariku... Mengapa begini kesudahannya........' Riuh rendah kedengaran dari halaman rumah. Apa yang berlaku? Encik Syakirin dan Puan Salina memandang ke arah muka pintu. Seorang gadis manis yang memakai selendang hitam nipis di kepalanya bersama sepasang kurung hitam muncul di situ. Siapa dia? Gadis itu sedang mengusung sebuah beg besar yang hampir sama dengan beg Khadijah yang baru sahaja dibuka tadi. Gadis itu tersenyum sambil merapati Puan Salina dan Encik Syakirin.

Gadis itu meminta supaya dibuang semua salah faham yang sedang berlaku. Sebenarnya beg yang baru sahaja dibuka tadi merupakan begnya sedangkan beg yang dibawanya bersama itu adalah beg Khadijah yang sebenar. Gadis itu memperkenalkan diri sebagai Jessica. Beg Khadijah dibuka. Senaskah Alquran lengkap dengan tafsir serta pakaian-pakaian yang sering dipakainya pada waktu kebiasaan cantik terletak dan tersusun dalam beg tersebut. Air mata mereka menitis pabila sebuah buku diari Khadijah diserahkan. Terlakar indah sebuah kalam di halaman utama buku tersebut.

Restu mereka membawa aku ke sini dan kerana cinta mereka membawa aku ke syurga... Mama dan Abah selamanya dalam ingatan...

Dari cerita Jessica, dia bukan sengaja ingin menimbulkan salah faham akan tetapi dia hanya mahu mencipta satu sebab untuk dia datang bertandang di rumah itu. Bersaksikan kedua ibu bapa Allahyarhamah Khadijah dan sekalian hadirin yang ada, Jessica melafazkan dua kalimah syahadah. Semua terpinga-pinga. Puan Salina dan Encik Syakirin mengucapkan kalimah syukur. Gadis manis itu menyuarakan harapan agar dapat menjadi anak baru kepada kedua pasangan tersebut. Ingin sekali dia merasa terdidik dan dididik seperti yang pernah diperoleh sahabat baiknya, Khadijah. Nama Cahaya Khadijah diberikan kepada gadis manis itu sempena nama Allahyarhamah yang telah pergi. Akhirnya dia menemui fitrah kemanusiaannya. Hatinya lega. Semua kisah kesucian hati seorang Khadijah membasahi bibirnya sepanjang hari tersebut. Puan Salina memandang wajah Nur Khadijah. Ya, ada iras anak kesayangannya. Puan Salina memeluk tangan Encik Syakirin sambil tersenyum dalam titisan air mata yang mengalir perlahan.

'Dan kerana cahayamu kau pimpin anak ini menuju tuhannya....'


No comments:

Post a Comment