Sahabat ana bernama Nur Azathul Hashima mengajak ana untuk menemaninya ke pejabat pos di bandar Kota Bharu...Barusan sahaja ana tiba di kolej kediaman... Belum panas punggung lagi duduk di atas katil, ana sudah mencapai laptop jenis Compaq Presario CQ40 milik ana yang terletak kemas dlm beg. Entah mengapa...Pantas sahaja ana ingin meluahkan perasaan disini...Mungkin sahaja ana berasa sunyi kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga saat hari raya ini. kali pertama ana tidak beraya bersama keluarga. Bukan nak cerita tentang ana tak balik raya tapi ana nak cerita tentang masalah umat hari ini... Sekiranya memikirkan masalah umat islam hari ini sehingga bilapun takkan habis kerana masing-masing mempunyai ego dan kepentingan diri. Sahabat ana meminta izin untuk ke bilik air. Ana menunggunya di luar bersama barang-barang yang diborong di pasaraya Giant bahagian bawah Parkson. Sedang ana menunggu, seorang saudara muslimat melalui hadapan ana sambil membelek-belek telefon bimbitnya. Mungkin membalas mesej seseorang. Ana melihat gadis muda itu dari jauh. Wajahnya nampak sangat muda dan fikiran ana sangat kuat mengatakan dia jauh lebih muda dari ana. Tubuhnya juga kurus dan sedikit rendah. Dia memakai seluar jenis jeans dan baju sweater hitam bersama tudung berwarna krim. Gaya jalannya sangat berbeza. Ana hairan. Jalannya seperti orang yang sedang mengusung anak didalam rahim atau dalam erti kata yang lebih ringkas, mengandung. Ligat fikiran ana memikirkannya. Dia semakin hampir dengan ana. Cuba ana renungkan perutnya adakah benar sangkaan ana. Nah! Perutnya yang sedang membesar cuba ditutup dengan baju sweater hitam yang berbutang. Ana cuba bersangka baik. Mungkin dia sudah mendirikan rumah tangga. Ianya tak mustahil. Tapi bukankah gadis-gadis yang sebaya dengannya mungkin sedang bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran sedang peperiksaan SPM bakal menjelang tiba atau setidaknya sedang bersekolah bersama teman-teman sementalah cuti persekolahan akan bermula esok hari. Ana hairan namun cuba juga ana memujuk hati untuk berbaik sangka. Ana mula keluar sambil menunggu bas bersama sahabat ana. Dia diam sahaja namun ana jenis manusia yang tidak pandai mendiamkan mata. Ia suka meliar dan menilai alam dan insan yang berada di sekeliling. Ana terpandang seorang wanita. Takjub! Indah wajahnya persis bidadari... Senyumannya bisa mencairkan hati mana-mana jejaka. Hendak dibandingkan dengan diri ana jauhnya ibarat pusat ISS hinggalah ke bahagian bawah bumi yang dikenali sebagai mantel atau bahasa mudahnya, seperti langit dengan bumi. Ana jadi takjub dengan ciptaan Allah. Wajahnya sangat indah. Tidak henti-henti ana memuji kehebatan dan kekuasaan Allah mencipta. Namun....... Dalam rasa takjub yang lahir terselit sebesar dunia sebuah kekecewaan kerana andai sahaja kecantikannya disimpan buat sang suami maka bahagialah mereka. Tubuhnya yang cantik dan tinggi lampai ditutup dengan seluar jeans ketat dan baju tshirt lengan pendek yang dipinjam dari adiknya disenadakan pula warna bajunya dengan tudung kecil lagi nipis berwarna hitam yang diselempangkan ke bahu. Ana jadi kecewa. Mengapa keindahan secantik itu sewenang-wenang sahaja didedahkan buat insan ajnabi(asing). Ana yang berjantina sama dengannya jadi segan memandang. Ana kalihkan pandangan dari terus-terusan menempah dosa mata. Teringat pula ana pada seorang insan yang berani meluahkan rasa tidak puas hatinya setelah ana cuba menegur tentang adab sopan seorang muslimah. "Sekurang-kurangnya aku tak hipokrit weh! Setakat pakai tudung besar tutup2 tapi buruk perangai baik tak payah!" Ana terkilan dengan tempelakan itu hingga ia menghantui ana selama beberapa malam dalam mimpi. Sangat terkesan dengan kata-kata itu ana berduka juga selama beberapa hari. Namun rasa sabar dan kekuatan untuk menegakkan agama Allah memujuk agar ana kembali menyeru. Sahabat-sahabat muslimahku, ini bukan soal hipokrit, jadi diri sendiri atau apa-apa sajalah kamu semua nak jadi... Siapa pun kamu, sekiranya kamu bernama khadijah dan kamu meniru gaya Michael Jackson atau Sean Kingston kamu tetap Khadijah. Tidak pernah berubah walaupun gaya dan caramu bukan caramu sendiri. Yang ingin disampaikan disini, cubalah ikut ketentuan hukum Allah. Andai jawapanmu masih sama, kamu tidak mahu menjadi seorang yang hipokrit maka suarakan sahaja jawapanmu itu kepada Allah. Tanyakan pada Allah mengapa membuat ketentuan yang sebegini rupa? Suakan pula padaNya, bisakah diubah ketentuan ini? Buat sekiranya kamu semua ada fikiran untuk menjadi diri sendiri. Ana tidak akan bersuara sekiranya ia bukan hukum yang telah ditetapkan. Muktamad! Noktah! Tidakkah kamu semua terfikir, apa sebab kamu semua hidup di muka bumi ini? Allah menciptakan kamu semua untuk menayangkan kecantikan bentuk tubuh dan lembutnya kulit kamu serta gebu dan putihnya ia? Adakah begitu? Jadi, mengapa kamu semua begitu bersungguh-sungguh dan berpusu-pusu membeli dosa percuma buat diri sendiri? Ingatlah wahai muslimah-muslimah Islam, kekhilafan kamu membuat insan lain juga turut sama berdosa. Andai dosa itu hanya milikmu seorang maka dengan senang hati ana tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan kamu semua dengan prinsip kamu untuk menjadi diri sendiri. Bukan itu sahaja, tuntutan amar ma'ruf nahi mungkar serta rasa kasih dan cinta ana pada saudara seagama yang membuat ana menjejakkan diri ke gudang seruan ini... Jangan memandang kewajipan menutup aurat dan kewajipan berakhlak mulia dalam satu rimbunan. Sebaliknya ia dua bentuk kewajipan yang berbeza. Andai sahaja wanita itu menutup auratnya tetapi tidak berakhlak mulia sekurang-kurangnya satu kewajipannya sudah terlaksana. Tanyakan pula pada diri kamu, sudahkah sempurna dua kewajipan itu kamu tunaikan? Berikan jawapannya buat diri kamu sendiri. Jangan menuding jari pada orang lain. Bersama kita membentuk diri kita dengan dua kewajipan besar itu sebagai seorang muslimah. Ingatlah janjimu pada Tuhanmu dan makhluknya. Jangan jadi diri sendiri sehingga mengabaikan tuntutan agama. Sekiranya kamu ingin hidup menjadi diri sendiri tanpa menunaikan tuntutan agama maka hiduplah kamu semua dengan qudratmu sendiri tanpa sedikitpun berharap qudrat dari Allah. Begitu juga duniamu, ciptalah ia dengan tanganmu sendiri andai kamu ingin hidup mengikut caramu sendiri. Kita tunggu dan lihat....ana mengharap kita bersama-sama mencipta jalan dihadapan kita selepas ini sebagai muslimah yang sentiasa hatinya terlekat pada tuhannya. Cantiknya wanita itu bukan pada rupanya, bukan juga tinggi dia pada pangkat dan nama yang dimiliki, tidak pula kehebatannya pada harta yang menggunung tinggi... Sebaliknya wanita itu, indah dan terserlah cantiknya pada hati yang cinta kepada Allah dan terpaut pada Rasulullah. Sempurna dirinya apabila hak ibubapanya tertunai begitu juga baik pergaulannya dengan para sahabat dengan peribadi yang indah serta akhlak yang tidak pincang... Mari bersama kita renungkan....
semoga sentiasa istiqamah hendaknya.
ReplyDeleteInsyaAllah...semoga teman-teman sentiasa mendoakan buat diri mereka sendiri dan diri ini... Ameeennnn....
ReplyDelete